Penulis: Profesor Madya Dr. Tuan Hairulnizam bin Tuan Kamauzaman*1, Mohd Hafizul bin Mohd Bukhary2, Wan Salwani binti Wan Husain3
¹Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
²Teknologis Simulasi, Hospital Pakar Universiti Sains Malasyia, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
³Teknologis Simulasi, Simulasi Klinikal Bersepadu, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda terbayang apa yang berlaku di sebalik pintu tertutup bilik kecemasan apabila seorang pesakit kritikal diletakkan di bilik rawatan? Kita sering disajikan dengan drama perubatan yang penuh aksi doktor berkejaran, mesin berbunyi bising, dan keputusan saat-saat akhir diambil dalam tekanan tinggi. Namun, di sebalik tabir kaca televisyen itu, pernahkah kita terfikir bagaimana pasukan perubatan sebenarnya dilatih untuk menangani kes-kes kecemasan, terutamanya ketika pesakit tidak sedarkan diri?
Selama berdekad-dekad, dunia perubatan berpegang teguh pada falsafah lama iaitu “Belajar pada pesakit, buat rawatan pertama pada pesakit, dan sempurnakan teknik melalui pengalaman.” Namun, realitinya kaedah tradisional itu amat membahayakan pesakit sekiranya kesilapan rawatan berlaku malah meletakkan pengamal perubatan dalam keadaan tekanan yang tinggi.
Hari ini, falsafah berisiko tinggi itu telah berubah. Dengan kemajuan teknologi simulasi, pengamal perubatan tidak lagi perlu “berlatih” secara langsung buat kali pertama ke atas tubuh manusia yang bernyawa, sebaliknya memanfaatkan teknologi simulasi moden sebagai medium pembelajaran dan latihan utama.
Apakah Itu Simulasi Perubatan?
Simulasi perubatan bukanlah sekadar permainan video interaktif atau patung plastik kaku yang diletakkan di dalam makmal universiti. Ia adalah satu disiplin multidimensi yang meniru situasi klinikal sebenar dengan ketepatan yang tinggi.
Teknologi dan latihan ini merangkumi beberapa bentuk utama:
Patung Manekin Berketepatan Tinggi (High-Fidelity Manikins): Patung robotik canggih yang boleh bernafas, mempunyai denyutan nadi, mengeluarkan suara batuk atau kesakitan, memaparkan tanda-tanda vital pada monitor, malah boleh boleh memberi tindak balas fisiologi secara langsung terhadap rawatan yang diberikan oleh pengguna simulasi dengan bantuan kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Realiti Maya (Virtual Reality – VR) dan Realiti Separa (Augmented Reality – AR): Teknologi canggih yang membolehkan doktor pelatih merasai pengalaman melakukan prosedur kompleks secara tiga dimensi menerusi set kepala khas, lengkap dengan maklum balas haptik (sentuhan fizikal).
Simulasi Pesakit Standard (Standardized Patients): Pelakon terlatih yang melakonkan watak pesakit dengan simptom penyakit tertentu bagi melatih kemahiran komunikasi, diagnosis, dan empati pengamal perubatan.
Mengapa Simulasi Perubatan Begitu Penting?
i -Menghapuskan Kaedah “Cuba-Jaya (Try-Error)” Pada Nyawa Manusia.
Kesilapan perubatan adalah antara punca utama kebimbangan global dalam sistem kesihatan. Laporan daripada Institute of Medicine (US) suatu ketika dahulu mendedahkan bahawa ribuan nyawa terkorban setiap tahun akibat ralat rawatan yang sebenarnya boleh dielakkan.
Simulasi membolehkan doktor, jururawat, dan paramedik melakukan kesilapan serta belajar daripadanya di dalam persekitaran yang selamat di mana tiada nyawa menjadi taruhan. Penggunaan teknologi ini membolehkan pengamal perubatan membuat kesilapan berulang kali dan memperbaiki teknik mereka dalam suasana pembelajaran selamat dan selesa. Pelbagai kemungkinan kecemasan boleh diprogramkan semasa latihan.
ii- Menguasai Krisis Kekerapan Rendah, Risiko Tinggi (Low-Frequency, High-Risk Events)
Tidak semua situasi kecemasan berlaku setiap hari; malah, ada keadaan kritikal yang sangat jarang ditemui. Namun, apabila ia berlaku, tindakan pantas dalam beberapa saat pertama menentukan hasil rawatan samada hidup dan mati.
Teknologi simulasi membolehkan senario yang jarang-jarang berlaku ini diprogramkan ke dalam latihan. Pengamal perubatan dapat berlatih membuat keputusan kritikal serta menjalankan prosedur rumit seperti kejutan elektrik perubatan (defibrillation), Bantuan hayat kardiopulmonari (CPR), atau pemasangan tiub dada (chest tube insertion).
Setiap prosedur ini boleh direkodkan dan dimainkan semula . Dalam sesi taklimat atau bedah siasat mental (debriefing), peserta dapat menilai semula prestasi rawatan mereka dan melakukan pembetulan serta-merta bagi memastikan tahap kecekapan tertinggi dapat diberikan kepada pesakit dalam keadaan sebenar.
iii- Memperkasa Kerja Berpasukan dan Komunikasi Silang Disiplin
Di dalam wad kecemasan, kepakaran individu semata-mata tidak mencukupi. Kegagalan komunikasi antara doktor dan jururawat daripada pelbagai bidang kepakaran sering menjadi punca utama insiden kehilangan nyawa.
Simulasi moden amat menitikberatkan latihan berasaskan pasukan (Team-Based Simulation). Selepas setiap sesi simulasi tamat, sesi debriefing dijalankan. Di sinilah pasukan perubatan duduk bersama untuk membincangkan bukan sahaja aspek teknikal rawatan, malah elemen komunikasi, kepimpinan, dan pengurusan tekanan di bawah bimbingan fasilitator berpengalaman.
Realiti Semasa dan Masa Depan di Malaysia
Di Malaysia, kepentingan simulasi perubatan semakin diiktiraf di peringkat nasional. Pusat-pusat simulasi klinikal bertaraf antarabangsa kini mula wujud di hospital pengajar universiti awam dan swasta serta hospital utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kolej Pakar Perubatan Kecemasan Malaysia (MyCEP) sendiri mempunyai Kumpulan Minat Khusus (Special Interest Group) Simulasi Perubatan yang aktif mempromosikan kaedah pengajaran ini menerusi pelbagai kursus khusus yang ditawarkan
Universiti tempatan serta hospital pengajar turut memperluas penggunaan simulasi dalam kurikulum pelajar perubatan. Sebagai contoh, penubuhan pusat latihan simulasi resusitasi (Resus Suite) di Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang berada di bawah pengelolaan Pusat Simulasi Klinikal Bersepadu telah merevolusikan cara pelajar mendalami ilmu resusitasi seperti Advanced Cardiac Life Support (ACLS) dan Advanced Trauma Life Support (ATLS). Pelatih tidak lagi hanya bergantung pada buku teks, sebaliknya diuji dengan senario klinikal dinamik yang mencabar minda kritis mereka.
Masa depan simulasi perubatan kini kelihatan lebih menarik dengan penggabungan Kecerdasan Buatan (AI). Patung manekin dan pesakit maya masa kini mampu menyesuaikan diri secara realistik terhadap rawatan pelatih, membolehkan simulasi disesuaikan secara khusus mengikut tahap kecekapan individu.
Kesimpulan
Simulasi perubatan bukan lagi dilihat sebagai satu pilihan mewah, melainkan satu keperluan asas yang mendesak dalam ekosistem kesihatan moden. Ia adalah jambatan ampuh yang menghubungkan teori buku teks dengan realiti klinikal di Jabatan Kecemasan.
Apabila kita melangkah masuk ke hospital atau klinik pada masa hadapan, kita boleh menarik nafas lega kerana mengetahui bahawa mereka yang merawat kita telah diuji, dilatih, dan diasah kemahirannya menerusi teknologi simulasi yang canggih. Di sebalik setiap senyuman pesakit yang sembuh, tersimpan jam-jam latihan tanpa kenal penat lelah di makmal simulasi, bukti jelasbahawa teknologi pendidikan dan sumber manusia dapat bergabung bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Rujukan
Kohn, L. T., Corrigan, J. M., & Donaldson, M. S. (Eds.). (2000). To Err is Human: Building a Safer Health System. Institute of Medicine (US) Committee on Quality of Health Care in America. Washington, DC: National Academies Press.
Gaba, D. M. (2004). The future vision of simulation in health care. Quality and Safety in Health Care, 13(suppl 1), i2-i10.
Cook, D. A., Hatala, R., Brydges, R., Zendejas, B., Szostek, J. H., Wang, A. T., … & Hamstra, S. J. (2011). Technology-enhanced simulation for health professions education: a systematic review and meta-analysis. JAMA, 306(9), 978-988.
Lateef, F. (2010). Simulation-based learning: Just like the real thing. Journal of Emergencies, Trauma, and Shock, 3(4), 348–352.
Ziv, A., Small, S. D., & Root Wolpe, P. (2000). Patient safety and simulation-based medical education. Medical Teacher, 22(5), 489–495
Biodata Penulis
Profesor Madya Dr. Tuan Hairulnizam bin Tuan Kamauzaman merupakan Pensyarah Kanan dan Pakar Perubatan Kecemasan di Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Beliau juga merupakan Ketua Simulasi Resusitasi di Jabatan Kecemasan dan Ketua Simulasi Perubatan Kolej Pakar Perubatan Kecemasan Malaysia.
Mohd Hafizul bin Mohd Bukhary merupakan Teknologis Simulasi di Simulasi Resusitasi Jabatan Perubatan Kecemsan, Hospital Pakar Universiti Sains Perubatan, Kubang Kerian, Kelantan.
Wan Salwani binti Wan Husain adalah Teknologis Simulasi di Simulasi Klinikal Bersepadu, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.




