Penulis: Dr. Nusaibah Sakinah Nordin
Pakar Periodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Ramai orang berasa malu apabila mereka menyedari nafas mereka berbau tidak menyenangkan, terutamanya apabila mereka telah kerap kali menggosok gigi, menggunakan ubat kumur mulut, dan mengelakkan makanan berbau seperti bawang putih atau bawang merah, dan sebagainya. Namun, sesetengah orang berasa malu bukan kerana mereka menyedari nafas mereka berbau, tetapi mungkin kerana ditegur oleh orang lain. Jadi, bagaimana jika masalah itu terus berlarutan tanpa penyelesaian?
Nafas berbau kronik, juga dikenali sebagai halitosis, bukan sekadar masalah kosmetik atau sosial. Ia boleh menjadi tanda amaran penyakit gusi, satu keadaan senyap yang menjejaskan struktur sokongan gigi anda dan boleh menyebabkan kehilangan gigi jika dibiarkan tidak dirawat.
Halitosis: Lebih Daripada Sekadar Bau Mulut
Walaupun benar bahawa sesetengah makanan dan tabiat gaya hidup tertentu boleh menyebabkan nafas berbau buat sementara waktu, lebih 80% kes halitosis berasal dari dalam mulut, dan selalu punca utamanya ialah penyakit gusi (periodontitis). Dalam penyakit gusi, bakteria berkumpul di bawah gusi dan menghasilkan sebatian sulfur meruap {volatile sulfur compound (VSC)}, iaitu bahan kimia yang berbau seperti telur busuk. Bau busuk ini berpunca daripada sebatian tersebut, dan kadangkala ubat kumur mulut pun tidak mampu menghilangkannya.
Apa itu Penyakit Gusi?
Penyakit gusi boleh dibahagikan kepada gingivitis atau periodontitis. Gingivitis ialah jangkitan bakteria kronik pada gusi, manakala periodontitis pula menjejaskan gusi, ligamen, dan tulang yang menyokong gigi anda. Periodontitis sebenarnya bermula dengan gingivitis, dan jika tidak dirawat lebih awal, ia akan menjadi jangkitan yang lebih serius. Lama kelamaan, ia akan menyebabkan:
- Pendarahan gusi
- Bengkak gusi
- Kemerosotan gusi
- Gigi longgar
- Kelesapan tulang
- Pergerakan gigi (tooth drifting)
- Kehilangan gigi
Antara tanda awal periodontitis ialah nafas berbau yang berterusan, biasanya disertai dengan rasa tidak menyenangkan dalam mulut. Namun, kerana penyakit gusi biasanya tidak menyakitkan pada peringkat awal, ramai orang tidak menyedari mereka menghidapnya sehinggalah sudah terlambat.
Saya Gosok Gigi Setiap Hari: Kenapa Nafas Saya Masih Berbau?
Menggosok gigi memang penting, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Penyakit gusi biasanya bermula di kawasan yang berus gigi tidak boleh capai, contohnya celah-celah gigi dan bawah margin gusi anda. Itulah sebabnya menggunakan flos gigi atau berus antara gigi (interdental) secara harian sama pentingnya seperti memberus gigi. Satu lagi faktor yang sering diabaikan ialah lidah. Bakteria dan sisa makanan biasanya terkumpul di bahagian permukaan lidah, membentuk lapisan yang menyumbang besar kepada halitosis. Menggosok lidah setiap hari ialah cara mudah tetapi berkesan untuk menyegarkan nafas dan mengurangkan jumlah bakteria.
Siapa yang Berisiko?
Sesetengah orang lebih cenderung untuk mengalami halitosis dan penyakit gusi berbanding yang lain. Faktor risiko termasuk:
- Merokok atau menghisap vape
- Tabiat menjaga kebersihan mulut yang kurang baik
- Mulut kering (disebabkan oleh ubatan tertentu atau masalah kesihatan)
- Penyakit Kencing Manis
- Kehamilan (disebabkan oleh perubahan hormon)
- Jarang membuat pemeriksaan gigi secara berkala
Keadaan mulut kering menyumbang kepada mulut atau nafas berbau kerana air liur memainkan peranan penting dalam membersihkan sisa makanan dan meneutralkan asid. Apabila aliran air liur berkurangan, bakteria mudah membiak, sekali gus menghasilkan lebih banyak VSC dan menyebabkan nafas lebih berbau.
Ubat Kumur Mulut Bukan Penyelesaian
Walaupun ubat kumur boleh memberikan kesegaran sementara, ia tidak merawat punca sebenar nafas berbau. Bergantung kepada ubat kumur untuk menghilangkan bau tanpa menangani penyakit gusi boleh mengakibatkan masalah menjadi lebih teruk tanpa disedari. Penjagaan gigi oleh profesional adalah penting. Jika halitosis berterusan walaupun dengan penjagaan kebersihan mulut yang baik, berjumpa dengan doktor gigi atau pakar periodontik adalah sangat penting. Langkah-langkah yang biasanya diambil adalah:
penting. Langkah-langkah yang biasanya diambil adalah:
- Pemeriksaan gigi menyeluruh
Untuk menilai kesihatan gusi anda, memeriksa poket periodontal dan kelesapan tulang, serta mengenal pasti pembentukan plak dan karang gigi.
- Penskaleran (scaling) dan pembersihan mendalam (root planing)
Pembuangan plak dan karang gigi yang mengeras dari bawah margin gusi, iaitu pada kawasan yang tidak boleh dicapai dengan berus gigi dan flos. - Penjagaan kebersihan mulut
Menggosok gigi, flos, membersihkan lidah, dan menggunakan alat bantu pembersihan antara gigi yang betul. - Rawatan susulan berkala
Rawatan susulan secara berkala untuk memastikan penyakit gusi terkawal dan mencegahnya dari berulang.
Dalam sesetengah kes, rawatan gusi lanjutan atau rujukan kepada pakar lain seperti pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) atau gastroenterologi mungkin diperlukan jika halitosis berpunca daripada sumber bukan oral.
Cara Menjaga Kesihatan Nafas dan Gusi Anda
Berikut adalah beberapa langkah mengekalkan nafas segar dan mencegah masalah gusi:
- Gosok gigi anda dua kali sehari selama sekurang-kurangnya 2 minit
Guna flos atau berus antara gigi (interdental brush) untuk membersihkan celah-celah gigi
Gosok lidah anda setiap hari - Minum air secukupnya untuk memastikan mulut sentiasa lembap
- Elakkan merokok, menghisap vap, dan mengambil kafein atau alkohol yang berlebihan
Kunjungi doktor gigi anda setiap 6 bulan untuk pemeriksaan dan pembersihan gigi
Nafas Anda Mencerminkan Kesihatan Gusi Anda
Halitosis memang membuatkan orang sekeliling tidak selesa, tetapi yang lebih membimbangkan, ia mungkin menandakan sesuatu yang lebih serius, iaitu jangkitan kronik pada gusi yang akhirnya boleh menyebabkan kehilangan gigi. Dengan diagnosis awal dan rawatan yang tepat, kedua-dua penyakit gusi dan halitosis boleh dicegah dan dikawal. Nafas yang segar bukan sahaja membuatkan anda lebih yakin; tetapi juga menandakan senyuman yang sihat.
Kredit foto-periolife




