Oleh: Dr. Nur Aliah Mohamad Khaduwi¹ & Nurin Izzati Zainol Abidin²
¹’²Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Asplenium nidus, yang juga dikenali sebagai paku langsuyar di Malaysia atau bird’s-nest fern dalam bahasa Inggeris, merupakan salah satu paku epifit tropika yang sering menarik perhatian masyarakat kerana bentuk roset daunnya yang menyerupai sarang burung. Keunikan morfologi ini bukan sahaja memberikan nilai estetika yang tinggi sehingga ia sering dijadikan tanaman hiasan, malah turut memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan tropika sebagai penangkap bahan organik dan air hujan (Hietz & Briones 1998). Dalam konteks budaya tempatan, nama “paku langsuyar” mencerminkan kaitannya dengan kepercayaan masyarakat Melayu yang mengaitkan tumbuhan ini dengan alam ghaib, menjadikannya sebahagian daripada pengetahuan tradisional selain kegunaannya dalam landskap hortikultur moden (Zhang et al. 2010).
Selain fungsi ekologi dan nilai estetikanya, A. nidus juga menarik minat penyelidik kerana keupayaannya beradaptasi dalam pelbagai keadaan habitat hutan tropika yang teduh dan lembap. Kajian eko-fisiologi menunjukkan bahawa spesies ini memiliki mekanisme unik untuk menampung dan mengekalkan kelembapan pada pangkal rosetnya, yang membolehkan mikroorganisma kecil dan bahan organik terperangkap, sekali gus menyumbang kepada kesuburan mikrohabitat epifit (Martin et al. 2004). Mekanisme adaptasi ini turut mempengaruhi kelangsungan hidupnya dalam ekosistem hutan hujan yang berlapis, menjadikannya spesies penting bagi kajian interaksi tumbuhan dengan persekitaran tropika (Zhang et al. 2019).
Dimensi Botani
Dari sudut botani, Asplenium nidus tergolong dalam famili Aspleniaceae dan genus Asplenium. Spesies ini telah dinamakan oleh Carl Linnaeus pada tahun 1753 melalui karyanya Species Plantarum (Muhaimin 2021). Kajian morfologi dan filogenetik mendapati bahawa walaupun spesies A. nidus kelihatan serupa secara luaran, terdapat variasi genetik signifikan yang menunjukkan kewujudan spesies kriptik dalam kompleks A. nidus (Yatabe et al. 2001). Habit bagi spesies ini biasanya epifit dan litofit yang mana sering dijumpai hidup atas batang pokok besar atau permukaan batu di hutan hujan tropika. Daun spesies ini tunggal, besar dan membentuk roset menyerupai corong yang mampu mencapai diameter hingga dua meter, sementara sporangiumnya pula tersusun di sepanjang peruratan bawah daun bagi memudahkan penyebaran spora (Martin et al. 2004).
Dari segi taburan, A. nidus tersebar luas di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, serta Australia Utara dan kepulauan Pasifik seperti Hawai’i (Muhaimin 2021). Faktor persekitaran seperti kelembapan tinggi, pencahayaan rendah, dan kestabilan struktur penumpang (pokok atau batu) mempengaruhi kelimpahan dan taburannya di hutan hujan rendah (Hietz & Briones 1998). Selain itu, kajian Fayle et al. (2009) mendapati bahawa seni bina kanopi turut memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan A. nidus di habitat tiga dimensi hutan hujan. Spesies ini didapati mampu tumbuh di semua aras kanopi, menunjukkan adaptasinya terhadap keadaan panas dan kering di kanopi atas serta celah kanopi. Sebaliknya, spesies dari genus yang sama seperti Asplenium phyllitidis lebih cenderung ditemui di aras bawah kanopi yang lebih lembap dan teduh, menandakan pembahagian habitat yang jelas antara kedua-dua spesies tersebut. Kehadiran A. nidus yang meluas, khususnya di kawasan hutan dengan kanopi rapat dan gangguan antropogenik yang minimum, menekankan pergantungannya terhadap iklim mikro hutan yang stabil. Dalam kajian saintifik, A. nidus sering menjadi penunjuk kesihatan ekosistem tropika yang penting yang menjadi salah satu komponen utama dalam pemeliharaan biodiversiti epifit hutan hujan.
Dimensi Sosial
Dalam konteks masyarakat, paku langsuyar atau Asplenium nidus bukan sekadar tumbuhan hutan tropika, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial, budaya, dan spiritual komuniti setempat. Di Asia Tenggara, khususnya dalam kalangan masyarakat pedalaman, tumbuhan ini sering dikaitkan dengan kepercayaan tradisional sebagai simbol perlindungan dan kesejahteraan rumah tangga (Lee-Khoo & Guan Fong 2016). Bentuk rosetnya yang menyerupai sarang burung memberikan makna simbolik yang mendalam, mencerminkan kestabilan, kesuburan, dan keseimbangan hidup. Dalam beberapa upacara tradisional, daun paku langsuyar digunakan sebagai elemen dekoratif atau pelengkap ritual bagi menarik keberkatan dan menghalau semangat jahat.
Di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung dan etnik peribumi di Sabah dan Sarawak, A. nidus juga mempunyai nilai etnobotani tersendiri. Misalnya, daun mudanya pernah digunakan sebagai pembalut makanan tradisional dan dipercayai mempunyai sifat penyejuk yang digunakan dalam perubatan tradisional ringan, seperti untuk meredakan demam atau luka kecil. Dalam kepercayaan masyarakat Iban di Sarawak, tumbuhan epifit seperti paku langsuyar dikaitkan dengan roh hutan, dan keberadaannya di sekitar rumah panjang dianggap sebagai tanda hubungan harmoni dengan alam (Muhd Arif Shaffiq et al. 2017).
Selain itu, budaya Jepun dan Hawaii turut menganggap A. nidus sebagai lambang pembaharuan hidup dan tenaga positif yang membawa keberkatan (Myers 2024). Hal ini selari dengan pandangan Naomi (2025) yang menekankan bahawa corak pertumbuhan rosetnya melambangkan keseimbangan dan penyembuhan emosi, menggalakkan kesedaran diri serta ketenangan dalaman. Nilai ini memperkukuh hubungan spiritual manusia dengan alam, di samping memupuk rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan biodiversiti. Oleh itu, A. nidus bukan sahaja penting sebagai tumbuhan hiasan, tetapi juga sebahagian daripada warisan budaya dan sosial yang mencerminkan keterhubungan manusia dengan alam sekitar serta identiti masyarakat tempatan.
Dimensi Ekonomi
Paku langsuyar merupakan antara tumbuhan yang tidak asing lagi dalam industri nurseri, malah sangat terkenal sebagai tumbuhan hiasan yang sering digunakan dalam landskap dalaman. Keistimewaannya terletak pada bentuk roset daunnya yang besar dan menarik, serta keupayaannya untuk hidup subur dalam persekitaran yang teduh dan lembap. Namun, nilai ekonominya bukan hanya terhad kepada aspek estetik. Dalam bidang perubatan tradisional, A. nidus telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan (Ibrahim & Japri 2015). Juliasih dan Adnyana (2023) melaporkan bahawa A. nidus termasuk dalam sembilan spesies paku pakis yang dikenal pasti mempunyai manfaat perubatan tradisional. Kandungan kimianya seperti saponin, alkaloid, flavonoid dan tanin membolehkannya digunakan untuk merawat demam, kelemumur, luka serta sebagai tonik selepas bersalin. Selain itu, kajian oleh Ulfa et al. (2023) membuktikan bahawa A. nidus kaya dengan flavonoid, termasuk gliricidin-7-O-hexosida dan quercetin-7-O-rutinosida, yang berpotensi sebagai antibakteria dan antioksidan semula jadi. Bahagian yang digunakan termasuk fron matang dan pucuk muda. Kaedah penggunaannya adalah pelbagai, seperti ditumbuk halus untuk disapu pada kepala, dilumatkan dan ditampal pada luka atau bengkak, atau direbus untuk diminum sebagai rawatan tradisional bagi demam, batuk, sakit kepala, dan ulser (Ulfa et al. 2023).
Paku langsuyar bukan sekadar tumbuhan epifit yang lazim ditemui di hutan hujan tropika, tetapi merupakan spesies yang memiliki kepentingan ekologi, budaya, dan ekonomi yang tersendiri. Bentuk rosetnya yang unik bukan sahaja memberikan nilai estetika yang tinggi, malah berfungsi sebagai mikrohabitat penting bagi pelbagai organisma kecil yang menyumbang kepada kestabilan ekosistem. Kepelbagaian fungsi dan keistimewaan Asplenium nidus membuktikan bahawa setiap spesies tumbuhan memainkan peranan yang kompleks dan signifikan dalam persekitarannya.
Sebagai tanaman hiasan, sumber perubatan tradisional, dan penunjuk kesihatan ekosistem hutan, A. nidus melambangkan hubungkait yang erat antara alam dan kehidupan manusia. Pemeliharaan spesies ini bukan sahaja penting bagi mengekalkan keunikan biodiversiti hutan tropika, tetapi juga untuk memastikan kesinambungan nilai ekologi dan warisan budaya yang terkandung di dalamnya serta dapat dilihat oleh generasi akan datang. Pendekatan pemuliharaan bersepadu terhadap spesies ini wajar diberi perhatian bagi menyokong kelestarian ekosistem hutan hujan tropika secara menyeluruh.
Kredit foto-uforest[dot]org
Rujukan
Fayle, T.M., Chung, A.Y.C., Dumbrell, A.J., Eggleton, P. & Foster, W.A. 2009. The effect of rain forest canopy architecture on the distribution of epiphytic ferns (Asplenium spp.) in Sabah, Malaysia. Biotropica 41(6): 676–681.
Hietz, P. & Briones, O. 1998. Correlation between water relations and within-canopy distribution of epiphytic ferns in a Mexican cloud forest. Oecologia 114(3): 305–316.
Ibrahim, N. & Japri, N.A.B. 2015. Kepelbagaian kulat endofit daripada Asplenium nidus. Malaysian Applied Biology Journal 44(1): 147–153.
Juliasih, N.K.A. & Adnyana, I.M.D.M. 2023. Utilization of Pteridophyta species in Cyathea Park, Bali, as traditional medicine agents: A field study and meta-synthesis review. Notulae Scientia Biologicae 15(2): 11522-11522.
Lee-Khoo & Guan Fong. 2016. Bird’s-nest fern. Singapore Infopedia. Available at: https://www.nlb.gov.sg/main/article-detail?cmsuuid=847049dd-f02e-40e2-8ee1-1dd03be92504 [Dicapai 28 July 2025].
Martin, C.E., Lin, T.-C., Hsu, C.-C., Lin, S.-H., Lin, K.-C., Hsia, Y.-J., & Chiou, W.-L. 2004. Ecophysiology and plant size in a tropical epiphytic fern, Asplenium nidus, in Taiwan. International Journal of Plant Sciences 165(1): 65–72.
Myers, C. 2024. Unlocking the bird’s nest fern spiritual meaning: Growth, renewal, and healing insights. Spiritual Ark. https://spiritualark.com/bird-s-nest-fern-spiritual-meaning/ [Dicapai 27 Julai 2025].
Muhaimin, M. 2021. Asplenium nidus L. Aspleniaceae. In: Franco, F.M. (ed.), Ethnobotany of the Mountain Regions of Southeast Asia. Springer, Cham. pp. 1–8.
Muhd Arif Shaffiq Sahrir, S.., Japar Sidik Bujang, B. & Muta Harah, Z. 2017. Utilization of wild plants by local communities. Conference Paper. Universiti Brunei Darussalam 1st Graduate Student Research 2010.
Naomi. 2025. 11 spiritual meanings of birds nest fern. Divine Symbolism. https://divinesymbolism.com/11-spiritual-meanings-of-birds-nest-fern/ [Dicapai 27 Julai 2025].
Ulfa, S.W., Nabila, A.P., Tambunan, N.S., Siregar, R. & Sinaga, S.A. 2023. Identifikasi tumbuhan paku (Pterydophyta) yang dimanfaatkan sebagai tumbuhan obat di daerah Sumatera Utara. Innovative: Journal Of Social Science Research 3(3): 2290-2304.
Yatabe, Y., Masuyama, S., Darnaedi, D., & Murakami, N. 2001. Molecular systematics of the Asplenium nidus complex from Mt. Halimun National Park, Indonesia: Evidence for reproductive isolation among three sympatric rbcL sequence types. American Journal of Botany 88(8): 1517–1522.
Zhang, L., Nurvianto, S., & Harrison, R. 2010. Factors affecting the distribution and abundance of Asplenium nidus L. in a tropical lowland rain forest in Peninsular Malaysia. Biotropica 42(4): 464–469.
Zhang, J., Liu, L., Shu, J.P., Jin, D.M., Shen, H., Chen, H.F., Zhang, R., & Yan, Y.H. 2019. Transcriptomic evidence of adaptive evolution of the epiphytic fern Asplenium nidus. International Journal of Genomics 2019(1): 1429316.




