Penulis: Profesor Dr. Norhayati Luddin
Dekan dan Pensyarah Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian
Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Mulut merupakan salah satu organ terpenting bagi manusia dan haiwan. Fungsinya bukan hanya terhad sebagai organ pertama bagi sistem pencernaan badan seseorang, malah ia juga berperanan penting dalam pertuturan dan pembentukan ekspresi wajah. Sebagai pintu masuk utama bagi pengambilan makanan dan minuman, rongga mulut merupakan habitat kepada pelbagai mikroorganisma, sama ada yang hadir secara semula jadi, terbentuk daripada hasil pemprosesan makanan, atau sengaja ditambah bagi tujuan peningkatan nilai nutrisi. Mikroorganisma ini berpotensi memberikan kesan positif terhadap kesihatan tubuh melalui fungsi probiotik, namun sesetengahnya juga boleh menjadi agen patogen yang bakal mengundang penyakit. Oleh sebab itu, keseimbangan mikrobiota mulut adalah penting bagi mengekalkan kesihatan oral dan mencegah dominasi bakteria berbahaya. Gangguan kepada keseimbangan ini, yang dikenali sebagai disbiosis, boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti penyakit gusi, kerosakan gigi, dan keradangan.
Kesihatan Mulut dan Penyakit Sistemik
Tahukah anda bahawa kajian telah mendapati beberapa penyakit sistemik seperti diabetes, penyakit jantung, HIV/AIDS, dan Alzheimer boleh menampilkan tanda-tanda awal di dalam mulut, sebelum seseorang menyedari bahawa tubuhnya sedang mengalami masalah kesihatan. Sebagai contohnya, gusi yang kerap berdarah, ulser yang mengambil masa lama untuk sembuh, mulut kering, atau nafas berbau tidak wajar dianggap remeh. Tanda-tanda ini mungkin merupakan amaran awal bahawa tubuh sedang berdepan masalah kesihatan yang lebih serius dan memerlukan perhatian segera.
1.Diabetes mellitus
Dapatan kajian menunjukkan bahawa penyakit gusi (periodontitis) dan mulut kering (xerostomia) sering menjadi tanda awal diabetes yang belum dikesan. Ini kerana keradangan gusi sering berkait rapat dengan kawalan glukosa yang lemah iaitu keupayaan tubuh mengawal paras glukosa dalam sistem metabolik tubuh.
Penghidap diabetes mellitus yang tidak terkawal kerap mengalami masalah gusi bengkak, jangkitan kulat di dalam mulut (oral thrush), luka atau ulser yang lambat sembuh, dan xerostamia akibat pengurangan pengeluaran air liur. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah meningkatkan risiko kerosakan gigi dan jangkitan sekunder. Jika anda mengalami gusi yang mudah berdarah, nafas berbau berpanjangan atau luka di dalam mulut yang lambat sembuh, ia mungkin lebih daripada sekadar masalah kebersihan gigi. Kemungkinan tubuh sedang memberi isyarat awal tentang permulaan penyakit diabetes.
2.Penyakit jantung
Dalam kajian lain pula, keradangan gusi yang berpanjangan didapati boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Masalah seperti gusi bengkak dan merah atau gigi yang mula longgar akibat kerosakan tisu sokongan boleh menjadi amaran awal bahawa jantung anda memerlukan perhatian, walaupun anda belum mengalami sebarang gejala jantung. Hubungan ini berpunca daripada proses keradangan kronik yang berlaku dalam penyakit gusi, khususnya periodontitis. Apabila gusi meradang, bakteria patogen dan produk toksiknya, seperti lipopolisakarida (LPS), boleh memasuki aliran darah melalui tisu gusi yang rosak. Kehadiran bakteria dan toksin ini merangsang sistem imun untuk menghasilkan tindak balas keradangan di seluruh tubuh, termasuk pada lapisan salur darah.
Pembentukan plak aterosklerotik pada dinding arteri akan terjadi perlahan-lahan bermula dengan pengumpulan lemak, kolesterol, dan sel keradangan yang lama-kelamaan boleh menyempitkan saluran darah (aterosklerosis). Selain itu, bahan kimia keradangan seperti sitokin (interleukin-1, interleukin-6, tumor necrosis factor-alpha) yang dihasilkan akibat jangkitan gusi juga boleh menjejaskan fungsi endotelium, iaitu lapisan dalam salur darah yang mengawal aliran darah dan tekanan darah. Gangguan ini meningkatkan risiko pembekuan darah, serangan jantung, dan strok.
Kajian epidemiologi turut menunjukkan bahawa individu dengan periodontitis mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung koronari berbanding mereka yang mempunyai gusi sihat. Malah, rawatan penyakit gusi dilaporkan mampu mengurangkan tahap penanda keradangan sistemik seperti protein C-reaktif (CRP), yang sering digunakan untuk menilai risiko kardiovaskular. Oleh itu, keradangan gusi yang kelihatan “biasa” sebenarnya boleh memberi kesan jauh lebih serius terhadap kesihatan jantung, menjadikan pemeriksaan dan rawatan awal penyakit gusi sebagai salah satu langkah pencegahan penyakit jantung yang penting.
3.HIV/AIDS
Bagi HIV/AIDS pula, terdapat kajian yang melaporkan bahawa sehingga 30–80% pesakit menunjukkan tanda-tanda dalam mulut sebelum diagnosis rasmi dibuat. Lapisan putih pada lidah atau pipi dalam (kandidiasis oral), luka ulser yang kerap berulang, atau gusi yang membusuk dan berdarah teruk (necrotizing ulcerative gingivitis) mungkin muncul lama sebelum gejala lain kelihatan. Hal ini berlaku kerana HIV menyerang dan melemahkan sistem imun, khususnya sel CD4⁺ T, yang berperanan penting dalam melawan jangkitan. Apabila jumlah sel ini menurun, tubuh menjadi lebih terdedah kepada pelbagai jangkitan oportunistik, termasuk yang berpunca daripada mikroorganisma yang biasanya tidak berbahaya pada individu sihat. Dalam rongga mulut, ketidakseimbangan ini membolehkan kulat seperti Candida albicans membiak dengan cepat, menghasilkan lapisan putih (oral thrush) yang mudah tanggal tetapi meninggalkan permukaan kemerahan dan sakit.
Selain kandidiasis, kerosakan tisu gusi yang cepat dan teruk, seperti necrotizing ulcerative gingivitis (NUG) atau necrotizing ulcerative periodontitis (NUP), berpunca daripada jangkitan bakteria anaerob yang berkembang pesat dalam keadaan imuniti rendah. Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang melampau, pendarahan spontan, dan kehilangan tisu penyokong gigi dalam masa yang singkat.
Selain itu, ulser mulut yang berulang pula boleh dikaitkan dengan jangkitan virus seperti Herpes simplex atau akibat keradangan kronik yang tidak dapat dikawal oleh sistem imun yang lemah. Ada juga keadaan seperti oral hairy leukoplakia, iaitu tampalan putih berbulu pada sisi lidah yang disebabkan oleh virus Epstein–Barr (EBV), yang sering menjadi penanda bahawa HIV telah menjejaskan imuniti dengan ketara.
Kepelbagaian tanda-tanda di dalam mulut ini menjadikan pemeriksaan mulut oleh doktor gigi atau pengamal kesihatan sebagai langkah penting dalam pengesanan awal HIV. Malah, dalam sesetengah kes, kehadiran tanda-tanda ini mendorong ujian saringan HIV sebelum pesakit mengalami simptom sistemik seperti demam berpanjangan, penurunan berat badan, atau berpeluh malam.
4.Alzheimer
Sementara itu, keradangan kronik akibat penyakit gusi berpotensi menyumbang kepada perkembangan Alzheimer. Dalam sesetengah kes, tanda-tanda di dalam mulut dapat dikesan lebih awal daripada penurunan fungsi kognitif yang jelas. Antara petunjuk awal termasuklah tahap kebersihan mulut yang merosot secara mendadak akibat perubahan tingkah laku awal, serta penyakit gusi yang semakin teruk walaupun masalah memori masih belum ketara.
Hubungan ini dikaitkan dengan kewujudan bakteria patogen gusi seperti Porphyromonas gingivalis, yang menghasilkan toksin dipanggil gingipains. Toksin ini berupaya memasuki aliran darah melalui tisu gusi yang meradang, lalu menembusi penghalang darah-otak (blood-brain barrier). Kehadiran bakteria dan toksin di dalam otak boleh mencetuskan tindak balas imun yang berpanjangan, menyebabkan penghasilan bahan keradangan seperti beta-amyloid yang membentuk plak ciri penyakit Alzheimer.
Selain itu, keradangan sistemik akibat periodontitis kronik boleh mempercepatkan proses neurodegeneratif dengan merosakkan neuron dan mengganggu komunikasi antara sel otak. Kajian juga menunjukkan bahawa paras antibodi terhadap bakteria gusi tertentu adalah lebih tinggi dalam kalangan pesakit Alzheimer, menandakan pendedahan atau jangkitan berulang yang mungkin menyumbang kepada keradangan otak jangka panjang.
Menariknya, tinjauan sistematik hasil analisis data daripada kajian kohort dan longitudinal terdahulu mengenai hubungan antara periodontitis kronik dan risiko Alzheimer mendapati bahawa individu dengan sejarah penyakit gusi teruk selama bertahun-tahun mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap Alzheimer pada usia lanjut, walaupun selepas mengambil kira faktor-faktor lain seperti umur, tahap pendidikan, dan status kesihatan umum. Hal ini memberi gambaran bahawa menjaga kesihatan gusi bukan sahaja penting untuk mencegah kehilangan gigi, tetapi juga mungkin menjadi salah satu langkah pencegahan terhadap penurunan fungsi kognitif. Oleh itu, pemeriksaan gigi secara berkala dan rawatan penyakit gusi pada peringkat awal bukan sekadar menjaga kesihatan mulut, tetapi juga berpotensi melindungi kesihatan otak dalam jangka masa panjang.
Statistik Kesihatan Mulut di Malaysia
Di Malaysia, dapatan tempatan menunjukkan hampir separuh daripada orang dewasa mengalami masalah gusi atau periodontitis (gabungan moderate + severe). Kajian dan ulasan epidemiologi menggunakan data daripada National Oral Health Survey for Adults melaporkan gabungan kadar moderate (30.3%) dan severe (18.2%) untuk golongan dewasa yang mengalami periodontitis adalah kira-kira hampir separuh daripada populasi saringan (48.5%) (Mohd Dom et al., 2016). Dalam kalangan pesakit diabetes di Malaysia pula, berdasarkan dapatan kajian tempatan melalui tinjauan, lebih daripada 45% dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu simptom kesihatan mulut seperti nafas berbau, kaviti, sakit gigi atau ulser. Sementara itu, terdapat satu kajian lain di Kelantan melaporkan bahawa hampir 70 % pesakit HIV mengalami simptom oral seperti kandidiasis, ulser dan sakit gigi. Malahan, bagi sebilangan pesakit, tanda-tanda di mulut inilah yang membawa kepada diagnosis doktor bahawa mereka menghidap penyakit HIV.
Hal ini membuktikan bahawa doktor gigi berpotensi menjadi pihak pertama yang mengesan penyakit serius melalui pemeriksaan mulut secara berkala. Kesimpulannya, kesihatan mulut mempunyai kaitan yang rapat dengan kesihatan keseluruhan tubuh.
Mulut Sihat Tubuh Hebat
Kesihatan mulut bukan sahaja mempengaruhi fungsi makan, bercakap dan penampilan, tetapi juga menjadi petunjuk penting kepada keadaan kesihatan keseluruhan tubuh. Tanda-tanda awal penyakit serius seperti diabetes, penyakit jantung, HIV/AIDS, dan alzheimer sering dapat dikesan melalui perubahan atau masalah dalam rongga mulut. Keradangan gusi, mulut kering, ulser berulang, dan jangkitan oportunistik bukan sekadar isu pergigian, tetapi berpotensi mencerminkan masalah sistemik yang memerlukan rawatan segera.
Menjaga kebersihan dan kesihatan mulut tidak boleh dianggap remeh dan adalah tanggungjawab semua. Apabila mulut sihat, tubuh lebih bersedia untuk kekal sihat dan bertenaga. Setiap individu perlu lebih produktif untuk memahami dan mengaplikasi pendidikan kesihatan mulut dengan cara yang betul dengan mendapatkan info dan maklumat yang jelas daripada Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain rutin kebersihan mulut yang konsisten setiap hari, pemeriksaan gigi dengan doktor gigi yang bertauliah secara berkala tidak boleh diabaikan. Penjagaan kendiri dan pemeriksaan serta rawatan pergigian merupakan dua kunci utama dalam pencegahan dan pengesanan awal penyakit melalui mulut. Usaha ini perlu disokong oleh kempen kesedaran masyarakat dan dasar kesihatan awam yang mengutamakan kesihatan oral sebagai komponen penting kesejahteraan menyeluruh.
Mulut kita bukan sekadar pintu masuk makanan, tetapi juga cermin yang memantulkan rahsia kesihatan seluruh tubuh. Setiap keradangan gusi, setiap ulser yang berulang, mungkin adalah isyarat halus tubuh memanggil kita untuk peka. Jangan biarkan tanda-tanda itu berlalu tanpa tindakan. Jaga mulut anda, kerana di situlah bermulanya kisah sama ada tubuh kita kekal kuat… atau mula rebah.
Tentang Penulis:
Profesor Dr. Norhayati Binti Luddin adalah Profesor (VK7) dalam bidang Sains Kesihatan
dan Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), dan
telah berkhidmat di universiti tersebut sejak tahun 1999. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana
Muda Pembedahan Pergigian (BDS), Diploma Siswazah dalam Pergigian Klinikal
(GradDipClinDent), dan Doktor Klinikal dalam Pergigian (DClinDent) dari University of
Adelaide, Australia, antara tahun 1998 hingga 2005. Pada tahun 2004, beliau melengkapkan
Fellowship daripada Royal Australasian College of Dental Surgeons (FRACDS).
Bidang penyelidikan beliau merangkumi biomaterial pergigian, pergigian restoratif
(prostodontik dan pergigian konservatif), serta endodontik. Beliau telah menghasilkan lebih
daripada 80 penerbitan termasuk jurnal, buku, dan media massa, dan telah menerima pelbagai
geran penyelidikan dari dalam dan luar negara. Beliau juga aktif membimbing pelajar
pascasiswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D.).
Selain daripada sumbangan akademik dan penyelidikan, Profesor Norhayati turut terlibat
dalam perkhidmatan profesional seperti semakan jurnal, keahlian lembaga editorial, dan
penilaian permohonan geran. Mulai 1 haribulan Januari 2025, beliau menjawat jawatan
Dekan di Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM.
foto kredit-TVS
Rujukan:
- Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia. Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2021–2025. Putrajaya: KKM. 2021.
- Dominy SS, Lynch C, Ermini F, Benedyk M, Marczyk A, Konradi A, Nguyen M, Haditsch U, Raha D, Griffin C, Holsinger LJ, Arastu-Kapur S, Kaba S, Lee A, Ryder MI, Potempa B, Mydel P, Hellvard A, Adamowicz K, Hasturk H, Walker GD, Reynolds EC, Faull RLM, Curtis MA, Dragunow M, Potempa J. Porphyromonas gingivalisin Alzheimer’s disease brains: Evidence for disease causation and treatment with small-molecule inhibitors. Science Advances. 2019 Jan;5(1):eaau3333. DOI: 10.1126/sciadv.aau3333.
- Kamer AR, Craig RG, Pirraglia E, Dasanayake AP, Norman RG, Boylan RJ, Nehorayoff A, Glodzik L, Brys M, de Leon MJ. TNF-α and antibodies to periodontal bacteria discriminate between Alzheimer’s disease patients and normal subjects. Journal of Neuroimmunology. 2009 Nov; 216:92–97. DOI: 10.1016/j.jneuroim.2009.08.013.
- Lalla E, Papapanou PN. Diabetes mellitus and periodontitis: A tale of two common interrelated diseases. Nature Reviews Endocrinology. 2011 Jun;7(12):738-48. doi: 10.1038/nrendo.2011.106.
- Lockhart PB, Bolger AF, Papapanou PN, Osinbowale O, Trevisan M, Levison ME,Taubert KA, Newburger JW, Gornik HL, Gewitz MH, Wilson WR, Smith SC Jr, Baddour LM. Periodontal disease and atherosclerotic vascular disease: Does the evidence support an independent association? A scientific statement from the American Heart Association. Circulation. 2012 May; 22:125(20):2520-44. doi: 10.1161/CIR.0b013e31825719f3.
- Marsh PD., & Martin MV. Oral microbiology. 2009. (5th ed.). Edinburgh: Churchill Livingstone.
- Mohamad N, Goh PH, Wan Ahmad WMA, Yudin ZM. Oral symptoms and oral health-related quality of life among Malaysian patients with Diabetes Mellitus. Pesquisa Brasileira em Odontopediatria e Clínica Integrada 2025; 25 (1). DOI:10.1590/pboci.2025.023.
- Mohamed N, Saddki N, Yusoff A, Mat Jelani A. Association among oral symptoms, oral health-related quality of life, and health-related quality of life in a sample of adults living with HIV/AIDS in Malaysia. BMC Oral Health. 2017 Aug 22;17(1):119. doi: 10.1186/s12903-017-0409-y.
- Mohd Dom TN, Ayob R, Abd Muttalib K, Aljunid SM. National economic burden associated with management of periodontitis in Malaysia. International Journal of Dentistry. 2016;2016:1891074. doi: 10.1155/2016/1891074.
- Neville BW, Damm DD, Allen CM, Chi AC. Oral and maxillofacial pathology. 2015. (4th ed.). St. Louis: Elsevier.
- Pihlstrom BL, Michalowicz BS, Johnson NW. Periodontal diseases. Lancet. 2005 Nov; 366(9499):1809-1820. DOI: 10.1016/S0140-6736(05)67728-8.
- Shiboski CH, Patton LL, Webster-Cyriaque JY, Greenspan D, Traboulsi RS, Ghannoum M, Jurevic R, Phelan JA, Reznik D, Greenspan JS. The oral HIV/AIDS research alliance: Updated case definitions of oral disease endpoints. Journal of Oral Pathology & Medicine. 2009 July; 38(6): 481–488. DOI: 10.1111/j.1600-0714.2009.00766.x.
- Tonetti MS, Van Dyke TE. Periodontitis and atherosclerotic cardiovascular disease: Consensus report of the Joint EFP/AAP Workshop on Periodontitis and Systemic Diseases. Journal of Clinical Periodontology. 2013 April; 40(s14), S24–S29. https://doi.org/10.1111/jcpe.12089.