Oleh : Chia Siow Ching
Mahasiswa UKM
Pada masa sekarang, amalan penggunaan barangan atau perkhidmatan yang tidak lestari menyebabkan kuantiti sampah semakin bertambah dan seterusnya mengakibatkan masalah kekurangan tempat menyimpan dan memproses sampah-sarap. Di dalam konteks pembangunan yang berdasarkan gaya hidup mewah dalam masyarakat hari ini, pengguna banyak membazir dan telah mencemarkan alam sekitar ini. Oleh itu, dengan menyedari betapa seriusnya pencemaran alam sekitar inilah yang telah mewujudkan kesedaran baru yang dikenali sebagai pembangunan lestari.
Amalan lestari adalah amalan menggunakan barangan atau perkhidmatan untuk memenuhi keperluan asas supaya mencapai kualiti hidup yang lebih tinggi dengan masa yang sama pula mengurangkan penggunaan sumber asli, bahan toksik dan pengeluaran bahan pencemar supaya tidak menggugat keperluan generasi akan datang. Amalan lestari amat mengutamakan penggunaan sumber air, tenaga dan sumber-sumber asli yang lain secara berhemat. Penggunaan alternatif-alternatif kepada sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti petroleum dan arang batu juga digalakkan. Selain daripada penggunaan sumber asli dengan berhemat, penggunaan teknologi yang bersih dan mesra alam juga dapat mencapai kualiti hidup yang tinggi.
Masyarakat yang lestari akan wujud sekiranya pengguna dan pengeluar dapat sama-sama mengamalkannya serta mempengaruhi kawan-kawan sekeliling turut mengikuti penggunaan lestari. Dengan ini generasi akan datang mempunyai peluang terus menggunakan keperluan asas dengan mudah. Amalan lestari boleh diaplikasikan dengan begitu senang di semua tempat samada di rumah, di pejabat, di pusat beli-belah atau semasa belajar di sekolah. Kehidupan kita selalu berkait rapat dengan lestari jika kita lebih prihatin terhadap alam sekitar. Ramai orang kurang mengaplikasikannya kerana mereka menganggap pengaruh tingkah-laku seseorang itu tidak besar. Namun pemikiran sedemikian harus diubah kerana pengaruh besar akan dapat dinampak sekiranya setiap orang juga mengamalkannya.
Penjimatan elektrik amat penting kerana penggunaan tenaga yang cekap boleh memanjangkan hayat penggunaan barangan elektrik serta boleh memelihara alam sekitar melalui pengurangan Kesan Rumah Hijau” dan pemanasan sejagat. Penggunaan lestari dapat diamalkan di semua tempat dalam kehidupan seharian. Kertas kitar semula serta penggunaan kedua-dua belahnya digalakkan supaya dapat mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Ini adalah kerana untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 batang pokok yang terpaksa ditebang dan diproses. Bagi mereka yang bekerja boleh mengamalkan amalan lestari dengan berkongsi kenderaan bagi mengurangkan pencemaran udara, kesesakan jalan raya dan menjimatkan perbelanjaan.
Selain daripada amalan yang disebut di atas, kita juga boleh cuba menanam sayur-sayuran secara hidroponik di sekitar kawasan rumah. Cara penanaman ini tidak memerlukan ruang tanah yang luas, sayur-sayuran yang ditanam segar, bebas kimia racun perosak serta sihat dimakan. Sisa-sisa sayuran dan buah-buahan juga boleh dijadikan sebagai baja organik. Aktiviti ini boleh dijadikan sebagai aktiviti keluarga pada hujung minggu. Kos perbelanjaan rumah dikurangkan serta hubungan antara ahli keluarga juga dapat dieratkan melalui amalan lestari ini.
Tiba masanya bagi kita sebagai penghuni planet bumi mengubah sikap yang tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar supaya alam sekitar yang dinikmati oleh masyarakat sekarang ini dapat diwarisi kepada generasi akan datang. Di samping itu, amalan lestari ini akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan hidupan lain seterusnya memberi kualiti hidup yang lebih tinggi dan selesa kepada semua golongan dalam masyarakat ini.