23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Monday, September 29, 2025
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Sains di Hujung Jari: Polimer Pembentuk Filem Mencantikkan Kuku

Sains di Hujung Jari: Polimer Pembentuk Filem Mencantikkan Kuku

Editor by Editor
24/10/2024
in Berita & Peristiwa, Kimia, Teknologi & Kejuruteraan
0 0
0

Oleh: ChM. Dr. Farah Hannan Anuar

Pusat Penyelidikan Polimer, Fakulti Sains dan Teknologi, 
Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Pernahkah anda terfikir apa yang menjadikan lapisan pengilat atau pengilat kuku begitu licin, berkilat, dan tahan lama? Di sebalik botol-botol kecil yang penuh dengan warna-warni itu, terdapat penjelasan sains yang menarik, di mana salah satu bahan utama dalam formulasi tersebut ialah polimer. Polimer adalah komponen yang sangat penting dalam menjadikan pengilat kuku efektif dan estetik. Artikel ini akan mengupas peranan polimer sebagai bahan pembentuk filem dalam pengilat kuku dan bagaimana inovasi terkini sedang membawa produk ini ke arah yang lebih mesra alam.

Apa itu Polimer?

Polimer ialah sejenis bahan yang terdiri daripada molekul besar yang terbina daripada unit-unit kecil yang dipanggil monomer. Unit-unit ini bersambung melalui ikatan kimia untuk membentuk struktur panjang. Polimer wujud di sekeliling kita dan kita sering menggunakan polimer dalam kehidupan seharian, sama ada dalam bentuk plastik, fabrik, pelekat, alat tulis dan sebagainya.

Peranan Polimer dalam Pengilat Kuku

Salah satu peranan utama polimer dalam pengilat kuku ialah sebagai bahan pembentuk filem. Selepas pengilat kuku disapukan, pelarut dalam produk tersebut mula menyejat, meninggalkan polimer dan bahan tidak meruap lain untuk membentuk lapisan di atas permukaan kuku. Lapisan ini bukan sahaja melindungi kuku daripada kerosakan, malah memberikan kemasan yang menarik dan warna yang seragam. Tanpa polimer, pengilat kuku tidak akan mampu memberikan hasil yang diinginkan.

Polimer yang paling biasa digunakan dalam formulasi pengilat kuku ialah nitroselulosa, yang merupakan polimer yang berasal dari tumbuhan. Nitroselulosa terkenal dengan sifatnya yang mampu menghasilkan lapisan filem yang licin dan tahan lasak. Selain itu, polimer ini mudah kering, menjadikannya ideal untuk produk kosmetik yang perlu memberikan hasil yang cepat. Nitroselulosa juga memberikan kilauan yang menarik, satu ciri penting yang diharapkan oleh pengguna pengilat kuku.

Kandungan Bahan dalam Pengilat Kuku

Pengilat kuku moden terdiri daripada beberapa bahan utama untuk memberikan prestasi terbaik:

  1. Polimer Pembentuk Filem: Polimer seperti nitroselulosa, dan kopolimer berasaskan vinil dan akrilik membentuk lapisan pelindung yang licin dan tahan lama pada kuku.
  2. Pelarut: Pelarut seperti etil asetat dan butil asetat melarutkan polimer, memudahkan aplikasi. Pelarut akan menyejat selepas pengilat kuku disapu, meninggalkan lapisan keras pada kuku.
  3. Pemplastik: Pemplastik seperti dibutil ftalat dan kamfor meningkatkan fleksibiliti dan mencegah lapisan salutan daripada retak.
  4. Pigmen: Pigmen organik atau logam oksida memberi warna dan kesan estetik seperti matte atau berkilat.
  5. Pengawet dan Penstabil: Penstabil seperti tosilamida dan benzofenon memastikan formulasi tahan lama dan tidak cepat rosak.
  6. Aditif Khas: Sesetengah pengilat kuku mengandungi bahan tambahan untuk kesan visual seperti holografik atau vitamin E untuk penjagaan kuku.

Jenis-jenis Pengilat Kuku

Pengilat kuku kini hadir dalam pelbagai jenis, setiap satunya menawarkan pengalaman dan kesan yang berbeza kepada pengguna. Jenis polimer yang digunakan dalam formulasi juga mempengaruhi ciri-ciri pengilat kuku, seperti ketahanan, fleksibiliti, dan cara ia digunakan serta ditanggalkan. Polimer tertentu memberikan hasil yang lebih tahan lama, manakala yang lain membolehkan kelembapan atau oksigen menembusi kuku. Berikut adalah beberapa jenis utama pengilat kuku:

  1. Pengilat Kuku Tradisional

Pengilat kuku tradisional adalah yang paling banyak digunakan dan memerlukan pelarut khusus aseton atau bukan aseton untuk menanggalkannya. Pengilat kuku jenis ini biasanya mengandungi polimer seperti nitroselulosa yang memberikan lapisan filem yang kuat dan tahan lama.

Kelebihan pengilat kuku konvensional ialah ia memberikan kilauan dan perlindungan yang sangat baik, serta bertahan selama beberapa hari tanpa mudah retak atau terkelupas. Namun, sesetengah orang mungkin tidak menyukai bau pelarut yang kuat dan risiko kerosakan kepada kuku dan kulit yang terlibat dalam proses menanggalkan lapisan tersebut.

  1. Pengilat Kuku Gel

Pengilat kuku gel semakin popular kerana ketahanan dan kilauan yang lebih lama berbanding yang lain. Cecair pengilat kuku jenis ini mengandungi monomer metakrilat dan foto-pemula. Selepas disapu pada kuku, sinaran UV diperlukan untuk lapisan tersebut mengeras, di mana monomer cair bertukar menjadi polimer akrilik yang kukuh dan tahan lasak. Proses ini memberikan kekuatan dan ketahanan pada lapisan pengilat kuku, menjadikannya mampu bertahan lebih lama berbanding pengilat kuku tradisional sehingga beberapa minggu.

Namun, pengilat kuku gel juga memerlukan pelarut kuat atau rendaman dalam aseton untuk ditanggalkan, yang boleh merosakkan kuku jika dilakukan dengan kerap. Walaupun begitu, bagi mereka yang mahukan hiasan kuku yang tahan lama, pengilat kuku gel adalah pilihan yang baik.

  1. Pengilat Kuku Boleh Tanggal

Jenis pengilat kuku ini tidak memerlukan pelarut untuk ditanggalkan. Sebaliknya, ia direka untuk mudah ditarik dari permukaan kuku, seperti membuang lapisan pelekat. Polimer yang digunakan dalam pengilat kuku ini selalunya mempunyai sifat yang lebih elastik dan fleksibel, seperti poli(vinil asetat), poli(vinil butiral), kopolimer etilena dan vinil asetat, membolehkan ia membentuk lapisan yang boleh ditanggalkan tanpa merosakkan kuku di bawahnya.

Pengilat kuku boleh tanggal ini sesuai untuk pengguna yang mahukan pemakaian sementara atau yang kerap menukar warna kuku. Oleh kerana lebih mudah untuk ditanggalkan, lapisan filem yang dibentuk kurang tahan lama berbanding pengilat kuku tradisional dan cenderung untuk terkelupas selepas beberapa hari.

  1. Pengilat Kuku Breathable

Pengilat kuku breathable adalah formula yang membolehkan udara dan kelembapan menembusi lapisan salutan. Polimer yang digunakan dalam pengilat kuku ini seperti kopolimer trimelitik anhidrida, membentuk struktur lapisan berliang halus yang membolehkan molekul oksigen dan wap air bergerak melalui salutan.

Berbeza dengan pengilat kuku tradisional yang membentuk lapisan padat, pengilat kuku breathable menjaga kesihatan kuku sambil memberikan kemasan yang cantik dan tahan lama, dengan risiko melemahkan kuku yang rendah. Namun, kajian mendapati lembapan hanya dapat menembusi salutan jika lapisan yang nipis diaplikasikan pada kuku. Lebih banyak kajian diperlukan untuk untuk memahami sejauh mana pengilat kuku jenis ini berkesan dalam membenarkan penembusan oksigen dan kelembapan.

Kelebihan dan Kelemahan Polimer dalam Pengilat Kuku

Kelebihan utama polimer dalam pengilat kuku ialah kemampuannya untuk membentuk lapisan pelindung yang kuat dan tahan lama. Polimer ini juga mempunyai struktur kimia yang tahan terhadap bahan kimia, menjadikannya ideal untuk melindungi kuku daripada pelbagai elemen seperti minyak, kotoran, dan pendedahan harian kepada bahan kimia. Di samping itu, polimer memberikan fleksibiliti yang diperlukan untuk menahan tekanan yang dikenakan pada kuku tanpa mudah retak, menjadikan lapisan salutan lebih tahan lama walaupun digunakan dalam aktiviti harian.

Namun, penggunaan polimer dalam pengilat kuku tidak terlepas daripada kelemahan. Kebanyakan pengilat kuku mengandungi pelarut organik yang perlu untuk melarutkan polimer semasa formulasi. Pelarut ini boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan dan dalam sesetengah kes, boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan jika terdedah dalam jangka masa panjang. Selain itu, polimer seperti nitroselulosa adalah tidak mudah terurai dalam persekitaran, dan menyumbang kepada masalah pencemaran.

Inovasi Terkini: Polimer Mesra Alam

Seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat tentang impak alam sekitar dan kesihatan manusia, para saintis dan pengeluar kosmetik sedang berusaha untuk mencari alternatif yang lebih mesra alam. Salah satu pendekatan yang sedang mendapat perhatian ialah penggunaan polimer terbiodegradasi dalam formulasi pengilat kuku, yang mampu terurai secara semulajadi tanpa meninggalkan sisa yang mencemarkan alam. Di antara polimer yang sedang dikaji ialah kanji, kitosan dan poli(asid laktik). Beberapa syarikat kosmetik terkemuka juga telah mula memperkenalkan formulasi pengilat kuku yang bebas daripada pelarut berbahaya dan menggunakan polimer berasaskan semula jadi.

Polimer di Sebalik Kecantikan

Di sebalik kecantikan dan kilauan pengilat kuku yang kita gunakan setiap hari, terdapat polimer yang memainkan peranan penting dalam memastikan produk tersebut berfungsi dengan baik. Polimer memberikan pengilat kuku keupayaan untuk membentuk lapisan pelindung yang kuat, fleksibel, berkilat, tahan lama dan mudah digunakan. Namun, dengan peningkatan kesedaran terhadap kesan alam sekitar, masa depan pengilat kuku mungkin akan melihat lebih banyak penggunaan polimer mesra alam yang bukan sahaja memberikan hasil yang sama baik, tetapi juga lebih selamat untuk manusia dan alam. Dengan inovasi dan kemajuan dalam teknologi polimer, kita dapat menjangkakan produk kecantikan yang lebih lestari dan mesra alam pada masa hadapan, semuanya tanpa mengorbankan kecantikan.

Rujukan

El-Sherif, N. I., Shamma, R. N., & Abdelbary, G. (2018). In-Situ Gels And Nail Lacquers As Potential Delivery Systems For Treatment Of Onychomycosis. A Comparative Study. Journal Of Drug Delivery Science And Technology, 43, 253-261.

Kimbrough, S. (2013) Anatomy of Beauty Product : Nail Polish. Beautylish. Diambil daripada https://www.beautylish.com/a/vxgvj/anatomy-of-a-beauty-product-nail-polish.

Sun, C., Koppel, K., & Adhikari, K. (2015). Sensory Factors Affecting Female Consumers’ Acceptability Of Nail Polish. International Journal Of Cosmetic Science, 37(6), 642-650.

Wagle, P. G., Tamboli, S. S., & More, A. P. (2021). Peelable Coatings: A Review. Progress In Organic Coatings, 150, 106005.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Farah Hannan ANuarFSTKimiapengilat kukuPolimer
ShareTweetShare
Previous Post

Serangan Wabak Demam Babi Afrika Gugat Ternakan Babi di Pahang

Next Post

Program 2024 STEM Energizer Chem E-Car with Students Zone Imagination: Mewujudkan Inovasi dalam Pendidikan Sains dan Teknologi Hijau

Editor

Editor

Related Posts

100 Tahun Teori Quantum (1925-2025)
Berita & Peristiwa

100 Tahun Teori Quantum (1925-2025)

6 days ago
Michael Faraday: Nasib Baik atau Kerja Keras?
Berita & Peristiwa

Michael Faraday: Nasib Baik atau Kerja Keras?

7 days ago
Kanser Prostat: Bahaya Senyap Dalam Kalangan Lelaki
Berita & Peristiwa

Kanser Prostat: Bahaya Senyap Dalam Kalangan Lelaki

1 week ago
Transformasi Dari Kulit Krustasea Kepada Kitosan Serba Guna
Berita & Peristiwa

Transformasi Dari Kulit Krustasea Kepada Kitosan Serba Guna

1 week ago
Next Post
Program 2024 STEM Energizer Chem E-Car with Students Zone Imagination: Mewujudkan Inovasi dalam Pendidikan Sains dan Teknologi Hijau

Program 2024 STEM Energizer Chem E-Car with Students Zone Imagination: Mewujudkan Inovasi dalam Pendidikan Sains dan Teknologi Hijau

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
  • Careers
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In