Penulis: Siti Nurmalisa Abdul Rahman, Mohamad Hafiz Abdul Halim & Prof. Madya Dr. Masni Mohd Ali
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kuala Gula di Perak mungkin lebih dikenali sebagai kawasan hutan paya bakau, lokasi pemerhatian burung dan sumber rezeki masyarakat pesisir. Namun, jauh di bawah permukaan airnya terdapat satu “arkib” semula jadi yang jarang kita fikirkan iaitu sedimen.
Lapisan demi lapisan sedimen yang terkumpul di dasar perairan bukan sekadar lumpur. Sedimen boleh memerangkap pelbagai bahan yang memasuki persekitaran, termasuk logam berat. Oleh sebab itu, sedimen boleh digunakan oleh saintis untuk memahami keadaan pencemaran sesuatu kawasan serta mengenal pasti tekanan yang mungkin berpunca daripada aktiviti manusia. Sedimen juga bertindak sebagai takungan logam berat dan berpotensi memberikan maklumat mengenai sejarah serta sumber pencemaran.
Khazanah Pesisir yang Perlu Dilindungi
Kuala Gula mempunyai nilai ekologi dan ekonomi yang tinggi. Kawasan pesisirnya menyokong hutan bakau, perikanan dan pelbagai aktiviti masyarakat setempat. Keunikan biodiversiti kawasan ini turut menjadikannya destinasi ekopelancongan, termasuk bagi aktiviti pemerhatian burung dan lawatan pendidikan ke ekosistem bakau. Malah, Kuala Gula pernah dicalonkan sebagai Tapak RAMSAR ke-8 Malaysia.
Namun, kawasan pesisir yang aktif juga menerima pelbagai tekanan manusia. Aktiviti perikanan, akuakultur, bot, pertanian, pelancongan dan pembangunan sekitar berpotensi membawa bahan pencemar ke sistem sungai dan pesisir. Antara bahan pencemar yang mendapat perhatian ialah logam berat yang boleh kekal lama dalam persekitaran dan memberi kesan kepada organisma apabila terkumpul pada tahap tertentu.
Membaca “Arkib” dari Dasar Kuala Gula
Untuk melihat apa yang tersimpan di dalam sedimen, penyelidik mengambil teras sedimen di dua lokasi Kuala Gula pada tahun 2021. Stesen KG01 berada berhampiran jeti dan kawasan paya bakau, manakala KG02 terletak di bahagian hilir sungai yang mempunyai banyak aktiviti akuakultur. Teras sedimen diambil menggunakan tiub PVC sepanjang 1.5 meter dan dipotong pada selang setiap 4 cm.

Pendekatan ini boleh diibaratkan seperti memotong sepotong kek berlapis, setiap lapisan menceritakan kisah bahan yang terkumpul pada era dan kedalaman berbeza. Bagi menyelongkar rahsia ini, penyelidik menganalisis tujuh unsur logam berat iaitu kromium, mangan, nikel, kuprum, zink, arsenik, dan plumbum. Ujian ini dijalankan menggunakan instrumen berteknologi tinggi yang dikenali sebagai ICP-MS (Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry). Selain itu, saiz partikel sedimen dan jumlah karbon organik turut diukur untuk memahami mengapa dan bagaimana logam-logam ini “gemar” berkumpul di situ.
Zink Paling Menonjol
Daripada tujuh unsur tersebut, zink paling menonjol. Kepekatan maksimum zink mencecah 1,627.16 mg/kg di KG01 dan 2,667.88 mg/kg di KG02. Di KG01, kebanyakan logam mencapai kepekatan maksimum sekitar kedalaman 4-8 cm. Secara umum, lapisan atas sedimen menunjukkan pengayaan logam yang lebih ketara, yang boleh mencerminkan pengaruh aktiviti manusia yang lebih terkini.

Namun, adakah kehadiran logam pada tahap yang tinggi ini secara automatik menjadi isyarat bahaya kepada seluruh ekosistem? Belum tentu. Di sinilah penilaian saintifik memainkan peranan penting. Saintis menggunakan pelbagai kayu ukur seperti Garis Panduan Kualiti Sedimen, indeks pencemaran, dan indeks ekologi untuk menilai tahap ancaman sebenar. Hasilnya, kita dapat melihat gambaran yang lebih tepat tanpa perlu membuat kesimpulan terburu-buru.
Tercemar, Tetapi Sejauh Mana Risikonya?
Perbandingan dengan garis panduan menunjukkan bahawa kebanyakan logam berada di bawah tahap yang dijangka memberi kesan toksik yang ketara. Walau bagaimanapun, kromium di KG01 dan zink di KG02 menunjukkan nilai yang melebihi ambang tertentu. Nilai Indeks Muatan Pencemaran pula ialah 3.2 di KG01 dan 3.3 di KG02. Nilai > 1 menandakan sedimen telah menerima pencemaran logam secara kumulatif.
Menariknya, Indeks Potensi Risiko Ekologi (RI) memberikan gambaran yang lebih sederhana. Nilai RI ialah 39.45 bagi KG01 dan 37.11 bagi KG02, dan kedua-duanya berada dalam kategori risiko ekologi rendah. Ini menunjukkan bahawa status “tercemar” tidak semestinya bermaksud kawasan tersebut mempunyai “risiko ekologi yang tinggi”.
Mengapa? Sebahagian logam mungkin terikat kuat pada sedimen dan tidak mudah diserap oleh organisma. Ciri sedimen, kandungan bahan organik dan keadaan geokimia boleh mempengaruhi pergerakan serta kebolehsediaan logam. Di KG01, arsenik menunjukkan hubungan positif dengan fraksi lodak, manakala pasir mempunyai hubungan negatif dengan arsenik dan plumbum. Zarah halus mempunyai luas permukaan lebih besar dan menyediakan lebih banyak tapak untuk logam melekat.
Satu penemuan yang menarik adalah jumlah karbon organik yang tinggi, mencecah sehingga 38.94% di stesen KG01. Apa kelebihannya? Lokasi ini yang bersebelahan hutan bakau sebenarnya menerima “limpahan” bahan organik daripada daun dan tumbuhan yang mereput. Bahan organik inilah yang bertindak bagaikan ‘span’ semula jadi, yang mengikat logam berat dan mengawal pergerakannya supaya ia kekal selamat tersimpan di dalam sedimen.
Adakah Makanan Laut Kuala Gula Berbahaya?
Namun, satu perkara perlu dijelaskan. Kajian ini menilai sedimen, bukannya ikan, udang atau kerang. Oleh itu, dapatan ini tidak boleh terus digunakan untuk menyimpulkan bahawa makanan laut Kuala Gula tidak selamat dimakan. Kajian khusus terhadap organisma diperlukan sebelum sebarang kesimpulan berkaitan keselamatan makanan boleh dibuat.
Kajian ini juga mempunyai batasan. Sampel dikumpulkan pada tahun 2021 dan umur setiap lapisan sedimen tidak diketahui. Oleh itu, penyelidik tidak dapat menentukan dengan tepat bila pengumpulan logam berlaku. Kajian lanjutan mencadangkan pentarikhan sedimen seperti plumbum-210 serta analisis spesiasi logam untuk memahami mobiliti dan kebolehsediaan bio dengan lebih tepat.
Data asas seperti ini penting kerana pemantauan jangka panjang memerlukan titik perbandingan. Tanpa rekod awal, perubahan tahap pencemaran pada masa hadapan lebih sukar dikenal pasti dan tindakan pengurusan yang sesuai juga mungkin sukar dirancang dengan berkesan.
Sedimen yang Menyimpan Cerita
Sedimen mungkin kelihatan seperti lumpur biasa. Namun bagi saintis, setiap lapisannya ialah halaman dalam sebuah buku sejarah alam sekitar. Di Kuala Gula, buku itu menunjukkan bahawa pengumpulan logam berat memang berlaku, walaupun risiko ekologi keseluruhan masih rendah. Penemuan ini menjadi peringatan bahawa kawasan pesisir bernilai tinggi seperti Kuala Gula memerlukan pemantauan berterusan supaya perubahan kecil hari ini tidak berkembang menjadi masalah yang lebih besar pada masa hadapan.
Rujukan
Adame, M. F. & Fry, B. 2016. Source and stability of soil carbon in mangrove and freshwater wetlands of the Mexican Pacific coast. Wetlands Ecology and Management 2(24): 129–137.
Alongi, D. 2002. Present state and future of the world’s mangrove forests. Environmental Conservation 29: 331–349.
Azhari, N. E. M. & Hassan, M. F. 2021. Kuala Gula-Matang masih relevan menjadi Tapak Ramsar ke lapan negara. Bernama.
Birch, G. F. 2023. A review and critical assessment of sedimentary metal indices used in determining the magnitude of anthropogenic change in coastal environments. Science of the Total Environment 854: 158129.
Briffa, J., Sinagra, E. & Blundell, R. 2020. Heavy metal pollution in the environment and their toxicological effects on humans. Heliyon 6(9): e04691.
Emenike, P. C., Tenebe, I. T., Neris, J. B., Omole, D. O., Afolayan, O., Okeke, C. U. & Emenike, I. K. 2020. An integrated assessment of land-use change impact, seasonal variation of pollution indices and human health risk of selected toxic elements in sediments of River Atuwara, Nigeria. Environmental Pollution 265(Pt B): 114795.
Handayani, C., Sukarjo, S., Zu’amah, H. & Dewi, T. 2023. Penilaian status dan risiko ekologi cemaran logam berat di lahan pertanian Kota Malang, Provinsi Jawa Timur. Jurnal Ilmu Lingkungan 22: 60–68.
Pradit, S., Noppradit, P., Jitkaew, P., Sengloyluan, K., Kobkeatthawin, T., Laerosa, A. & Sirivithayapakorn, S. 2022. Heavy metal contamination and ecological risk assessment in the sediment cores of the wetlands in Southern Thailand. Journal of Marine Science and Engineering 10(12): 1921.
Praveena, S., Radojevic, M., Abdullah, M. & Aris, A. Z. 2008. Application of sediment quality guidelines in the assessment of mangrove surface sediment in Mengkabong Lagoon, Sabah, Malaysia. Iranian Journal of Environmental Health Science & Engineering 5: 35–42.
Tomlinson, D. L., Wilson, J. G., Harris, C. R. & Jeffrey, D. W. 1980. Problems in the assessment of heavy-metal levels in estuaries and the formation of a pollution index. Helgoländer Meeresuntersuchungen 33: 566–575.
Biodata Penulis

Siti Nurmalisa Abdul Rahman merupakan pelajar Sains Laut di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Projek Tahun Akhir (FYP) beliau memfokuskan kepada kajian kepekatan logam berat serta penilaian risiko ekologi dalam sedimen. Beliau kini bekerja sebagai Pembantu Konsultan Marin, yang melibatkan perundingan marin serta penyediaan laporan TOR dan MRA.
Mohamad Hafiz bin Abdul Halim merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sekitaran di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penyelidikan beliau memfokuskan kepada pencemaran mikroplastik di ekosistem sungai, termasuk penilaian risiko ekologi serta pemodelan taburan dan tingkah laku mikroplastik dalam persekitaran akuatik.
Prof. Madya Dr. Masni binti Mohd Ali ialah seorang pensyarah dan pakar dalam bidang Forensik Alam Sekitar, Biogeokimia Marin, serta Pencemaran Marin di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berkhidmat di Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar. Kepakaran dan penyelidikan beliau merangkumi biogeokimia marin, biomarker lipid, dan kesan pencemaran terhadap ekosistem marin.



