Penulis: Dr. Zainab Mat Yudin,
Pakar Perubatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia
Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM
Bagi individu yang disahkan menghidap diabetes (kencing manis) atau berada pada fasa pradiabetes, istilah “pantau gula” bukan lagi perkara asing. Namun, masih ramai yang beranggapan ujian darah hanya perlu dilakukan ketika janji temu di klinik atau hospital. Hakikatnya, pemantauan paras glukosa secara kendiri di rumah memainkan peranan paling besar dalam mengurus kesihatan harian dan mengelakkan komplikasi jangka panjang.
Apa itu Pemantauan Gula di Rumah?
Pemantauan glukosa darah kendiri (dikenali secara klinikal sebagai Self-Monitoring of Blood Glucose atau SMBG) merujuk kepada amalan memeriksa kepekatan gula dalam darah pada waktu-waktu tertentu.
Kaedah yang paling lazim digunakan di rumah merangkumi:
i- Glukometer Konvensional (Pemeriksaan Cucuk Jari): Menggunakan alat yang dipanggil glukometer untuk membaca bacaan gula (Gambar 1). Jarum halus (lancet) digunakan untuk mengambil setitis darah dari hujung jari, diletakkan pada jalur ujian (test strip) yang telah dimasukkan ke dalam glukometer. Bacaan dipaparkan pada alat tersebut dalam masa beberapa saat.
ii- Pemantau Glukosa Berterusan (Continuous Glucose Monitoring – CGM): Sensor kecil yang dipasang pada kulit (biasanya di lengan) untuk membaca paras glukosa cecair tisu secara berterusan sepanjang hari tanpa perlu kerap mencucuk jari (Gambar 2). Sensor ini perlu dipasang dalam masa 10 hingga 14 hari dan memberi bacaan yang lebih menyeluruh berkenaan bacaan gula secara harian setiap 5 hingga 15 minit bergantung kepada jenama alat. Bacaan dalam masa nyata (real-time) terus ke telefon pintar. Walaupun kos untuk alat ini lebih mahal, tetapi ia memberi bacaan gula seharian yang sangat tepat dan menyeluruh.


Siapa yang Memerlukan Pemantauan Gula di Rumah?
Walaupun ujian saringan disyorkan untuk semua orang dewasa secara berkala, pemantauan kerap di rumah amat kritikal bagi kumpulan berikut:
i- Pesakit Diabetes Jenis 1: Wajib memeriksa darah beberapa kali sehari kerana tubuh langsung tidak menghasilkan insulin, memerlukan pelarasan dos insulin yang tepat.
ii- Pesakit Diabetes Jenis 2 yang Mengambil Insulin atau Ubat Tertentu: Bagi pesakit yang mengambil insulin, amat penting pemantauan secara berkala di rumah. Bagi mereka yang mengambil ubat jenis sulphonylurea pula, mereka berisiko tinggi untuk mendapat hipoglisemia (gula terlalu rendah) dan amat digalakkan untuk mebuat pemeriksaan sekiranya bergejala.
iii- Wanita dengan Diabetes Semasa Hamil (Gestational Diabetes Mellitus – GDM): Kawalan gula yang sangat ketat diperlukan demi keselamatan ibu dan pembentukan janin yang sihat.
iv- Pesakit Diabetes yang Bacaannya Belum Stabil: Individu yang baru didiagnosis, baru menukar dos ubat, atau sering mengalami simptom gula tidak menentu.
Kenapa Perlu Pantau Gula Sendiri?
Pemeriksaan berkala di klinik (seperti ujian darah HbA1c setiap 3–6 bulan) hanya memberikan purata bacaan glukosa jangka panjang. Ia tidak menunjukkan naik turun gula dalam kehidupan seharian.
Antara sebab utama pemantauan di rumah penting:
i- Mencegah Kecemasan Akut: Mengesan awal risiko hipoglisemia (dengan gejala seperti menggeletar, berpeluh sejuk, pitam) atau hiperglisemia melampau sebelum menjadi bahaya.
ii- Memahami Tindak Balas Tubuh Terhadap Makanan: Setiap individu bertindak balas secara berbeza terhadap jenis makanan tertentu (contohnya nasi putih berbanding bijirin penuh). Ujian kendiri membantu mengenal pasti makanan pencetus.
iii- Melihat Kesan Aktiviti Fizikal dan Stres: Senaman biasanya menurunkan gula darah, manakala stres emosi atau jangkitan penyakit (seperti demam) boleh melonjakkan paras gula.
iv- Membantu Doktor Menyelaraskan Dos Ubat: Catatan bacaan harian yang lengkap memudahkan doktor membuat keputusan rawatan yang lebih selamat dan berkesan tanpa perlu meneka.
iv- Individu Pradiabetes yang Sedang Mengubah Gaya Hidup: Membantu mereka melihat secara langsung kesan diet dan senaman sebelum keadaan bertukar menjadi diabetes penuh.
Konsep “Pantau Gula yang Tepat” (Bila & Bagaimana?)
Memantau gula bukan sekadar mencucuk jari secara rawak apabila teringat. Pemantauan yang berkesan memerlukan masa dan sasaran yang betul:
Waktu Utama Pemeriksaan:
i- Puasa (Fasting): Sejurus bangun pagi sebelum sarapan atau minum manis (sekurang-kurangnya 8 jam berpuasa).
ii- Sebelum Makan (Pre-prandial): Sebelum mengambil hidangan utama tengah hari atau malam.
iii- 2 Jam Selepas Makan (Post-prandial): Dikira bermula dari suapan pertama makanan, bertujuan melihat sejauh mana tubuh memproses karbohidrat.
iv- Sebelum Tidur (pre-bed): Memastikan gula tidak terlalu rendah semasa tidur malam.
v- Bila-bila Masa Rasa Tidak Sihat: Jika berasa pening, berdebar, atau kabur penglihatan.
Bagi orang dewasa yang tidak hamil, julat sasaran umum paras gula dalam darah sebelum makan atau semasa berpuasa adalah antara 4.4 hingga 7.0 mmol/L, manakala bacaan ideal dua jam selepas makan pula wajar berada di antara 4.4 hingga 8.5 mmol/L (atau di bawah 10.0 mmol/L bergantung kepada keadaan individu). Julat sasaran sebenar mungkin berbeza mengikut umur, tahap kesihatan, dan nasihat doktor masing-masing
Memiliki alat glukometer hanyalah langkah pertama; kunci kejayaannya terletak pada buku log atau catatan bacaan (Gambar 3). Bawa rekod tersebut setiap kali berjumpa doktor agar pelan pemakanan, senaman, dan ubat-ubatan dapat dioptimumkan demi kualiti hidup yang lebih sihat.

Biodata Penulis
Dr. Zainab Mat Yudin mendapat pendidikan sebagai doktor perubatan pada tahun 2003 daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Hospital Alor Setar, Klinik Kesihatan Rasa dan Klinik Ibu dan Anak Kuala Kubu Bharu. Pada tahun 2015, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia dan beliau bertugas di klinik kesihatan di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Putatan dan Klinik Kesihatan Kundasang sebelum bertugas sebagai Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM pada tahun 2016 sehingga kini. Beliau juga bertugas di Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kelantan.




