Penulis: Rosalia Huda Binti Mohd Isa1, Dr. Shirley Tang Gee Hoon1,2
¹Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Alam sentiasa menyimpan rahsia. Apa yang tampak biasa adakalanya menyembunyikan penemuan yang luar biasa. Di atas pinggan, bunga kantan membangkitkan aroma laksa, manakala bunga telang menyerikan nasi kerabu dengan warna birunya yang memukau. Kedua-duanya telah lama menjadi sebahagian daripada budaya makanan masyarakat Malaysia. Selain menambah rasa dan warna pada hidangan, bunga-bunga ini turut digunakan dalam perubatan tradisional dan dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan hasil daripada kandungan antioksidan serta sebatian bioaktifnya.
Namun, pernahkah kita terfikir bahawa di sebalik keindahan dan keharuman sekuntum bunga, wujud sebuah dunia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar? Ramai tidak menyedari bahawa setiap sekuntum bunga sebenarnya menjadi habitat kepada berjuta-juta mikroorganisma. Pada permukaan kelopak, debunga dan nektarnya wujud satu komuniti yang dikenali sebagai mikrobiom bunga, iaitu dunia mikro yang tersembunyi. Sebahagian besar mikroorganisma ini tidak memudaratkan, malah ada yang memainkan peranan penting dalam membantu pertumbuhan tumbuhan, melindunginya daripada patogen serta mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, komuniti saintifik mula memberi perhatian terhadap mikroorganisma yang hidup pada bunga. Kajian menunjukkan bahawa sesetengah bakteria yang mendiami permukaan bunga mempunyai ciri-ciri yang berpotensi menjadikannya sebagai calon probiotik. Penemuan ini membuka perspektif baharu bahawa bunga bukan sekadar elemen hiasan atau ramuan masakan malah mungkin menjadi sumber inovasi dalam bidang makanan berfungsi dan bioteknologi.
Apakah Itu Probiotik?
Apabila mendengar perkataan probiotik, kebanyakan kita akan membayangkan yogurt, minuman kultur atau makanan yang melalui proses penapaian. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa bakteria yang berpotensi menjadi probiotik juga boleh ditemui secara semula jadi pada permukaan tumbuhan, termasuk bunga-bunga tempatan. Probiotik sebenarnya merujuk kepada mikroorganisma hidup yang memberikan manfaat kepada kesihatan apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi. Kebanyakannya terdiri daripada bakteria baik seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium yang membantu mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus. Keseimbangan ini penting kerana mikrobiota usus bukan sahaja membantu proses pencernaan dan penyerapan nutrien, malah turut melindungi tubuh daripada mikroorganisma penyebab penyakit.
Selain menyokong pencernaan, probiotik berpotensi mengurangkan risiko cirit-birit pasca-antibiotik, meningkatkan fungsi imun dan memberi kesan positif terhadap kesihatan metabolik. Kajian terkini mengenai paksi usus-otak turut mencadangkan keseimbangan bakteria usus boleh mempengaruhi mood dan kesejahteraan dan ini menunjukkan manfaatnya jauh lebih luas daripada sekadar kesihatan usus.
Seiring peningkatan kesedaran tentang pemakanan sihat, penyelidikan probiotik kini mula berkembang pesat. Saintis mula meneroka sumber baharu untuk menghasilkan probiotik generasi seterusnya, terutamanya mikroorganisma semula jadi pada tumbuhan seperti bunga tempatan yang selama ini digunakan sebagai ramuan masakan atau tanaman hiasan.
Bunga: Habitat Mikro yang Selama Ini Terlepas Pandang
Jika selama ini kebanyakan probiotik diperoleh daripada produk tenusu atau saluran pencernaan manusia, kini penyelidik mula mengalihkan perhatian kepada sumber yang lebih pelbagai. Antara sumber yang semakin mendapat perhatian ialah komuniti mikroorganisma yang hidup secara semula jadi pada tumbuhan, khususnya bunga. Persekitaran bunga yang kaya dengan gula, asid amino dan pelbagai sebatian bioaktif menjadikannya habitat yang sesuai untuk pertumbuhan bakteria tertentu.
Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan biodiversiti tropika. Selain terkenal sebagai bahan masakan tradisional, bunga seperti bunga kantan (Etlingera elatior), bunga telang (Clitoria ternatea) dan jantung pisang bukan sahaja mempunyai nilai budaya dan pemakanan, malah berpotensi menjadi habitat bagi bakteria yang bermanfaat. Walaupun bunga-bunga ini telah digunakan sejak sekian lama dalam makanan dan perubatan tradisional, potensi mikroorganisma yang hidup padanya masih belum diterokai secara menyeluruh.
Penemuan ini telah membuka ruang kepada penyelidikan baharu dalam bidang mikrobiologi makanan dan bioteknologi. Dengan kekayaan biodiversiti tempatan, bunga-bunga yang sering ditemui di halaman rumah atau dijadikan ramuan masakan mungkin menyimpan mikroorganisma yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan probiotik generasi baharu.
Daripada Kelopak ke Makmal

Perjalanan daripada sekuntum bunga kepada calon probiotik merupakan satu proses penyelidikan yang panjang. Ia bermula dengan pemencilan serta pengesahan identiti genetik bakteria asid laktik (LAB) secara tepat melalui penjujukan DNA. Sebelum sesuatu bakteria boleh dipertimbangkan sebagai calon probiotik yang selamat dan berkesan, ia perlu melepasi pelbagai penilaian keselamatan, termasuklah rintangan antibiotik dan bebas toksisiti, serta ujian ketahanan terhadap garam hempedu dan asid perut.
Selain itu, penyelidik juga perlu menilai sama ada LAB yang dipencilkan tersebut mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma penyebab penyakit dan mengekalkan kestabilannya apabila digunakan dalam produk makanan atau suplemen. Keberkesanan faedah kesihatan kemudiannya mesti dibuktikan melalui ujian klinikal manusia, disusuli pengesahan kestabilan dan kemandirian dos bakteria hidup semasa pengeluaran. Hanya bakteria yang memenuhi kriteria ini akan dipertimbangkan sebagai calon probiotik yang berpotensi dikembangkan untuk kegunaan masyarakat.
Walaupun kajian mengenai probiotik daripada bunga masih berada pada peringkat awal, hasil penyelidikan setakat ini menunjukkan potensi yang memberangsangkan (Jadual 1). Sebagai contoh, kajian oleh Ruiz Rodríguez dan rakan-rakan (2019) berjaya memencilkan LAB daripada pelbagai spesies bunga dan menunjukkan potensinya sebagai sumber probiotik baharu. Penemuan ini turut disokong oleh kajian Presutto dan rakan-rakan (2026) yang menjelaskan bahawa habitat bunga berpotensi menjadi sumber bakteria bermanfaat untuk aplikasi dalam makanan berfungsi dan bioteknologi. Dengan kemajuan teknologi mikrobiologi dan bioteknologi, tidak mustahil bakteria yang diasingkan daripada bunga tempatan suatu hari nanti akan digunakan dalam pembangunan makanan berfungsi, makanan tambahan atau produk kesihatan yang lebih inovatif.
| Strain LAB | Sumber pemencilan | Ciri-ciri strain | Potensi aplikasi | Rujukan |
| Enterococcus durans, Enterococcus lactis, Lactobacillus plantarum subsp. plantarum |
Gardenia jasminoides, Hibiscus syriacus, Leucaena leucocephala, Solanum torvum | Asimilasi kolesterol, hidrolisis garam hempedu, toleransi hempedu
|
Kultur probiotik | Nuhwa et al. (2019) |
| Fructobacillus fructosus, Lactobacillus kunkeei, Enterococcus durans, Enterococcus faecium, Lactobacillus brevis | Convolvulus arvensis, Hibiscus rosa-sinensis, Nerium oleander, Rosa rugosa, Tagetes erecta, Zinnia elegans | Aktiviti antagonistik in vitro terhadap bakteria patogenik Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa | Kultur biokawalan terhadap bakteria patogenik | Saleh (2020) |
| Leuconostoc mesenteroides, Fructobacillus fructosus, Apilactobacillus ozensis, Apilactobacillus kunkeei | Pelbagai bunga boleh dimakan dari Silkeborg, Aarhus, Odense, and Copenhagen, Denmark | Penghasilan glukan, fruktan dan galaktan, serta penambahbaikan beberapa sifat teknologi dalam susu badam, oat dan soya | Potensi aplikasi minuman berasaskan tumbuhan | Khiabani et al. (2024) |
| Weissella cibaria NCE-G1 | Bunga pokok medlar (Mespilus germanica) | Kelangsungan hidup dalam saluran GI, imunomodulasi, pelekatan; degradasi pektin | Potensi probiotik/postbiotik | Rocchetti et al. (2024) |
Jadual 1: Potensi aplikasi makanan dan bioteknologi bagi strain LAB yang dipencilkan bunga yang boleh dimakan.
Rahsia yang Masih Menunggu untuk Ditemui
Siapa sangka, di sebalik sekuntum bunga yang menghiasi hidangan dan taman, tersembunyi dunia mikro yang mungkin menjadi titik permulaan kepada penemuan probiotik generasi baharu. Apa yang selama ini dianggap sekadar bahan masakan atau tanaman hiasan sebenarnya berpotensi menyumbang kepada inovasi dalam bidang kesihatan dan bioteknologi.
Potensi probiotik yang ditemui pada sekuntum bunga membuktikan bahawa khazanah semula jadi ini masih luas untuk diterokai bagi kesejahteraan manusia. Justeru itu, kajian tempatan yang lebih mendalam amat diperlukan untuk menerokai potensi probiotik dan mikroorganisma berfaedah daripada flora negara, sekali gus memacu pembanguanan produk kesihatan berasaskan bahan semula jadi.
Rujukan




