Penulis: Dr.Wan Fatihah binti Wan Sohaimi
Pensyarah Kanan dan Pakar Perubatan Nuklear
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
Tidak semua penyakit datang dengan tanda yang jelas. Ada yang hadir secara perlahan dan tanpa disedari, mendiami tubuh selama bertahun-tahun sebelum akhirnya muncul dan mendatangkan risiko. Kanser tiroid adalah antara penyakit yang sering muncul dalam keadaan sebegini.
Satu benjolan kecil di leher kadangkala menjadi petanda awal kepada penyakit ini. Namun, kebanyakan pesakit tidak merasa sakit, tiada demam, dan tidak mengalami perubahan ketara dalam kehidupan seharian menyebabkan lambat mendapatkan rawatan.
Tiroid ialah kelenjar kecil berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher. Walaupun saiznya kecil, peranannya besar kerana ia menghasilkan hormon yang mengawal metabolisme badan, kadar degupan jantung, tahap tenaga, dan suhu tubuh. Apabila sel-sel dalam kelenjar ini berubah dan membiak secara tidak terkawal, kanser tiroid boleh berlaku.
Mengikut Malaysia National Cancer Registry Report bagi 2012 – 2016, kanser tiroid merupakan kanser ke-8 tertinggi di kalangan wanita Malaysia dan terdapat peningkatan jumlah kes baru berbanding laporan sebelumnya. Walaupun jumlahnya kecil berbanding penyakit kanser utama lain seperti kanser payudara, kolorektal, peparu dan lain-lain, namun tetap penting untuk diketahui masyarakat bagi kesedaran awal kanser dan mendapatkan rawatan awal kerana kadar kesembuhan kanser tiroid adalah sangat tinggi.
Terdapat dua jenis utama kanser tiroid, iaitu kanser tiroid berbahagi (Differentiated Thyroid Cancer (DTC)) dan kanser tiroid yang lebih agresif seperti kanser tiroid medullary dan kanser tiroid anaplastik.
Kanser tiroid DTC merangkumi kanser tiroid papilari dan folikular, dan merupakan penyumbang terbesar kepada kes kanser tiroid di seluruh dunia. Ia lebih kerap dikesan dalam kalangan wanita dan individu berusia muda hingga pertengahan usia. Ada pesakit yang mempunyai sejarah pendedahan kepada radiasi di bahagian leher, manakala sebahagian lain mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser tiroid. Namun, kebanyakan pesakit tidak mempunyai faktor risiko yang jelas dan kes yang berlaku secara sporadik menyebabkan diagnosis kanser sering mengejutkan pesakit.
Kanser tiroid DTC sebagai kanser yang kerap berlaku tetapi sering dipandang remeh, kerana sifatnya yang berkembang secara perlahan (slow-growing tumour). Dan atas faktor inilah, kadang-kadang pesakit mempunyai sejarah benjolan di leher yang bertahun-tahun sehinga ada yang berbelas tahun tanpa mengalami simptom-simptom yang menggangu kehidupan harian dan tiada keperluan mendesak untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut sehingga lambat mendapatkan rawatan. Walaupun berkembang secara perlahan, kanser tiroid DTC berpotensi untuk merebak ke organ lain seperti peparu dan tulang hingga membawa kepada komplikasi jangka masa panjang jika tidak dirawat.
Faktor umur
Kanser tiroid DTC adalah satu-satunya kanser yang diklasifikasikan tahapnya (staging) mengambil kira faktor umur pesakit dengan had umur yang ditetapkan oleh American Thyroid Association pada umur 55 tahun. Mengikut klasifikasi kanser-kanser lain, kanser dibahagikan kepada 4 tahap iaitu tahap 1 hingga 4 bergantung kepada saiz kanser, nodus limfa dan perebakan kanser ke organ lain. Begitu juga klasifikasi tahap bagi pesakit kanser tiroid DTC yang berumur 55 tahun ke atas.
Namun disinilah letaknya keunikan dan keistimewaan kanser tiroid DTC. Bagi pesakit yang berumur 55 tahun dan ke bawah, kanser ini tidak dibahagikan kepada 4 tahap seperti kebanyakan kanser lain, sebaliknya hanya kepada 2 tahap iaitu tahap 1 dan 2.
Lebih mengejutkan, walaupun kanser telah merebak ke organ lain, pesakit masih tidak diklasifikasikan sebagai tahap 4, tetapi kekal pada tahap 2. Kenapa ini berlaku?
Kajian menunjukkan prognosis yang luar biasa baik bagi kanser tiroid DTC berbanding kanser lain. Hasil kajian American Thyroid Association menyatakan bahawa 90-95% pesakit kanser DTC yang telah merebak ke organ lain masih mampu hidup lebih daripada 10 tahun selepas didiagnosis. Angka ini jauh lebih tinggi dan baik, berbanding kebanyakan kanser lain yang telah merebak.
Namun, harapan ini bukan datang tanpa usaha. Prognosis yang baik ini bergantung kepada rawatan yang betul dan berterusan termasuk pembedahan, rawatan radioiodin dan terapi hormon seperti yang disyorkan oleh doktor yang merawat. Satu lagi keistimewaan rawatan kanser tiroid DTC adalah ianya tidak memerlukan rawatan kemoterapi seperti rawatan kebanyakan kanser lain. Namun ianya dirawat menggunakan rawatan radioaktif radioiodin setiap 6 bulan sekali!

Boleh dirawat
Kanser tiroid DTC bukanlah hukuman mati. Sebaliknya, ia adalah antara jenis kanser yang paling boleh dirawat dengan jayanya dalam perubatan moden hari ini. Dengan pengetahuan yang betul dan tindakan awal, ramai pesakit mampu menjalani kehidupan yang panjang dan berkualiti.
Kesedaran awam memainkan peranan besar dalam pengesanan awal kanser tiroid. Pemeriksaan klinikal, imbasan ultrasound, dan ujian sampel tisu boleh membantu doktor menentukan sama ada sesuatu benjolan itu berbahaya atau sebaliknya. Apabila dikesan awal, rawatan yang diperlukan biasanya lebih mudah dan kesan jangka panjang dapat diminimumkan.
Kebanyakan pesakit datang ke hospital kerana menyedari benjolan di leher yang tidak sakit dan tidak hilang. Ada juga yang mengalami perubahan suara, rasa tidak selesa ketika menelan, atau rasa tekanan di bahagian leher. Walau bagaimanapun, simptom ini tidak khusus kepada kanser dan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan lain yang tidak berbahaya. Hakikatnya, majoriti benjolan tiroid bukanlah kanser, tetapi pemeriksaan lanjut amat penting untuk memastikan diagnosis yang tepat.


Kredit foto utama-medicalnews





