Penulis: Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johara,b,*, Halimah Muhamada,b,Dr. Amirul Ashraf Ahmad Shan Wani a,b,
aJabatan Surgeri Plastik dan Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
bHospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
Laporan World Health Organization (WHO) menyatakan kecederaan melecur merupakan masalah kesihatan awam yang utama secara global. Begitu juga di Malaysia, data statistik rawatan luka melecur dan terbakar menunjukkan sebanyak 4523 kes kemasukan ke hospital awam pada tahun 2025 sahaja. Menurut laporan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 10 Punca Utama Kemasukan ke Hospital KKM pada tahun 2021, luka melecur dan terbakar merupakan punca kemasukan ke hospital yang keenam tertinggi.
Statistik global mahupun lokal menunjukkan kes melecur dan terbakar lebih banyak terjadi di rumah berbanding di luar rumah atau pun tempat kerja. Lebih menyedihkan lagi kes melecur yang terjadi di rumah adalah merupakan golongan kanak-kanak yang secara statistik lebih tinggi jika dibandingkan dengan dewasa.
Punca melecur dan kebakaran boleh dikategorikan kepada beberapa sumber iaitu haba, kimia dan elektrik. Contoh kepada sumber haba adalah elemen yang berkeupayaan membawa haba tinggi contohnya daripada sumber api itu sendiri, sambaran api, permukaan panas seperti tapak seterika, cecair panas seperti air atau minyak dan juga wap panas. Manakala contoh melecur akibat bahan kimia pula boleh dibahagikan kepada sumber asid atau alkali. Contoh bahan yang mengandungi sumber asid adalah bahan pencuci tandas, cecair bateri, pencuci besi karat dan lain-lain lagi. Manakala bahan yang mengandungi sumber alkali adalah bancuhan simen, peluntur dan bahan pencuci kolam renang.
Luka melecur atau pun terbakar daripada sumber elektrik boleh dibahagikan kepada voltan rendah dan voltan tinggi. Sumber voltan rendah (<1000V) adalah renjatan daripada soket elektrik dinding rumah contoh seperti menyentuh wayar elektrik yang masih berarus, memasukkan objek logam ke dalam soket, mengendalikan cerek dengan wayar terkoyak dan anak kecil menggigit wayar pengecas telefon bimbit. Manakala sumber bervoltan tinggi (>1000V) contohnya seperti buruh binaan tersentuh kabel pencawang elektrik, mengendalikan peralatan dan jentera industri yang mempunyai arus elektrik bervoltan tinggi tanpa mengenakan pakaian keselamatan lengkap.

Namun, tanpa mengira punca-punca melecur, tindakan bijak pertolongan cemas pertama (first aid) adalah sangat penting kerana ianya menentukan nasib kulit yang melecur itu. Cara-cara melaksanakan pertolongan cemas pertama bagi melecur dan terbakar adalah, cukup hanya mengalirkan air paip selama 20 minit atau lebih pada bahagian melecur (perhatian khas diberikan pada melecur akibat renjatan elektrik adalah dinasihatkan untuk mematikan punca sumber elektrik dengan selamat dan harus dibawa segera berjumpa dengan dokter).
Apakah manfaat aliran air paip selama 20 minit pada luka melecur? Menurut kajian, luka melecur atau terbakar, apabila mendapat sentuhan langsung dengan air yang bersuhu relatif lebih sejuk berbanding badan manusia dapat membantu menurunkan suhu tisu, sekali gus menghadkan keparahan dan kedalaman luka melecur itu sendiri. Tindakan ini juga boleh membantu mengurangkan pembengkakkan tisu dengan menghadkan pembebasan sel-sel peradangan, serta mengurangkan kesakitan dengan menurunkan suhu tisu sehingga di bawah ambang pengaktifan saraf kulit.
Tambahan lagi, dengan melaksanakan pertolongan cemas pertama yang tepat dapat mengurangkan komplikasi dan kematian pada kes-kes yang parah, serta memberikan hasil yang lebih baik dari segi penyembuhan luka, penampilan parut dan dapat mengurangkan keperluan pembedahan. Walaupun sumber air paip adalah sumber pertolongan cemas pertama yang paling mudah untuk diperolehi di rumah mahupun di tempat kerja, masyarakat masih ramai yang belum mengetahui kepentingan ini dan mengamalkan tradisi lama iaitu dengan menggunakan bahan-bahan makanan dan minyak urut.
Menurut sebuah kajian tempatan mendapati, ilmu pertolongan cemas pertama melecur di kalangan masyarakat tempatan adalah masih rendah jika dibandingkan dengan luar negara. Kajian tersebut mendedahkan hanya 5 % masyarakat tempatan yang melaksanakan kaedah yang betul dari segi medium dan waktu yang tepat. Selebihnya menggunakan rawatan tradisional seperti menyapu minyak gamat (6.5%), kicap (5.5%), salap (3.6%), susu (1.8%) dan telur (0.7%), serta madu, mentega dan minyak masak (masing-masing 0.4%).

Dengan menyapukan bahan makanan dan minyak urut tersebut pada luka melecur, bukan sahaja ianya tidak mendatangkan manfaat, malah boleh mendatangkan risiko jangkitan pada luka tersebut terutama sekali pada pesakit dengan sistem pertahanan tubuh yang rendah contohnya pesakit kencing manis. Ini kerana bahan-bahan makanan tersebut adalah tidak steril dan berpotensi mempunyai kuman dan mudah meresap masuk pada luka yang sedang terbuka itu. Tambahan lagi, sesetengah bahan makanan dan minyak urut boleh mengakibatkan rasa pedih yang lebih kuat kerana ramuan bahan-bahan tersebut yang boleh mengiritasi pada lukar melecur tersebut.
Maklumat tambahan yang masyarakat perlu ketahui adalah, selain menggunakan medium yang tepat iaitu air paip dan durasi aliran air iaitu sekurang-kurangnya 20 minit, masyarakat perlu mengetahui bahawa peranan 3 jam pertama adalah sangat penting. Ini kerana mengikut kajian antarabangsa mendedahkan bukti kukuh menunjukkan bahawa penggunaan air paip sejuk yang mengalir selama 20 minit dalam tempoh tiga jam pertama selepas kecederaan memberikan manfaat terapeutik yang paling besar. Menurut kajian itu lagi, aliran air dalam tempoh tiga jam pertama selepas kecederaan melecur dapat mengurangkan secara signifikan kemungkinan pesakit memerlukan intervensi pembedahan untuk pengurusan luka. Dalam erti kata lain, pertolongan cemas pertama ini adalah sangat efektif dalam 3 jam pertama sekiranya ianya dilakukan dengan tepat dan keberkesanan pertolongan cemas selepas 3 jam adalah kurang efektif dan berkemungkinan luka melecur akan menjadi lebih dalam sehingga memerlukan intervensi pembedahan.

Tindakan selanjutnya setelah melaksanakan pertolongan cemas pertama, bagi luka melecur tahap satu (superficial burn) iaitu sama seperti selaran matahari (sunburn) cara merawatnya adalah cukup dengan menyapu krim pelembap yang tidak mempunyai bahan-bahan yang mengiritasi kulit. Ini kerana, luka melecur tahap satu ini mempunyai proses penyembuhan yang cepat dalam waktu satu minggu.
Manakala, luka melecur tahap 2 (superficial partial thickness) dengan variasi kedalaman luka mempunyai ciri-ciri permukaan yang mempunyai gelembung air atau pun luka dasar terbuka yang berwarna merah salmon. Luka ini mempunyai symptom yang sangat pedih ini adalah kerana deria saraf turut tercedera dan terdedah. Oleh maka itu, luka melecur tahap 2 adalah digalakkan untuk terus berjumpa dokter bagi mendapatkan rawatan cucian luka yang sesuai.
Sebelum berjumpa dengan doktor, luka melecur tersebut boleh dibalut dengan menggunakan plastik lutsinar pembalut makanan yang bersih atau kain bersih secara sementara. Luka melecur tahap 3 dimana keseluruhan lapisan kulit dan saraf deria telah rosak sehingga pesakit tidak berasa sakit dan permukaan kulit menjadi keras, kesat dan berwarna putih atau kehitaman. Luka melecur tahap 3 juga adalah dinasihatkan untuk berjumpa dokter untuk perawatan lebih serius kerana memerlukan intervensi pembedahan.

Kesimpulannya, pertolongan cemas pertama untuk luka melecur dan terbakar adalah dengan mengalirkan air paip pada bahagian luka, dilakukan sekurang-kurangnya selama 20 minit atau lebih dan sebaik-baiknya dilaksanakan dalam 3 jam pertama setelah kecederaan untuk mendapatkan efek terapeutik yang optimum. Amalan tradisi menggunakan bahan-bahan makanan, kosmetik dan minyak urut sebagai pertolongan cemas pertama, haruslah ditinggalkan kerana ianya tidak mendatangkan efek teraputik bahkan boleh memudaratkan luka. Luka melecur tahap satu boleh dirawat sendiri di rumah manakala tahap 2 dan 3 memerlukan intervensi daripada doktor.
Rujukan
- Mock C, Peck M, Peden M, Krug E, editors. A WHO plan for burn prevention and care. Geneva: World Health Organization; 2008.
- Data statistic luka melecur dan terbakar 2015 – 2025, Pusat Informatik Kesihatan, Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Ministry of Health Malaysia. Annual report 2021. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia; 2022. p. 6.
- Elshahidi MH. Clinico-demographic profile of burns in the Middle-East and North-Africa (MENA) region: a systematic review and meta-analysis. Discover Public Health. 2024;21:154. doi:10.1186/s12982-024-00277-9
- Tracy LM, Rosenblum S, Gabbe BJ. Burns Registry of Australia and New Zealand (BRANZ) 2018/19 Annual Report. Monash University; 2020. (https://www.monash.edu/__data/assets/pdf_file/0006/3966522/BRANZ-15th-Annual-Report-Jul-23-Jun-24-PUBLIC.pdf?utm_source)
- Lee A, Wang Y, Nadarajah CC, Lipner SR. Cross-sectional analysis of national electronic injury surveillance system for burn injuries presenting to United States emergency departments 2000–2018. Burns. 2022;48(6):1347–1354. doi: 10.1016/j.burns.2021.11.015.
- Mehta K, Thrikutam N, Hoyte-Williams PE, et al. Epidemiology and outcomes of cooking- and cookstove-related burn injuries: A World Health Organization Global Burn Registry report. J Burn Care Res. 2023;44(3):508–516. doi: 10.1093/jbcr/irab166.
- Duan W, Xu X, Cen Y, Xiao H, Liu X, Liu Y. Epidemiologic investigation of burn patients in Sichuan Province, China. Med Sci Monit. 2019;25:872–879. doi:10.12659/MSM.912821
- McInnes JA, Cleland H, Tracy LM, Darton A, Wood FM, Perrett T, et al. Epidemiology of work-related burn injuries presenting to burn centres in Australia and New Zealand. Burns. 2019;45(2):484–493. doi:10.1016/j.burns.2018.09.011
- Predictors of mortality and validation of burn mortality prognostic scores in a Malaysian burns intensive care unit. BMC Emergency Medicine. 2019;19:66. DOI: 10.1186/s12873-019-0284-8
- Tan HC, Tan JH, Thomas M, Imran FH, Tuan Mat TN. Survival analysis and mortality predictors of hospitalized severe burn victims in a Malaysian burns intensive care unit. Burns & Trauma. 2019;7:3. DOI: 10.1186/s41038-018-0140-1
- Griffin B, Cabilan CJ, Ayoub B, Xu H, Palmieri T, Kimble R, et al. The effect of 20 minutes of cool running water first aid within three hours of thermal burn injury on patient outcomes: a systematic review and meta-analysis. Australas Emerg Care. 2022;25(4):367–376. doi:10.1016/j.auec.2022.05.004
- Seow SN, Halim AS, Sulaiman WAW, Mat Saad AZ, Fatimah MJ. The practice of first aid for burn injuries among the population of East Coast of Peninsular Malaysia for 2012–2016. J Burn Care Res. 2020;41(4):905–907. doi:10.1093/jbcr/iraa025.




