Penulis: Profesor Madya Dr. Suvik Assaw
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Selama ini tanah bencah sering dianggap sebagai kawasan ‘tanah mati’ kerana berlumpur, tidak produktif, dan juga merupakan sarang penyakit. Namun di sebalik persepsi itu, tersembunyi satu hakikat luar biasa iaitu tanah bencah sebenarnya menyimpan khazanah bioaktif yang berpotensi menjadi ubat pada masa depan.
Ramai tidak mengetahui tanah bencah merupakan salah satu ekosistem yang paling produktif dan kaya biodiversiti di dunia. Didefinisikan sebagai kawasan di mana air bertakung secara kekal atau bermusim yang dipenuhi sama ada air tawar, payau, mahupun air laut. Sifatnya yang unik ini menjadikan tanah bencah menyediakan perkhidmatan ekosistem yang sangat penting kepada kawasan sekelilingnya seperti penapisan air, penstabilan garis pantai, kawalan banjir, penyerapan karbon, serta menyediakan habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Di Malaysia, tanah bencah pantai memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi yang melindungi pesisir pantai daripada hakisan dan ribut tropika, di samping menyokong mata pencarian komuniti setempat melalui perikanan dan ekopelancongan. Salah satu contoh tanah bencah semulajadi yang terkenal di Malaysia dan terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ialah Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) di daerah Setiu, Terengganu.
Tanah Bencah Setiu terdiri daripada tiga lembangan sungai yang bertemu dan membentuk sebuah lagun berterusan sepanjang 14 km dan membentuk tanah bencah yang unik, terdiri daripada sungai, muara, tasik, kawasan paya air tawar, hutan paya bakau, kawasan pesisir pantai, serta padang rumput laut (seagrass beds). Ekosistem ini menjadi habitat kepada pelbagai spesis yang jarang ditemui, termasuk penyu, tuntung, burung hijrah, ketam bakau, buaya, pelbagai lagi spesis ikan, moluska, serta tumbuhan akuatik. Kawasan ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan akuakultur tradisional seperti penternakan tiram dan ikan sangkar, serta menjadi tapak kajian biodiversiti yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Bagi melindungi ekosistem semulajadi unik ini, Setiu Wetland telah diletakkan di bawah pengurusan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN).


Di antara komponen ekologi yang penting dalam tanah bencah pesisir seperti di Setiu Wetlands ialah padang rumput laut (seagrass). Rumput laut bukan sahaja menyediakan habitat dan makanan kepada pelbagai hidupan marin, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menstabilkan sedimen dasar, meningkatkan kualiti air, serta bertindak sebagai takungan karbon (carbon sink).
Antara genus rumput laut yang paling menonjol di perairan Malaysia ialah Halodule, terutamanya spesies Halodule pinifolia. Tambahan lagi, dari sudut taburan, H. pinifolia ini didapati meluas di pelbagai habitat pesisir di Malaysia, termasuk di kawasan tanah bencah lain di Terengganu seperti di Gong Batu, Merchang, Kemasik, Pulau Redang dan turut dijumpai di Sabah dan Sarawak. Habitat rumput laut ini boleh terdiri daripada substrat berpasir hingga berlumpur, manakala ia turut mampu bertahan dalam julat kemasinan air laut yang luas, antara 18 hingga 34 ppt.

Selain peranan ekologi, H. pinifolia telah digunakan secara tradisional untuk meningkatkan kualiti air dan menyokong akuakultur di Malaysia sejak sekian lama. Di peringkat global, penggunaan dalam perubatan tradisional di India dan Indonesia memperlihatkan potensi besar spesies ini sebagai sumber bahan bioaktif untuk rawatan luka, masalah gastro-usus, penyakit kulit, serta penyakit kardiovaskular dan buah pinggang. Kajian terkini turut menunjukkan bahawa H. pinifolia mengandungi pelbagai sebatian bioaktif seperti flavonoid, saponin, steroid, triterpenoid, serta polisakarida, yang mempunyai potensi antioksidan, anti-inflamasi, antikanser, dan antimikrob.

Melihat kepada potensi rumput laut ini, penyelidik Program Biologi Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu turut menjalankan ujikaji secara saintifik untuk mengenalpasti potensi perubatan rumput laut spesies H.pinifolia daripada Tanah Bencah Setiu sebagai bahan aktif dalam bidang perubatan terutamanya proses penyembuhan luka.
Hasil kajian mendapati ekstrak pati mentah metanol H.pinifolia dari Setiu Wetland mempunyai aktiviti antioksida yang sangat tinggi dan setara dengan bahan aktif anti-oksida lain seperti Vitamin C dan Asid Galik. Tambahan lagi, ekstrak rumput laut ini turut berupaya merencat pertumbuhan bakteria seperti Streptococcus aureus yang seringkali mengakibatkan penyakit berkaitan kulit.

Melihat kepada keupayaan rumput laut ini sebagai bahan bioaktif, kajian turut mengkaji kesan ekstrak rumput laut H.pinifolia terhadap proses penyembuhan luka diperingkat enzim dan sel fibroblas manusia. Hasil kajian telah menunjukkan ekstrak H.pinifolia mampu merencatkan enzim kolagenase yang penting dalam proses pembentukan kolagen dalam tisu kulit. Selain itu juga, penemuan saintifik turut mendapati sel fibroblas yang terluka dan diberikan ekstrak H.pinifolia mempunyai kadar penyembuhan luka 20% lebih cepat berbanding dengan sel fibroblas yang terluka normal.

Dengan gabungan fungsi ekologi yang penting dan potensi perubatan yang kian terbukti, Halodule pinifolia mewakili satu “anugerah alam” daripada tanah bencah yang masih belum diterokai sepenuhnya terutamanya potensi perubatan rumput laut ini dalam pembangunan produk farmaseutikal dan nutraseutikal.
Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia, adalah penting untuk kita menyedari bahawa tanah bencah yang sering dilihat sebagai kawasan pinggiran semata sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kemandirian lautan. Ekosistem ini bukan sahaja menjadi pelindung pantai, penapis semula jadi, dan habitat kepada hidupan marin, malah menyimpan potensi besar dalam bidang bioteknologi, bioperubatan dan farmaseutikal. Masih banyak rahsia alam yang belum kita terokai, dan Setiu Wetlands hanyalah satu permulaan. Justeru, kami mengajak lebih ramai anak muda Malaysia untuk membuka mata terhadap dunia biologi marin kerana kerjaya ini bukan sahaja mendekatkan kita dengan alam, malah menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan sihat untuk semua.
Mengenai penulis:
Profesor Madya Dr. Suvik Assaw merupakan pensyarah program Biologi Marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan turut berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT. Kepakaran beliau tertumpu kepada kajian potensi bioaktif dari sumber marin dan pesisir seperti rumpai laut, tumbuhan pantai dan cacing poliketa, khususnya dalam aplikasi antioksidan, antibakteria dan penyembuhan luka. Gabungan kepakaran beliau dalam bioteknologi marin dan bioperubatan menjadikannya antara penyelidik utama dalam usaha meneroka sumber farmaseutikal baharu daripada ekosistem tanah bencah dan pesisir Malaysia. Penulis boleh dihubungi melalui aasuvik@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.
Sumber rujukan:
- https://mptn.terengganu.gov.my/index.php/en/state-parks/setiu-wetlands-state-park
- Bujang, J. S., Zakaria, M. H., & Short, F. T. (2023). Seagrass in Malaysia: issues and challenges ahead. In Springer eBooks (pp. 1–9). https://doi.org/10.1007/978-94-007-6173-5_268-1