SHAH ALAM, 28 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan satu inisiatif besar dalam usaha melonjakkan Malaysia sebagai hab utama reka cip semikonduktor di rantau ini melalui program latihan jurutera bertaraf antarabangsa yang dikenali sebagai Arm On‑Demand. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global Arm Holdings dari United Kingdom serta Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Program ini menyasarkan latihan kepada 10,000 jurutera tempatan dalam tempoh sepuluh tahun, dengan kumpulan pertama melibatkan 400 peserta yang telah memulakan latihan sejak awal tahun ini. Sasaran tahunan adalah sebanyak 1,000 jurutera, menjadikan ini antara program latihan tenaga mahir terbesar dalam industri cip negara.
Fokus utama latihan ini adalah dalam bidang rekabentuk litar bersepadu (IC) bahagian hadapan (front-end IC design) – satu bidang bernilai tinggi yang sebelum ini banyak dimonopoli oleh negara maju. Latihan dijalankan secara intensif selama tiga hingga empat bulan melibatkan lebih 40 universiti tempatan serta 80 syarikat teknologi dan semikonduktor, sekaligus menjadikan ekosistem latihan ini menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri komited menyalurkan dana antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap tahun, manakala Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi turut menaikkan peruntukan program ini daripada RM60 juta kepada RM100 juta.
“Selangor ingin memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengeluar cip, tetapi juga pemilik reka bentuk dan harta intelek cip tersebut. Inilah masa untuk kita melonjak naik dalam rantaian nilai industri semikonduktor global,” katanya dalam satu kenyataan media.
Program ini juga selari dengan rancangan jangka panjang negara untuk membangunkan syarikat reka cip tempatan, dengan sasaran menghasilkan sekurang-kurangnya 10 syarikat reka cip yang mampu meraih pendapatan tahunan antara USD 1.5 bilion hingga USD 2 bilion setiap satu dalam masa sepuluh tahun akan datang.
Dengan pendekatan baharu ini, Malaysia dijangka beralih daripada sekadar pusat pemasangan semikonduktor kepada pusat inovasi dan pembangunan teknologi berasaskan reka bentuk cip, sejajar dengan gelombang baharu Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.
Program Arm On-Demand membuka lembaran baharu kepada generasi jurutera Malaysia untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri teknologi global – bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta teknologi masa hadapan.
Sumber-Bernama
Foto-BusinessToday




