Penulis:Dr. Noor Liyana Yusof
Pensyarah Kanan,
Jabatan Teknologi Makanan
Universiti Putra Malaysia
Perang dan perubahan iklim semakin dikenalpasti sebagai dua faktor utama yang mengancam keterjaminan makanan global. Sistem makanan moden bergantung kepada rangkaian perdagangan antarabangsa yang kompleks, di mana gangguan di satu kawasan boleh memberi kesan rantaian kepada negara lain. Konflik geopolitik, perubahan suhu global, kemarau dan banjir kini bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluaran makanan, malah mempengaruhi harga, akses dan kestabilan bekalan makanan dunia.
Latar belakang: Sistem makanan global yang saling bergantung
Sistem makanan global hari ini sangat bergantung kepada beberapa negara pengeluar utama bagi komoditi strategik seperti gandum, jagung dan soya. Sebagai contoh, Rusia dan Ukraine merupakan antara pengeksport utama bijirin dunia, menyumbang kira-kira 25% eksport global gandum dan barli serta 15% eksport jagung. Apabila konflik tercetus, aktiviti pertanian terganggu, pelabuhan ditutup dan logistik eksport menjadi sukar. Sekatan eksport melalui Laut Hitam semasa konflik Ukraine telah menyebabkan penurunan eksport bijirin yang signifikan serta meningkatkan harga global makanan.
Ketidaktentuan geopolitik juga memberi kesan kepada rantaian bekalan baja dan tenaga. Konflik di Timur Tengah, misalnya, boleh menjejaskan bekalan baja global kerana laluan perdagangan strategik digunakan untuk penghantaran bahan mentah pertanian. Kekurangan baja seterusnya menjejaskan hasil tanaman di banyak negara pengimport. Dalam masa yang sama, perubahan iklim meningkatkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem seperti kemarau, banjir dan gelombang haba. Keadaan ini menjejaskan hasil tanaman utama seperti gandum, beras dan jagung, serta meningkatkan risiko serangan perosak tanaman yang boleh memusnahkan sehingga 40% hasil pertanian global.
Komoditi utama yang terjejas dan implikasi terhadap keterjaminan makanan
i- Gandum: makanan ruji global terdedah kepada konflik geopolitik
Gandum merupakan antara sumber karbohidrat utama dunia dan digunakan secara meluas dalam penghasilan roti, mi dan produk bakeri. Konflik di kawasan Laut Hitam telah menjejaskan pengeluaran dan eksport gandum, menyebabkan kenaikan harga global dan menjejaskan negara pengimport terutamanya di Asia dan Afrika. Gangguan bekalan gandum boleh meningkatkan kos makanan asas, seterusnya menjejaskan akses kepada makanan bagi golongan berpendapatan rendah.
ii- Jagung: kesan rantaian kepada bekalan protein
Jagung bukan sahaja digunakan sebagai makanan manusia, tetapi juga merupakan komponen utama makanan ternakan. Gangguan pengeluaran jagung akibat konflik atau kemarau boleh meningkatkan kos makanan ternakan, sekali gus menaikkan harga ayam, telur dan daging lembu. Apabila kos makanan ternakan meningkat, kos pengeluaran protein turut meningkat, memberi kesan langsung kepada harga makanan di pasaran.
iii- Soya: sumber utama protein dan makanan ternakan
Soya memainkan peranan penting dalam penghasilan minyak sayuran dan makanan ternakan. Gangguan pengeluaran atau eksport soya boleh menjejaskan industri ternakan global, mempengaruhi harga produk seperti ayam, susu dan telur. Selain itu, peningkatan harga minyak sayuran turut memberi kesan kepada industri pemprosesan makanan kerana minyak merupakan bahan penting dalam pelbagai produk makanan.
Perang dan perubahan iklim
Perang dan perubahan iklim bukanlah faktor yang bertindak secara berasingan. Kedua-duanya boleh berlaku serentak dan memperkukuhkan kesan antara satu sama lain. Contohnya, kemarau yang menjejaskan hasil gandum boleh berlaku pada masa yang sama dengan konflik geopolitik yang mengganggu eksport. Keadaan ini meningkatkan ketidakstabilan harga makanan global dan menjejaskan keterjaminan makanan terutamanya bagi negara yang bergantung kepada import. Menurut laporan antarabangsa, konflik dan perubahan iklim merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ketara populasi global yang berhadapan dengan krisis kelaparan.
Implikasi terhadap masa depan keterjaminan makanan
Gabungan risiko daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim menunjukkan bahawa keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian, tetapi isu strategik global. Negara perlu meningkatkan daya tahan sistem makanan melalui kepelbagaian sumber import, inovasi teknologi pertanian dan pengurangan kehilangan makanan di sepanjang rantaian bekalan.
ARTIKEL BERKAITAN – Kajian Penyelidik Doktor Falsafah Malaysia Mendapat Liputan Meluas Akhbar Sweden
ARTIKEL BERKAITAN – Kajian Fungsi Melatonin Kekalkan Kesegaran Belimbing
Apa yang Malaysia sedang lakukan?
Malaysia telah merangka beberapa dasar penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara. Antaranya ialah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (NAP 2.0) 2021–2030, yang menekankan pembangunan sektor agromakanan berteknologi tinggi dan mampan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi. Selain itu, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025 menggariskan pelbagai strategi merangkumi pengeluaran makanan, pengurusan rantaian bekalan serta pengurangan pembaziran makanan bagi meningkatkan daya tahan sistem makanan negara. Malaysia juga memperkukuh agenda adaptasi perubahan iklim melalui dasar berkaitan iklim yang memberi perhatian kepada sektor pertanian, sumber air dan keselamatan makanan. Usaha ini menunjukkan kesedaran bahawa keterjaminan makanan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan teknologi, inovasi dan dasar yang menyokong kelestarian sistem makanan.
Apa lagi yang Malaysia boleh lakukan?
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, cabaran global yang semakin kompleks memerlukan pendekatan yang lebih bersepadu. Malaysia boleh memperkukuh keterjaminan makanan melalui:
i- Penggunaan teknologi pertanian pintar
Precision agriculture, sensor tanah dan sistem ramalan cuaca dapat membantu petani meningkatkan hasil tanaman walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.
ii- Pengukuhan teknologi lepas tuai dan pemprosesan makanan
Sebahagian besar kehilangan makanan berlaku selepas penuaian. Teknologi seperti rantaian sejuk, pembungkusan aktif dan pemprosesan nilai tambah boleh mengurangkan pembaziran hasil segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
iii- Kepelbagaian sumber makanan dan bahan mentah
Mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber import bagi komoditi seperti gandum dan jagung dapat meningkatkan daya tahan sistem makanan negara.
iv- Pengembangan ekonomi kitaran dalam industri makanan
Sisa pertanian boleh diproses menjadi bahan bernilai seperti serat makanan, pektin atau bahan makanan baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah.
v- Pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi teknologi makanan
Teknologi pemprosesan, pembungkusan dan pemanjangan jangka hayat boleh membantu menstabilkan bekalan makanan dalam situasi krisis global.

Masa depan keterjaminan makanan memerlukan pendekatan saintifik
Pendekatan berasaskan sains dan teknologi diperlukan bagi memastikan pengeluaran makanan lebih stabil, cekap dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global. Tanpa strategi yang mampan, sistem makanan global akan terus terdedah kepada kejutan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan makanan dunia. Gabungan risiko daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim menunjukkan bahawa keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian, tetapi isu strategik yang melibatkan ekonomi, teknologi dan dasar awam. Sistem makanan yang berdaya tahan memerlukan pelaburan berterusan dalam inovasi, pengurusan rantaian bekalan yang cekap serta kerjasama antara penyelidik, industri dan pembuat dasar. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keterjaminan makanan tidak boleh bergantung kepada satu pendekatan sahaja. Gabungan teknologi, dasar yang mantap dan inovasi saintifik adalah kunci untuk memastikan bekalan makanan kekal stabil, mampu diakses dan mencukupi untuk generasi akan datang.
Kredit foto utama-greenqueenuk




