Penulis: Dr. Noorazliyana Shafii,
Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia
Saiznya kecil namun peranannya sangat besar Sepasang buah pinggang bekerja tanpa henti setiap hari untuk memastikan tubuh kita kekal sihat dan seimbang. Bukan sekadar menghasilkan air kencing, organ kecil ini menjalankan pelbagai tugas penting yang mungkin tidak kita sedari. Jom kenali ‘pekerja senyap’ tubuh kita ini dengan lebih dekat.
Buah pinggang: Kecil tetapi kompleks
Manusia mempunyai sepasang buah pinggang berbentuk seperti kacang yang terletak di bahagian belakang abdomen, di bawah tulang rusuk pada kedua-dua sisi tulang belakang. Setiap buah pinggang dewasa mempunyai berat kira-kira 150 gram, lebih kurang sebesar genggaman tangan. Walaupun saiznya kecil, buah pinggang menerima kira-kira 20% daripada darah yang dipam oleh jantung setiap minit melalui arteri renal (Garza & Leslie, 2025).
Setiap buah pinggang terdiri daripada dua bahagian, iaitu kortek dan medula, serta mengandungi kira-kira sejuta nefron. Nefron merupakan unit asas yang menjalankan fungsi buah pinggang. Setiap nefron terdiri daripada glomerulus, kapsul Bowman, diikuti oleh tubul berlingkar proksimal, lengkung Henle dan tubul berlingkar distal, yang seterusnya mengalirkan cecair ke dalam duktus pengumpul (Rajah 1). Glomerulus bertindak sebagai pusat penapisan pertama yang menapis air dan bahan terlarut daripada darah. Seterusnya, tubul buah pinggang menyerap semula air dan bahan yang masih diperlukan oleh badan, manakala bahan buangan dan lebihan air disingkirkan melalui air kencing. Secara purata, orang dewasa menghasilkan kira-kira 1.5 liter air kencing sehari, bergantung pada pengambilan air, cuaca dan aktiviti harian (Garza & Leslie, 2025).
Dua organ kecil dengan tugas yang besar
Buah pinggang bukan sekadar menghasilkan air kencing, malah menjalankan pelbagai fungsi penting untuk memastikan tubuh kekal sihat dan seimbang. Antaranya ialah menyingkirkan bahan buangan, mengawal keseimbangan air dan mineral, dan mengekalkan keseimbangan asid dan bes. Buah pinggang juga membantu mengawal tekanan darah, merangsang penghasilan sel darah merah dan menjaga kesihatan tulang. Ringkasnya, buah pinggang bertindak sebagai pusat kawalan yang memastikan persekitaran dalaman tubuh sentiasa seimbang. Mari kita lihat dengan lebih dekat bagaimana setiap fungsi ini dijalankan.
Menyingkirkan bahan buangan
Proses metabolik dalam badan kita menghasilkan bahan buangan seperti urea, asid urik dan kreatinin. Urea dan asid urik merupakan hasil sampingan metabolisme protein, manakala kreatinin terhasil daripada metabolisme kreatin dalam otot (John & Pasha, 2025). Darah membawa bahan-bahan ini ke buah pinggang untuk ditapis. Bahan yang tidak diperlukan akan disingkirkan melalui air kencing, manakala bahan yang masih berguna diserap semula ke dalam darah (Kingston et al., 2024).
Buah pinggang bertindak sebagai pusat penapisan yang bekerja tanpa henti, menyingkirkan bahan buangan sambil mengekalkan bahan yang masih diperlukan oleh badan. Jika fungsi ini terganggu, bahan buangan akan terkumpul dalam darah dan memudaratkan kesihatan.
Mengawal kandungan air
Pernahkah kita perasan bahawa selepas minum banyak air, air kencing menjadi lebih cair? Sebaliknya, apabila kurang minum atau banyak berpeluh, air kencing menjadi lebih pekat. Ini kerana buah pinggang mengawal keseimbangan air dengan mengekalkan air apabila diperlukan dan menyingkirkan lebihan air melalui air kencing. Keupayaan ini penting untuk memastikan isipadu dan kepekatan cecair tubuh berada pada tahap yang sesuai agar sel dapat berfungsi dengan baik.
Sebahagian besar air yang ditapis oleh buah pinggang akan diserap semula ke dalam badan untuk mengelakkan kehilangan air berlebihan. Proses ini turut dikawal oleh hormon vasopresin (hormon antidiuretik). Apabila badan kekurangan air, lebih banyak vasopresin dihasilkan, menyebabkan lebih banyak air diserap semula dan air kencing menjadi lebih sedikit serta pekat. Apabila air dalam badan mencukupi atau berlebihan, hormon ini akan menurun menyebabkan kurang air diserap semula dan lebih banyak disingkirkan melalui air kencing (Kingston et al., 2024).
Menjaga keseimbangan garam dan mineral
Darah kita mengandungi pelbagai elektrolit dan mineral seperti natrium, kalium, klorida, kalsium dan fosfat yang perlu dikekalkan pada paras yang sesuai. Buah pinggang mengawal kandungan elektrolit dengan menyerap semula bahan yang diperlukan atau menyingkirkan lebihan melalui air kencing. Penyerapan natrium di akhir nefron dirangsang oleh hormon aldosteron (Kingston et al., 2024). Apabila fungsi buah pinggang merosot dengan teruk, keseimbangan elektrolit boleh terganggu contohnya peningkatan kalium dalam darah yang boleh menjejaskan aktiviti elektrik jantung.
Pada masa yang sama, bahan yang masih diperlukan oleh tubuh seperti glukosa, asid amino, fosfat, kalsium dan air akan diserap semula ke dalam darah agar tidak terbuang melalui air kencing.
Mengawal keseimbangan asid dan bes
Tubuh kita sentiasa menghasilkan asid daripada proses metabolisme. Sel dan organ hanya dapat berfungsi dengan baik apabila tahap keasidan darah dikawal. Buah pinggang mengekalkan keseimbangan asid dan bes dengan menyingkirkan ion hidrogen serta menyerap semula dan menghasilkan bikarbonat. Jika fungsi ini terganggu, asid boleh terkumpul dalam tubuh dan menyebabkan asidosis metabolik (Deabes & Essa, 2024).
Mengawal tekanan darah
Buah pinggang turut membantu mengawal tekanan darah dengan menghasilkan renin, iaitu komponen penting dalam sistem renin–angiotensin–aldosterone. Sistem ini mengawal tekanan darah serta keseimbangan cecair dan elektrolit dalam badan. Gangguan pada sistem ini menyumbang kepada tekanan darah tinggi, kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik (Fountain et al. , 2025).
Menghasilkan sel darah merah
Buah pinggang juga menghasilkan hormon eritropoietin (EPO). EPO merangsang penghasilan sel darah merah apabila paras oksigen menurun. Apabila fungsi buah pinggang merosot, penghasilan EPO boleh berkurangan dan menyumbang kepada anemia dalam kalangan pesakit penyakit buah pinggang kronik (Dahl et al., 2022).
Menjaga kesihatan tulang
Buah pinggang turut memainkan peranan penting dalam kesihatan tulang dengan menghasilkan bentuk aktif vitamin D, iaitu kalsitriol. Kalsitriol membantu penyerapan kalsium dan fosfat yang diperlukan untuk pembentukan dan kekuatan tulang (Fountain et al., 2025). Apabila fungsi buah pinggang merosot, proses ini boleh terganggu dan menjejaskan keseimbangan mineral serta kesihatan tulang.
Bagaimanakah kita Mengetahui Buah Pinggang Berfungsi dengan Baik?
Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang boleh berlaku tanpa gejala yang jelas. Saringan awal amat penting, terutamanya bagi individu yang berisiko seperti mereka yang berumur lebih 65 tahun, obesiti, diabetes, hipertensi atau mempunyai sejarah keluarga penyakit buah pinggang. Saringan boleh dilakukan melalui ujian darah dan air kencing (MOH, 2018).
Ujian dipstik air kencing boleh digunakan sebagai saringan awal untuk mengesan protein dan darah dalam air kencing. Bagi pesakit diabetes, nisbah albumin kepada kreatinin, terutamanya menggunakan sampel air kencing awal pagi, membantu mengesan kerosakan buah pinggang pada peringkat awal. Protein dalam air kencing juga boleh dinilai melalui pengumpulan air kencing selama 24 jam. Ujian darah yang dilakukan untuk penilaian fungi buah pinggang ialah kreatinin. Paras kreatinin bersama maklumat lain seperti umur dan jantina digunakan untuk menganggar kadar penapisan glomerulus, atau estimated glomerular filtration rate (eGFR) yang memberi gambaran tentang fungsi penapisan buah pinggang. Dalam keadaan tertentu apabila eGFR berasaskan kreatinin mungkin kurang tepat, cystatin C boleh digunakan untuk membantu memberikan anggaran yang lebih tepat (MOH, 2018).
Hargailah Pekerja Senyap Tubuh Kita
Kita jarang menyedari buah pinggang sedang bekerja. Ia tidak berdegup seperti jantung atau mengembang dan mengempis seperti paru-paru, namun setiap saat buah pinggang bekerja memastikan tubuh kekal seimbang. Memahami fungsinya membantu kita menyedari mengapa kerosakan buah pinggang memberi kesan kepada seluruh tubuh dan pentingnya saringan awal. Sesungguhnya, buah pinggang ialah pekerja senyap tubuh kita; kecil saiznya, tetapi besar tanggungjawabnya.
Rujukan
- Felix A. Garza; Stephen W. Leslie. Anatomy, Abdomen and Pelvis: Kidneys, Last Update: September 15, 2025. NCBI Bookshelf.
- Ancy John Tina Pasha, Laboratory tests of renal function. (2024). Anaesthesia & Intensive Care Medicine. 25(5):303–307. doi:10.1016/j.mpaic.2024.03.002.
- Kingston J, Khan S, Moinuddin Z. (2024). Function of the nephron and the formation of urine. Anaesthesia & Intensive Care Medicine. 25(5):339–343. doi:10.1016/j.mpaic.2024.03.012.
- Deabes, A. A., & Essa, A. (2024). Fluid and electrolyte imbalance in renal dysfunction. Anaesthesia & Intensive Care Medicine, 25(5), 316–319. https://doi.org/10.1016/j.mpaic.2024.03.006
- Fountain, J. H., Kaur, J., & Lappin, S. L. (2025). Physiology, renin angiotensin system. In StatPearls. StatPearls Publishing
- Sophie L. Dahl, Andreas M. Bapst, Stellor Nlandu Khodo, Carsten C. Scholz, Roland H. Wenger. Fount, fate, features, and function of renal erythropoietin‑producing cells, Pflügers Archiv – European Journal of Physiology (2022) 474:783-797.
- Ministry of Health Malaysia. (2018). Clinical practice guidelines: Management of chronic kidney disease in adults (2nd ed.).




