Penulis : ChM. Mohd Zulkhairi Azid , Abdul Muhaimin Abdul Kadir dan Dr. Mohd Norfaizal Ghazalli
Program Penggunaan Sumber & Konservasi Agrobiodiversiti
Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran (BE),
Ibu Pejabat MARDI Serdang
Profil Global dan Status Tanaman Dioscorea di Malaysia
Dioscorea spp. merupakan genus tanaman ubian yang tergolong dalam keluarga Dioscoreaceae. Tanaman ini dikenali sebagai “yam” (bahasa Inggeris), “ube” (Filipina), “umbi” atau “uwi” (Indonesia), “Shanyao” (China) dan “ubi” di Malaysia. Pengeluaran global tanaman ini tertumpu di kawasan benua Afrika (98%), Amerika (1.2%), Oceania (0.5%), dan Asia (0.2%). Negara seperti Nigeria, Ghana, Cote d’Ivoire, dan Benin merupakan pengeluar utama tanaman ubian ini. Permintaan terhadap tanaman ubian ini menunjukkan tren peningkatan yang ketara, dengan lonjakan pengeluaran daripada 81 juta tan metrik pada tahun 2020 kepada 88 juta tan metrik pada tahun 2022. Sebanyak 600 spesies di bawah genus Dioscorea ini telah direkodkan di seluruh dunia. Di Malaysia, Dioscorea diklasifikasikan sebagai tanaman ubian tradisional atau kurang dimanfaatkan (underutilized crops). Antara spesies yang sering ditemui di Malaysia ialah Dioscorea alata (ubi badak), Dioscorea esculenta (ubi itik / ubi nasi), Dioscorea bulbifera (ubi angin), dan Dioscorea hispida (ubi gadong). Penanaman dan pengeluaran ubian ini masih berada pada skala yang kecil. Berdasarkan statistik rasmi daripada Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia pada tahun 2025, pengeluaran ubi badak hanya merekodkan pengeluaran sebanyak 2 tan metrik dengan keluasan bertanam yang sangat rendah (0.2 hektar) berbanding dengan tanaman ubian komersial lain seperti ubi keledek (54,246 tan metrik, 3,327 hektar), ubi kayu (44,868 tan metrik, 2,554 hektar), dan ubi keladi (2,817 tan metrik, 492 hektar).
Analisis Nilai Pemakanan dan Penggunaan di Malaysia
Isi ubi Dioscorea spp. sememangnya terkenal dengan kepadatan makronutrien karbohidrat yang tinggi. Ciri biokimia ini menjadi faktor utama mengapa ubian diangkat sebagai sumber makanan ruji yang penting di benua Afrika untuk membekalkan tenaga harian mereka. Di Malaysia, ubian ini mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai sumber alternatif karbohidrat selain beras. Sebagai contoh, kandungan karbohidrat di dalam ubi badak dan ubi nasi adalah sebanyak 80 – 83 g/100g. Nilai kandungan karbohidrat yang berbeza dipengaruhi oleh faktor kepelbagaian varieti genetik ubian, iklim dan lokasi geografi di mana ubi itu ditanam. Selain fungsi utamanya sebagai pembekal kalori dan tenaga, ubian ini juga mengandungi nilai protein yang signifikan dan kompetitif berbanding tanaman umbisi lain. Ini sekaligus mampu menyokong keperluan nutrisi dan diet seimbang masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, kandungan protein dalam ubi gadong adalah sebanyak 1.13% – 6.20%, manakala ubi badak (4.7% – 8.99%), ubi nasi (7.25%) dan ubi angin (8.83%). Penggunaan ubian ini lebih sinonim dengan budaya gastronomi masyarakat di pantai timur Semenanjung Malaysia serta komuniti Orang Asli, khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, dan sebahagian kawasan pedalaman Pahang. Bagi komuniti ini, ubian ini bertindak sebagai sumber makanan sampingan yang amat kritikal terutama menjelang musim tengkujuh atau monsun timur laut (antara bulan Oktober hingga Disember) di mana aktiviti pertanian terjejas akibat faktor cuaca. Selain itu, salah satu kegunaan tradisional yang menarik adalah penggunaan rendaman air daripada ubi ciak (D. piscatorum). Komuniti Orang Asli secara tradisionalnya memanfaatkan air rendaman daripada ubi ciak ini sebagai agen penuba (racun semula jadi) untuk menangkap ikan di sungai. Keberkesanan kaedah tradisi ini adalah disebabkan dengan kehadiran sebatian alkaloid semula jadi yang bersifat neurotoksin (dioscorine). Walau bagaimanapun, memandangkan sebatian alkaloid ini berupaya memberikan kesan buruk kepada sistem saraf, kajian toksikologi lanjutan perlu dijalankan bagi mengenal pasti had ambang selamat, kesan sisa racun terhadap ekosistem air, serta mekanisme kerosakan biokimia atau keracunan sekunder kepada manusia yang memakannya.



Potensi Bioaktif Masa Hadapan
Kajian saintifik terdahulu telah membuktikan bahawa ubian ini menunjukkan pelbagai aktiviti biologi seperti antioksidan, antimikrob, antidiabetik, antihipertensi, hipolipidemik dan antiproliferatif. Kesan aktiviti biologi ini didorong dengan kehadiran metabolit sekunder seperti sebatian fenolik (flavonoid dan antosianin), karotenoid, dan sebatian saponin steroidal (diosgenin). Melalui pelbagai model ujian makmal (in vitro) serta ujian praklinikal (in vivo), sebatian diosgenin bertindak sebagai agen kardioprotektif (melindungi jantung), neuroprotektif (melindungi sel saraf), anti-radang, anti-trombotik (menghalang pembekuan darah berbahaya), dan imunomodulator (mengawal atur sistem imun badan). Selain manfaat kesihatan secara terus, sebatian ini juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam rantaian industri farmaseutikal global. Sebatian ini berfungsi sebagai prekursor atau bahan pemula kimia yang utama bagi proses sintesis industri untuk menghasilkan kortikosteroid, hormon seks (estrogen dan progesteron), serta pil perancang kehamilan. Ini menunjukkan, peranan ubi liar sebagai bekalan asas dalam rantaian pembuatan pelbagai ubatan berasaskan steroid.
Keterjaminan Makanan dan Agenda Mengarusperdanakan Ubi Liar
Sebagai kesimpulan, profil nilai pemakanan yang padat serta kepelbagaian aktiviti biokimia daripada ubian ini menunjukkan potensinya yang besar sebagai sumber makanan alternatif masa hadapan. Sistem keterjaminan makanan (food security) di Malaysia sebahagian besarnya sangat bergantung kepada beras sebagai sumber karbohidrat utama. Kebergantungan terhadap komoditi makanan ruji (monokultur diet) mendedahkan negara kepada risiko krisis bekalan sekiranya berlaku gangguan rantaian global, bencana alam, mahupun perubahan iklim yang ekstrem. Justeru, sumber makanan negara perlulah dipelbagaikan bagi memastikan bekalan makanan negara berada dalam keadaan yang selamat dan terkawal. Sumber alternatif daripada ubi liar seperti Dioscorea spp. perlu dipergiat melalui kolaborasi antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, dan pihak industri. Ini merangkumi usaha domestikasi tanaman ke ladang petani, pembaikbakaan tanaman, penambahbaikan teknologi lepastuai dan penghasilan produk hiliran berasaskan ubian tersebut. Melalui strategi pemasaran dan sokongan penyelidikan yang komprehensif, ubian tradisional ini mampu menjadi komoditi komersial yang bernilai tinggi dalam pasaran terbuka Malaysia.
Rujukan
Azahana, A., Dahlia, A.S., Noor Syaheera, M.Y., Noor Haslinda,N.H., Othman, H.S., & Salleh, M.S. (2023). Foliar morphological and micromorphological variation of Dioscorea species in Terengganu, Malaysia. Revelation and Science, 1(1), 29–38. doi: https://doi.org/10.31436/revival.v1i1.379
Azid, M. Z., Ghazalli, M. N., Kadir, A. M. A., Mohd Noor, S. A., Yusof, S. A. M., Yusof, N. D., Prayoga, M. R., & Salleh, S. (2025). Comparative Assessment of Nutritional, Antioxidant and Phytochemical Properties of Wild Yams (Dioscorea spp.) Accessions in Peninsular Malaysia. Biology, Medicine, & Natural Product Chemistry, 14(1), 211–218. https://doi.org/10.14421/biomedich.2025.141.211-218
Adomėnienė, A., & Venskutonis, P. R. (2022). Dioscorea spp.: Comprehensive Review of Antioxidant Properties and Their Relation to Phytochemicals and Health Benefits. In Molecules (Vol. 27, Issue 8). MDPI. https://doi.org/10.3390/molecules27082530
Cui, Y., Zhou, Y., Li, Y., Wang, J., Li, D., & Chen, F. (2023). Chinese Yam and Its Active Components Regulate the Structure of Gut Microbiota and Indole-like Metabolites in Anaerobic Fermentation In Vitro. Nutrients, 15. https://doi.org/10.3390/nu15245112
Department of Agriculture Peninsular Malaysia (DOA). (2025). Perangkaan Agromakanan Luar Bandar dan Tanaman Ubian Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: DOA.
FAO STAT. (2024). World Yam Production Share and Statistics by Region (2020-2022). Food and Agriculture Organization of the United Nations.
Ferriol, M. I. (2023). Morphological Diversity of Edible Yam ( Dioscorea spp ) in Tablas , Island , Romblon , Philippines. 5(1), 33–42.
Godfrey, E. O., Faith, O., & Esther, I. I. (2023). Comparative Assessment of the Proximate Composition, Functional Properties and Amino Acid Profile of Dioscorea bulbifera, Dioscorea alata and Dioscorea rotundata Found in Minna, Niger State. Biology, Medicine, & Natural Product Chemistry, 12(1), 177–185. https://doi.org/10.14421/biomedich.2023.121.177-185
Kuagny, R. B. M., Saha, B. U. F., Achu, M. B. L., Kansci, G., Medoua, G. N., & Fokou, E. (2023). Polyphenol and flavonoid contents, antioxidant activities and glycaemic index of Dioscorea spp and Coleus esculentus from Cameroon. Food Chemistry Advances, 3. https://doi.org/10.1016/j.focha.2023.100500
Mandal, N., Pathak, A., Gauliya, K., Manjhi, M. K., Gupta, A., Upadhyay, D., Khan, M. L., Koiri, R., Saad, T., & Upadhyay, C. (2025). Reprogramming of Diosgenin‐Specialized Metabolism in Plants and Its Medicinal Applications. Physiologia Plantarum, 177. https://doi.org/10.1111/ppl.70621
Mojiono, M., Ajiid, M. D. S., Wulandari, S., Apriliyanti, F., Alamsyah, F., & Fansuri, H. (2022). Profil Umbi Uwi (Dioscorea alata) dan Potensi Aplikasi Pada Beragam Produk Pangan: Review. JURNAL AGROSAINS : Karya Kreatif Dan Inovatif, 7(1), 36–41. https://doi.org/10.31102/agrosains.2022.7.1.36-41
Biodata Penulis
- ChM. Mohd Zulkhairi bin Azid merupakan Pegawai Penyelidik Kanan di Program Penggunaan Sumber & Konservasi Agrobiodiversiti, MARDI. Bidang pengkhususan beliau merangkumi kimia sebatian semulajadi dan fitokimia. Penyelidikan beliau di MARDI menjurus kepada pencirian kimia sumber agrobiodiversiti bagi menyokong aktiviti pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik bagi keterjaminan makanan negara.
- Abdul Muhaimin bin Abdul Kadir merupakan Pegawai Penyelidik di Program Penggunaan Sumber & Konservasi Agrobiodiversiti, MARDI. Bidang pengkhususan beliau adalah merangkumi bioteknologi tumbuhan dalam kultur tisu tumbuhan. Penyelidikan beliau dalam bidang bioteknologi tumbuhan, khususnya kultur tisu, krioawetan dan konservasi sumber genetik tanaman.
- Mohd Norfaizal Ghazalli merupakan Timbalan Pengarah Program Penggunaan Sumber & Konservasi Agrobiodiversiti, MARDI. Bidang penyelidikan beliau merangkumi aplikasi anatomi, mikromorfologi dan palinologi (kajian debunga) dalam pengecaman spesies, pemahaman hubungan evolusi serta pemuliharaan sumber tumbuhan. Skop kerja beliau melibatkan pelbagai famili tumbuhan, yang turut merangkumi sumber genetik tumbuhan untuk makanan dan pertanian (PGRFA).



