Penulis: Dr. Noraini Mohamad
Pakar Perubatan Keluarga & Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia
Persoalan ini sering timbul dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan dewasa muda yang merasakan bahawa mereka belum berisiko menghidap penyakit kronik. Malah, ada yang sengaja mengelakkan diri daripada hadir ke klinik atau hospital kerana takut mengetahui keputusan yang mungkin tidak menyenangkan. Mereka bimbang sekiranya didiagnosis dengan penyakit tertentu dan perlu menjalani rawatan sepanjang hayat.
Hakikatnya, sikap tidak peduli terhadap kesihatan inilah yang sering menyebabkan penyakit dikesan terlalu lewat. Banyak penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal. Disebabkan itu, ramai pesakit hanya mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut apabila telah mengalami komplikasi serius seperti serangan jantung atau strok.
Kenapa Kita Perlu Menjalani Saringan Kesihatan?
Penyakit jantung iskemik kekal menjadi pembunuh utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik merupakan penyebab utama kematian pada tahun 2024 dengan 17,421 kematian, iaitu 13.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan. Penyakit jantung iskemik berlaku disebabkan penyempitan atau penyumbatan salur darah koronari di jantung. Keadaan ini menyebabkan jantung tidak mendapat bekalan oksigen secukupnya. Majoriti kes penyakit jantung iskemik sebenarnya berkait rapat dengan faktor risiko yang boleh dikesan lebih awal melalui saringan kesihatan.
Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, terdapat empat faktor risiko utama yang sering disebut sebagai penyebab berlakukanya penyakit jantung iskemik. Ia dikenali sebagai “penyakit 4 serangkai”, iaitu kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
Dianggarkan lebih setengah juta rakyat Malaysia mempunyai kombinasi penyakit 4 serangkai ini, manakala kira-kira 2.3 juta rakyat Malaysia hidup dengan tiga faktor risiko utama tersebut. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 menunjukkan bahawa:
i -16% atau 1 daripada 6 orang dewasa di Malaysia menghidap kencing manis.
ii -29.2% atau 1 daripada 3 orang dewasa di Malaysia menghidap darah tinggi.
iii -33% atau 7.6 juta orang dewasa mempunyai kolesterol tinggi.
iv- 54% rakyat Malaysia mengalami obesiti atau berlebihan berat badan dengan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 kg/m².Tidak hairanlah Malaysia sering digelar antara negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di rantau ini (Infografik 1).

Selain penyakit 4 serangkai ini, faktor lain yang meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik termasuk merokok, kurang aktiviti fizikal, pemakanan tinggi garam, lemak dan kalori, tekanan emosi, stres dan kemurungan serta penyakit buah pinggang kronik.
Saringan Kesihatan: Langkah Pencegahan Pertama
Ramai menganggap pencegahan bermula dengan pemakanan sihat atau senaman. Ianya benar, namun langkah pencegahan yang paling asas ialah mengetahui status kesihatan diri melalui saringan kesihatan. Tanpa saringan, seseorang mungkin menghidap penyakit selama bertahun-tahun tanpa disedari. Mari kita lihat bila masa yang sesuai untuk menjalani saringan bagi tiga penyakit utama yang meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik.
A –Saringan Kencing Manis
Kajian menunjukkan bahawa penyakit kencing manis menyumbang kira-kira 10% kepada risiko mendapat penyakit jantung iskemik pertama.
Bagaimana saringan dapat dilakukan?
Saringan boleh dilakukan di klinik atau hospital melalui:
i – Ujian gula darah menggunakan glucometer pada hujung jari
ii -Pengambilan darah vena untuk analisis makmal
Bila perlu menjalani saringan?
Bila saringan kencing manis ini perlu dilakukan bergantung kepada 3 keadaan seperti yang dihuraikan dibawah:
1- Individu yang mempunyai gejala kencing manis
Saringan perlu dilakukan secepat mungkin jika mengalami gejala seperti cepat letih dan lesu, kerap kencing, kerap bangun malam untuk membuang air kecil, sentiasa lapar, berat badan menurun tanpa sebab, dahaga berlebihan dan gatal pada bahagian kemaluan.
2 – Individu tanpa gejala tetapi mempunyai faktor risiko penyakit kencing manis
- Wanita yang pernah mengalami kencing manis semasa hamil atau dikenali sebagai gestational diabetes.
- Individu dengan BMI melebihi 23 kg/m² dan mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko:
- Sejarah penyakit jantung
- Ahli keluarga menghidap kencing manis
- Darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Kurang aktiviti fizikal
- Pernah melahirkan bayi seberat 4 kg atau lebih
- Individu yang telah didiagnosis sebagai pra-diabetes. Pra-diabetes merujuk kepada paras gula puasa antara 6.1 hingga 6.9 mmol/L.
Bagi individu ini, ujian saringan boleh dilakukan seawal yang mungkin. Sekiranya keputusan saringan adalah normal, pemeriksaan perlu diulang setiap tahun.
3 – Individu tanpa gejala dan tanpa faktor risiko kencing manis
Bagi golongan ini, saringan disarankan bermula pada umur 30 tahun ke atas dan dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun sekiranya keputusan saringan adalah normal (Infografik 2).
Bagaimana kencing manis didiagnosis?
Diagnosis boleh dibuat jika:
- Gula puasa darah ≥ 7.0 mmol/L
- Gula darah semasa tidak berpuasa ≥ 11.1 mmol/L
- HbA1c ≥ 6.3%
B –Saringan Darah Tinggi
Hipertensi atau darah tinggi sering digelar sebagai “pembunuh senyap” kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala pada peringkat awal. Kajian menunjukkan bahawa individu dengan hipertensi mempunyai 63.3% risiko seumur hidup untuk mendapat penyakit jantung iskemik, berbanding 46.1% bagi mereka yang mempunyai tekanan darah normal.
Bila perlu menjalani saringan?
Berbeza dengan kencing manis dan kolesterol, pemeriksaan tekanan darah perlu dimulakan lebih awal. Semua individu berumur 18 tahun dan ke atas disarankan menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun (Infografik 2).
Pemeriksaan lebih kerap perlu dilakukan bagi mereka yang mempunyai risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi seperti mempunyai sejarah keluarga darah tinggi, obesiti, merokok dan kurang aktiviti fizikal.
Bagaimana darah tinggi didiagnosis?
Diagnosis hipertensi boleh dibuat apabila dua bacaan tekanan darah ≥140/90 mmHg direkodkan pada masa yang berbeza. Oleh sebab tekanan darah boleh berubah mengikut keadaan semasa, doktor biasanya akan melakukan dua kali pemeriksaan pada masa yang berbeza sebelum membuat diagnosis.
C – Saringan Kolesterol Tinggi
Ramai yang menyangka kolesterol tinggi hanya berlaku kepada warga emas. Hakikatnya, keadaan ini semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda akibat pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup yang kurang aktif. Kajian menunjukkan bahawa lebihan kolesterol dalam darah menyumbang kepada hampir 49% risiko yang dikaitkan dengan kejadian penyakit jantung iskemik pertama.
Bila perlu menjalani saringan?
Semua orang dewasa berusia 30 tahun ke atas disarankan menjalani pemeriksaan kolesterol secara berkala melalui ujian darah. Sekiranya keputusan saringan adalah normal, pemeriksaan perlu diulang setiap tahun (Infografik 2).
Namun, bagi individu berisiko tinggi, saringan disarankan bermula lebih awal, iaitu pada usia 18 tahun ke atas. Golongan berisiko termasuk mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung iskemik pramatang, pesakit kencing manis, individu obes dan pesakit darah tinggi.
Apakah paras kolesterol yang dianggap tinggi?
Tahap kolesterol tinggi ialah jumlah total kolesterol sebanyak ≥ 5.2 mmol/L. Selain jumlah total kolesterol, doktor juga akan menilai bacaan LDL (kolesterol jahat), HDL (kolesterol baik) dan trigliserida untuk menentukan tahap risiko penyakit jantung.

Jangan Tunggu Sakit Baru Bertindak
Ramai pesakit yang mengalami serangan jantung berkata mereka tidak pernah menyangka perkara itu boleh berlaku kerana mereka berasa sihat sebelum ini. Namun, penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi boleh berkembang secara senyap selama bertahun-tahun tanpa sebarang gejala.
Saringan kesihatan bukan bertujuan untuk mencari penyakit, tetapi untuk mengesannya lebih awal supaya tindakan pencegahan dan rawatan dapat dilakukan sebelum komplikasi berlaku.
Jika anda berumur 18 tahun ke atas, jadikan pemeriksaan tekanan darah sebagai rutin tahunan. Jika anda berumur 30 tahun ke atas, lakukan juga pemeriksaan gula dan kolesterol secara berkala. Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, sejarah keluarga kencing manis atau darah tinggi dan gaya hidup yang tidak sihat, saringan perlu dilakukan lebih awal.
Ingatlah, semakin awal penyakit dikesan, semakin besar peluang untuk mengawalnya. Jangan tunggu sehingga serangan jantung menjadi “saringan pertama” kesihatan anda.
Rujukan:
Clinical Practice Guidelines (CPG) Management of Diabetes Mellitus. (2020). 6th edition. Ministry of Health Malaysia.
Clinical Practice Guidelines (CPG) Management of Dyslipidaemia. (2023). 6th edition. Ministry of Health Malaysia.
Clinical Practice Guidelines (CPG) Management of Hypertension. (2018). 5th edition. Ministry of Health Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2025). https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20260316143240.pdf
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS). (2023). Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan : Penemuan Utama. www.iku.gov.my/nhms.
Wilson, P. W. (2020). Overview of established risk factors for cardiovascular disease. UpToDate. https://www.uptodate.com/contents/overview-of-established-risk-factors-for-cardiovascular-disease.
Biodata Penulis
Dr. Noraini Mohamad merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia. Beliau memperolehi ijazah perubatan daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2004 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang Perubatan Keluarga daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 2013. Selepas tamat pengajian, beliau bertugas sebagai Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Telupid Sabah dan Klinik Kesihatan Taiping sebelum beliau mengambil keputusan untuk menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia bermula pada 1 Jun 2014. Beliau mempunyai minat yang mendalam di dalam perawatan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Beliau juga adalah pengarang kepada beberapa penerbitan jurnal antarabangsa dan buku ilmiah untuk rujukan.
Pengakuan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)
Artikel ini disediakan dengan bantuan alat kecerdasan buatan (AI), iaitu Copilot bagi tujuan penyuntingan bahasa dan penstrukturan kandungan. Notebook NLM digunakan bagi penyediaan infografik 1 dan 2. Semua kandungan, fakta dan rujukan telah disemak serta disahkan oleh penulis, yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketepatan artikel ini.




