Penulis: Dr. Nur Izzah Md Fadilah1,2
1Pensyarah Universiti, Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Kumpulan Penyelidikan Sel-Bahan Bioaktif Termaju, Universiti Kebangsaan Malaysia
Apabila luka tidak lagi sekadar luka
Luka pada kulit kelihatan seperti masalah kecil yang boleh sembuh dengan sendirinya. Namun, bagi sesetengah individu, terutamanya pesakit kencing manis, luka kecil boleh menjadi ancaman besar. Proses penyembuhan yang terganggu menyebabkan luka mengambil masa yang lama untuk sembuh, malah boleh menyebabkan jangkitan serius dan berisiko membawa kepada amputasi.
Masalah ini bukan sekadar isu perubatan. Ia juga memberi kesan besar terhadap kualiti hidup pesakit dan menambah beban kepada sistem kesihatan. Justeru, penyelidik di seluruh dunia kini giat mencari rawatan baharu yang dapat mempercepat serta memperbaiki proses penyembuhan luka. Salah satu bidang yang semakin mendapat perhatian ialah peptida terapeutik, iaitu molekul kecil yang mempunyai potensi besar dalam dunia perubatan regeneratif.
Apakah peptida?
Peptida ialah rantai pendek yang terbentuk daripada dua asid amino atau lebih, iaitu ’blok binaan’ bagi protein. Ia biasanya ditemui dalam bentuk serbuk dan kebanyakkannya berwarna putih. Walaupun saiznya kecil, peptida memainkan peranan penting dalam tubuh manusia, termasuk menghantar isyarat antara sel, membantu pertumbuhan tisu, dan mengawal proses metabolik.
Menariknya, apabila peptida ini dihasilkan atau diubah suai secara sintetik, ia boleh digunakan sebagai terapi perubatan yang dikenali sebagai peptida terapeutik. Dalam bidang perubatan moden, lebih daripada 60 jenis ubat berasaskan peptida telah diluluskan untuk merawat pelbagai penyakit, seperti penyakit kencing manis, kanser, dan gangguan hormon. Kini, para penyelidik semakin memberi tumpuan kepada potensi peptida dalam mempercepatkan penyembuhan luka dan regenerasi tisu kulit.
Kelebihan peptida: Kecil tetapi memberi impak besar
Keistimewaan peptida terletak pada keselamatan dan keserasiannya dengan tubuh. Ia bersifat tidak toksik, dan boleh terbiodegradasi, bermakna ia akan terurai secara semula jadi tanpa meninggalkan sisa yang berbahaya. Selain itu, peptida boleh direka bentuk secara khusus untuk mensasarkan fungsi tertentu; contohnya, hanya bertindak pada kawasan luka tanpa menjejaskan tisu sihat. Hal ini menjadikan rawatan berasaskan peptida lebih tepat dan kurang berisiko.
Dengan kemajuan teknologi, peptida kini boleh digabungkan dengan sistem penghantaran pintar seperti hidrogel bioaktif, yang mengekalkan kelembapan luka sambil melepaskan peptida secara perlahan. Pendekatan ini membuka ruang baharu kepada pembangunan rawatan luka kronik yang lebih selamat dan berkesan. Penyelidikan mengenai peptida terapeutik kini berada pada fasa yang menarik, iaitu fasa peralihan daripada kajian makmal kepada aplikasi perubatan sebenar. Beberapa calon peptida telah memasuki peringkat ujian praklinikal ke atas haiwan makmal dan menunjukkan hasil yang positif dalam mempercepatkan proses penyembuhan luka tanpa kesan sampingan yang ketara.

Cabaran dan inovasi penyelidikan
Walaupun peptida mempunyai potensi besar, masih terdapat beberapa cabaran dalam dalam penyelidikan. Antaranya ialah kestabilannya yang rendah dalam persekitaran biologi, mudah terurai oleh enzim serta kos penghasilannya yang tinggi.
Bagi mengatasi isu ini, para penyelidik kini meneroka pendekatan pengubahsuaian kimia dan enkapsulasi (pembungkusan) menggunakan bahan biopolimer seperti gelatin dan asid hialuronik. Gabungan ini bukan sahaja melindungi peptida daripada degradasi, tetapi juga meningkatkan keberkesanan terapinya.
Tambahan pula, teknologi pencetakan 3D berasaskan hidrogel kini membolehkan penghasilan struktur tisu kulit tiruan yang diperkuat dengan peptida terapeutik. Ini bukan lagi sekadar teori kerana beberapa kajian awal menunjukkan tisu pencetakan tersebut mampu mempercepatkan penutupan luka kronik, khususnya ulser kaki akibat penyakit kencing manis.

Masa depan rawatan luka: Dari makmal ke klinik
Di Malaysia, bidang ini juga semakin berkembang dengan penyertaan penyelidik tempatan yang menggabungkan kepakaran dalam biokimia, kejuruteraan tisu, dan perubatan regeneratif. Kajian ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan sains global, tetapi juga membuka peluang untuk pembangunan produk kesihatan tempatan yang inovatif dan bernilai tinggi.
Kesimpulannya, peptida terapeutik menawarkan harapan baharu dalam dunia rawatan luka. Dengan saiznya yang kecil tetapi fungsinya yang luar biasa, ia berpotensi menjadi alternatif kepada rawatan konvensional, khususnya bagi pesakit yang menghadapi masalah penyembuhan luka kronik. Gabungan sains asas, kejuruteraan biobahan, dan inovasi teknologi kini menjadikan impian untuk penyembuhan luka yang cepat serta sempurna bukan lagi sesuatu mustahil. Masa depan rawatan luka mungkin hadir bukan dalam bentuk pil atau krim biasa, tetapi sebagai gel daripada molekul kecil yang dikenali sebagai peptida.
Kredit foto: Dr. Nur Izzah Md Fadilah
Rujukan:
- Antimicrobial Peptide Database (APD). University of Nebraska Medical Center (2003 Copyright). https://aps.unmc.edu/
- Adnan, S. B., Maarof, M., Fauzi, M. B., & Md Fadilah, N. I. (2025). Antimicrobial Peptides in Wound Healing and Skin Regeneration: Dual Roles in Immunity and Microbial Defense. International Journal of Molecular Sciences, 26(13), 5920. https://doi.org/10.3390/ijms26135920
- Chen, Z., Meng, L., Sethi, G., Wang, J., & Li, B. (2025). Peptide-driven approaches in advanced wound healing materials. Drug Discovery Today, 104440. https://doi.org/10.1016/j.drudis.2025.104440
- Fadilah, N. I. M., Rahman, M. B. A., Yusof, L. M., Mustapha, N. M., & Ahmad, H. (2021). The therapeutic effect and in vivo assessment of Palmitoyl-GDPH on the wound healing process. Pharmaceutics, 13(2), 193. https://doi.org/10.3390/pharmaceutics13020193
- Fetse, John, Sashi Kandel, Umar-Farouk Mamani, and Kun Cheng. Recent advances in the development of therapeutic peptides. Trends in Pharmacological Sciences 44, no. 7 (2023): 425-441. https://doi.org/10.1016/j.tips.2023.04.003




