Penulis: Prof. Madya. Dr. Wan Mohd Hirwani Wan Hussain
Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia
Revolusi pendidikan sains dan teknologi kini tidak lagi hanya soal teori atau peperiksaan. Di era digital yang pesat ini, penguasaan kemahiran pengaturcaraan dan robotik telah menjadi satu keperluan asas untuk membina generasi masa depan yang berdaya saing. Menerajui inovasi ini adalah Syarikat Idna Ideas Sdn Bhd (IDNA), sebuah syarikat pemula daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membawa pendidikan teknologi ke tahap interaktif yang lebih bermakna.
Mencipta Gelombang Transformasi Pendidikan
Ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai Idna Training and Consulting, IDNA kini berfokus pada teknologi pendidikan. Penawaran utama syarikat ini ialah modul latihan berserta peralatan yang dibangunkan sendiri untuk bidang robotik, IoT (Internet of Things), dron, dan kecerdasan buatan (AI). Modul ini direka khas untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah diakses, terutamanya bagi pelajar yang baru mula mendalami dunia teknologi. Ia juga membuka laluan untuk melahirkan inovator masa depan yang bukan sahaja celik IT, tetapi juga kreatif dan inovatif.
IDNA juga menginovasikan modul Smart Car AI sebagai salah satu program latihan utamanya. Melalui modul ini, pelajar berpeluang mengendalikan kenderaan pintar yang mampu mengesan halangan, mengelak pelanggaran, dan membezakan jenis kenderaan di hadapan. Ini adalah sebahagian daripada pengenalan teknologi AI yang lebih mendalam, di mana para peserta dapat melihat aplikasi dunia sebenar seperti sistem navigasi kenderaan.
Pengasas IDNA, Assoc. Prof. Ir. Dr. Nazrul Anuar Nayan, merupakan seorang pakar kejuruteraan elektronik dan sistem yang berkaliber antarabangsa. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Komunikasi dari Universiti Tokyo, Jepun. Beliau juga mempunyai Sarjana dan PhD dari Jepun, dan pernah menjalani program post-doc di University of Oxford, UK. Pengalaman dan kepakaran beliau dalam kejuruteraan mikroelektronik dan pemprosesan isyarat digital telah menjadikannya figura ideal untuk menyepadukan inovasi teknologi dengan pendekatan pendidikan yang progresif.
Pengiktirafan, Geran dan Momentum Ekosistem UKM
Sokongan terhadap usaha IDNA ini bukan hanya datang dari dunia akademik. Syarikat ini telah berjaya memperoleh Geran Program Ekosistem Inklusif Kecil dan Sederhana (i-SEE) daripada SME Corp Malaysia bernilai RM200,000. Geran ini membantu IDNA memperluas akses teknologi ke komuniti B40 dan perniagaan mikro luar bandar. Selain itu, IDNA juga telah bekerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat dalam Program Future Tech 2024, sebuah program penyelidikan gunaan yang berfokus pada pembangunan kemahiran berfikir secara komputasional melalui pengaturcaraan robotik, dron, dan aplikasi solar. Program yang dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka ini telah melatih 270 pelajar dan 80 guru dari 18 sekolah.
Pendidikan Teknologi Yang Mencerahkan Masa Hadapan
Sejak tahun 2018, IDNA telah melatih seramai 954 peserta secara amali, termasuk guru, pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti. Kerjasama ini tidak terhad di dalam negara. Ia telah melangkah ke peringkat antarabangsa dengan melatih 100 pelajar dan 20 guru dari Al-Wafi International Islamic Boarding School di Bogor, Indonesia. Ini jelas menunjukkan bahawa penerokaan teknologi masa hadapan ini turut dilaksanakan di luar negara.
Potensi syarikat ini amat besar. Dengan populasi belia yang tinggi di Malaysia, IDNA berada di landasan yang tepat untuk memperluaskan pemahaman dan pengetahuan berkaitan teknologi dron dan robotik. Kerjasama dengan sekolah, pusat latihan komuniti, dan kolej vokasional terus diperkukuh. Terdapat juga kolaborasi strategik yang telah dimeterai apabila IDNA menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat pembekal alatan elektronik terkemuka negara dan syarikat Zipcare Corporation dari Jepun. Dengan semua pendekatan ini, tidak mustahil Malaysia mampu melahirkan pencipta dron pintar tempatan atau jurutera robotik pintar yang bukan sekadar pandai untuk pengaturcaraan, tetapi juga berfikir kreatif dan dapat menyelesaikan masalah di masa hadapan.
IDNA adalah simbol transformasi pendidikan teknologi di Malaysia. Dengan modul yang dirancang untuk menjadikan belajar pengaturcaraan sesuatu yang menyeronokkan dan interaktif, syarikat ini bukan sekadar sebuah perniagaan, tetapi agen perubahan yang mampu memacu agenda pendigitalan pendidikan negara.
Kredit gambar-IDNA Ideas Sdn Bhd





