Oleh : Profesor Dr. Aweng A/L Eh Rak
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
Kawasan tanah lembap merupakan kawasan yang kaya dengan biodiversiti. Selain menjadi rumah bagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan, samada hidupan darat atau hidupan air, ia juga bertindak sebagai penapis kelodak semula jadi sebelum kelodak sampai ke sungai dan mencemarkan sungai. Kawasan tanah lembap ini juga boleh bertindak sebagai takungan gas karbon serta pengeluar gas oksigen. Bukan itu sahaja, mereka juga bertindak sebagai kolam takungan air banjir semulajadi untuk mengawal banjir ketika hujan lebat. Secara umumnya masyarakat memahami bahawa kawasan tanah lembap merupakan kawasan yang dipenuhi dengan air sama ada secara kekal atau bermusim dan di dalamnya terdapat tumbuhan dan haiwan. Justeru, sejak zaman dahulu lagi, masyarakat kampung bergantung kepada kawasan tanah lembap untuk kelangsungan hidup mereka. Mereka mendapat sumber kayu api untuk memasak, ulaman tradisional sebagai makanan, ikan sebagai sumber protein dan paling penting mereka mendapat ubatan tradisional untuk merawat penyakit. Sesetengah tumbuhan ubatan tradisional ini sangat sensitif terhadap perubahan, sama ada pencemaran atau gangguan habitat yang sering berlaku, sekiranya eksploitasi yang tidak terkawal berleluasa. Apabila keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja menyebabkan kehilangan spesies tumbuhan ubatan tradisional yang digunakan oleh masyarakat kampung malah boleh menjejaskan pengetahuan tradisi generasi baharu, lama kelamaan penggunaan ubatan tradisional ini hilang buat selama-lamanya. Justeru, tinjauan ini dijalankan bagi mendapatkan data tentang jenis-jenis tumbuhan ubatan tradisional yang terdapat di dalam kawasan tanah lembap serta menilai kesan dan tahap gangguan habitat yang berlaku yang akhirnya membawa kepada cadangan pewartaan untuk melindungi kawasan tanah lembap. Kawasan Tanah Lembap Tok Bali yang terletak di Jajahan Pasir Putih di negeri Kelantan telah dipilih untuk tinjauan ini. Tumbuhan ubatan tradisional telah dikumpulkan dan dibuat pengecaman oleh saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Data-data ini amat penting dan diperlukan bagi tujuan mewartakan kawasan ini sebagai kawasan perlindungan.
Di dalam kawasan tinjauan, iaitu Tanah Lembap Tok Bali, sepuluh spesies tumbuhan ubatan telah dikenal pasti. Famili yang pertama ialah Araceae, terdapat dua spesies dikenal pasti iaitu Colocasia esculenta dan Pistia stratiotes). Sementara famili kedua pula ialah Cyperaceae, juga terdapat dua spesies di kenal pasti iaitu Eleocharis ochrostachys dan Lepironia articulate. Famili ketiga yang ditemui dalam kawasan tinjauan ialah Loranthaceae yang juga terdapat dua spesies iaitu Dendrophthoe pentandra dan Helixanthera cylindrical. Famili keempat pula ialah Lygodiaceae dan hanya satu spesies sahaja ditemui di dalam kawasan tinjauan iaitu Lygodium microphyllum. Seterusnya, famili yang kelima yang ditemui ialah Melastomataceae yang juga mencatatkan satu spesies iaitu Melastoma malabathricum. Famili keenam yang ditemui dalam kawasan tinjauan ialah Myrtaceae yang terdiri dari satu spesies iaitu Melaleuca cajuputi dan famili yang terakhir ialah Phyllanthaceae yang juga hanya satu spesies ditemui iaitu Antidesma ghaesembilla. Sebilangan besar kawasan ini dilitupi oleh tumbuhan daripada spesies Melaleuca cajuputi (Gelam) manakala spesies lain tidak banyak ditemui, ini mungkin disebabkan oleh aktiviti manusia. Bukti ganguan manusia ini juga boleh dilihat kepada kehadiran beberapa jenis rumpai air di dalam kawasan tinjauan.
Araceae ialah tumbuhan berbunga monokotil yang tersebar di seluruh dunia, tetapi paling biasa ditemui di negara-negara di bahagian tropika. Sementara, di Semenanjung Malaysia, terdapat kira-kira 28 genera dengan 140 spesies telah didokumenkan. Selain daripada untuk tujuan perubatan, Araceae juga biasa digunakan sebagai hiasan serta makanan alternatif. Semasa tinjauan dibuat, dua spesies Araceae telah ditemui di dalam kolam di kawasan tanah lembap iaitu Colocasia esculenta atau keladi Cina dan Pistia stratiotes atau kiambang. Daripada kajian yang dijalankan oleh saintis sebelum ini, keladi Cina atau biasa dipanggil “taro” atau “cocoyam” banyak digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti asma, arthritis, cirit-birit, pendarahan dalaman, gangguan saraf dan gangguan kulit. Selain itu, kajian oleh saintis sebelum ini juga mendapati bahawa kiambang mengandungi metabolit sekunder iaitu alkaloid, glikosida, flavonoid, dan fitosterol yang biasanya digunakan untuk merawat ulser, disentri, sifilis, gangguan buah pinggang, ekzema, demam, jangkitan bakteria usus dan kusta.
Sementara Cyperaceae pula, adalah merupakan tumbuhan akuatik yang mempunyai rupa fizikal seperti rumput. Tumbuhan ini tumbuh secara meluas di kawasan tropika. Daripada 106 genera dan 5, 387 spesies yang telah dibuat pengecaman, dua spesies telah ditemui di dalam kawasan tinjauan, iaitu Eleocharis ochrostachys atau rumput purun dan Lepironia articulate atau kercut. Kebiasaanya kedua-dua spesies ini tumbuh dalam kawasan yang sama, wujud bersama dan saling berkait antara satu sama lain. Kehadiran tumbuhan ini di dalam kawasan kolam boleh membantu menjernihkan air kerana selain daripada berfungsi sebagai tumbuhan herba, kedua-dua spesies ini juga berperanan sebagai penapis air (phytoremediation). Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai bahan mentah untuk penghasilan produk bagi tujuan pengkomersialan seperti pembuatan bakul, tikar dan barang kraftangan yang lain. Kajian oleh penyelidik sebelum ini melaporkan kedua-dua tumbuhan ini mempunyai sebatian fenolik dan asid specific phenolic; asid vanillic dan asid trans-p-coumaric yang boleh bertindak sebagai antikanser, menggalakkan sistem imun, anti-radang, dan memberi perlindungan kulit daripada sinaran UV.
Tumbuhan mistletoe (Loranthaceae) yang biasa dikenali sebagai ‘dedalu’ merupakan salah satu tumbuhan ubatan yang digunakan oleh penduduk tempatan sebagai herba tradisional. Dalam tinjauan di Tanah Lembap Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, dua spesies Loranthaceae telah dikenal pasti iaitu Dendrophthoe pentandra, dan Helixanthera cylindrical. Penyelidikan saintifik melaporkan tumbuhan ini mempunyai sifat antioksidan, antibakteria, antikanser, antiproliferatif, antidiabetik, dan anti-penuaan. Justeru, ekstrak D. pentandra biasanya digunakan untuk merawat batuk, kencing manis, hipertensi dan penyakit kanser. Disamping itu, ia juga selalu digunakan untuk merawat penyakit kulit, kudis kecil, batuk, selepas bersalin, hipertensi, merawat kencing manis, tonsillitis, merawat tekanan darah tinggi, penyakit kronik, dan gangguan imunologi. Sementara, H. cylindrica pula digunakan untuk merawat penyakit kulit, luka, dan ulser.
Lygodium adalah satu-satunya genus kepunyaan keluarga Lygodiaceae, pakis memanjat dengan kira-kira 40 spesies telah dibuat pengecaman. Semasa tinjauan dibuat, Lygodium microphyllum atau dikenali sebagai selada atau ribu-ribu kecil atau meribu didapati tumbuh di dalam semak, dan selalunya memanjat pada tumbuhan lain. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa, suku kaum Murut dari Sabah menggunakan air rebusan daunnya untuk merawat dysentery dan masalah kulit, manakala, masyarakat Indonesia menggunakan tumbuhan ini untuk merawat demam dan batu karang. Kajian saintifik oleh penyelidik sebelum ini menunjukkan ekstrak L. microphyllum secara signifikannya mempunyai ciri-ciri anti-radang, antipyretic, antidiarrheal, dan antihelmintic.
Melastomataceae adalah antara 10 keluarga tumbuhan berbunga yang terbesar, ia terdiri daripada kira-kira 173 genera dan 5, 858 spesies yang telah dibuat pengecaman. Kebanyakan ahli yang tergolong dalam keluarga ini dikategorikan sebagai herba dan pokok renek. Di dalam kawasan tinjauan ditemui spesies Melastoma malabathricum yang juga dikenali sebagai senduduk. Pokok ini merupakan salah satu tumbuhan ubatan yang telah digunakan sejak berkurun lamanya oleh penduduk tempatan untuk merawat cirit-birit, dysentery, penyembuhan luka, rawatan selepas bersalin, keputihan, sakit gigi, sakit perut, dan buasir. Juzuk kimia, dan sifat farmakologi spesies ini didapati mengandungi antinociceptive, anti radang, penyembuhan luka, antidiarrheal, cytotoxic, dan aktiviti antioxidant.
Sementara Myrtaceae pula, terdiri daripada kira-kira 121 genera yang tersebar di sekitar kawasan tropika dan subtropika. Genus Melaleuca adalah spesies pokok yang paling dominan dijumpai di dalam kawasan Tanah Lembap Tok Bali. Ciri-ciri kulitnya yang ditutupi dan disaluti dengan beberapa lapisan kulit kayu yang mempunyai sifat fizikal seperti kertas telah melindungi spesies ini daripada terkena api apabila berlaku kebakaran. Daripada pemerhatian yang dibuat di kawasan Tanah Lembap Tok Bali, didapati spesies Melaleuca cajuputi mendominasi keseluruhan kawasan. M. cajuputi menunjukkan aktiviti antioksidan, antimikrobial, dan anti-radang kerana kandungan flavonoid dan fenolik yang tinggi. Sementara, minyak pati daripada ekstrak M. cajuputi pula digunakan untuk merawat kekejangan perut, batuk, jerawat, gigitan serangga, selsema, bronkitis, gejala selsema, dan keradangan membran mukus saluran pernafasan dan masalah infeksi kulat pada bahagian mulut dan badan. Ianya juga selalunya digunakan untuk laxatives, merehatkan otot dan sedatives.
Phyllanthaceae adalah keluarga pokok renek berbunga, terdapat kira-kira 60 genera dengan 2, 000 spesies yang telah dibuat pengecaman. Antidesma adalah salah satu genera kepunyaan keluarga ini. Semasa tinjauan, satu spesies telah dikenal pasti iaitu, Antidesma ghaesembilla, yang tumbuh di kawasan sekitar takungan air di dalam kawasan Tanah Lembap Tok Bali dan kolam takungan ini merupakan sumber air minuman kepada hidupan liar terutama semasa musim kemarau. Kajian saintifik yang dijalankan oleh penyelidik sebelum ini mendapati tumbuhan ini mempunyai, antioksidan, antikanser, hypoglycemic, anxiolytic, sedative, cytotoxic, antithrombotic dan antibakteria. Manakala, kegunaan perubatan spesies ini pula adalah untuk merawat sakit kepala, demam, batuk, rheumatism, herpes simplex, kencing manis, untuk merangsang aliran haid, dan pengeluaran susu ibu.
Jadual 1 menunjukkan ringkasan tumbuhan ubatan yang dikenal pasti daripada kawasan Tanah Lembap Tok Bali. Sepanjang tiga hari tempoh tinjauan, 10 spesies tumbuhan ubatan daripada 7 keluarga berjaya dikumpulkan.
Tinjauan ini berjaya menemu dan merekodkan sepuluh spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan tinggi yang digunakan secara turun temurun oleh masyarakat di Malaysia amnya dan masyarakat di negeri Kelantan khasnya. Penemuan ini membuktikan bahawa tanah lembap menyimpan khazanah bumi yang sangat bernilai yang bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tetapi juga menjadi sumber kepada penyelidik menjalankan penyelidikan yang lebih berfokus pada masa akan datang. Penemuan yang diperolehi ini juga boleh dijadikan sebagai asas kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkuasa Negeri untuk merangka Pelan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Tanah Lembap bagi memastikan khazanah yang sangat bernilai ini tidak pupus dek gangguan manusia. Ini kerana aktiviti manusia seperti perubahan gunatanah, penebangan hutan dan pembakaran hutan merosakkan ekosistem tanah lembap sekaligus menyebabkan tumbuhan herba yang sangat bernilai ini pupus. Keberadaan flora adalah sangat penting untuk mengekalkan kepelbagaian biologi satu-satu kawasan hutan, tetapi eksploitasi berlebihan dan amalan tidak mapan menyebabkan kemerosotan hutan yang sekaligus memberi kesan langsung kepada tumbuhan ubatan yang berada di dalam kawasan tersebut. Sepuluh spesies yang direkodkan ini merupakan tumbuhan ubatan yang tersedia dan boleh diperolehi dengan mudah oleh masyarakat kampung bagi kegunaan harian mereka dalam menjaga kesihatan dan merawat penyakit. Kelebihan ini perlu dimanfaatkan oleh masyarakat sekitar secara optima. Selain itu, aktiviti masyarakat yang tidak membantu dalam mengekalkan kepelbagaian biologi di dalam kawasan tanah lembap juga patut dihentikan terutama pembakaran hutan. Ini kerana pembakaran hutan menyebabkan kehilangan biodiversiti sehingga menjejaskan kepelbagaian spesies tumbuhan yang berpotensi untuk dijadikan tumbuhan ubatan. Oleh itu, pengecaman dan perekodan kepelbagaian tumbuhan herba di dalam kawasan tanah lembap adalah sangat penting bagi memastikan ilmu tradisi ini dapat dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Kredit foto-saponaria[dot]com