Penulis: Dr. Yeny Nadira Kamaruzzaman
Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu
Pemanasan laut bukan lagi isu masa depan; ia kini menjadi latar belakang baharu bagi ekologi dan perikanan dunia. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, perubahan iklim telah mengubah cara lautan berfungsi, daripada proses fizikal hinggalah kepada rantaian makanan yang menyokong kehidupan marin. Produktiviti sumber perikanan global dilaporkan semakin merosot akibat tekanan gabungan seperti penangkapan berlebihan, pencemaran dan perubahan iklim. Apa yang membimbangkan, perubahan ini berlaku secara senyap tetapi berterusan, dan kini semakin jelas sepertimana Rajah 1 menunjukkan suhu permukaan laut global terus mencatat rekod baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber: Climate Central berdasarkan data NOAA OISST v2.1
Data terkini juga menunjukkan bahawa suhu permukaan laut diluar kawasan kutub telah mencapai paras tertinggi pada tahun 2024, diikuti peningkatan berterusan kandungan haba lautan pada tahun 2025. Menjelang awal 2026, suhu global telah melonjak melepasi purata jangka panjang, dan keadaan ini dijangka menjadi lebih kritikal dengan kebarangkalian berlakunya fenomena El Niño dalam masa terdekat (Rajah 2). Dalam masa yang sama, gelombang haba marin menjadi semakin kerap, lebih lama dan meluas, termasuk di rantau Asia-Pasifik yang dekat dengan Malaysia. Semua ini menunjukkan bahawa pemanasan laut bukan lagi fenomena sementara, tetapi satu perubahan asas dalam sistem lautan global.

Sumber: NOAA Climate Prediction Center (CPC), April 2026
Dari sudut mekanisme, laut yang semakin panas mengubah struktur fizikalnya melalui proses stratifikasi. Lapisan air menjadi lebih stabil dan kurang bercampur, menyebabkan nutrien dari dasar laut sukar naik ke permukaan. Keadaan ini menjejaskan pengeluaran primer seperti fitoplankton, yang merupakan asas kepada keseluruhan rantaian makanan marin. Dalam masa yang sama, oksigen terlarut berkurang dan keasidan laut meningkat, manakala kecekapan pemindahan tenaga antara aras trofik menjadi semakin lemah. Perubahan dalam komuniti plankton, khususnya dominasi organisma yang lebih kecil dan kurang berkhasiat, turut menjejaskan bekalan tenaga kepada ikan. Secara keseluruhan, “enjin makanan” lautan menjadi semakin tidak stabil dan kurang produktif.
Kesan perubahan ini tidak berhenti pada peringkat mikroskopik. Ikan dan organisma marin yang lain akan bertindak balas secara langsung terhadap perubahan suhu ini. Mereka bukan sahaja sensitif terhadap perubahan kecil suhu, malah akan menukar lokasi habitat untuk mengekalkan keseimbangan fisiologi. Secara global, bukti menunjukkan bahawa banyak spesies ikan bergerak ke latitud yang lebih tinggi atau ke perairan yang lebih dalam untuk mengekori “niche” termal yang sesuai. Isyarat ini kini dapat dikesan dalam perubahan komposisi tangkapan, peralihan musim pembiakan dan juga dalam stok ikan yang merentasi sempadan negara. Menjelang tahun 2030, hampir satu daripada empat stok rentas sempadan dijangka mengalami anjakan lokasi, satu perkembangan yang mencabar sistem pengurusan perikanan sedia ada.

Bagi kawasan tropika seperti Asia Tenggara, implikasinya lebih besar. Walaupun kawasan ini merupakan penyumbang utama kepada bekalan ikan global, ia juga antara yang paling terdedah kepada kesan pemanasan laut. Unjuran menunjukkan bahawa potensi kawasan penangkapan ikan di rantau tropika boleh berkurang sehingga sekitar 40%, sedangkan hampir separuh daripada hasil tangkapan dunia berasal dari kawasan ini. Ini bermakna perubahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan ekologi, tetapi juga keselamatan makanan dan ekonomi berjuta-juta manusia.
Di peringkat serantau, bukti dari Laut China Selatan menunjukkan corak yang sangat konsisten dengan trend global. Kajian menunjukkan bahawa kawasan ini telah memanas sekitar 0.2°C setiap dekad sejak tahun 1990-an, disertai penurunan klorofil, fitoplankton, oksigen terlarut dan pH. Unjuran masa depan pula menunjukkan pemanasan berterusan akan menguatkan stratifikasi, mengurangkan oksigen dan seterusnya melemahkan produktiviti lautan. Dapatan ini selari dengan kajian terhadap ikan kembung di Semenanjung Malaysia, di mana peningkatan suhu menyebabkan kawasan potensi penangkapan semakin mengecil dan dalam sesetengah musim beralih ke luar Zon Ekonomi Eksklusif negara. Bagi nelayan, perubahan ini bukan sekadar angka dalam laporan saintifik, tetapi melibatkan jarak perjalanan, kos operasi dan akses kepada sumber.
Selain perubahan ruang, pemanasan laut juga mengubah masa biologi atau fenologi spesies marin. Ikan tidak sekadar berpindah ke kawasan baharu, tetapi turut mengubah masa pembiakan, migrasi dan kehadiran dalam sesuatu kawasan. Dalam sesetengah kes, perubahan ini menyebabkan ketidakpadanan antara masa kehadiran ikan dan jadual pemantauan atau penangkapan yang digunakan sebelum ini. Keadaan ini boleh mengganggu anggaran stok ikan dan menjejaskan keberkesanan pengurusan perikanan.
Kesan pemanasan laut juga memberi implikasi langsung kepada manusia. Sektor perikanan dan akuakultur menyokong puluhan juta pekerjaan di seluruh dunia dan menjadi sumber protein utama bagi berbilion manusia. Di Asia Tenggara khususnya, ikan bukan sahaja penting sebagai sumber protein, tetapi juga sebagai pembekal nutrien penting seperti omega-3, zat besi dan vitamin B12. Apabila produktiviti laut menurun dan taburan ikan berubah, bekalan nutrien ini turut terjejas. Dalam masa yang sama, pemanasan laut yang mencetuskan pelunturan karang turut menjejaskan habitat penting seperti terumbu karang, yang berfungsi sebagai kawasan asuhan bagi banyak spesies ikan. Apabila habitat ini terjejas, kesannya akan dirasai oleh keseluruhan ekosistem dan komuniti pesisir.
Dalam menghadapi cabaran ini, satu perkara menjadi jelas: perubahan ini tidak boleh dielakkan sepenuhnya, tetapi kesannya boleh diurus. Unjuran masa depan menunjukkan bahawa sesetengah kawasan latitud tinggi mungkin mengalami peningkatan sementara dalam hasil perikanan, tetapi kawasan tropika dijangka menanggung kerugian lebih awal dan lebih besar. Ini bermakna pendekatan pengurusan tidak boleh bersifat umum, sebaliknya perlu lebih fleksibel dan adaptif. Pemulihan stok ikan, penggunaan data saintifik secara terbuka, perlindungan habitat yang strategik dan pelarasan dasar mengikut perubahan taburan ikan adalah antara langkah penting yang perlu diambil.
Akhirnya, persoalannya bukan sama ada ikan akan berubah, tetapi sama ada manusia bersedia untuk berubah bersama mereka. Bukti saintifik kini semakin kukuh bahawa pemanasan laut mengubah produktiviti, aliran tenaga, taburan dan kitaran hidup spesies marin secara serentak. Walaupun terdapat ketidakpastian dalam magnitud perubahan, arah alirannya sudah jelas. Jika laut terus memanas, ikan akan terus menukar haluan. Dan jika pengurusan sumber tidak bergerak seiring dengan perubahan ini, kesannya akan paling dirasai oleh komuniti pesisir yang bergantung kepada laut untuk kelangsungan hidup mereka.
Artikel saintifik penuh:
Kamaruzzaman, Y. N., Mustapha, M. A., & Ghaffar, M. A. (2021). Impacts of sea temperature rise on Rastrelliger kanagurta potential fishing grounds in the Exclusive Economic Zone (EEZ) off South China Sea. Sains Malaysiana, 50(12), 3467-3479.
Kamaruzzaman, Y. N., & Ahmad Mustapha, M. (2023). An overview assessment of the effectiveness of satellite images and remote sensing in predicting potential fishing grounds and its applicability for Rastrelliger kanagurta in the Malaysian EEZ off the South China Sea. Reviews in Fisheries Science & Aquaculture, 31(3), 320-341.



Catatan: Dr. Yeny Nadira Kamaruzzaman merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang Sains Perikanan di Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau mempunyai kepakaran dalam oseanografi perikanan, dengan tumpuan kepada hubungan antara persekitaran laut, taburan ikan pelagik dan produktiviti ekosistem marin. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Laut dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Biologi Marin dari Bangor University, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dari UMT. Penyelidikan beliau memfokuskan kepada pemodelan ekosistem ikan pelagik dan kesan perubahan iklim terhadap sumber perikanan, khususnya di perairan Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel: y.nadira@umt.edu.my.
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan 25 Tahun UMT: Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.






