Oleh: Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani
Pensyarah Pergigian & Pakar Endodontik,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Gigi berperan utama dalam mengunyah dan menghancurkan makanan di dalam mulut. Gigi juga membantu dalam pertuturan dengan menjadikan sebutan kata lebih jelas. Namun, fungsi penting gigi akan terganggu jika gigi ini sakit. Salah satu punca utama gigi sakit ialah berlakunya jangkitan kuman atau bakteria pada gigi tersebut.
Pada asasnya, mulut adalah tempat tinggal bagi beribu-ribu jenis bakteria yang tidak berbahaya. Bakteria ini hidup bersama dalam lapisan nipis yang melekit pada gigi yang dipanggil plak gigi. Bakteria juga hidup di air liur dan di seluruh rongga mulut. Mereka membantu dalam pencernaan semasa pengunyahan dan pembersihan persekitaran mulut. Masalah akan berlaku apabila gigi dan persekitaran mulut terlalu kerap terdedah kepada makanan dan minuman yang manis. Gula menjadi makanan tambahan untuk bakteria, mengaktifkan aktiviti mereka dan menghasilkan asid yang melemahkan struktur gigi.
Gigi dan Bakteria
Gigi manusia terdiri daripada tiga lapisan utama. Lapisan paling luar ialah enamel, di bawahnya terdapat dentin yang mengandungi tiub-tiub halus yang menghubungkan permukaan luar dan dalam. Lapisan ketiga dan paling dalam ialah pulpa, iaitu ruang yang mengandungi saluran darah, saraf dan tisu. Dalam keadaan mulut yang tidak bersih, dipenuhi makanan bergula, bakteria dengan mudah merosakkan struktur lapisan gigi hingga menyebabkan terjadinya sakit gigi.
Permulaan jangkitan bakteria pada gigi bermula dengan pengambilan gula yang kerap, diikuti dengan kebersihan gigi dan mulut yang kurang memuaskan. Dalam keadaan ini, bakteria menjadi aktif dan mengeluarkan asid yang merosakkan struktur gigi. Bakteria yang dikenal pasti sangat aktif menghasilkan asid ialah Streptococcus mutans dan Lactobacilus species. Selain aktif menghasilkan asid, kedua-dua bakteria ini juga dapat bertahan dalam keadaan berasid. Asid yang dihasilkan melembutkan enamel, menjadikannya rapuh dan mudah berlubang. Keadaan ini dikenali sebagai karies (gigi berlubang akibat serangan bakteria). [Gambar 1(a) dan 1(b)]
Karies yang tidak dirawat menyebabkan bakteria semakin merebak ke pulpa yang berada di dalam salur akar gigi. Pulpa ialah tisu lembut yang mengandungi saraf dan salur darah. Pencerobohan bakteria di dalam pulpa menyebabkan keradangan yang dinamakan pulpitis. Pulpitis menyebabkan gigi mengalami kesakitan. [Gambar 2(a) dan 2(b)]
Keradangan pulpa yang dibiarkan tanpa rawatan, menyebabkan keadaan nekrosis berlaku, iaitu tisu mati akibat ketiadaan bekalan darahnya. Dalam keadaan seperti ini, sel pertahanan badan dan antibiotik sukar untuk sampai ke dalam saluran akar gigi. Pulpa yang mati akan kekal menjadi tempat hidup bagi bakteria.
Pulpa nekrotik menjadikan saluran akar sebagai tempat yang kekurangan oksigen atau bahkan tanpa oksigen. Keadaan ini memberi ruang kepada bakteria jenis anaerob, iaitu yang hidup tanpa oksigen, seperti Fusobacterium nucleatum dan Porphyromonas endodontalis. Spesis bakteria ini membiak dan membentuk komuniti yang saling membantu, serta bergerak ke bawah sehingga berjaya keluar ke kawasan periapikal. [Gambar 3]
Sebaik bakteria tiba di periapikal, keradangan tulang sekeliling pula akan berlaku, dinamakan sebagai periodontitis apikal. Nanah akan mula terkumpul, menyebabkan bengkak dan sakit. Sekali lagi, jika dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan boleh merebak ke permukaan badan yang lain seperti muka dan leher. Kesan lain yang boleh berlaku termasuk demam, sukar menelan dan bernafas.


Jangkitan Bakteria Pada Gigi
Antara faktor yang meningkatkan risiko jangkitan bakteria pada:
1.Pengambilan makanan dan minuman yang tinggi gula
2.Pengambilan makanan dan minuman berasid
3.Meninggalkan memberus gigi dan membiarkan mulut tidak bersih
4.Sistem imunisasi badan yang lemah;
Jika Jangkitan Dibiarkan Tanpa Rawatan
Ramai orang memilih untuk menahan sakit atau hanya mengambil ubat penahan sakit dan antibiotik tanpa berjumpa doktor gigi. Kesakitan mungkin berkurang, tetapi jangkitan sebenarnya masih ada dan boleh menyebabkan keradangan serta kesakitan berulang. Rawatan awal dan pantas akan membuka peluang untuk menyelamatkan gigi daripada jangkitan berterusan dan dapat mengelakkan sebarang komplikasi serius.
Pilihan Rawatan
Rawatan bergantung kepada tahap keterukan jangkitan. Dalam kebanyakan kes, matlamat utamanya ialah menghapuskan bakteria, mengurangkan kesakitan dan mengekalkan fungsi gigi.
Pada peringkat awal, apabila jangkitan hanya melibatkan struktur luar gigi, doktor akan membuang bahagian gigi yang rosak dan menampalnya. Rawatan ini menghentikan perkembangan karies dan menghalang bakteria daripada menceroboh ke pulpa. Walau bagaimanapun, jika bakteria telah merebak ke pulpa, rawatan salur akar diperlukan. Doktor akan mengeluarkan tisu pulpa yang dijangkiti, membersihkan dan membunuh bakteria dalam salur akar, kemudian menutup ruang tersebut untuk mengelakkan jangkitan berulang.
Antibiotik kadangkala diberikan untuk membantu mengawal jangkitan, terutama jika terdapat bengkak, demam atau risiko jangkitan merebak. Namun, antibiotik sahaja tidak mencukupi jika lokasi dan punca jangkitan bakteria tidak dirawat.
Pilihan lain ialah mencabut gigi yang dijangkiti bakteria. Doktor akan mencadangkan pilihan pengganti kepada gigi yang telah dicabut sama ada gigi palsu, jambatan gigi atau implan gigi.
Pencegahan
Langkah pencegahan adalah yang paling mudah dan sangat berkesan jika diamalkan dengan disiplin yang tinggi. Pastikan mulut dan persekitarannya sentiasa bersih dengan memberus gigi, berkumur, dan mengamalkan pemakanan seimbang. Malahan yang paling penting ialah mengurangkan pengambilan makanan dan minuman manis. Juga, jangan lupa untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan gigi secara berkala.
Memahami bagaimana jangkitan bakteria berlaku pada gigi membantu kita mengambil langkah pencegahan lebih awal. Kesihatan mulut yang baik bukan sahaja memberi senyuman yang cantik, tetapi juga memberi keselesaan hidup dan kesihatan tubuh secara keseluruhan. Jangan tunggu sehingga sakit gigi menjadi teruk; dapatkan pemeriksaan awal dan nasihat daripada doktor gigi bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan teruk.
Rujukan
Trishala, Pandey, P., Bharti, R., & Verma, P. (2026). The role of biomarkers in modern endodontic diagnosis. International Journal of Research in Medical Sciences, 14(8), 3707-3713.
Wieczorkiewicz, K., Jarząbek, A., Bakinowska, E., Kiełbowski, K., & Pawlik, A. (2025). Microbial dynamics in endodontic pathology: From bacterial infection to therapeutic interventions: A narrative review. Pathogens, 14(1), Article 12. https://doi.org/10.3390/pathogens14010012
Zhu, Y., Wang, Y., Zhang, S., Li, J., Li, X., Ying, Y., Yuan, J., Chen, K., Deng, S., & Wang, Q. (2023). Association of polymicrobial interactions with the development and prevention of dental caries. Frontiers in Microbiology, 14, Article 1162380. https://doi.org/10.3389/fmicb.2023.1162380
Biodata Pengarang
Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani ialah seorang pensyarah kanan dan pakar dalam bidang endodontik (rawatan salur akar). Beliau terlibat aktif dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan pencegahan dan rawatan sakit gigi.



