Penulis: Prof. Dr. Noraini Talip, Muhammad Shafiq Ruslan & Mohamed Farid Mohamad Fadzil
Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Malaysia mempunyai kepelbagaian flora tropika yang tinggi, dan banyak spesies tumbuhan masih mempunyai nilai ekologi, budaya, ekonomi dan perubatan yang belum diterokai sepenuhnya. Salah satu spesies yang menarik ialah Hellenia speciosa (J.Koenig) S.R.Dutta, yang lebih dikenali sebagai setawar hutan. Spesies ini mempunyai taburan di kawasan tropika dan subtropika, termasuk di Malaysia.

Setawar hutan mungkin kurang dikenali berbanding beberapa tumbuhan ubatan popular di Malaysia, namun spesies ini mempunyai sejarah penggunaan tradisional yang panjang di Asia. Penyelidikan moden pula menunjukkan bahawa H. speciosa mempunyai pelbagai metabolit sekunder dan potensi bioaktiviti. Antara bidang yang telah dikaji ialah aktiviti antioksidan, antidiabetik, antimikrob, antiradang, penyembuhan luka dan antivirus. Walau bagaimanapun, sebahagian besar bukti farmakologi masih berasal daripada kajian in vitro atau kajian praklinikal terhadap haiwan dan masih tidak boleh terus disamakan dengan keberkesanan klinikal pada manusia.
Setawar hutan dari sudut botani, mempunyai ciri morfologi yang menarik, khususnya susunan daun secara berpusar atau berpilih (spiral) pada batang dan perbungaan terminal dengan braktea berwarna merah serta bunga putih yang menyerupai kertas krep. Ciri-ciri ini menjadikannya sesuai sebagai tumbuhan hiasan, bahan pendidikan botani dan koleksi hidup di taman. Kajian morfologi bunga dan pembiakan juga menunjukkan bahawa struktur perbungaan dan bunga mempunyai ciri diagnostik yang berguna untuk pengenalpastian spesies. Dalam konteks pemuliharaan, nilai perubatan dan permintaan terhadap bahan mentah berasaskan tumbuhan menjadikan pengurusan sumber H. speciosa amat penting. Beberapa kajian melaporkan bahawa pengambilan rizom secara tidak terkawal boleh memberi tekanan kepada populasi liar dan menggalakkan pembangunan kaedah penanaman serta pembiakan secara in vitro. Status spesies ini dalam “Plants of the World Online” merekodkan H. speciosa sebagai nama botani yang diterima sekarang dan penilaian IUCN ialah Kurang Kepentingan (Least Concern).
Nama Tempatan
Setawar hutan dikenali dengan beberapa nama tempatan dan nama umum bergantung pada kawasan geografi dan bahasa masyarakat setempat. Nama Inggeris yang sering digunakan ialah ‘crepe ginger’, ‘spiral ginger’ dan ‘Malay ginger’. Istilah ‘crepe ginger’ merujuk kepada bunga putih yang mempunyai rupa seperti kertas krep, manakala ‘spiral ginger’ berkait dengan susunan daun yang berpilin atau berpusar pada batang. Kepelbagaian nama ini juga mencerminkan sejarah penggunaan tumbuhan tersebut dalam budaya dan perubatan tradisional masyarakat di Asia.
Di India, tumbuhan ini mempunyai pelbagai nama vernakular, termasuk nama yang digunakan dalam tradisi Ayurveda dan sistem perubatan tempatan. Spesies ini mempunyai sejarah penggunaan tradisional yang luas di beberapa negara Asia, khususnya di China dan India. Perbezaan nama tempatan dipengaruhi oleh konteks budaya, bahasa, bangsa dan wilayah, maka nama botani lebih sesuai digunakan supaya tidak berlaku kekeliruan dalam pengenalpastian spesies. Dalam rujukan lama, spesies ini dirujuk sebagai Costus speciosus (J.Koenig) Sm., tetapi semakan taksonomi terkini menerima Hellenia speciosa (J.Koenig) S.R.Dutta sebagai nama saintifik atau nama botani yang diguna pakai, manakala C. speciosus merupakan nama sinonim yang masih banyak digunakan dalam rujukan farmakologi dan etnobotani terdahulu. Bagi mengelakkan kekeliruan ketika membuat carian rujukan, kedua-dua nama botani perlu digunakan sebagai kata kunci.
Taksonomi
Setawar hutan ialah tumbuhan monokotiledon dalam order Zingiberales dan famili Costaceae. Genus Hellenia kini diterima dalam pangkalan data taksonomi utama. Famili Costaceae berbeza daripada Zingiberaceae, walaupun kedua-duanya berada dalam order Zingiberales. Salah satu ciri yang sering dikaitkan dengan Costaceae ialah susunan daun secara berpusar atau berpilin, yang membantu membezakan kumpulan ini daripada banyak spesies Zingiberaceae yang lazimnya mempunyai susunan daun distikus atau setentang (susunan daun yang tumbuh dalam dua baris bertentangan yang selari).
Perubahan penggunaan nama kepada Hellenia speciosa menunjukkan perkembangan dalam sistematik dan nomenklatur (penamaan) spesies ini. Penamaan dalam taksonomi yang dikemas kini penting untuk menyelaraskan nama diterima dan sinonim dalam penyelidikan kepelbagaian biologi. Dalam artikel ini, nama Hellenia speciosa digunakan sebagai nama utama, manakala Costus speciosus digunakan apabila merujuk kepada kajian yang diterbitkan menggunakan nama lama.
Taburan Geografi
Setawar hutan mempunyai taburan semula jadi yang luas di kawasan tropika dan subtropika Asia hingga ke timur laut Queensland, Australia. “Plants of the World Online” merekodkan kehadiran spesies ini di beberapa kawasan termasuk India, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka, Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam dan wilayah tropika lain. Spesies ini ialah geofit berizom yang lazimnya berkait dengan biome tropika lembap. Di Malaysia, rekod MyBIS menunjukkan penemuan spesies ini di beberapa negeri termasuk Kedah, Kelantan, Pahang, Penang, Selangor, Terengganu serta Wilayah Persekutuan.
Spesies ini daripada segi ekologi, dikaitkan dengan persekitaran lembap dan habitat yang mempunyai bekalan air serta bahan organik yang tinggi. Walaupun status globalnya direkodkan sebagai Kurang Keprihatinan (LC-Least Concern (LC)) di bawah satu lagi nama sinonim Cheilocostus speciosus, pengambilan rizom tetap perlu diurus secara lestari kerana rizom merupakan organ simpanan utama tumbuhan. Cadangan penanaman komersial secara besar-besaran, pembiakan in vitro dan pemuliharaan sumber genetik sebagai pendekatan untuk mengurangkan tekanan kepupusan terhadap populasi liar sangat wajar diberi perhatian.
Ciri Morfologi dan Ciri Pengenalan
Setawar hutan ialah herba saka berizom dengan batang tegak yang boleh menjadi agak tinggi apabila tumbuh dalam keadaan sesuai. Ciri pengenalan utamanya termasuk rizom, daun tersusun berpusar dan berpilin, dan perbungaan terminal dengan braktea berwarna merah serta bunga berwarna putih. Gabungan ciri vegetatif dan reproduktif ini penting untuk pengecaman spesies, khususnya apabila nama Costus speciosus masih digunakan dalam sumber rujukan lama.

Rizom dan Batang
Rizom merupakan batang terubahsuai yang berada di bawah atau berhampiran permukaan tanah dan berfungsi sebagai organ penyimpanan serta pembiakan vegetatif. Rizom juga merupakan bahagian yang banyak dikaji kerana mengandungi pelbagai bahan metabolit sekunder, termasuk steroidal sapogenin dan saponin. Kepentingan kandugan fitokimianya menjadikan rizom bernilai daripada sudut farmakologi, tetapi pada masa yang sama penuaian rizom daripada tumbuhan liar perlu dilakukan secara terkawal bagi mengurangkan tekanan terhadap sumber semula jadi.

Batang setawar hutan tumbuh tegak dan pada asasnya terbentuk daripada pelepah daun yang bertindih rapat, dan batang yang terbentuk daripada pelepah daun dipanggil pseudostem. Permukaannya licin dan berwarna hijau, dengan perubahan warna dan saiz bergantung pada umur serta keadaan pertumbuhan.

Daun
Daun berbentuk lonjong hingga elips, dengan ujung yang meruncing dan tersusun secara berpusar mengelilingi batang. Susunan ini memberikan rupa yang seolah-olah pusaran apabila dilihat dari atas. Bentuk daun, susunan daun, dan ciri perbungaan boleh digunakan bersama-sama sebagai ciri morfologi untuk pengecaman spesies.

Bunga
Perbungaan setawar hutan muncul pada bahagian terminal dan membentuk struktur padat dengan braktea yang menonjol. Braktea berwarna merah hingga merah tua mengelilingi bunga putih yang mempunyai struktur khas. Kajian morfologi bunga menunjukkan spesies ini mempunyai bunga dengan labelum petaloid, stamen dan ovari inferior. Oleh itu, warna braktea, struktur bunga dan kedudukan perbungaan merupakan ciri penting terutama untuk pengecaman dan pendidikan dalam bidang botani.

Buah dan Biji
Selepas pendebungaan, bunga menghasilkan buah berbentuk kapsul yang mengandungi biji. Pembiakan generatif melalui biji dan pembiakan vegetatif melalui rizom memberikan spesies ini lebih daripada satu kaedah pembiakan. Walau bagaimanapun, keberkesanan pembiakan melalui biji boleh berbeza mengikut keadaan biji benih dan persekitaran. Bagi tujuan penanaman, pembahagian rizom boleh digunakan sebagai kaedah pembiakan praktikal. Pembiakan melalui rizom merupakan mekanisme penting bagi pembentukan rumpun kerana tunas baharu boleh berkembang daripada struktur vegetatif sedia ada. Pertumbuhan vegetatif H. speciosa berkait dengan keadaan persekitaran yang lembap dan sesuai dengan sifatnya sebagai geofit tropika lembap. Rizom membolehkan tumbuhan menyimpan sumber dan menghasilkan pertumbuhan vegetatif baharu. Walau bagaimanapun, kenyataan tentang kadar pertumbuhan bermusim, tempoh pematangan buah atau ketahanan terhadap gangguan tertentu perlu ditafsir berdasarkan keadaan habitat dan kajian lapangan setempat, kerana data fenologi boleh berbeza antara populasi.
Kaedah pembiakan moden menunjukkan bahawa kaedah konvensional tidak semestinya memberikan kadar pembiakan yang cepat, sekali gus mendorong pembangunan sistem regenerasi in vitro untuk pengeluaran bahan tanaman yang lebih seragam. Pada skala pengeluaran yang lebih besar, kultur tisu menawarkan alternatif apabila bekalan bahan tanaman perlu ditingkatkan dengan cepat. Kajian menunjukkan sistem regenerasi in vitro menggunakan eksplan nod dan daun yang menghasilkan pucuk berakar serta kadar kelangsungan hidup rumah hijau yang tinggi.
Ekologi dan Peranan dalam Ekosistem
Sebagai herba berizom yang tumbuh dalam persekitaran tropika lembap, setawar hutan merupakan sebahagian daripada komuniti tumbuhan bawah kanopi atau habitat lembap tertentu. Kehadiran tumbuhan herba seperti ini boleh menyumbang kepada struktur lapisan bawah vegetasi dan menyediakan sumber bahan organik apabila daun serta bahagian tumbuhan lain mereput. Namun, fungsi ekosistem khusus spesies ini dalam pengurangan kadar hakisan, interaksi mikroorganisma tanah atau pembentukan mikrohabitat masih memerlukan kajian lapangan yang lebih khusus dan tidak wajar dianggap telah dibuktikan secara eksperimen.
Setawar Hutan dalam Perubatan Tradisional
Setawar hutan mempunyai sejarah penggunaan dalam perubatan tradisional di beberapa kawasan Asia. Bahagian yang paling kerap dibincangkan ialah rizom dan pucuk atau batang muda. Dalam sistem perubatan tradisional India dan beberapa tradisi Asia, tumbuhan ini digunakan untuk pelbagai keadaan kesihatan, termasuk gangguan berkaitan keradangan, metabolisme dan sistem pernafasan. Walaupun penggunaan secara tradisional merupakan asas penting untuk penyelidikan farmakologi, tetapi tuntutan terapeutik perlu dilakukan untuk mendapatkan bukti klinikal.
Spesies ini dalam rujukan etnofarmakologi, dilaporkan digunakan dalam perubatan Ayurveda dan sistem perubatan tradisional lain. Bahagian tumbuhan dan kaedah penyediaan berbeza mengikut wilayah. Penemuan fitokimia moden menjelaskan mengenai sebahagian aktiviti biologi tetapi keberkesanan dan keselamatan penggunaan pada manusia memerlukan penilaian toksikologi dan klinikal yang lebih menyeluruh. Perkembangan teknologi fitokimia, metabolomik dan biologi molekul membolehkan penyelidik mengenal pasti serta mencirikan metabolit yang mungkin menyumbang kepada aktiviti biologi spesies ini. Justeru, pengetahuan tradisional boleh menjadi titik permulaan kepada hipotesis saintifik, tetapi hubungan sebab-akibat antara sesuatu sebatian dan kesan terapeutik perlu dibuktikan melalui reka bentuk eksperimen yang sesuai.
Kandungan Fitokimia dan Sebatian Bioaktif
Setawar hutan mempunyai profil fitokimia yang pelbagai. Kajian saintifik telah melaporkan kehadiran steroid, saponin, flavonoid, fenolik, alkaloid, terpenoid dan sebatian lain pada bahagian tumbuhan yang berbeza. Steroidal sapogenin seperti diosgenin dan saponin steroid merupakan antara komponen yang paling mendapat perhatian kerana kepentingannya dalam penyelidikan farmakologi dan industri bahan semula jadi. Antara sebatian yang ditemui ialah diosgenin, dioscin, gracillin, costusosides dan beberapa metabolit terpenoid serta bahan fenolik. Diosgenin ialah steroidal sapogenin yang turut diperoleh daripada beberapa tumbuhan lain dan digunakan sebagai bahan penting dalam membina kimia steroid. Walau bagaimanapun, kandungan sesuatu sebatian boleh berbeza mengikut organ tumbuhan, lokasi, umur, kaedah pengekstrakan dan keadaan persekitaran. Oleh itu, nilai kandungan yang diperoleh daripada satu kajian tidak semestinya mewakili semua populasi spesies ini.
Peningkatan minat terhadap bahan metabolit sekunder menunjukkan keperluan kepada sistem penanaman dan pembiakan yang mampan. Penekanan potensi pendekatan bioteknologi, pemuliharaan dan pemulihan sumber bagi memastikan pengeluaran bahan bioaktif tidak bergantung sepenuhnya kepada pengumpulan tumbuhan liar. Sistem regenerasi in vitro merupakan salah satu contoh pendekatan yang boleh menyokong pengeluaran bahan tanaman.
Aktiviti Antioksidan
Kajian terhadap ekstrak spesies ini menunjukkan aktiviti antioksidan yang dikaitkan dengan kehadiran sebatian fenolik, flavonoid dan metabolit lain. Dalam kajian terhadap lima populasi setawar hutan di Sri Lanka, ekstrak daun menunjukkan aktiviti antioksidan dan keupayaan menghalang enzim α-glukosidase secara in vitro. Dapatan seperti ini menyokong potensi penyelidikan lanjut, tetapi keputusan ujian in vitro tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa tumbuhan tersebut boleh mencegah atau merawat penyakit pada manusia dan kajian lanjut perlu dilakukan.
Aktiviti Antidiabetik
Potensi antidiabetik merupakan antara bidang penyelidikan yang paling banyak dikaitkan dengan H. speciosus. Kajian in vitro pada populasi di Sri Lanka menunjukkan aktiviti penghambatan α-glukosidase oleh ekstrak daun, manakala kajian lebih baharu menggunakan LC-MS/MS, analisis rangkaian farmakologi dan molecular docking meneroka interaksi metabolit spesies ini dengan sasaran berkaitan diabetes jenis 2 (Kodagoda et al., 2023; Fakih et al. 2025). Penemuan ini menarik daripada sudut penyelidikan, tetapi belum boleh diterjemahkan secara langsung sebagai rawatan diabetes tanpa bukti klinikal yang mencukupi.
Aktiviti Antimikrob dan Antiradang
Pelbagai ekstrak telah menunjukkan aktiviti antimikrob dan antiradang dalam kajian makmal. Shaikh et al. (2022) melaporkan profil fitokimia serta aktiviti antimikrob in vitro bagi ekstrak daripada spesies ini, manakala kajian 2024 terhadap ekstrak rizom melaporkan kandungan saponin, terpenoid dan fenolik serta aktiviti antiradang in vitro (Goyal et al. 2024). Dapatan ini memberikan asas untuk kajian mekanisme dan pembangunan bahan aktif, tetapi dos, keboleh dapatan bahan metabolic dan keselamatan manusia masih perlu dinilai.
Potensi Antiobesiti dan Hipolipidemik
Beberapa kajian mencadangkan bahawa bahan metabolitnya mungkin mempengaruhi laluan berkaitan metabolisme lipid dan glukosa. Walaupun potensi hipolipidemik dan metabolik sering dilaporkan, bukti tersebut kebanyakannya bersifat praklinikal. Walaupun telah dijalankan penyelidikan bagi gangguan metabolik, tetapi keberkesanannya sebagai bahan antiobesiti atau untuk penurun kolesterol pada manusia masih belum dibuktikan (Maji et al., 2020; Qin et al., 2025; Fakih et al., 2025).
Potensi Farmaseutikal dalam Penyelidikan Moden
Kemajuan dalam kromatografi, spektrometri jisim, analisis rangkaian farmakologi dan pemodelan molekul telah memperluas penyelidikan terhadap H. speciosa. Kajian oleh Qin et al. (2025) merumuskan mengenai fitonutrien, aktiviti biologi, aspek keselamatan, penggunaan LC-MS/MS dan penerokaan sumber bahan metabolit serta sasaran molekul berkaitan diabetes (Fakih et al., 2025). Perkembangan ini menunjukkan bagaimana tumbuhan ubatan boleh dikaji secara lebih bersepadu daripada pengenalpastian bahan aktif sehingga mekanisme molekul.
Satu perkembangan yang menarik ialah kajian antivirus terhadap metabolit rizom H. speciose oleh Alnhhas et al. (2026) menggabungkan molekul dengan ujian in vitro terhadap adenovirus pada manusia dan menilai profil ketoksikan secara in silico. Kajian tersebut memberikan bukti praklinikal yang menarik, tetapi hasilnya masih berada pada tahap penyelidikan makmal dan tidak boleh ditafsir sebagai bukti bahawa H. speciosa merupakan ubat antivirus untuk manusia.
Penemuan berkaitan aktiviti antivirus telah memperluaskan skop penyelidikan daripada aktiviti antioksidan dan metabolik kepada interaksi tumbuhan–virus. Walau bagaimanapun, keberkesanan sesuatu ekstrak atau metabolit dipengaruhi oleh jenis sebatian, kepekatan, kaedah pengekstrakan dan sistem ujian. Oleh itu, kajian susulan perlu merangkumi pengesahan mekanisme, farmakokinetik, toksikologi dan kajian in vivo sebelum sebarang implikasi klinikal dibuat. Selain antivirus, penyelidikan terkini turut menilai potensi antikanser, imunomodulator, penyembuhan luka dan aktiviti lain. Sebagai contoh, Zishan et al. (2024) melaporkan potensi penyembuhan luka menggunakan ekstrak daun dan biji benih spesies ini pada luka tikus. Manakala Vyas et al. (2025) mengkaji kesan imunomodulator ekstraknya pada psoriasis tikus. Kajian ini menunjukkan keluasan bidang penyelidikan, tetapi semua dapatan tersebut masih lagi pada peringkat pra-klinikal sehingga disahkan melalui kajian manusia.
Industri Farmaseutikal, Herba dan Nutraseutikal
Diosgenin ialah antara metabolit yang menjadikan H. speciosa menarik dalam penyelidikan bahan semula jadi. Sebatian ini merupakan steroidal sapogenin yang boleh menjadi bahan permulaan dalam penghasilan pelbagai derivatif steroid melalui proses kimia. Spesies ini bukan satu-satunya sumber diosgenin, namun spesies ini telah lama dikaji sebagai sumber alternatif bahan tersebut. Nilai ekonominya perlu dilihat bersama dengan aspek kecekapan pengeluaran, kandungan bahan metabolit, kos penanaman dan kelestarian sumber. Peningkatan penyelidikan terhadap tumbuhan ubatan membuka peluang kepada pembangunan ekstrak piawai, bahan ramuan dan penghasilan produk. Namun, dakwaan bahawa produk komersial tertentu daripada H. speciosa telah terbukti berkesan atau selamat pada manusia perlu dibuat dengan berhati-hati kerana aspek keselamatan dan kesan toksik masih merupakan komponen penting dalam penyelidikan spesies ini.
Industri Landskap
Selain nilai perubatan, setawar hutan mempunyai nilai estetik yang jelas. Perbungaan terminal, braktea berwarna merah dan bunga putih memberikan kontras visual yang menarik, manakala susunan daun berpusar menambah ciri seni bina tumbuhan ini. Ciri ini menjadikan H. speciosa berpotensi digunakan di taman botani, taman herba, landskap tropika dan kawasan pendidikan. Penggunaan sebagai tanaman hiasan juga boleh membantu memperkenalkan flora ubatan tempatan kepada masyarakat.
Kesimpulan
Hellenia speciosa ialah herba berizom daripada famili Costaceae yang mempunyai nilai botani, budaya, perubatan tradisional, fitokimia, ekonomi dan landskap. Nama Costus speciosus masih dominan dalam banyak penerbitan lama, tetapi H. speciosa merupakan nama yang diterima dalam pangkalan data taksonomi semasa. Kejelasan penggunaan nama saintifik amat penting supaya rujukan daripada bidang botani, etnobotani dan farmakologi dapat dihubungkan dengan tepat. Penyelidikan sekitar tahun 2020 hingga 2026 menunjukkan bahawa spesies ini terus menarik untuk kajian kerana kandungan steroid, saponin, fenolik dan terpenoid serta potensi aktiviti antioksidan, antidiabetik, antimikrob, antiradang, penyembuhan luka dan antivirus. Namun, sebahagian besar bukti masih berada pada tahap praklinikal dan belum dibuktikan keberkesanannya pada manusia. Pemuliharaan H. speciosa perlu digabungkan dengan penanaman terkawal, pembiakan vegetatif dan in vitro, dokumentasi sumber genetik serta pemantauan populasi. Walaupun penilaian global semasa merekodkan spesies ini sebagai ‘Kurang Perhatian (Least Concern), kelestarian penuaian rizom dan pengurusan habitat tetap penting. Taman botani boleh memainkan peranan sebagai pusat konservasi ex situ, pendidikan, penyelidikan dan penyebaran ilmu bagi spesies ini. Setawar hutan menunjukkan bahawa tumbuhan tropika yang indah ini boleh menjadi jambatan antara biodiversiti, pengetahuan tradisional dan inovasi sains moden.
Rujukan
Alnhhas, S.A., Bouback, T., Albeshri, A., Alsahafi, T., Al-Sarraj, F. & Al-Sulaimany, F.A. (2026). Antiviral activity of Hellenia speciosa (J. Koenig) S.R. Dutta rhizome metabolites against human adenovirus: insights from molecular docking and in vitro studies. Frontiers in Pharmacology, 16, 1687104. https://doi.org/10.3389/fphar.2025.1687104
Bachman, S.P., Brown, M.J.M., Leão, T.C.C., Nic Lughadha, E. & Walker, B.E.2024. Extinction risk predictions for the world’s flowering plants to support their conservation. New Phytologist, 242(2): 797–808. https://doi.org/10.1111/nph.19592
Bharathi, J.K., Anandan, R., Rameshkumar, S., Menaka, K. & Prakash, M.A.S. 2022. Development of an efficient in vitro regeneration system in Costus speciosus – an important herbal insulin plant. South African Journal of Botany, 149: 468–475. https://doi.org/10.1016/j.sajb.2022.06.031
Delarosa, A., Hendrawan, R.P. & Halimah, E. 2023. Screening of Costus speciosus and determination of antioxidant potential using DPPH method: A review. European Journal of Medicinal Plants, 34(7): 17–28. https://doi.org/10.9734/ejmp/2023/v34i71146
Fakih, T.M., Sodik, J.J., Khaerulihsan, R.R., Fathurohman, I.J., Syafnir, L., Rasydy, L.O.A. & Muchtaridi. 202). LC-MS/MS-guided profiling and network pharmacology analysis of bioactive compounds from Costus speciosus targeting type 2 diabetes: Insights from molecular docking and dynamics. Intelligent Pharmacy, 3(6): 401–419. https://doi.org/10.1016/j.ipha.2025.07.002
Gheraibia, S., Belattar, N., Hassan, M.E., El-Nekeety, A.A., El-Sawy, E.R. & Abdel-Wahhab, M.A. 2025. Molecular docking of polyphenol compounds and exploring the anticoagulant activity of Costus speciosus extracts in vitro and in vivo. Toxicology Reports, 14: 101961. https://doi.org/10.1016/j.toxrep.2025.101961
Govaerts, R., Nic Lughadha, E., Black, N., Turner, R. & Paton, A. 2021. The world checklist of vascular plants, a continuously updated resource for exploring global plant diversity. Scientific Data, 8: 215. https://doi.org/10.1038/s41597-021-00997-6
Goyal, J., Singh, H., Jain, P., Kunia, K., Prasad, H.K., Yadav, P., Upadhayay, P. & Rai, N. 2024. Phytochemical and biochemical profiling of Costus speciosus (J. Koenig) Sm. rhizome and its interaction with gut bacteria Lactobacillus casei. African Journal of Biological Sciences, 6(6): 8742–8753. https://doi.org/10.33472/AFJBS.6.6.2024.8742-8753
Kodagoda, Y.K., Jayasinghe, C.V.L. & Dharmadasa, R.M. 2023. In vitro antioxidant activity and antidiabetic potential of five spiral ginger (Costus speciosus (J. Koenig) Sm.) populations available in Sri Lanka. Journal of Agriculture and Food Research, 12: 100553. https://doi.org/10.1016/j.jafr.2023.100553
Maji, P., Ghosh Dhar, D., Misra, P. & Dhar, P. 2020. Costus speciosus (Koen ex. Retz.) Sm.: Current status and future industrial prospects. Industrial Crops and Products, 152:112571. https://doi.org/10.1016/j.indcrop.2020.112571
Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). 2026. Hellenia speciosa (J.Koenig) S.R.Dutta – Setawar Hutan. Accessed 25 September 2026. https://www.mybis.gov.my/sp/32680
Plants of the World Online (POWO). 2026. Royal Botanic Gardens, Kew. Hellenia speciosa (J.Koenig) S.R.Dutta. Accessed 25 September 2026. https://powo.science.kew.org/taxon/urn:lsid:ipni.org:names:60469691-2
Poulsen, A.D. & van Caspel, P. (2020). Cheilocostus speciosus (J.Koenig) C.D.Specht. The IUCN Red List of Threatened Species 2020. https://doi.org/10.2305/IUCN.UK.2020-2.RLTS.T158548274A158548791.en
Qin, Y., Wang, N., Pan, H., Lei, X. & Li, X. 2025. Hellenia speciosa: A comprehensive review of traditional applications, phytonutrients, health benefits and safety. Food Chemistry, 465(2): 142003. https://doi.org/10.1016/j.foodchem.2024.142003
Shaikh, S.S., Bawazir, A.S. & Yahya, B.A. 2022. Phytochemical, histochemical and in vitro antimicrobial study of various solvent extracts of Costus speciosus (J. Koenig) Sm. and Costus pictus D. Don. Turkish Journal of Pharmaceutical Sciences, 19(2): 145–152. https://doi.org/10.4274/tjps.galenos.2021.02058
Sharma, A. & Sharma, S. 2021. Floral morphology and reproductive biology of medicinal plants: Costus (Costaceae). Journal of Medicinal Plants Studies, 9(1): 33–36. https://doi.org/10.22271/plants.2021.v9.i1a.1246
Sohrab, S., Mishra, P., & Mishra, S.K. 2021. Phytochemical competence and pharmacological perspectives of an endangered Costus speciosus (Koen.) Sm.: A comprehensive review. Bulletin of the National Research Centre, 45: 209. https://doi.org/10.1186/s42269-021-00663-2
Vyas, A., Shaikh, M., Raheja, R. & Doshi, G. 2025. Costus speciosus extract: a natural immunomodulator for treatment of psoriasis in BALB/c mice by NF-κB pathway. Journal of Immunoassay and Immunochemistry, 46(5): 557–577. https://doi.org/10.1080/15321819.2025.2498439
Zishan, S.A., Uddin, M.M., Mohammad, M., Azad, S.M.A.K., Naima, J., Ibban, S.S. & Arman, M.S.I. 2024. Costus speciosus leaf and seed extracts for wound healing: a comparative evaluation using mice excision wound models. Clinical Phytoscience, 10: 5. https://doi.org/10.1186/s40816-024-00368-9




