Temuramah Ekslusif oleh Editorial MajalahSains
Penyertaan Malaysia dan OceanX Mission 2024 mencatatkan sejarah baharu dalam dunia penyelidikan marin negara. Buat pertama kalinya, saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi kepercayaan untuk menyertai misi eksplorasi oseanografi paling canggih di dunia bersama OceanX iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang terkenal dengan gabungan teknologi, penyelidikan dan komunikasi sains bertaraf global.
Beroperasi dari kapal OceanXplorer, misi ini bukan sekadar penerokaan dasar laut semata-mata. Ia melibatkan kerja-kerja saintifik berimpak tinggi, penggunaan teknologi canggih seperti kapal selam dan dron bawah laut, serta kolaborasi merentas sempadan untuk memahami ekosistem lautan yang belum pernah diterokai sepenuhnya.
Misi selama 16 hari ini dijalankan di perairan Pahang dan sekitar Pulau Tioman, melibatkan kerjasama antara OceanX, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan New York University Abu Dhabi (NYUAD), serta ditaja oleh Dalio Philantropies.
Antara pencapaian utama misi ini termasuk pemetaan lebih 350 km² dasar laut perairan Pahang, penemuan yang luas, aplikasi AI dalam aktiviti pemantauan kesihatan terumbu karang (ReefCloud), pemerhatian populasi besar ikan lumba-lumba Indo-Pacific Bottlenose Dolphin (Tursiops aduncus), serta penubuhan 16 stesen pemantauan jangka panjang untuk kajian pengasidan laut dan pemetaan Isoscape.
Dalam temubual eksklusif ini, MajalahSains berpeluang mendekati sosok penting negara dalam misi berprestij ini, Profesor Madya Dr. Maizah M. Abdullah, Ketua Penyelidik Malaysia bagi OceanX Mission 2024. Kami menyingkap pengalaman beliau, cabaran di lautan, tahap kesiapsiagaan saintis Malaysia dalam bidang eksplorasi lautan, dan nasihat beliau kepada generasi muda yang ingin menjadikan lautan sebagai medan ilmu dan bakti.

Pertama sekali, tahniah diucapkan atas pencapaian ini. Boleh Dr. kongsikan apakah makna penyertaan dalam OceanX Mission 2024 ini kepada diri Dr secara peribadi, dan juga kepada institusi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT)?
Penyertaan dalam OceanX Mission 2024 merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan membuka dimensi baharu kepada saya secara peribadi, dan juga kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengalaman mengemudi kumpulan penyelidik seramai 25 orang untuk bekerja bersama krew OceanXplorer yang datang dari pelbagai negara dengan kepakaran yang tinggi dalam bidang masing-masing merupakan satu peluang yang turut mencabar kekuatan mental dan fizikal saya secara peribadi.
Pengalaman ini juga menyedarkan saya bahawa sains bukan hanya tentang kemahiran saintifik dan analisis, tetapi juga tentang disiplin, komunikasi, dan jaringan global yang memungkinkan penyelesaian berskala besar dalam menghadapi cabaran sejagat.
Bagi UMT, penyertaan dalam misi ini merupakan satu lonjakan besar ke peringkat antarabangsa. Ia menunjukkan bahawa universiti kita bukan sahaja mampu berdiri sama tinggi dengan institusi global, tetapi juga mampu menyumbang secara aktif dalam misi saintifik bertaraf dunia.
Ini secara langsung meningkatkan profil UMT sebagai hab penyelidikan marin serantau dan membuka ruang kolaborasi yang lebih luas dengan pemain global dalam bidang sains kelautan. Apatah lagi apabila kumpulan penyelidik UMT mendapat pujian dari segi disiplin, koordinasi pasukan dan kemahiran di lapangan oleh pihak OceanX.
Selain itu, ia juga memberi inspirasi kepada para pelajar dan penyelidik muda di UMT bahawa mereka juga berpotensi untuk terlibat dalam projek besar seperti ini jika mereka terus berusaha dan membina kepakaran.
Bagaimana pengalaman berada di atas kapal penyelidikan tercanggih dunia, OceanXplorer? Apakah rutin harian atau aktiviti utama yang dilaksanakan oleh pasukan saintis sepanjang misi ini?
Selain dari aset penyelidikan dan media yang lengkap dan canggih, tempoh dua minggu berada di atas OceanXplorer juga mendedahkan saya dengan budaya kerja baharu, khususnya dari segi disiplin masa dan kecekapan koordinasi kerja secara berpasukan. Setiap hari penyelidik perlu bersedia sepenuhnya sebelum waktu kerja bermula, dengan berpakaian kemas dan sesuai dengan aktiviti yang akan dijalankan.
Selaku ketua penyelidik, saya akan memastikan pasukan bersedia sepenuhnya dengan mengadakan mesyuarat pelarasan aktiviti pada setiap petang, bagi membincangkan sebarang permasalahan serta perancangan aktiviti untuk keesokan harinya. Selesai mesyuarat bersama penyelidik tempatan, perbincangan untuk briefing dan debriefing akan dibuat bersama seluruh pasukan dan staf teknikal OceanXplorer bagi membincangkan aktiviti yang telah berlangsung pada hari tersebut, seterusnya memutuskan perancangan aktiviti untuk keesokan hari.
Manakala pelarasan terakhir perlu dibuat bersama ketua-ketua unit dan kapten, dan penyelidik tempatan diwakili oleh saya di ruangan anjungan (bridge) kapal. Ini adalah pelarasan terakhir yang mengambil masa hanya sekitar 10-15 minit pada setiap pukul 7:00 malam, bagi mendapatkan kelulusan penuh kapten berkaitan aktiviti yang telah dirancang untuk keesokan harinya.
OceanX Mission sering digambarkan sebagai misi eksplorasi lautan paling canggih di dunia. Apakah perbezaan ketara yang Dr. rasakan berbanding dengan ekspedisi biasa yang dijalankan di perairan Malaysia?
Kesediaan aset penyelidikan khusus kepada bidang biologi marin membuatkan ekspedisi ini sangat bermakna kepada penyelidik biologi marin yang menyertai Misi Malaysia 2024. Kebiasaan ekspedisi pelayaran saintifik marin yang disertai sebelum ini menggunakan aset peralatan bagi mengambil sampel di dasar laut, sampel air mahupun sampel plankton. Namun peralatan canggih seperti Remotely Operated Vehicle (ROV) yang berkemampuan untuk beroperasi secara langsung sedalam sehingga 6000 meter, dengan dilengkapi kamera dari pelbagai arah serta mampu untuk membuat pengukuran saiz organisma dan fokus (zoom) bagi tujuan identifikasi. ROV ini juga mampu untuk mengambil sampel yang disasarkan termasuk organisma bentik di dasar laut.
Selain itu, satu lagi keistimewaan OceanXplorer adalah kemudahan makmal pengekstrakan DNA. Makmal ini lengkap dan membolehkan penyelidik membuat proses ekstrak, penulenan dan penjujukan secara terus selepas sampel diambil menggunakan sistem penjujukan GridION dan PromethION dari Oxford Nanopore Technologies dan disiapkan terus semasa masih berada di lautan.
Sepanjang menyertai misi ini, apakah antara penemuan atau pengalaman lapangan yang paling mengujakan dan memberi kesan mendalam kepada Dr?
Sepanjang misi berlangsung setiap hari merupakan cabaran baru yang mengujakan bagi semua penyelidik. Namun secara peribadi, perasaan saya sebagai ahli biologi marin sangat teruja apabila menyaksikan secara langsung ROV diturunkan ke dasar laut pada kedalaman 70-80 meter, dan menerokai habitat karang mesofotik yang ada di perairan kita. Pelbagai jenis spesies biodiversiti bentik marin yang tidak pernah dilihat sebagaimana biasa di kawasan habitat terumbu karang cetek dapat dilihat dan dikaji sewaktu penerokaan ROV ini berlangsung. Pengalaman ini sungguh bermakna khususnya kepada penyelidik dan pensyarah untuk dikongsikan kepada pelajar dalam bidang biologi marin di UMT.


Setiap ekspedisi lautan pasti menuntut ketahanan fizikal dan mental. Apakah cabaran paling mencabar yang dihadapi oleh Dr dan pasukan ketika berada dalam misi ini, sama ada dari segi teknikal, logistik, atau psikologi?
Perasaan pertama kali menaiki helikopter bagi membuat pemantauan kehadiran haiwan megafauna marin di perairan Malaysia memberi pengalaman baharu dan luar biasa kepada saya. Perasaan berbelah bahagi dan sedikit ketakutan ada sebelum menaiki pesawat namun setleha mendapat orientasi keselamatan saya berjaya menamatkan aktiviti kajian tersebut, dapati pengalaman menjalankan ‘aerial survey’ amat mengujakan, namun pada masa yang sama mencabar kekuatan psikologi.
Ia juga menyedarkan saya bahawa walaupun penyelidik tempatan mempunyai keupayaan aset atau kewangan yang terhad, namun kita masih mampu melaksanakan kajian yang berimpak tinggi jika berkolaborasi dengan rakan organisasi yang sesuai.

Dari sudut kesiapsiagaan, bagaimana tahap keupayaan saintis Malaysia ketika menyertai pasukan antarabangsa ini? Apakah kelebihan yang kita bawa, dan apakah ruang yang perlu terus ditambah baik?
Kumpulan penyelidik Malaysia wajar diberikan pujian kerana telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dari segi kemahiran, kecekapan serta koordinasi pasukan yang baik, sebagaimana yang diakui dan diberikan pujian oleh pihak OceanX.
Pengalaman semasa misi 2024 telah banyak membuka dimensi baharu berkenaan skop penyelidikan yang boleh diteroka oleh penyelidik Malaysia. Dengan itu, kami berharap agar peluang mengadakan kerjasama bersama OceanX dapat diteruskan dan kualiti penyelidikan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang ditambah baik untuk memberi impak yang signifikan bukan hanya kepada bidang akademik tetapi kepada pembangunan sains lautan serta usaha konservasi negara.
Dalam konteks pendidikan dan inspirasi, apakah pesanan Dr. kepada pelajar sekolah menengah atau pelajar universiti yang bercita-cita menjadi saintis marin? Mungkin Dr. boleh kongsikan latar pendidikan Dr. dahulu.
Saya amat menggalakkan pelajar untuk menerokai bidang sains marin khususnya bidang biologi marin. Negara amat memerlukan kumpulan bakat yang lebih besar dalam mendepani cabaran menguruskan sumber lautan negara terutamanya apabila Malaysia sedang bersedia ke arah ekonomi biru.
Latar belakang pendidikan bukanlah penghalang untuk menceburkan diri dalam bidang ini, kerana sikap yang positif, berani serta minat yang mendalam akan sudah tentu akan menjanjikan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Akhir sekali, apakah harapan Dr. kepada kerajaan, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum dalam menyokong penyelidikan sains marin dan menjaga kelestarian ekosistem marin kita?
Saya berharap agar kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan agensi berkaitan dapat memberikan sokongan yang lebih menyeluruh terhadap penyelidikan sains marin, khususnya dalam aspek penerokaan lautan secara mendalam. Lautan merupakan ekosistem yang kompleks dan sukar diakses, memerlukan teknologi canggih serta kepakaran multidisiplin untuk memahaminya dengan lebih baik. Oleh itu, saya menyeru agar kita memperkukuh keupayaan teknologi tempatan dan memperluas kerjasama strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.
Melalui usaha bersama ini, Malaysia bukan sahaja dapat meneroka kekayaan khazanah marin secara lestari, malah mampu merangka dasar pengurusan sumber laut yang lebih berkesan dan berasaskan sains. Institusi pengajian tinggi pula perlu berperanan sebagai pusat kecemerlangan dalam melatih generasi baharu saintis marin serta menjadi pemacu inovasi dalam bidang ini. Manakala masyarakat umum juga harus diberdayakan melalui pendidikan dan kesedaran agar mereka turut memainkan peranan dalam menjaga kelestarian ekosistem marin, yang akhirnya menyumbang kepada kesejahteraan negara dan dunia.


Kredit gambar:
[1] OfficialUMT Media Kreatif
[2]Izwandy Idris




