23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Thursday, July 10, 2025
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

HARI PENYU SEDUNIA: Lima Fakta Menarik Mengenai Penyu

HARI PENYU SEDUNIA: Lima Fakta Menarik Mengenai Penyu

Editor by Editor
15/06/2025
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Oleh: Tuan Mustaqim Rosdan dan Mohd Uzair Rusli
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

PERTAMA: Penyu Sudah Wujud Sejak Zaman Dinosaur

Penyu telah wujud sejak jutaan tahun lalu, jauh lebih awal daripada manusia, dan pernah berkongsi dunia ini dengan dinosaur. Walaupun dinosaur telah pupus kira-kira 65 juta tahun lalu akibat hentaman asteroid, penyu terus bertahan merentasi zaman ais, perubahan aras laut, dan pergolakan iklim bumi. Daya tahan ini menjadikan penyu simbol keampuhan evolusi, makhluk yang berjaya menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran alam semula jadi selama jutaan tahun.

Namun yang menyedihkan, ancaman yang kini mengancam kelangsungan hidup penyu bukan lagi datang daripada alam, tetapi daripada manusia sendiri. Aktiviti perikanan tidak lestari, seperti penggunaan pukat hanyut dan pukat tunda yang menyebabkan penyu lemas sebagai tangkapan sampingan (bycatch), telah menyumbang kepada kematian ribuan ekor penyu setiap tahun. Pemburuan penyu secara haram demi mendapatkan daging dan telur untuk dijual secara komersial pula menghakis populasi secara senyap tetapi berterusan. Di samping itu, perubahan iklim yang semakin ketara telah menambah tekanan ke atas spesis ini. Suhu permukaan laut global telah mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah moden pada tahun 2024, sekali gus memberi kesan kepada habitat, jantina anak penyu, dan peratusan kejayaan anak-anak penyu untuk menetas.

Ironinya, setelah berjaya menempuh pelbagai cabaran semula jadi selama jutaan tahun, penyu kini hampir tewas di tangan makhluk yang dikurniakan akal iaitu manusia. Maka tanggungjawab untuk menyelamatkan penyu bukan lagi pilihan, tetapi satu amanah bersama agar legasi purba ini tidak lenyap dalam sejarah akibat kelalaian generasi kita.


KEDUA: Penyu Sentiasa Pulang ke Pantai Asalnya untuk Bertelur

Salah satu keajaiban paling luar biasa dalam dunia haiwan ialah kebolehan penyu betina untuk kembali bertelur di pantai tempat asal mereka menetas. Walaupun telah mengembara ribuan kilometer merentas lautan terbuka selama bertahun-tahun, penyu akan kembali ke pantai asal dan mengulanginya di pantai yang sama pada setiap kali sampai musim bertelur. Fenomena ini dikenali sebagai ‘natal homing’, dan ia masih belum difahami sepenuhnya oleh sains moden.

Kajian menunjukkan bahawa penyu mampu mengesan medan magnetik bumi yang unik pada setiap lokasi, seolah-olah mereka merekod koordinat geomagnetik pantai kelahiran mereka ketika menetas dan menyimpannya dalam sistem navigasi biologi semula jadi. Lebih menakjubkan, anak-anak penyu yang menetas akan terus berenang ke lautan terbuka tanpa bimbingan atau penjagaan daripada induk mereka, dan hanya akan kembali sebagai penyu dewasa kira-kira 20 hingga 30 tahun kemudian.

Namun, keajaiban ini sedang terancam. Pantai-pantai yang dahulunya menjadi lokasi tradisi bertelur kini semakin terhakis akibat gelombang besar, pembangunan tidak terkawal, dan pencemaran cahaya daripada resort dan lampu jalan yang mengganggu orientasi penyu. Tanpa pantai yang bersih, sunyi, dan stabil, penyu kehilangan tempat untuk menyambung warisan hidup mereka. Jika kita gagal memelihara garis pantai kita hari ini, kita bukan sahaja kehilangan kawasan rekreasi atau sumber ekonomi pelancongan, tetapi juga memadam jejak pulang penyu yang telah diukir sejak zaman purba.


KETIGA: Jantina Anak Penyu Ditentukan oleh Suhu Pasir Pengeraman

Tidak seperti manusia dan kebanyakan haiwan lain, jantina anak penyu tidak ditentukan oleh genetik, tetapi oleh suhu pasir tempat telur dieramkan. Jika suhu pasir mencecah tahap tinggi biasanya melebihi 29.5°C, kebanyakan anak penyu yang menetas akan menjadi betina. Sebaliknya, jika suhu lebih rendah, anak jantan lebih cenderung dihasilkan. Ini menjadikan penyu sebagai salah satu spesis yang sangat terdedah kepada perubahan iklim, khususnya pemanasan global yang secara langsung mempengaruhi nisbah jantina dalam populasi mereka.

Apa yang berlaku kepada penyu belimbing (Dermochelys coriacea) di Rantau Abang suatu ketika dahulu adalah satu pengajaran pahit yang wajar dikenang dan dijadikan iktibar. Pada tahun 2017, dua ekor penyu belimbing yang naik bertelur di Rantau Abang telah menghasilkan beratus-ratus biji telur, tetapi kesemuanya gagal menetas. Pemeriksaan menunjukkan tiada satu pun telur tersebut yang berjaya membentuk embrio. Ini memberi petunjuk yang amat menggerunkan iaitu tiada sperma jantan yang bersenyawa di dalam telur tersebut. Ini dipercayai akibat ketiadaan penyu jantan dalam populasi iaitu bukti kesan langsung ketidakseimbangan jantina yang berpunca daripada suhu pengeraman telur yang terlalu panas sejak puluhan tahun.

Insiden ini bukan lagi amaran tetapi ia adalah bukti bahawa krisis sedang berlaku. Dan kesannya tidak terhad kepada satu lokasi atau spesis sahaja. Hari ini, di seluruh dunia, semakin banyak kawasan pengeraman dan spesis penyu lain turut menunjukkan pola yang membimbangkan. Majoriti penetasan menghasilkan penyu betina sahaja, dan ini memberi tekanan besar kepada masa depan populasi.

Maka penyelamatan penyu tidak cukup sekadar dengan memelihara pantai atau melepaskan anak penyu ke laut. Ia perlu berpaksikan ilmu sains yang terkini. Kita memerlukan lebih ramai ahli biologi marin, pakar iklim, pengurus habitat dan penggubal dasar yang memahami ekologi penyu secara menyeluruh. Sains yang tepat adalah asas kepada tindakan yang bijak.

KEEMPAT: Penyu Penjaga Kestabilan Ekosistem Marin

Penyu sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam keseimbangan ekosistem laut. Dalam istilah ekologi, penyu dikenali sebagai spesis kunci atau ‘keystone species’ kerana kehadiran mereka menyokong kestabilan banyak bahagian lain dalam ekosistem marin. Sekiranya penyu pupus, kesannya akan berantai dan membawa kemusnahan besar kepada kehidupan laut, termasuk sumber makanan manusia.

Sebagai contoh, penyu agar yang dikenali dengan nama saintifik Chelonia mydas merupakan satu-satunya spesis penyu yang makan tumbuhan ketika dewasa. Makanan utamanya adalah rumput laut. Penyu agar membantu menjaga kawasan padang rumput laut supaya tidak tumbuh terlalu tebal dan mati. Rumput laut yang sihat menjadi kawasan pembiakan dan perlindungan penting untuk anak-anak ikan, udang dan ketam. Tanpa penyu agar, rumput laut akan terbiar, rosak dan kehilangan fungsinya sebagai tapak asuhan semula jadi bagi spesis yang menjadi sumber rezeki nelayan dan bekalan makanan kita.

Penyu belimbing pula memainkan peranan yang sama penting tetapi dengan cara berbeza. Spesis ini memakan ubur-ubur, terutamanya yang hidup secara berkelompok dalam jumlah besar. Sekiranya penyu belimbing berkurangan, populasi ubur-ubur akan meningkat secara mendadak. Ubur-ubur pula memakan plankton dan larva ikan, termasuk telur-telur ikan yang terapung di laut. Apabila jumlah ubur-ubur meningkat melampau, telur-telur ikan akan dimakan sebelum sempat menetas. Ini akan menyebabkan bilangan ikan dewasa berkurangan dan akhirnya menjejaskan bekalan ikan untuk manusia.

Jadi, siapa yang berani kata penyu tiada kaitan dengan kehidupan kita? Ketiadaan penyu bukan sahaja merosakkan alam, tetapi boleh menggugat keselamatan makanan manusia. Dalam era yang semakin mencabar dari segi bekalan protein dan sumber laut yang mampan, melindungi penyu bermakna kita sedang melindungi sumber makanan masa depan rakyat.

Melindungi penyu bukan sekadar satu usaha konservasi, ia adalah langkah strategik untuk menjamin masa depan. Jika kita mahu anak-anak kita masih mampu menikmati hasil laut yang segar, maka kita perlu bertindak hari ini. Penyu perlu terus hidup agar laut terus subur. Dan laut yang subur akan terus memberi sumber makanan kepada manusia.

KELIMA: Hanya Seekor daripada 1,000 Anak Penyu Mencapai Dewasa

Setiap musim bertelur, seekor penyu betina mampu menghasilkan kira-kira seribu biji telur. Ini kerana dalam satu pusingan musim bertelur, penyu tidak hanya bersarang sekali. Penyu akan naik ke pantai secara berkala dan bertelur antara lima hingga sepuluh kali, dengan setiap sarang mengandungi sekitar 80 hingga 120 biji telur. Bagi penyu agar misalnya, proses ini berlaku dalam tempoh beberapa minggu, dan keseluruhan aktiviti bersarang akan mengambil masa hampir dua bulan.

Namun, di sebalik angka yang besar itu, kenyataannya amat menyedihkan. Hanya sebahagian kecil daripada telur-telur ini yang akan berjaya menetas, dan lebih kecil lagi yang mampu bertahan untuk menjadi penyu dewasa. Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu, bukan semua telur akan berjaya menetas walaupun dieramkan di lokasi semula jadi. Sebahagian daripada telur rosak akibat suhu tidak stabil, kelembapan berlebihan, atau jangkitan kulat dan bakteria.

Anak-anak penyu yang menetas pula tidak serta-merta selamat. Mereka perlu menggali pasir dari kedalaman sekitar 70 hingga 100 cm untuk sampai ke permukaan. Proses ini memerlukan tenaga yang besar bagi anak penyu yang masih belum pernah melihat cahaya. Sebaik sahaja tiba di permukaan, mereka terdedah kepada pemangsa seperti ketam, biawak dan burung laut. Cabaran tidak berakhir di situ kerana apabila memasuki air, mereka masih perlu berenang dengan pantas untuk keluar dari kawasan cetek yang dipenuhi pemangsa seperti ikan yu sirip hitam dan kerapu. Di Pantai Chagar Hutang, Santuari Penyu yang diuruskan oleh Universiti Malaysia Terengganu, dianggarkan kira-kira 36% anak penyu dimakan oleh pemangsa marin dalam tempoh beberapa jam pertama sahaja selepas memasuki laut.

Bayangkan, daripada seribu telur yang dihasilkan, mungkin hanya satu anak penyu yang berjaya membesar menjadi induk dewasa dan kembali semula ke pantai untuk bertelur semula selepas 20 hingga 30 tahun. Oleh itu, setiap seekor penyu dewasa adalah hasil perjuangan hidup yang luar biasa. Kehilangan seekor induk dewasa bukan sekadar kehilangan seekor haiwan marin, ia adalah kehilangan berpuluh tahun masa, ribuan telur yang berpotensi, dan kesinambungan generasi.

Jika kita menemui penyu dewasa yang mati, kita perlu melihatnya bukan sekadar tragedi, tetapi satu tanda amaran. Kematian itu perlu dikaji, puncanya diselidik, dan langkah pencegahan diambil agar kes yang sama tidak berulang. Sama ada ia akibat perlanggaran bot, terperangkap dalam jaring nelayan, termakan plastik atau kesan suhu laut yang tinggi, setiap kehilangan perlu mengajar kita sesuatu.

Mengenai Penulis:

Tuan Mustaqim Rosdan merupakan Pengurus Konservasi di Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan konservasi penyu, khususnya di Santuari Penyu Chagar Hutang, Pulau Redang. Sebagai ahli biologi marin dan penggiat media kreatif, Mustaqim aktif memanfaatkan teknologi digital dan penceritaan visual untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pemuliharaan marin. Beliau juga merupakan penggerak awal projek Ocean HOPE UMT, yang bermatlamat meningkatkan tahap literasi lautan nasional. Beliau boleh dihubungi melalui tuan.mustaqim@gmail.com 

Prof. Madya Dr. Mohd Uzair Rusli merupakan Ketua Penyelidik di Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Berpengalaman dalam bidang pemeliharaan haiwan marin, pendidikan konservasi dan dasar pengurusan sumber laut. Beliau komited meningkatkan tahap literasi lautan nasional sebagai satu usaha menangani cabaran lautan ketika ini. Beliau boleh dihubungi melalui uzair@umt.edu.my

 

#KitaJagaPenyuKita

*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dari Universiti Malaysia Terengganu bagi mengangkat usaha-usaha penyelidikan dan konservasi penyu negara. Sila layari https://seatru.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Dr. Mohd Uzair Rusliekosistem marinfakta penyuHARI PENYU SEDUNIASea Turtle Research Unit (SEATRU)Tuan Mustaqim RosdanUMT
ShareTweetShare
Previous Post

HARI LAUTAN SEDUNIA: Dunia Tersembunyi Karang Mesofotik di Lautan Dalam

Next Post

HARI PENYU SEDUNIA: Aku, Matematik dan Penyu

Editor

Editor

Related Posts

Tanah Liat Lembut: Cabaran, Punca dan Penyelesaian Mampan dalam Sektor Pembinaan dan Pertanian di Malaysia
Alam Semulajadi

Tanah Liat Lembut: Cabaran, Punca dan Penyelesaian Mampan dalam Sektor Pembinaan dan Pertanian di Malaysia

4 days ago
Plastik Terbiodegradasi Pilihan Mesra Alam untuk Masa Depan
Alam Semulajadi

Plastik Terbiodegradasi Pilihan Mesra Alam untuk Masa Depan

6 days ago
Ancaman Patogen Selepas Bencana Banjir: Peranan Komuniti dan Kesihatan Planet
Berita & Peristiwa

Ancaman Patogen Selepas Bencana Banjir: Peranan Komuniti dan Kesihatan Planet

6 days ago
Memperkukuh Pengetahuan STEM di Kalangan Murid Dalam Suasana Yang Menyeronokkan
Berita & Peristiwa

Memperkukuh Pengetahuan STEM di Kalangan Murid Dalam Suasana Yang Menyeronokkan

7 days ago
Next Post
HARI PENYU SEDUNIA: Aku, Matematik dan Penyu

HARI PENYU SEDUNIA: Aku, Matematik dan Penyu

Kategori Produk

  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
  • Careers
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In