Oleh Dr. Ummu Atiqah binti Mohd Roslan
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Aku membesar dengan nombor, tidur dengan formula, dan bernafas dengan logik. Matematik bukan sekadar subjek, tetapi sebati dalam nadi yang menggerakkan hidupku. Sejak kecil, aku menyusun angka seperti bermain lego, tak pernah jemu. Arwah datuk, gembala lembu, boleh hafal semua nombor pelanggan, mungkin dari situ aku mewarisi bakat ini.
Aku sentiasa skor A subjek Matematik baik semasa UPSR dan juga SPM. Bila masuk program sarjana muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), aku cuba lari daripada matematik, tetapi tidak berjaya, mungkin sudah takdir dan jodohku dengan matematik. Kemudian aku sambung Master dan PhD pun dalam bidang matematik, lebih spesifik lagi bidang Sistem Dinamik.
Ramai orang tanya aku termasuk mat saleh di United Kingdom (masa tu sambung PhD di sana), ramai kagum dengar aku buat PhD dalam bidang matematik. Bagi aku, tiada apa yang pelik, semua ni adalah ilmu Allah, orang lama-lama panggil ilmu ni ilmu hisab.
Tapi siapa sangka, jalan hidup yang dipenuhi simbol dan persamaan akhirnya membawa aku menyelam jauh ke dasar laut, bertemu penyu yang sedang bertarung untuk terus hidup. Dari bilik kuliah ke pantai terpencil di Pulau Redang, begitulah Matematik membawaku masuk ke dunia konservasi yang tak pernah aku bayangkan.
Universiti Berfokus Marin
Walaupun aku anak jati Terengganu, sejujurnya tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Nama UMT langsung tidak berada dalam senarai impianku. Aku bayangkan masa depanku akan ditentukan di kota besar, jauh dari kampung halaman. Tapi Tuhan lebih tahu. Takdir membawaku ke sebuah kampus yang terletak di pinggir pantai, dan dari situlah segalanya bermula.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki di UMT, aku terus jatuh hati. Bayu laut yang menyapa setiap pagi, pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas dari tingkap asrama, dan suasana damai kampus menjadikan pengalaman belajar di sini sesuatu yang luar biasa. UMT bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi membuka ruang untuk mengenal alam, diri sendiri, dan erti kehidupan. Aku mula tertanya-tanya, apakah yang menjadikan lautan begitu istimewa? Mengapa ramai begitu terpesona dengan kehidupan marin? Soalan-soalan itu membakar rasa ingin tahu dalam diriku.
Maka, pada tahun pertama pengajian, aku mengambil keputusan luar jangka dengan mendaftar kelas selam scuba sebagai kursus elektif. Tahun 2006 itu, aku menjadi satu-satunya pelajar jurusan Matematik dalam kelas yang penuh dengan pelajar Biologi Marin dan Perikanan. Tapi itu yang membuatkan pengalaman ini lebih manis. Walaupun berlainan latar, kami berkongsi keterujaan yang sama untuk menjelajah dunia bawah laut.
Salah satu detik paling berharga ialah semasa mengikuti program Survival Laut dan Penghayatan Warisan di Pulau Bidong, stesen penyelidikan utama UMT. Kami merupakan kumpulan pertama yang dihantar ke sana dan pengalaman itu membuka dimensi baharu tentang bagaimana alam boleh menjadi guru yang paling hebat. Kini, tahun 2025 menandakan genap sedekad aku berkhidmat sebagai pensyarah di UMT, sejak menamatkan pengajian PhD pada tahun 2015. Dan sejak 2019, langkah kakiku mula mendekati satu lagi keajaiban ciptaan Tuhan, dunia konservasi penyu, yang kini semakin dekat di hati dan menjadi sebahagian daripada jalan ilmuku.
Stesen Penyelidikan Alami Penyu
Minatku terhadap dunia konservasi penyu mula berkembang seiring dengan keterujaanku terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh Sea Turtle Research Unit (SEATRU), yang berpangkalan di Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang. Apa yang benar-benar menarik perhatian aku bukan hanya pada fokus mereka terhadap penyelidikan, tetapi bagaimana mereka menjadikan dunia konservasi ini sebagai satu matlamat hidup dan perjuangan yang berterusan.
Yang membuat aku terus terpikat ialah keterbukaan mereka untuk berkongsi. Para penyelidik di SEATRU tidak hanya menjalankan kajian secara senyap di makmal atau menulis jurnal akademik, mereka turun sendiri ke pantai setiap malam, berlantaikan pasir berbumbungkan langit, mengawasi ibu penyu bertelur, dan menyelamatkan anak-anak penyu yang tersesat. Mereka juga menjadi tenaga penggerak kepada pelbagai program pendidikan awam, dari kanak-kanak sekolah hinggalah pelancong luar negara.
Sepanjang bersama SEATRU di lapangan, aku dapat rasakan satu perkara yang jelas iaitu keghairahan mereka, passion! Dan di sinilah aku mula memahami makna sebenar seorang ahli akademik iaitu bukan sekadar mengajar atau menulis jurnal ilmiah, tetapi menjadi penyampai ilmu yang hidup, yang berjiwa, dan yang memberi kesan kepada alam serta manusia.
Sejak itu, aku mula membawa rakan-rakan akademik dan Profesor Pelawat dari pelbagai latar, termasuk bidang Matematik, untuk melihat sendiri keunikan Stesen Penyelidikan Alami Penyu (SPAP) di Chagar Hutang. Aku percaya, usaha konservasi seperti ini tidak boleh berdiri dengan satu disiplin sahaja. Ia memerlukan gabungan pelbagai bidang ilmu, dari biologi, matematik, sosiologi, kejuruteraan, sehinggalah kepada pendidikan dan komunikasi massa.
Bermula 2021, aku sendiri giat menjalankan penyelidikan berkaitan dinamik populasi penyu. Antara aktiviti lapangan yang memberi makna besar kepada data yang aku kumpulkan ialah apabila kami diberi peluang menggali sarang penyu yang hampir matang, kira-kira 45 hari selepas proses persarangan oleh ibu penyu. Dari situ, kami mencatat bilangan telur yang menetas, bilangan anak penyu yang masih tertinggal di dalam sarang, dan jumlah telur yang tidak berjaya menetas akibat jangkitan kulat. Bagi orang lain, ini mungkin sekadar aktiviti pengiraan. Tapi bagi aku, ini adalah titik pertemuan paling indah antara nombor dan kehidupan.
Permodelan Matematik Kitaran Hidup Penyu
Kenapa perlu memodelkan kitaran hidup penyu ini? Persoalan ini sering muncul apabila aku berkongsi penyelidikan dengan rakan-rakan dari luar bidang Matematik. Ramai yang menyangka pemodelan matematik hanyalah sekadar permainan angka atau rumusan di atas kertas. Tapi sebenarnya, pemodelan matematik adalah satu alat penting dalam memahami dunia sebenar terutamanya apabila kita berhadapan dengan sistem yang kompleks dan sukar diramal secara terus.
Dalam istilah mudah, pemodelan matematik ialah proses menterjemahkan satu fenomena dunia nyata, contohnya perubahan populasi penyu diterjemahkan ke dalam bentuk persamaan, graf, dan simbol yang boleh dianalisis. Dengan pemodelan, kita tidak perlu menunggu 50 tahun untuk melihat sama ada populasi penyu akan meningkat atau pupus. Sebaliknya, kita boleh membuat simulasi dan ramalan berdasarkan data yang kita miliki hari ini.
Model ini boleh diumpamakan seperti peta. Jika kita ingin menuju ke destinasi tertentu, kita perlukan peta untuk tunjukkan jalan. Dalam konteks penyelidikan, model matematik ialah ‘peta’ yang membantu kita memahami arah tuju populasi penyu berdasarkan pelbagai faktor seperti kadar penetasan telur, ancaman pemangsa, atau perubahan suhu pasir akibat pemanasan global.
Di Chagar Hutang, kami mempunyai akses kepada data jangka panjang yang amat berharga termasuk bilangan telur yang ditetaskan, kadar kematian anak penyu, dan jumlah kehadiran ibu penyu ke pantai saban tahun. Data-data ini kemudiannya ditapis dan dianalisis untuk mendapatkan nilai parameter seperti kadar pertumbuhan, kadar kematian, atau kadar pemangsaan. Nilai-nilai inilah yang menjadi input kepada model matematik.
Dengan bantuan model ini, kami dapat menjawab pelbagai soalan kritikal: Adakah bilangan penyu akan stabil jika ancaman pemangsa meningkat? Berapa banyak anak penyu perlu bertahan setiap musim bagi memastikan populasi dewasa tidak menurun? Apa yang berlaku jika suhu sarang meningkat dua darjah akibat perubahan iklim? Semua soalan ini sukar dijawab dengan pemerhatian semata-mata, tetapi dengan pemodelan matematik kita bukan sahaja boleh menjawab, malah boleh menguji pelbagai senario ‘apa akan jadi jika’.
Membina Jambatan Ilmu untuk Masa Depan Penyu
Setiap data yang dikutip di lapangan, sama ada bilangan telur, suhu pasir, atau kadar kelangsungan anak penyu sebenarnya datang daripada kerja keras dan pengorbanan yang bukan kecil. Para ahli biologi marin ini bukan sekadar mengutip data secara rutin; mereka bermalam di pantai saban malam, menyingsing lengan dalam hujan atau panas, sentiasa bersedia menyambut kehadiran penyu pada bila-bila masa.
Sejak itu, aku mula melihat data dengan cara yang berbeza. Ia bukan lagi sekadar titik dalam graf atau pemboleh ubah dalam persamaan, namun ia adalah suara penyu, jejak kehidupan yang sunyi dan perlahan tetapi penuh makna. Apabila diterjemahkan melalui pemodelan matematik, data itu seolah-olah boleh ‘bersuara’ dan memberi kita amaran tentang ancaman yang mendatang, menunjukkan harapan melalui pola pemulihan, dan membimbing langkah-langkah pemuliharaan yang lebih berkesan.






Mengenai Penulis:
Dr. Ummu Atiqah binti Mohd Roslan merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau juga merupakan Felo Penyelidik Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT. Bidang kepakaran beliau merangkumi sistem dinamik dan pemodelan ekologi, khususnya dalam aplikasi matematik terhadap isu-isu alam sekitar dan konservasi. Beliau aktif menjalankan penyelidikan rentas disiplin, termasuk pemodelan populasi hidupan marin, serta terlibat dalam kerjasama bersama penyelidik bidang pelancongan, oseanografi dan sosioekonomi. Beliau boleh dihubungi melalui ummuatiqah@umt.edu.my
#KitaJagaPenyuKita
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dari Universiti Malaysia Terengganu bagi mengangkat usaha-usaha penyelidikan dan konservasi penyu negara. Sila layari https://seatru.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.