Saturday, October 31, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Dari Setitis Darah ke Keputusan Makmal: Bagaimana Paras Glukosa Diukur dan Ditafsirkan?

Dari Setitis Darah ke Keputusan Makmal: Bagaimana Paras Glukosa Diukur dan Ditafsirkan?

Editor by Editor
31/10/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Prof. Madya Dr. Tuan Salwani binti Tuan Ismail
Pakar Patologi Kimia, Hospital Universiti Sains Malaysia
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia

Pernahkah anda tertanya-tanya apakah maksud nombor pada laporan ujian glukosa darah? Ada keputusan yang dinyatakan dalam mmol/L, manakala HbA1c dilaporkan dalam peratus atau mmol/mol. Walaupun kedua-duanya berkaitan dengan glukosa darah, ujian ini memberikan maklumat yang berbeza. Memahami bagaimana glukosa diukur dan bagaimana keputusan ditafsirkan dapat membantu kita memahami keadaan kesihatan dengan lebih tepat.

Glukosa ialah sumber tenaga utama bagi tubuh. Selepas makan, karbohidrat diuraikan menjadi glukosa dan diserap ke dalam aliran darah. Hormon insulin membantu glukosa memasuki sel untuk digunakan sebagai tenaga. Jika insulin tidak mencukupi atau tindakannya terganggu, paras glukosa boleh meningkat dan meningkatkan risiko pradiabetes atau diabetes.

Bacaan paras glukosa dari ujian darah

Glukosa boleh diukur menggunakan glukometer, iaitu alat yang biasa digunakan di rumah atau klinik. Setitis darah yang diperoleh melalui cucukan kecil pada hujung jari diletakkan pada jalur ujian untuk mendapatkan bacaan dalam masa yang singkat. Alat ini memudahkan pemantauan glukosa, khususnya bagi individu yang menghidap diabetes. Walau bagaimanapun, bacaan glukometer boleh dipengaruhi oleh teknik pengambilan darah, tangan yang kotor atau basah, serta jalur ujian yang tamat tempoh atau disimpan secara tidak betul. Oleh itu, glukometer berguna untuk pemantauan dan saringan awal, tetapi tidak sepatutnya digunakan secara bersendirian untuk mengesahkan diagnosis diabetes.

Di makmal perubatan, glukosa lazimnya diukur menggunakan sampel plasma daripada darah vena. Sampel dikendalikan dan diproses mengikut prosedur yang sesuai sebelum dianalisis menggunakan penganalisis kimia klinikal. Prosedur kawalan kualiti membantu memastikan keputusan yang dihasilkan boleh dipercayai. Oleh sebab jenis sampel dan kaedah pengukuran berbeza, bacaan glucometer tidak semestinya sama sepenuhnya dengan keputusan makmal.

Tiga ujian utama untuk menilai glukosa darah

Terdapat tiga ujian utama yang digunakan dalam penilaian pradiabetes dan diabetes, iaitu glukosa plasma puasa, hemoglobin terglikasi (HbA1c) dan ujian toleransi glukosa oral (OGTT). Setiap ujian menilai aspek yang berbeza dan pemilihannya bergantung pada keadaan individu serta pertimbangan klinikal.

Glukosa plasma puasa mengukur paras glukosa selepas seseorang berpuasa sekurang-kurangnya 8 hingga 12 jam. Berdasarkan Clinical Practice Guidelines (CPG): Management of Type 2 Diabetes Mellitus, edisi keenam Malaysia (2020), ambang bagi orang dewasa ialah:

  • Normal: kurang daripada 6.1 mmol/L.
  • Pradiabetes: 6.1–6.9 mmol/L.
  • Diabetes: 7.0 mmol/L atau lebih.

Sebagai contoh, bacaan 5.4 mmol/L berada dalam julat normal, manakala bacaan 6.5 mmol/L berada dalam julat pradiabetes. Namun, keputusan perlu ditafsir bersama faktor risiko dan keadaan klinikal, dan keputusan dalam julat diabetes mungkin memerlukan pengesahan.

HbA1c pula mengukur peratus hemoglobin dalam sel darah merah yang telah bergabung dengan glukosa.

Oleh sebab sel darah merah hidup selama kira-kira 120 hari, HbA1c mencerminkan pendedahan glukosa sepanjang dua hingga tiga bulan sebelumnya. Namun, paras glukosa dalam tempoh 30 hari terakhir memberi sumbangan yang lebih besar kepada nilai HbA1c berbanding paras glukosa pada bulan-bulan sebelumnya.

Berbeza daripada glukosa puasa, HbA1c tidak memerlukan seseorang berpuasa. Mengikut ambang dalam CPG Malaysia edisi keenam (2020) yang dirujuk dalam bahan pendidikan ini, nilai HbA1c ialah:

  • Normal: kurang daripada 5.7%.
  • Pradiabetes: 5.7% hingga kurang daripada 6.3%.
  • Diabetes: 6.3% atau lebih.

Walau bagaimanapun, anemia, sesetengah varian hemoglobin dan keadaan yang mengubah jangka hayat sel darah merah boleh mempengaruhi keputusan HbA1c. Oleh itu, kesesuaian ujian dan keadaan pesakit perlu dipertimbangkan ketika mentafsir hasilnya.

OGTT menilai tindak balas tubuh selepas seseorang meminum larutan glukosa yang ditetapkan. Sampel darah diambil mengikut protokol, termasuk dua jam selepas minuman tersebut. Bagi bacaan glukosa plasma dua jam selepas OGTT, ambang yang dirujuk dalam CPG Malaysia edisi keenam (2020) ialah:

  • Normal: kurang daripada 7.8 mmol/L.
  • Pradiabetes: 7.8–11.0 mmol/L.
  • Diabetes: 11.1 mmol/L atau lebih.

Ujian ini membantu mengenal pasti gangguan toleransi glukosa yang mungkin tidak dikesan melalui bacaan puasa sahaja. Doktor boleh mencadangkannya apabila keputusan ujian lain tidak sepadan atau penilaian tambahan diperlukan.

Bagaimana keputusan makmal ditafsirkan?

Apabila menerima laporan makmal, semak nama ujian, unit, tarikh pemeriksaan dan julat rujukan atau ambang klinikal yang berkaitan. Tanda H, yang bermaksud high atau tinggi menunjukkan keputusan melebihi julat rujukan makmal, tetapi tidak semestinya mengesahkan sesuatu diagnosis. Keputusan juga boleh dibandingkan dengan ujian terdahulu untuk melihat perubahan dari semasa ke semasa.

Bayangkan seseorang mempunyai glukosa plasma puasa 5.4 mmol/L tetapi HbA1c 5.9%. Adakah salah satu keputusan itu semestinya salah? Tidak. Glukosa puasa menggambarkan paras glukosa pada satu masa selepas berpuasa, manakala HbA1c mencerminkan pendedahan glukosa dalam tempoh beberapa bulan. Kedua-duanya mengukur aspek yang berbeza, maka keputusan yang tidak sepadan boleh berlaku.

Dalam keadaan ini, doktor akan mempertimbangkan faktor risiko, gejala dan kemungkinan keadaan yang mempengaruhi HbA1c. Keputusan ujian HbA1c yang berada dalam julat pradiabetes boleh digunakan untuk memberi label pradiabetes kepada seseorang individu. Untuk diagnosis diabetes, ujian tambahan atau pengulangan ujian makmal mungkin diperlukan berdasarkan penilaian atau simptom klinikal. Prinsip pentingnya ialah keputusan tidak boleh ditafsir berdasarkan nombor semata-mata tetapi jenis ujian dan keadaan individu juga perlu diambil kira.

Daripada keputusan kepada tindakan

Saringan glukosa penting bagi individu yang mempunyai faktor risiko seperti berat badan berlebihan, sejarah keluarga diabetes, tekanan darah tinggi, gangguan lipid, sindrom ovari polisistik atau sejarah diabetes semasa hamil. Gejala seperti kerap dahaga, kerap membuang air kecil, cepat letih atau penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas juga memerlukan pemeriksaan doktor, walaupun bacaan glukometer kelihatan normal.

Jika pradiabetes dikenal pasti, perubahan gaya hidup seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal secara konsisten dan pengurusan berat badan boleh membantu mengurangkan risiko perkembangan kepada diabetes. Pemeriksaan susulan pula membolehkan perubahan paras glukosa dipantau dan tindakan yang sesuai diambil lebih awal.

Kesimpulannya, memahami keputusan glukosa darah bukan sekadar mengetahui sama ada sesuatu bacaan normal atau tinggi. Glukometer, glukosa plasma puasa, HbA1c dan OGTT memberikan maklumat yang berbeza tetapi saling melengkapi. Dengan memahami bagaimana ujian dilakukan dan bagaimana keputusannya ditafsirkan, kita dapat mengelakkan salah faham serta membuat keputusan kesihatan yang lebih bermaklumat.

Kenali nombor anda. Fahami maksudnya. Ambil tindakan awal.

Rujukan

  1. Ministry of Health Malaysia et al. Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus. Edisi ke-6, 2020. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Endocrine/CPG_T2DM_6th_Edition_2020_13042021.pdf
  2. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases (NIDDK). The A1C Test & Diabetes. https://www.niddk.nih.gov/health-information/diagnostic-tests/a1c-test

Artikel ini bertujuan memberikan pendidikan kesihatan kepada orang awam dan tidak menggantikan pemeriksaan atau nasihat doktor.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: bacaan darahdiabetesProf. Madya Dr. Tuan Salwani binti Tuan IsmailUjian Darah
Previous Post

Pesta Bunga yang Membawa Khazanah Biji Benih: Menyingkap Fenomena Mass Flowering dan Mass Fruiting

Next Post

Daripada Formulasi kepada Fungsi: Bagaimana Protein Tumbuhan Menjadi Sebahagian daripada Makanan Harian

Editor

Editor

Related Posts

Prinsip Koheren: Asas Menangani Maklumat Palsu
Berita & Peristiwa

Prinsip Koheren: Asas Menangani Maklumat Palsu

24 minutes ago
Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita
Alam Semulajadi

Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita

48 minutes ago
Kelapa Sawit: Menilai Nilai Sebenar kepada Ekonomi, Masyarakat, dan Alam Sekitar
Alam Semulajadi

Kelapa Sawit: Menilai Nilai Sebenar kepada Ekonomi, Masyarakat, dan Alam Sekitar

58 minutes ago
Fungsi Cecair Otak di sebalik Kesihatan Minda
Berita & Peristiwa

Fungsi Cecair Otak di sebalik Kesihatan Minda

1 hour ago
Next Post
Daripada Formulasi kepada Fungsi: Bagaimana Protein Tumbuhan Menjadi Sebahagian daripada Makanan Harian

Daripada Formulasi kepada Fungsi: Bagaimana Protein Tumbuhan Menjadi Sebahagian daripada Makanan Harian

Kategori Produk

  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In