Penulis: Dr. Aimi Binti Kamarudin
Pensyarah Kanan & Pakar Pergigian Kanak-kanak,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM)
Masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak semakin mendapat perhatian, seiring dengan peningkatan kesedaran ibu bapa di Malaysia terhadap kepentingan kualiti dan kesihatan tidur. Berdengkur bukan sahaja menjejaskan kualiti tidur, malah turut dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan oral dan perkembangan kraniofasial.
Pengesanan awal masalah berdengkur disarankan dalam lingkungan umur 6 hingga 13 tahun. Antara tanda klinikal yang perlu dikenal pasti semasa pemeriksaan pergigian ialah perubahan bentuk muka, maloklusi (susunan gigi yang tidak normal), lelangit yang tinggi dan sempit, kehausan gigi (tooth attrition), serta keadaan lidah pendek atau tongue-tie (ankyloglossia). Sebahagian besar kanak-kanak yang berdengkur juga didapati mempunyai tabiat bernafas melalui mulut.
Doktor gigi am disarankan merujuk kanak-kanak kepada pakar pergigian kanak-kanak sekiranya terdapat masalah berdengkur yang disertai tanda-tanda oral seperti yang dinyatakan di atas.
Kepentingan Pendekatan Pelbagai Disiplin
Masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak lazimnya memerlukan kerjasama antara pakar pergigian kanak-kanak, pakar ortodontik dan doktor perubatan, khususnya pakar Telinga, Hidung dan Tekak (THT) atau Otorinolaringologi. Pendekatan pelbagai disiplin ini penting bagi memastikan diagnosis yang tepat serta rawatan yang menyeluruh.
Ibu bapa perlu memahami bahawa masalah berdengkur sering melibatkan pelbagai faktor yang saling berkait. Dalam sesetengah kes, masalah ini bukan sahaja berpunca daripada pembesaran adenoid, malah turut melibatkan faktor lain seperti lelangit yang tinggi dan sempit atau keadaan tongue-tie. Jika rawatan hanya tertumpu kepada pembedahan adenoid (adenoidektomi) tanpa menangani faktor-faktor lain, gejala mungkin berterusan.
Masalah berdengkur yang tidak dirawat dengan sewajarnya boleh menyebabkan pernafasan mulut yang berpanjangan, seterusnya mempengaruhi pertumbuhan struktur muka dan penjajaran gigi.
Pemeriksaan oleh Pakar Pergigian Kanak-Kanak
Pemeriksaan awal oleh pakar pergigian kanak-kanak melibatkan penilaian menyeluruh struktur orofasial. Lelangit yang tinggi dan sempit akan dinilai melalui pengukuran lebar inter-kanin dan lebar inter-molar bagi menentukan sama ada rahang atas berkembang secara normal.
Sekiranya ukuran menunjukkan rahang atas yang sempit, sesi pengambilan sejarah perubatan dan tabiat tidur akan dilakukan bersama ibu bapa. Antara perkara yang sering ditanyakan ialah:
1- Corak tidur kanak-kanak
i-Adakah kanak-kanak tidur lewat?
ii-Adakah mereka kerap terjaga pada waktu malam kerana haus atau ingin ke tandas?
iii-Adakah mereka sering kelihatan letih atau tertidur semasa sesi pembelajaran?
2- Kekerapan berdengkur dan pernafasan mulut
i- Adakah berdengkur hanya berlaku ketika demam atau hidung tersumbat?
ii- Adakah kanak-kanak tidur dengan mulut terbuka hampir setiap malam?
Sekiranya ibu bapa melaporkan gejala berdengkur yang konsisten serta pernafasan mulut ketika tidur, pemeriksaan lanjut terhadap tonsil dan saluran pernafasan atas akan dilakukan.
Adenoid, Tonsil dan Bruxism
Pembesaran tonsil dan adenoid merupakan keadaan yang lazim dalam kalangan kanak-kanak. Faktor yang sering dikaitkan termasuk kecenderungan genetik, alahan, jangkitan berulang, pencemaran udara, pendedahan kepada asap rokok dan jerebu.
Apabila tonsil atau adenoid membesar, saluran pernafasan atas boleh menjadi sempit dan menyebabkan kanak-kanak berdengkur atau bernafas melalui mulut.
Ramai kanak-kanak yang mengalami gangguan pernafasan semasa tidur juga menunjukkan tanda atrisi gigi akibat bruxism, iaitu tabiat mengetap atau menggesel gigi secara berlebihan ketika tidur atau berjaga. Keadaan ini boleh menyebabkan kehausan gigi yang memerlukan rawatan restoratif oleh pakar pergigian kanak-kanak.
Bagi kes yang melibatkan pembesaran tonsil atau adenoid yang ketara, pesakit lazimnya akan dirujuk kepada pakar THT untuk penilaian dan rawatan lanjut.
Peranan Tongue-Tie dalam Berdengkur
Keadaan tongue-tie atau ankyloglossia yang sederhana hingga teruk boleh mempengaruhi kedudukan lidah dan perkembangan rahang atas. Dalam sesetengah kes, keadaan ini dikaitkan dengan pembentukan lelangit yang tinggi dan sempit serta tabiat bernafas melalui mulut.
Diagnosis tongue-tie dibuat berdasarkan penilaian anatomi dan fungsi lidah, termasuk julat pergerakan lidah semasa bercakap, menelan dan berehat.
Pakar pergigian kanak-kanak juga akan menerangkan kepada ibu bapa bahawa kedudukan lidah yang tidak dapat mencapai lelangit secara optimum boleh mempengaruhi pola pernafasan dan perkembangan orofasial. Selain itu, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami kesukaran mengunyah makanan yang memerlukan kunyahan lebih lama, sekali gus menyebabkan mereka cenderung memilih makanan yang lebih lembut atau mudah dimakan.
Keadaan ini boleh menyumbang kepada aduan ibu bapa bahawa anak mereka merupakan seorang memilih makan (picky eater).
Rawatan Frenektomi Lingual
Bagi kes tongue-tie yang menjejaskan fungsi lidah secara signifikan, prosedur frenektomi lingual mungkin disyorkan oleh pakar gigi kanak-kanak. Prosedur pembedahan kecil ini biasanya dilakukan menggunakan anestesia setempat dan bertujuan meningkatkan pergerakan lidah serta memperbaiki fungsi oral.
Peranan Rawatan Ortodontik
Pakar ortodontik memainkan peranan penting dalam pengurusan kanak-kanak yang mempunyai lelangit tinggi dan sempit. Matlamat rawatan adalah untuk mengembangkan rahang atas agar ruang rongga hidung dan kedudukan lidah dapat diperbaiki.
Rawatan pengembangan rahang atas (maxillary expansion) telah dilaporkan dapat membantu meningkatkan aliran udara saluran pernafasan atas dalam kalangan kanak-kanak yang terpilih. Selain memperbaiki fungsi pernafasan, rawatan ini juga boleh menyumbang kepada perkembangan wajah yang lebih seimbang dan susunan gigi yang lebih baik.
Berdasarkan pemeriksaan klinikal dan radiograf, pakar ortodontik akan menentukan jenis aplians yang paling sesuai. Rawatan pengembangan rahang lazimnya dimulakan sekitar umur 8 tahun atau lebih awal bergantung kepada tahap perkembangan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, kejayaan rawatan bergantung kepada kerjasama pesakit dan ibu bapa, khususnya dalam aspek pemakaian serta penjagaan alatan ortodontik. Oleh itu, perancangan yang teliti antara pakar ortodontik, pakar pergigian kanak-kanak dan ibu bapa amat penting bagi memastikan hasil rawatan yang optimum.
Masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa. Selain menjejaskan kualiti tidur, keadaan ini boleh mempengaruhi perkembangan struktur muka, fungsi pernafasan dan kesihatan oral. Pengesanan awal oleh doktor gigi serta kerjasama erat antara pakar pergigian kanak-kanak, pakar ortodontik dan pakar THT dapat membantu memastikan kanak-kanak menerima rawatan yang komprehensif dan tepat pada masanya.
Biodata Penulis
Dr. Aimi Binti Kamarudin merupakan Pakar Pergigian Kanak-kanak dan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM. Bidang penyelidikan beliau merangkumi inhalasi sedasi dan jenis rawatan gigi geraham pertama di kalangan kanak-kanak. Beliau aktif dalam memberi ceramah dan terlibat dalam bengkel amali pergigian tentang inhalasi sedasi di luar negara dan di dalam negara. Bagi pengiktirafan dalam negara beliau telah dilantik sebagai pemeriksa luar dan dalam bagi tesis Pelajar Ijazah Sarjana yang berkaitan dengan bidang pergigian kanak-kanak.



