Oleh: Prof Madya Dr. Tan Chun Hong (James)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Setiap kali kita berbicara tentang keindahan terumbu karang, minda kita terus membayangkan landskap berwarna-warni di kawasan cetek yang disinari cahaya matahari. Namun, tersembunyi jauh di bawah permukaan laut sana, terdapat sebuah dunia yang masih kabur daripada pengetahuan umum: terumbu karang mesofotik.
Terumbu karang mesofotik bukanlah satu penemuan yang baharu. Ianya telah lama wujud, namun kurang dikaji kerana keterbatasan manusia untuk meneroka laut yang gelap dan berkedalaman melebihi 30 meter. Berbanding terumbu karang di kawasan cetek yang hidup di persekitaran yang menerima sinaran cahaya matahari, batu karang di kawasan mesofotik telah menyesuaikan diri dengan pencahayaan yang minimum. Walaupun biodiversitinya tidak setinggi terumbu karang cetek, namun ekosistem ini menyimpan banyak rahsia-rahsia menarik dan mempunyai potensi yang besar untuk kelangsungan kehidupan marin.


Mengapa Karang Mesofotik Penting?
Mesofotik mungkin kedengaran asing, tetapi peranannya dalam ekosistem laut adalah sangat signifikan. Salah satu kelebihan besar ekosistem ini adalah kemampuannya untuk menjadi ‘refugia’ atau tempat perlindungan semulajadi kepada terumbu karang cetek yang rosak akibat daripada tekanan haba yang menyebabkan kejadian kelunturan batu karang. Dengan bertambahnya kedalaman laut, suhu air juga akan semakin menurun. Oleh itu, batu karang di zon mesofotik cenderung untuk kurang terjejas oleh perubahan suhu air laut.
Lebih menarik, terumbu karang mesofotik juga berpotensi menyumbang kepada pemulihan populasi terumbu karang cetek melalui bekalan larva dari kawasan lebih dalam. Ini membuka peluang yang besar dalam strategi pemuliharaan, di mana kita bukan sahaja perlu memberikan perhatian kepada terumbu karang yang mudah dilihat, tetapi juga ekosistem yang jauh tersembunyi di bawah air.
Walau bagaimanapun, potensi ini bukanlah jaminan mutlak. Hal ini kerana, terdapat kajian saintifik yang menunjukkan bahawa kesan haba yang ekstrem akibat daripada fenomena pemanasan global masih boleh menembusi kedalaman ini, menyebabkan tekanan haba dan kelunturan batu karang mesofotik juga boleh berlaku. Maka, pemahaman yang lebih mendalam melalui kajian saintis tempatan adalah amat diperlukan terutamanya di perairan Malaysia.
Untuk mengkaji terumbu karang mesofotik bukanlah tugas yang mudah. Kedalaman melebihi 30 meter melangkaui had selaman skuba rekreasi biasa (contohnya Open Water Diver, <18 meter) yang memerlukan latihan serta peralatan khas. Setiap penyelaman teknikal ini menuntut kos yang tinggi dan risiko keselamatan yang besar. Oleh itu, ramai saintis juga kini beralih kepada teknologi seperti Remote Operated Vehicle (ROV) dan Autonomous Underwater Vehicle (AUV) untuk menjalankan kajian tanpa kehadiran manusia secara langsung. Namun, teknologi ini juga memerlukan pelaburan yang besar. Di tambah pula batu karang mesofotik memerlukan analisis DNA dan teknik makmal lanjutan, kerana kurangnya pengenalpastian bagi spesies pada kedalaman ini.

Harapan Baharu Melalui Inovasi
Perkembangan teknologi terkini telah banyak membantu membuka tirai dunia mesofotik. Kamera bawah air beresolusi tinggi, sonar pemetaan, serta sistem pengimejan 3D semakin kerap digunakan. Tambahan pula, kecerdasan buatan (AI) mula memainkan peranan penting dalam mengautomasikan klasifikasi jenis karang dan menganalisis corak perubahan habitat berdasarkan data jangka masa panjang.
Gabungan di antara teknologi tinggi dan pengurusan data raya (big data) memberikan peluang kepada saintis untuk melihat gambaran yang lebih holistik tentang bagaimana ekosistem mesofotik ini berfungsi, dan berinteraksi dengan ekosistem marin yang lain.


Antara penemuan paling menarik dalam penyelidikan pasukan saya di Universiti Malaysia Terengganu adalah strategi kelangsungan hidup batu karang pada persekitaran yang ekstrem, serta penemuan beberapa spesis baharu yang unik kepada zon ini. Keadaan habitat yang masih belum disentuh oleh manusia menjadikan ekosistem ini umpama arkib semulajadi yang menunggu untuk diterokai.
Kepada adik-adik dan pelajar yang berminat menjadi pakar terumbu karang atau ahli biologi marin, nasihat saya kekalkan rasa ingin tahu dan semangat untuk menjelajah. Hari Lautan Sedunia bukan sekadar satu sambutan, tetapi ianya satu peringatan bahawa lautan kita terlalu luas untuk difahami secara cetek. Terumbu karang mesofotik hanyalah salah satu contoh bagaimana masih banyak rahsia lautan yang belum kita selami. Dengan ilmu, teknologi, dan rasa bertanggung jawab, kita sama-sama mampu mengenali dan melindungi lautan yang penuh keajaiban ini.
Mengenai penulis:
Prof Madya Dr. Tan Chun Hong (James) merupakan penyelidik dalam bidang ekologi terumbu karang di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) serta pensyarah program Biologi Marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau memiliki kepakaran dalam kajian pembiakan batu karang, ekologi terumbu karang, perubahan iklim marin serta pemetaan habitat. Beliau boleh dihubungi melalui email: tanchunhong@umt.edu.my
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.





