Penulis: Dr. Mohd Harizal Senik @ Nawi
Pensyarah Kanan,
Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda masuk ke sebuah bilik tetapi tiba-tiba terlupa apa yang hendak dilakukan? Sebaliknya, anda mungkin masih mampu mengingati nama guru sekolah rendah, lagu yang sering didengar ketika kecil atau pengalaman yang berlaku puluhan tahun dahulu.
Mengapa sesetengah maklumat hilang dalam beberapa saat, sedangkan pengalaman tertentu boleh kekal hampir sepanjang hayat?
Jawapannya berkait dengan salah satu fungsi otak yang paling menarik iaitu ingatan atau memori.
Ingatan merupakan keupayaan kita untuk memperoleh maklumat, menyimpannya dan mendapatkannya kembali apabila diperlukan. Tanpa ingatan, setiap pengalaman seolah-olah berlaku buat kali pertama. Kita mungkin tidak dapat mengenali ahli keluarga, menggunakan bahasa yang telah dipelajari atau melakukan kemahiran mudah seperti memandu dan menggunakan telefon.
Malah, ingatan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pembelajaran dan pengalaman hidup kita. Apa yang dipelajari hari ini hanya berguna pada masa hadapan sekiranya sebahagian daripada maklumat tersebut dapat disimpan dan digunakan semula. Dalam erti kata lain, belajar dan mengingat merupakan dua proses yang saling berkaitan.
Namun, otak bukanlah seperti kamera yang merakam segala-galanya dengan sempurna. Ingatan merupakan proses yang aktif dan melibatkan beberapa peringkat pemprosesan.
proses yang aktif dan melibatkan beberapa peringkat pemprosesan.
Bagaimana Sesuatu Maklumat Menjadi Ingatan?
Secara ringkas, pembentukan ingatan boleh difahami melalui tiga proses utama: pengekodan, penyimpanan dan pengambilan semula maklumat.
Pengekodan berlaku apabila maklumat yang diterima mula diproses oleh otak. Bayangkan anda diperkenalkan kepada seseorang bernama Ahmad. Anda melihat wajahnya, mendengar namanya dan mungkin mengaitkannya dengan tempat anda bertemu. Semua maklumat tersebut merupakan sebahagian daripada proses pengekodan.
Selepas itu berlaku proses penyimpanan, apabila sebahagian daripada maklumat tersebut dikekalkan supaya boleh digunakan kemudian.
Apabila anda bertemu Ahmad sekali lagi beberapa hari kemudian dan dapat menyebut namanya, otak sedang melakukan proses ketiga, iaitu pengambilan semula maklumat yang pernah disimpan.
Tetapi tidak semua maklumat melalui proses ini dengan cara yang sama. Ada maklumat yang bertahan hanya seketika, manakala sebahagian yang lain boleh disimpan selama bertahun-tahun. Atas sebab itu, ingatan biasanya dibincangkan berdasarkan beberapa sistem yang berbeza.

Ingatan Deria: Ingatan yang Hanya Singgah Sebentar
Setiap saat, deria kita menerima sejumlah besar maklumat. Mata melihat warna dan pergerakan, telinga mendengar bunyi, manakala kulit menerima maklumat tentang sentuhan, suhu dan tekanan.
Namun, kita tidak menyimpan semuanya.
Ingatan deria merupakan tempat persinggahan pertama bagi maklumat yang diterima melalui deria. Maklumat ini biasanya bertahan untuk tempoh yang sangat singkat sebelum hilang atau dipilih untuk diproses dengan lebih lanjut.
Sebagai contoh, apabila sebuah kereta melintas di hadapan kita, gambaran kereta tersebut masih terasa seperti “tertinggal” untuk seketika walaupun kenderaan itu telah bergerak. Begitu juga apabila seseorang bercakap dan kita meminta, “Maaf, apa tadi?” Tetapi sebelum orang itu sempat mengulanginya, kita tiba-tiba sedar apa yang sebenarnya dikatakannya.
Maklumat tersebut tidak semestinya telah disimpan sebagai ingatan yang berkekalan. Sebaliknya, kesan deria itu masih berada dalam sistem pemprosesan untuk tempoh yang singkat.
Daripada begitu banyak maklumat yang diterima, perhatian membantu menentukan maklumat mana yang akan diberikan pemprosesan selanjutnya.
Ingatan Jangka Pendek: Ruang Simpanan Sementara
Pernahkah seseorang memberikan nombor telefon kepada anda dan anda mengulanginya beberapa kali dalam kepala sementara mencari telefon?
“012-3456789… 012-3456789…”
Beberapa minit kemudian, selepas nombor itu dimasukkan ke dalam telefon, anda mungkin langsung tidak dapat mengingatinya.
Itulah gambaran mudah ingatan jangka pendek.
Ingatan jangka pendek membolehkan sejumlah maklumat dikekalkan buat sementara waktu. Berbanding ingatan jangka panjang, kapasiti dan tempoh penyimpanannya adalah terhad.
Namun, terdapat satu istilah yang sering digunakan bersama ingatan jangka pendek, iaitu memori kerja atau working memory.
Kedua-duanya berkait rapat tetapi mempunyai penekanan yang sedikit berbeza. Ingatan jangka pendek merujuk terutamanya kepada penyimpanan maklumat untuk tempoh singkat, manakala memori kerja melibatkan penyimpanan dan pemprosesan aktif maklumat yang sedang kita gunakan.
Contohnya, cuba kira 27 + 16. Ketika membuat pengiraan tersebut dalam kepala, kita perlu menyimpan angka tertentu buat sementara waktu sambil melakukan operasi matematik. Kita bukan sekadar menyimpan maklumat, tetapi sedang menggunakannya. Itulah memori kerja.
Perkara yang sama berlaku apabila membaca ayat yang panjang. Kita perlu mengekalkan maklumat daripada bahagian awal ayat sementara membaca bahagian berikutnya supaya keseluruhan maksud dapat difahami.
Ingatan Jangka Panjang: Perpustakaan Pengalaman Kita
Sekarang, cuba ingat nama sekolah rendah anda. Kemungkinan besar anda dapat mengingatinya walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan sekolah tersebut. Maklumat seperti ini merupakan sebahagian daripada ingatan jangka panjang.
Ingatan jangka panjang membolehkan maklumat disimpan untuk tempoh yang jauh lebih lama – daripada beberapa jam kepada bertahun-tahun, malah sebahagian ingatan boleh kekal sepanjang hayat.
Tetapi ingatan jangka panjang juga bukan satu sistem tunggal. Secara umum, ia boleh dibahagikan kepada ingatan eksplisit dan ingatan implisit.
i- Ingatan Eksplisit: Sesuatu yang Kita Tahu Kita Ingat
Ingatan eksplisit ialah maklumat yang dapat kita ingat secara sedar.
Ia merangkumi ingatan episodik, iaitu ingatan tentang pengalaman atau peristiwa peribadi. Contohnya, hari pertama masuk universiti, majlis perkahwinan, percutian bersama keluarga atau pengalaman pertama menaiki kapal terbang.
Ingatan eksplisit turut merangkumi ingatan semantik, iaitu pengetahuan tentang fakta dan konsep. Mengetahui bahawa Kuala Lumpur ialah ibu negara Malaysia, mengetahui maksud perkataan “neuron” atau mengetahui bahawa air membeku pada suhu tertentu merupakan contoh ingatan semantik.
ii- Ingatan Implisit: Kita Mengingatinya Tanpa Perlu Memikirkannya
Tidak semua ingatan perlu dipanggil kembali secara sedar.
Bayangkan kali pertama belajar menunggang basikal. Pada mulanya kita perlu memikirkan cara mengekalkan keseimbangan, mengayuh dan mengawal hendal. Selepas bertahun-tahun, kita boleh menaiki basikal tanpa perlu memikirkan setiap pergerakan.
Ini berkaitan dengan ingatan implisit, khususnya ingatan prosedural.
Kemahiran seperti menaip, mengikat tali kasut, bermain alat muzik atau menunggang basikal boleh menjadi begitu biasa sehingga pelaksanaannya berlaku hampir secara automatik.
Menariknya, seseorang boleh gagal mengingati sesuatu peristiwa secara sedar tetapi masih menunjukkan kesan pembelajaran melalui tingkah laku atau kemahiran tertentu. Ini menunjukkan bahawa apa yang kita panggil “ingatan” sebenarnya terdiri daripada beberapa sistem yang berbeza dan bukannya sebuah tempat simpanan tunggal.
Jadi, di manakah Sebenarnya Ingatan Kita?
Kita sering bercakap tentang ingatan seolah-olah terdapat sebuah “kotak memori” dalam otak. Hakikatnya lebih rumit.
Ingatan deria membantu mengekalkan maklumat yang baru diterima. Ingatan jangka pendek membolehkan sebahagian maklumat disimpan sebentar. Memori kerja pula membolehkan maklumat itu digunakan ketika berfikir dan menyelesaikan sesuatu tugas, manakala ingatan jangka panjang menyimpan sebahagian daripada pengetahuan, pengalaman dan kemahiran kita untuk tempoh yang lebih lama.
Jadi apabila kita berkata, “Saya mempunyai ingatan yang lemah,” kenyataan itu sebenarnya terlalu umum.
Adakah kita sukar memberikan perhatian kepada maklumat sejak awal? Adakah maklumat tidak dapat dikekalkan dalam memori kerja? Adakah kita gagal menyimpannya dalam ingatan jangka panjang? Atau maklumat itu sebenarnya masih tersimpan tetapi sukar untuk dipanggil kembali?
Persoalan-persoalan inilah yang menjadikan kajian tentang ingatan begitu menarik.
Dan ia membawa kepada satu persoalan seterusnya: bagaimanakah sekumpulan sel saraf dalam otak boleh menukarkan sesuatu pengalaman kepada ingatan yang mampu bertahan selama berpuluh-puluh tahun?
Rujukan
Baddeley, A. (1992). Working memory. Science, 255(5044), 556-559.
Cowan, N. (2008). What are the differences between long-term, short-term, and working memory? Progress in Brain Research, 169, 323-338.
Cowan, N. (2014). Working memory underpins cognitive development, learning, and education. Educational Psychology Review, 26, 197-223.
Biodata Ringkas Penulis
Dr. Mohd Harizal Bin Senik @ Nawi merupakan pensyarah di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang sains biologi dan neurosains, dan mendapat PhD dari University of Nottingham, United Kingdom dalam bidang sains bioperubatan. Bidang pengajaran dan penyelidikan beliau merangkumi neurosains, pembelajaran dan ingatan, epilepsi, neurofisiologi, neurofakmakologi serta sains tingkah laku haiwan. Beliau turut aktif dalam pembangunan inovasi pengajaran dan aktiviti pendidikan STEM.



