Friday, November 13, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Anemia Ketika Hamil: Bukan Sekadar Kurang Darah

Anemia Ketika Hamil: Bukan Sekadar Kurang Darah

Editor by Editor
13/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Rohaida binti Che Mohd Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga & Pensyarah Perubatan, Jabatan Farmakologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM

Bayangkan seorang wanita yang sedang hamil tujuh bulan. Sejak kebelakangan ini, beliau sering berasa letih, mudah mengah apabila menaiki tangga dan kadangkala mengalami pening kepala. Pada mulanya, beliau menganggap keadaan tersebut sebagai perubahan biasa sepanjang kehamilan. Namun, ketika menjalani pemeriksaan antenatal di klinik kesihatan, beliau dimaklumkan bahawa paras hemoglobin (Hb) dalam darahnya rendah. Beliau sebenarnya mengalami keadaan yang dinamakan ‘anemia in pregnancy’.

Situasi ini tidak asing bagi kebanyakan ibu hamil di Malaysia. Keletihan sering dianggap sebagai sebahagian daripada proses kehamilan, sedangkan ia juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius.

Persoalannya, adakah anemia semasa kehamilan sekadar masalah kekurangan darah, atau sebenarnya boleh membawa kesan yang lebih besar terhadap kesihatan ibu dan bayi? Jom kita terokai dengan lebih terperinci.

Apakah yang Dimaksudkan dengan Anemia?

Anemia merupakan keadaan apabila paras hemoglobin dalam darah berada di bawah julat normal iaitu sekitar 11-13g/dL bagi seorang wanita. Hemoglobin ialah sejenis protein yang mengandungi zat besi dan terdapat di dalam sel darah merah. Fungsi utamanya adalah untuk membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tisu badan.

Semasa kehamilan, keperluan oksigen meningkat bagi menyokong perubahan fisiologi ibu serta pertumbuhan janin. Oleh itu, hemoglobin memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan oksigen yang mencukupi kepada kedua-duanya.

Menariknya, tubuh wanita hamil sebenarnya menghasilkan lebih banyak darah berbanding sebelum kehamilan. Namun, peningkatan isi padu plasma darah adalah lebih besar berbanding peningkatan jisim sel darah merah. Keadaan ini menyebabkan darah menjadi lebih cair secara relatif dan dikenali sebagai haemodilution atau pencairan darah fisiologi.

Fenomena ini merupakan perubahan normal semasa kehamilan dan menjelaskan mengapa paras hemoglobin lazimnya menurun, terutamanya pada trimester kedua. Walau bagaimanapun, bukan semua penurunan hemoglobin boleh dianggap normal.

Menurut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun 2024, anemia semasa kehamilan ditakrifkan apabila paras hemoglobin kurang daripada 11.0 g/dL pada trimester pertama dan ketiga, atau kurang daripada 10.5 g/dL pada trimester kedua. Nilai ini mengambil kira perubahan fisiologi yang berlaku sepanjang kehamilan.

Mengapa Ibu Hamil Mudah Mengalami Anemia?

Antara penyebab utama anemia semasa kehamilan ialah kekurangan zat besi atau iron deficiency anaemia (IDA). Zat besi merupakan komponen penting dalam penghasilan hemoglobin. Ketika seorang wanita itu hamil, tubuh memerlukan lebih banyak zat besi untuk meningkatkan penghasilan sel darah merah, menyokong perkembangan janin dan plasenta, serta menyediakan simpanan zat besi bagi kegunaan bayi selepas dilahirkan.

Sekiranya pengambilan zat besi melalui pemakanan tidak mencukupi, tubuh akan menggunakan simpanan zat besi yang sedia ada. Apabila simpanan ini semakin berkurangan, penghasilan hemoglobin boleh terjejas sehingga menyebabkan anemia.

Risiko kekurangan zat besi juga lebih tinggi dalam kalangan wanita yang mempunyai simpanan zat besi rendah sebelum hamil, mengalami kehamilan yang terlalu rapat atau mengandungkan bayi kembar.

Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa bukan semua anemia berpunca daripada kekurangan zat besi. Kekurangan asid folik dan vitamin B12 juga boleh mengganggu penghasilan sel darah merah. Selain itu, penyakit darah yang diwarisi seperti Talasemia turut menjadi penyebab anemia dan perlu diberi perhatian, khususnya dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu, mengenal pasti punca sebenar anemia adalah penting bagi memastikan rawatan yang diberikan bersesuaian.

Adakah Anemia Berbahaya kepada Ibu dan Bayi?

Anemia ringan mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala yang ketara. Namun, apabila paras hemoglobin semakin rendah, ibu boleh mengalami keletihan yang berpanjangan, pening kepala, pucat, jantung berdebar-debar dan sesak nafas ketika melakukan aktiviti harian.

Dalam keadaan anemia yang teruk, keupayaan darah membawa oksigen berkurangan dengan ketara. Jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk memastikan bekalan oksigen mencukupi kepada tisu badan. Keadaan ini boleh meningkatkan beban terhadap sistem kardiovaskular, terutamanya sekiranya ibu mempunyai masalah kesihatan yang lain.

Anemia juga boleh mengurangkan keupayaan tubuh untuk menghadapi kehilangan darah ketika bersalin. Walaupun kehilangan darah dalam jumlah tertentu merupakan sebahagian daripada proses kelahiran, ibu yang sudah mengalami anemia mempunyai rizab hemoglobin yang lebih rendah. Justeru, kehilangan darah yang banyak boleh menyebabkan keadaan klinikal menjadi lebih serius dan meningkatkan kemungkinan memerlukan pemindahan darah.

Kesan anemia bukan sahaja terhad kepada ibu. Kajian menunjukkan bahawa paras hemoglobin ibu yang rendah mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kelahiran pramatang, berat bayi lahir rendah dan beberapa komplikasi perinatal. Walau bagaimanapun, risiko ini bergantung kepada tahap anemia, puncanya, tempoh kehamilan dan keadaan kesihatan ibu secara keseluruhan.

Hal ini menunjukkan bahawa anemia bukan sekadar angka hemoglobin yang rendah dalam buku rekod kesihatan ibu, tetapi suatu keadaan yang boleh mempengaruhi keselamatan kehamilan.

Bagaimanakah Anemia Dikesan?

Salah satu kepentingan pemeriksaan antenatal adalah untuk mengenal pasti masalah kesihatan sebelum berlakunya komplikasi. Pemeriksaan darah lengkap atau full blood count (FBC) merupakan antara pemeriksaan penting yang dilakukan semasa lawatan awal antenatal. Ujian ini membolehkan petugas kesihatan menilai paras hemoglobin (Hb) serta ciri-ciri sel darah merah.

Sekiranya anemia dikesan, pemeriksaan lanjut mungkin diperlukan untuk mengenal pasti puncanya. Antara ujian yang boleh dilakukan ialah pemeriksaan serum ferritin, iaitu penanda simpanan zat besi dalam tubuh. Paras ferritin yang rendah boleh menunjukkan kekurangan zat besi, walaupun paras Hb belum menurun dengan ketara. Namun, keputusan ferritin perlu ditafsirkan dengan berhati-hati kerana parasnya juga boleh meningkat apabila terdapat keradangan atau jangkitan.

Dalam keadaan tertentu, pemeriksaan untuk penyakit darah seperti Talasemia juga diperlukan. Ibu hamil perlu memahami bahawa pemeriksaan hemoglobin bukan sekadar prosedur rutin. Ia merupakan langkah penting untuk memastikan tubuh mempunyai keupayaan yang mencukupi bagi menyokong kehamilan dan menghadapi proses kelahiran.

Tablet Zat Besi: Mengapa Penting dan Bagaimana Mengambilnya?

Suplemen zat besi sering diberikan kepada ibu hamil sebagai sebahagian daripada penjagaan antenatal. WHO mengesyorkan pengambilan harian 30 hingga 60 mg zat besi elemental bersama 400 mikrogram asid folik untuk membantu mencegah anemia ibu, berat lahir rendah dan kelahiran pramatang.

Walau bagaimanapun, dos yang diperlukan untuk merawat anemia akibat kekurangan zat besi mungkin berbeza daripada dos pencegahan. Oleh itu, ibu hamil perlu mengikuti dos yang ditetapkan oleh doktor dan tidak menambah pengambilan tablet secara sendiri.

Satu perkara yang kurang diketahui ialah cara pengambilan tablet zat besi boleh mempengaruhi keberkesanannya. Penyerapan zat besi berlaku terutamanya di bahagian awal usus kecil. Zat besi daripada sumber tumbuhan dan suplemen tertentu lebih mudah diserap apabila diambil bersama makanan atau minuman yang mengandungi vitamin C.

Sebaliknya, minuman seperti teh dan kopi mengandungi sebatian yang boleh mengurangkan penyerapan zat besi. Kalsium dalam susu juga boleh mengganggu penyerapannya apabila diambil pada masa yang sama. Oleh itu, ibu hamil digalakkan menjarakkan pengambilan tablet zat besi daripada teh, kopi dan susu, lazimnya sekitar dua jam.

Tablet zat besi biasanya lebih mudah diserap ketika perut kosong. Namun, sesetengah ibu mengalami kesan sampingan seperti loya, ketidakselesaan perut atau sembelit. Jika keadaan ini berlaku, pengambilan bersama sedikit makanan atau perubahan jenis dan jadual rawatan boleh dipertimbangkan selepas berbincang dengan petugas kesihatan.

Najis yang menjadi lebih gelap juga merupakan kesan yang lazim berlaku semasa pengambilan zat besi. Apa yang penting, ibu hamil tidak seharusnya menghentikan rawatan tanpa mendapatkan nasihat kerana simpanan zat besi memerlukan masa untuk dipulihkan.

Bolehkah Anemia Dicegah Melalui Pemakanan?

Pemakanan seimbang memainkan peranan utama dalam memastikan bekalan zat besi mencukupi sepanjang kehamilan. Antara sumber zat besi yang baik ialah daging, ayam, ikan, kekacang, sayur-sayuran hijau dan bijirin yang diperkaya dengan zat besi.

Zat besi daripada sumber haiwan, yang dikenali sebagai heme iron, secara umumnya lebih mudah diserap berbanding zat besi daripada tumbuhan atau non-heme iron. Pengambilan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C seperti jambu batu, oren dan betik bersama hidangan utama boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi daripada sumber tumbuhan.

Namun, pemakanan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk merawat anemia akibat kekurangan zat besi yang telah berlaku, khususnya apabila paras hemoglobin rendah atau simpanan zat besi telah berkurangan dengan ketara. Dalam keadaan ini, rawatan suplemen dan pemantauan berkala tetap diperlukan.

Bagi sesetengah ibu yang mengalami anemia teruk, tidak memberikan respons yang memuaskan terhadap rawatan oral atau tidak dapat menerima kesan sampingannya, rawatan zat besi melalui saluran darah mungkin dipertimbangkan berdasarkan penilaian klinikal.

Jangan Pandang Ringan Anemia Semasa Kehamilan

Kehamilan merupakan suatu proses fisiologi yang menakjubkan. Namun, perubahan yang berlaku dalam tubuh ibu turut meningkatkan keperluan nutrien penting, terutamanya zat besi.

Walaupun keletihan sering dianggap sebagai perkara biasa sepanjang kehamilan, gejala ini tidak seharusnya dipandang ringan, khususnya apabila disertai pening kepala, pucat atau sesak nafas.

Anemia bukan sekadar masalah kekurangan darah. Ia mencerminkan gangguan terhadap keupayaan tubuh membawa oksigen dan boleh memberikan kesan kepada kesihatan ibu serta perkembangan bayi.

Berita baiknya, kebanyakan kes anemia akibat kekurangan zat besi boleh dicegah dan dirawat dengan berkesan melalui pengesanan awal, pemakanan seimbang, pengambilan suplemen yang betul serta pemantauan antenatal secara berkala.

Ibu yang sihat merupakan asas kepada permulaan kehidupan bayi yang sihat. Justeru, menjaga paras hemoglobin sepanjang kehamilan bukan sekadar usaha memperbaiki keputusan ujian darah, tetapi suatu pelaburan penting untuk keselamatan ibu dan masa depan anak yang bakal dilahirkan.

Rujukan

  1. World Health Organization. (2024). Guideline on haemoglobin cutoffs to define anaemia in individuals and populations. Geneva: WHO. https://www.who.int/publications/i/item/9789240088542
  2. World Health Organization. (2024). Daily iron and folic acid supplementation during pregnancy. https://www.who.int/tools/elena/interventions/daily-iron-pregnancy
  3. Ministry of Health Malaysia. (2023). Perinatal Care Manual, 4th Edition. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia.
  4. Ministry of Health Malaysia. (2024). Caring for Pregnant Women with Medical Conditions. Ministry of Health Malaysia.
  5. Young, M. F., et al. (2023). Maternal low and high hemoglobin concentrations and associations with adverse maternal and infant health outcomes: An updated global systematic review and meta-analysis. BMC Pregnancy and Childbirth. https://doi.org/10.1186/s12884-023-05489-6
  6. National Health Service. How and when to take ferrous sulfate. https://www.nhs.uk/medicines/ferrous-sulfate/how-and-when-to-take-ferrous-sulfate/

Biodata Penulis

Dr. Rohaida Binti Che Mohd Abdullah

Kelulusan akademik : Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) UiTM & Sarjana Perubatan (Perubatan Keluarga) USM

Jawatan :
Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.

Bidang kepakaran : Bidang Perubatan Keluarga dengan pengkhususan dalam penjagaan kesihatan primer, pengurusan penyakit akut dan kronik, pencegahan penyakit serta promosi kesihatan. Aktif dalam bidang akademik, penyelidikan dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan farmakologi klinikal, pengurusan penyakit tidak berjangkit serta pengoptimuman terapi ubat. Turut terlibat dalam aktiviti pengajaran, latihan profesional dan penyampaian ceramah bagi memperkukuh amalan perubatan berasaskan bukti serta meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

 

 

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Anemiakurang darahpemakanan wanita hamilRohaida binti Che Mohd Abdullahwanita hamil
Previous Post

Suntikan Kurus: Jalan Pintas atau Risiko Tersembunyi?

Editor

Editor

Related Posts

Suntikan Kurus: Jalan Pintas atau Risiko Tersembunyi?
Berita & Peristiwa

Suntikan Kurus: Jalan Pintas atau Risiko Tersembunyi?

17 minutes ago
Memahami Fungsi Sebenar Jabatan Kecemasan: Antara Nyawa dan Keselesaan
Berita & Peristiwa

Memahami Fungsi Sebenar Jabatan Kecemasan: Antara Nyawa dan Keselesaan

24 minutes ago
Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya
Berita & Peristiwa

Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya

1 hour ago
Vaksin Kayap: Mampukah Menjadi Perisai Baharu Menentang Demensia?
Berita & Peristiwa

Vaksin Kayap: Mampukah Menjadi Perisai Baharu Menentang Demensia?

1 hour ago

Kategori Produk

  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In