Oleh: Syazwani Azeman,
Unit Herbarium, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur
Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest yang terletak di dalam Hutan Simpan Batu Gangan Cameron Highland, Pahang merupakan hutan jenis dipterokarp atas dan hutan tanah tinggi yang mempunyai ketinggian kira-kira 2,031 meter dari paras laut. Mossy Forest adalah hutan tanah tinggi yang lembap, basah dan berlumut sepanjang tahun. Hutan ini terletak lebih kurang 12 meter dari bandar Brinchang dan boleh dikunjungi dengan melalui jalan ke ladang Teh Boh Sungai Palas dengan menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan pacuan empat roda yang disewa dengan perjalanan lebih kurang 20 minit dari bandar Brinchang.
TER Mossy Forest turut dikenali kerana merupakan laluan masuk utama ke Gunung Irau dan menjadi kawasan tarikan utama pelancong yang datang berkunjung ke Cameron Highland kerana mempunyai daya tarikan bagi penggemar alam semulajadi. Fasiliti yang disediakan terutamanya pelantar laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter dan juga menara tinjau membolehkan para pengunjung menikmati kesegaran udara hutan yang dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna yang menarik.


Satu siri kerja lapangan kutipan spesimen tumbuhan berbunga dan berbuah bagi rujukan herbarium telah dijalankan oleh Unit Herbarium, Taman Botani Perdana pada bulan Februari yang lalu. Antara hasil kutipan flora yang menarik yang boleh dijumpai di dalam TER Mossy Forest adalah spesies Rhododendron wrayi daripada famili Ericaceae. Spesies ini mempunyai bunga yang besar dan cantik berwarna putih-merah jambu dengan belakang daun nya yang berwarna keperangan. Selain itu antara spesies yang boleh dijumpai adalah Aeschynanthus pulcher, tumbuhan memanjat yang mempunyai bunga berwarna merah terang yang berbentuk seperti tiub.





Spesies orkid hutan juga adalah antara flora yang menjadi tarikan di hutan Mossy Forest. Terdapat beberapa spesies orkid hutan yang boleh dijumpai antaranya seperti Dilochiopsis scortechinii yang direkodkan sebagai spesies endemik bagi Semenanjung Malaysia, Dendrobium hasseltii dan spesies dari genus Coelogyne (Ong et al, 2017). Spesies orkid mudah dijumpai di dalam kawasan TER Mossy Forest disebabkan keadaan cuaca dan persekitaran yang mengalakkan pertumbuhan spesies tersebut. Oleh itu, wajarlah jika dikatakan bahawa kawasan TER Mossy Forest merupakan kawasan yang menyimpan khazahan alam semulajadi yang baik.
Dikenali juga sebagai Taman Dalam Awan, lokasi TER Mossy Forest yang berada di kawasan yang tinggi menjadikan kawasan ini seperti diliputi awan ketika cuaca sejuk. Keadaan sekeliling akan diliputi kabus sehingga adakalanya menyebabkan penglihatan menjadi terhad kerana terhalang dengan kabus yang tebal. Para pengunjung boleh merasakan suasana sejuk yang berangin dan dingin secara semulajadi apabila berada di sini. Maka tidak hairanlah jika kawasan ini menjadi kawasan tumpuan pelancong luar dan dalam Malaysia kerana tarikan semulajadi dan keindahan kawasan persekitaran yang menjadi daya tarikan utama Mossy Forest kepada para pengunjung.

Rujukan:
- Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Laman sesawang. Taman Eko Rimba Mossy Forest. Capaian pada Jun 6, 2024 daripada https://forestry.pahang.gov.my/index.php/eko-rimba-daerah-cameron-highlands/taman-eko-rimba-mossy-forest.
- Ong, P.T, O’ Byren, P.,Saw, L.G & Chung, R.C.K. (2017). Checklist of Orchids of Peninsular Malaysia. Research Pamphlet No. 136, Forest Research Institute Malaysia. 77 pp.




