Penulis: Dr. Mohamad Asyraf Iskak¹ & Dr. Nor Atika Md Ashar²
¹Pelajar Siswazah Program Kepakaran Doktor Odontologi Forensik, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia
²Pensyarah Kanan/ Pakar Odontologi Forensik, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia
Apabila bercakap tentang gigi, umumnya sering dikaitkan dengan keperluan untuk mengunyah makanan atau menyerlahkan lagi senyuman yang menawan. Namun begitu, tahukah anda bahawa gigi sebenarnya menyimpan lebih banyak rahsia tentang diri seseorang? Sama seperti lingkaran pada batang pokok tua yang dapat menentukan jangka umur hidup sebatang pokok, sebatang gigi juga dapat membantu pakar pergigian forensik dalam membuat anggaran umur seseorang individu, mayat atau rangka manusia.
Gigi manusia merekodkan penceritaan dari mula pembentukannya hingga ke akhir hayatnya. Perubahan yang berlaku boleh dilihat di permukaan luaran gigi dan juga struktur di dalam gigi. Bagi memahami asas kepada kaedah penganggaran umur, proses pembentukan dan pertumbuhan gigi perlulah diketahui terlebih dahulu. Ini berikutan daripada pertumbuhan gigi yang sentiasa malar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan, menyebabkan pertumbuhan gigi dapat dijadikan sebagai kalendar perkembangan manusia secara tidak langsung. Secara teorinya, kronologi pertumbuhan dan perubahan gigi merangkumi beberapa fasa iaitu fasa prenatal, fasa neonatal, fasa kanak-kanak, fasa remaja atau awal dewasa, fasa dewasa dan fasa penuaan. Melalui kronologi ini, umur seseorang dapat dijangka secara saintifik.
Fasa Pranatal
Pembentukan gigi bermula seawal minggu ke-6 kehamilan, apabila lamina pergigian mula terbentuk di dalam rahang janin. Dari lamina inilah benih gigi (tooth germ) akan berkembang. Pada minggu-minggu berikutnya, proses perubahan kepada tisu gigi berlaku: sel-sel khusus akan mula membentuk struktur tisu keras dan tisu lembut gigi, iaitu enamel, dentin dan pulpa. Walaupun gigi belum kelihatan, struktur asas yang menentukan bentuk, saiz, dan susunan gigi sudah mula terbentuk di dalam rahang bayi. Enamel, lapisan paling keras pada gigi, berfungsi melindungi dentin dan pulpa di bawahnya. Oleh itu, keadaan ibu semasa hamil, seperti status pemakanan, kesihatan, dan pengambilan ubat boleh mempengaruhi pembentukan awal gigi.
Fasa Neonatal
Proses pembentukan gigi manusia berterusan selepas kelahiran. Pada waktu ini, enamel dan dentin masih berkembang. Garisan pertumbuhan yang terdapat di dalam enamel dan dentin semasa tempoh ini juga dapat meninggalkan tanda khas yang boleh digunapakai bagi menghitung tempoh umur seseorang. Satu tanda unik yang terbentuk pada gigi bayi ialah Neonatal Line, garisan pertumbuhan khas yang membezakan tisu gigi yang terbentuk sebelum dan selepas lahir. Dalam bidang forensik, tanda ini amat penting kerana ia menjadi bukti jelas tentang perubahan fisiologi yang berlaku semasa kelahiran seseorang bayi.
Fasa bayi dan kanak-kanak
Gigi susu manusia kebiasaannya akan tumbuh pada sekitar umur 6 bulan, dan menjelang usia 3 tahun, kesemua 20 batang gigi susu akan tumbuh sepenuhnya di dalam mulut kanak-kanak. Kemudiannya, pada usia di antara 6 hingga 12 tahun, gigi susu ini akan mula longgar dan digantikan dengan set gigi kekal. Proses pertumbuhan ini adalah sama bagi setiap individu yang sihat. Bagi pakar pergigian forensik, peringkat ini dapat dianggap sebagai peta umur yang jelas, hanya dengan melihat pertumbuhan dan perkembangan gigi melalui imej x-ray, mereka boleh menganggarkan usia kanak-kanak dengan tepat.
Fasa Remaja atau Awal Dewasa
Pada usia awal remaja di antara 13 hingga 17 tahun, gigi kekal sebanyak 30 batang telah tumbuh sepenuhnya kecuali gigi kekal yang terakhir iaitu gigi bongsu yang mana hanya akan mula tumbuh sekitar umur 16 hingga 25 tahun. Julat masa ini agak besar bagi gigi bongsu kerana perbezaan individu. Pertumbuhan gigi bongsu lazimnya memberi kesan kesakitan atau ketidakselesaan mengikut kepada struktur dan kondisi pertumbuhan gigi yang berbeza di kalangan setiap individu. Malahan, prosedur untuk mencabut gigi bongsu kadang kala boleh menjadi sedikit kompleks. Maka, jika gigi bongsu seseorang masih belum kelihatan di dalam mulut pada julat umur yang biasa, mungkin ia masih tersembunyi di bawah gusi, dan mungkin masih belum selesai pembentukannya. Jadi, besar kemungkinan dia masih di peringkat remaja atau awal dewasa. Kehadiran atau ketiadaan gigi bongsu tidak boleh dijadikan satu-satunya penentu umur, tetapi ia sangat membantu bila digabungkan dengan tanda-tanda lain.
Fasa Dewasa dan Penuaan
Fasa seterusnya pula adalah tanda-tanda penuaan pada gigi yang akan mula terserlah satu per satu. Terdapat permukaan gigi akan mula merata akibat proses pengunyahan yang menyebabkan kesan retakan halus juga akan mula kelihatan pada permukaan gigi. Manakala di dalam gigi, struktur pulpa gigi yang mengandungi salur darah dan saraf akan mula mengecut. Perubahan-perubahan ini dapat dilihat sama ada melalui pemerhatian secara terus atau melalui filem imbasan x-ray dan seterusnya menjadi petunjuk umur bagi orang dewasa dan orang tua.
Bagaimana Umur Ditentukan?
Setelah meneliti proses pertumbuhan gigi dalam setiap fasa kehidupan manusia, pasti timbul persoalan bagaimanakah pakar benar-benar menentukan umur melalui pemerhatian teliti ke atas gigi seseorang? Kaedah yang digunakan untuk menentukan umur dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu kaedah perkembangan dan pertumbuhan gigi, kaedah pemerhatian gigi bongsu dan kaedah perubahan struktur gigi.
Kaedah Perkembangan dan Pertumbuhan Gigi
Pakar akan meneliti bilangan gigi serta perkembangan dan pertumbuhannya melalui imej x-ray. Urutan pertumbuhan gigi susu dan gigi kekal boleh dijadikan panduan yang jelas bagi menganggarkan umur, khususnya pada kanak-kanak.
Kaedah Pemerhatian Gigi Bongsu
Gigi bongsu digunakan sebagai penanda utama kerana gigi ini hanya tumbuh pada peringkat umur tertentu sahaja.
Kaedah Perubahan Struktur Gigi
Seiring dengan peningkatan usia, beberapa ciri-ciri perubahan yang berlaku pada gigi boleh dikaitkan dengan umur seseorang individu seperti lapisan cementum di permukaan akar yang semakin menebal, pembentukan dentin sekunder dan saiz pulpa yang mengecut.
Kaedah Analisa Makmal
Akhir sekali ialah kaedah analisa makmal. Kaedah ini lebih bersifat saintifik dan biasanya digunakan dalam bidang forensik untuk mendapatkan anggaran umur yang lebih tepat. Analisa isotop stabil seperti karbon, oksigen atau strontium dapat memberikan maklumat tentang diet, persekitaran dan asal-usul geografi seseorang. Ujian kimia pada enamel dan dentin juga boleh menunjukkan perubahan kandungan mineral yang berkait dengan umur. Selain itu, analisa histologi yang meneliti garis pertumbuhan enamel dan dentin dapat menghasilkan anggaran umur yang sangat tepat pada kanak-kanak. Kaedah spektroskopi dan tindak balas kimia lain turut digunakan untuk menilai tahap mineralisasi tisu keras gigi.
Dengan gabungan pelbagai kaedah ini, penentuan umur melalui gigi dapat dilakukan dengan lebih teliti, tepat dan menyeluruh, menjadikan gigi sebagai salah satu petunjuk biologi yang sangat berharga dalam bidang forensik.
Anda pasti tertanya-tanya mengapa umur seseorang individu itu perlu diketahui? Siapakah yang meminta pakar pergigian forensik membuat anggaran umur? Dan bilakah maklumat ini diperlukan? Persoalan yang sering timbul adalah mengapa, siapa dan bila prosedur ini perlu dilaksanakan.
Mengapa?
Cuba bayangkan suatu rangka manusia atau jasad manusia yang telah meninggal dunia telah dijumpai di suatu tempat tanpa sebarang petunjuk dan tanpa sebarang dokumen identiti diri. Sudah tentu kita tidak dapat membuat pengecaman secara terus. Oleh itu, bagi membantu siasatan polis dalam mengenal pasti identiti rangka atau jasad tersebut, sekurang-kurangnya proses penganggaran umur boleh dilakukan melalui analisa gigi. Bagaimana pula jika terdapat rakyat warganegara asing yang masuk ke dalam negara secara tidak sah, dan mereka ini ditangkap oleh pihak berkuasa tanpa sebarang bukti pengenalan diri? Ya, individu yang masih hidup juga boleh melalui proses penganggaran umur oleh pakar pergigian forensik bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
Siapa?
Secara lazimnya, hanya pihak berkuasa yang boleh membuat permohonan kepada pakar pergigian forensik bagi proses penganggaran umur. Pihak berkuasa yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Penjara Malaysia. Permohonan akan dibuat sama ada secara terus kepada pakar pergigian forensik atau rujukan melalui Jabatan Perubatan Forensik di mana-mana hospital kerajaan.
Bila?
Maklumat anggaran umur yang telah dilaksanakan oleh pakar pergigian forensik akan diberikan kepada pihak berkuasa yang membuat rujukan. Maklumat ini akan digunakan untuk menyelesaikan kertas siasatan atau kertas pertuduhan di mahkamah untuk tindakan selanjutnya oleh pihak yang terlibat. Selain itu, pakar pergigian forensik juga boleh dipanggil oleh pihak mahkamah sebagai saksi pakar bagi memberi keterangan berkenaan dengan data pelaporan .
Gigi manusia adalah lebih daripada sekadar untuk mengunyah makanan atau penyeri kepada senyuman, malah gigi juga dapat memberi petunjuk dalam penentuan umur manusia. Seperti mana lingkaran pokok dapat menceritakan kisah umurnya, begitu juga gigi yang membawa garis masa kehidupan seseorang dalam menjadi saksi perjalanan hidup setiap insan. Bagi pakar pergigian forensik, gigi menjadi petunjuk penting yang dapat membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka. Bagi orang awam pula, penjagaan kesihatan gigi bukan hanya untuk penampilan semata-mata, bahkan dapat digunakan bagi memelihara rekod kehidupan yang ada pada diri seseorang.
Kredit foto-advancedenstistry
Rujukan:
Ali, S., Farooq, I. & Khurram, S. A. 2021. Tooth Development. Dlm. (pnyt.). An Illustrated Guide to Oral Histology, hlm. 1-13.
Asif, M. K., Ibrahim, N., Khan, I. M., Khan, S. S. & Nambiar, P. 2022. Dental Age Estimation of Malaysian Children: A Comparison of Two-Dimensional Versus Three-Dimensional Imaging Analyses of the Developing Root Apices. Ann Hum Biol 49(2): 109-115.
Gustafson, G. & Malmö, D. O. 1950. Age Determinations on Teeth. The Journal of the American Dental Association 41(1): 45-54.
Kuppusamy, R., Jaffar, N., Shahardin, R. Z. R., Pandey, H. & Mânica, S. 2025. Applicability of London Atlas of Tooth Development and Eruption for Dental Age Estimation in Children of the Malaysian Population Using Maxillofacial Imaging. J Forensic Odontostomatol 43(1): 2-10.