Penulis: Dr. Nor Ain Rabaiee
Pensyarah Kanan,
Jabatan Radiologi, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Penggunaan radiasi dalam kehidupan seharian bukanlah asing bagi orang awam. Mendengar perkataan radiasi membuatkan kita serta merta berasa cemas. Dalam fikiran akan terbayang ledakan nuklear, penyakit berbahaya atau bahan beracun yang tidak boleh dihampiri. Namun, bagi mereka yang gemar menonton filem aksi, pasti akan terbayang cerita superhero seperti Avengers and Hulk. Hakikatnya, tidak semua radiasi adalah bersifat berbahaya.
Radiasi adalah sejenis tenaga atau gelombang yang bergerak. Secara lumrahnya, ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi wujud di sekeliling kita setiap hari sama ada secara semula jadi atau buatan yang dihasilkan oleh manusia untuk tujuan tertentu.
Dua jenis radiasi
- Radiasi semula jadi
Sumber semula jadi termasuklah sinar matahari, bahan radioaktif dalam tanah, malah juga dalam makanan seperti pisang dan kacang. Sebagai contoh, sinar matahari yang membantu kita mendapatkan vitamin D adalah contoh paling mudah. Selain itu, air minuman kita juga mempunyai kandungan bahan radioaktif seperti radon. Namun, nilainya adalah sangat rendah.
- Radiasi buatan
Radiasi dari sumber buantan dihasilkan oleh manusia untuk pelbagai tujuan. Sebagai contoh seperti penggunaan dalam pengimejan perubatan, penyelidikan saintifik serta kawalan keselamatan di lapangan terbang. Dalam kehidupan moden, kita terdedah kepada radiasi buatan daripada peralatan elektrik, telefon bimbit, ketuhar gelombang mikro serta peralatan perubatan.
Secara perbandingan, manusia secara semula jadi menerima sekitar 2-3 mSv setahun daripada persekitaran iaitu 87 % daripada dos yang diterima oleh badan.
Dalam bidang perubatan, radiasi memainkan peranan penting dan digunakan secara meluas bagi tujuan diagnosis dan rawatan. Ia membantu doktor untuk melihat bahagian dalam tubah manusia tanpa perlu dibedah. Berikut antara penggunaan radiasi yang sering digunakan di hospital dan klinik.
- Sinar x-ray
Sinar-x merupakan teknologi pengimejan yang paling kerap digunakan. Ia adalah bentuk radiasi yang digunakan untuk mengambil imej bahagian badan seperti gigi, dada dan tulang. Ia boleh menembusi tisu manusia yang membolehkan struktur dalaman dapat dilihat dengan jelas. Menariknya, dos radiasi yang diterima dalam satu pemeriksaan sinar-x adalah amat rendah.
- Imbasan tomografi berkomputer (CT Scan)
Imbasan CT menggunakan sinar-x tetapi di dalam bentuk imbasan berputar. Berbanding sinar x-ray yang biasa, imbasan CT boleh menghasilkan imej dalam bentuk tiga-dimensi (3D) yang lebih jelas dan terperinci. Ia sangat membantu doktor untuk menilai kecederaan dalaman, ketumbuhan dan pendarahan dengan lebih tepat.
- Radioterapi
Dalam bidang radioterapi, radiasi digunakan untuk merawat kanser. Radioterapi menggunakan pancaran radiasi yang lebih tinggi bagi membunuh sel kanser. Bidang radioterapi mementingkan ketetapan dan perincian semasa rawatan bagi melindungi sel-sel sihat daripada terkena sinar radiasi yang belebihan. Radioterapi terbukti mampu mengecilkan dan menghapuskan sel kanser di dalam badan pesakit.
- Perubatan nuklear
Perubatan nuklear menggunakan bahan radioaktif untuk merawat dengan nilai aktiviti yang terkawal. Pelbagai jenis bahan radioaktif seperti Iodine-131, Technetium-99m dan Thallium-201. Pemilihan bahan radioaktif bagi tujuan diagnosis dan rawatan bergantung kepada organ yang akan dirawat. Sebagai contoh, Iodine-131 digunakan dalam rawatan penyakit tiroid. Perubatan nuklear adalah sangat unik kerana setiap bahan radioaktif memancarkan jenis sinaran berbeza seperti sinar gamma, beta dan alfa, bergantung kepada bahan radioaktif. Selain itu, maklumat yang dibekalkan daripada perubatan nuklear tidak hanya tertumpu kepada imej anatomi, tetapi juga fungsi organ dalaman.
Walaupun perkataan radiasi kedengaran menakutkan, dos yang digunakan dalam bidang perubatan sebenarnya sangat kecil dan terkawal. Berikut merupakan anggaran radiasi dos yang diterima bagi beberapa prosedur biasa.

Namun, sebagai orang awam, adalah menjadi tanggungjawab untuk mengetahui hak-hak anda. Adakah anda tahu bahawa terdapat peralatan pelindung khas yang akan dibekalkan kepada pesakit yang menjalani pemeriksaan menggunakan radiasi sebagai pelindung diri?
Benar! Terdapat beberapa alat pelindung diri dari radiasi yang disediakan oleh pihak hospital seperti baju berplumbum yang berfungsi menutup bahagian badan yang tidak perlu terdedah, pelindung leher berplumbum yang melindungi kalenjar tiroid daripada sinaran berlebihan dan pelindung organ pembiakan berplumbum yang digunakan bagi melindungi organ pembiakan dari sinaran. Oleh itu, sekiranya anda menjalani pemeriksaan yang melibatkan radiasi di hospital dan klinik, anda boleh bertanya kepada staf yang bertugas mengenai hak anda sebagai pesakit.

Radiasi boleh menjadi lawan sekiranya disalah guna. Tetapi, dalam bidang perubatan, ia adalah kawan yang membantu menyelamatkan nyawa. Kecanggihan teknologi memberi manfaat besar kepada manusia. Dengan penggunaan dan kawalan yang betul, radiasi menjadikan dunia perubatan lebih selamat, cepat dan tepat. Oleh itu, dengan ilmu dan amalan keselamatan yang betul, radiasi sebenarnya memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan manusia sejagat.
Rujukan
Ahmad, N., Jaafar, M. S., Bakhash, M., & Rahim, M. (2015). An overview on measurements of natural radioactivity in Malaysia. Journal of Radiation Research and Applied Sciences, 8(1). https://doi.org/10.1016/j.jrras.2014.12.008
Justification of medical exposure in diagnostic imaging : proceedings of an international workshop on justification of medical exposure in diagnostic imaging organized by the International Atomic Energy Agency in cooperation with the European Commission and held in Brussels, 2-4 September 2009. (2011). International Atomic Energy Agency.
Ofori, K., Gordon, S. W., Akrobortu, E., Ampene, A. A., & Darko, E. O. (2014). Estimation of adult patient doses for selected X-ray diagnostic examinations. Journal of Radiation Research and Applied Sciences, 7(4), 459–462. https://doi.org/10.1016/j.jrras.2014.08.003




