Oleh : Nor Hizami Hassin
Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan
Ekopelancongan merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin popular dewasa ini. Ia telah diperkenalkan bukan sahaja di luar negara malah termasuk di Malaysia. Ekopelancongan telah diberi perhatian dan mula dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK ke-7) dan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK ke-8) dan dilaksanakan secara serius melalui penubuhan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (2016-2025) pada tahun 2015. Ekopelancongan berbeza dengan pelancongan buatan manusia seperti di Menara Berkembar KLCC, Menara Kuala Lumpur, Zoo Negara dan sebagainya. Ia juga berbeza dengan konsep pelancongan massa “mass tourism” yang hanya memberi tumpuan dalam mempromosikan dan membangunkan destinasi pelancongan tanpa mengambil kira tentang penjagaan alam sekitar. Ini kerana, ekopelancongan adalah berkonsepkan alam semula jadi dan melibatkan elemen pendidikan dan pembelajaran kepada pelancong dan penduduk tempatan melalui kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi serta menyumbang faedah kepada ekonomi setempat disamping mereka boleh berhibur, merasai keseronokan dan menikmati keindahan alam. Aktiviti ekopelancongan akan memberi peluang kepada pelancong melawat kawasan-kawasan yang agak belum dimajukan untuk menyemai dan membangkitkan semangat penghargaan, penyertaan dan kepekaan penduduk tempatan khususnya dan pelancong. Pelancong dan penduduk setempat akan didedahkan tentang bagaimana mereka perlu menghargai alam sekitar di samping menikmati keindahannya pada masa yang sama. Di Malaysia terdapat banyak destinasi ekopelancongan yang telah diwujudkan untuk memberi pengalaman kepada pelancong sama ada dari dalam dan luar negara menikmati keindahan di kawasan semula jadi. Antara destinasi ekopelancongan yang popular yang boleh disenaraikan ialah di Taman Negara Kuala Tahan (Pahang), Taman Negara Pulau Pinang (Pulau Pinang), Pulau Perhentian dan Pulau Redang, (Terengganu), Taman Negara Gua Mulu (Sarawak), Santuari Gajah Kuala Gandah (Pahang), Taman Geo Kilim Karst, Langkawi (Kedah), Pulau Sipadan dan Pulau Mabul (Sabah), Firefly Park Kuala Selangor, dan lain – lain destinasi ekopelancongan yang telah dibangunkan di seluruh negara.
Impak Ekopelancongan terhadap Ekonomi
Tidak dapat dinafikan ekopelancongan merupakan salah satu aktiviti pelancongan yang semakin popular dan digemari oleh pelancong pada masa kini. Secara amnya, produk ekopelancongan dilihat amat memberikan impak yang positif dari sudut pembangunan industri pelancongan negara dan juga menghasilkan faedah dalam bentuk ekonomi kepada penduduk tempatan dan kerajaan. Ini dapat dilihat contoh destinasi ekopelancongan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang di mana wujudnya kepelbagaian sumber ekonomi dan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dalam usaha pembangunan diri dan komuniti dalam ruang pembangunan tersebut. Dengan kehadiran pelancong yang ramai bukan sahaja dalam negara bahkan pelancong dari luar negara dapat meningkatkan lagi ekonomi setempat dan juga ekonomi negara khususnya melalui pendapatan tukaran wang asing yang mengalir masuk ke dalam negara.
Impak Ekopelancongan terhadap Sosial dan Sosio Budaya
Dari sudut sosial, ekopelancongan mempunyai elemen pelancongan yang memfokuskan dan menghidupkan pelancongan yang berasaskan kepada sejarah, alam semula jadi suatu kawasan dan termasuk budaya aslinya. Kewujudan ekopelancongan membolehkan usaha pengekalan serta perkongsian mengenai budaya warisan tempatan untuk jangka masa panjang kepada pelancong. Di samping itu, pada masa yang sama ekopelancongan dapat mendedahkan perspektif sejarah mengenai penduduk orang asli, flora dan fauna kepada pelancong dan dapat menggalakan komuniti setempat untuk menghargai dan menerima faedah daripada aset budaya dan sumber semulajadi. |Aktiviti ekopelancongan yang telah dibangunkan seperti di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang dan Taman Negeri Royal Belum, Perak telah menyebabkan adanya peningkatan dalam kemudahan infrastruktur dan komunikasi setempat yang dibekalkan oleh pihak kerajaan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon awam, kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya. Melalui kewujudan ekopelancongan juga secara tidak langsung telah menyebabkan peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dari kalangan masyarakat setempat seperti destinasi pelancongan di kawasan pulau-pulau peranginan di mana kebanyakan pelancong yang datang adalah daripada luar negara. Pada masa yang sama pelancong asing boleh mempelajari budaya tempatan malah boleh fasih dalam Bahasa Malaysia seperti pelancong asing yang telah menjadi selebriti di Malaysia iaitu “Mat Dan” atau nama sebenarnya adalah Mohammad Kareef Daniel Abdullah yang berasal dari Bristol, United Kingdom.
Impak Alam Sekitar
Kebaikan daripada kewujudan aktiviti ekopelancongan boleh digunakan untuk melindungi alam semula jadi, hidupan liar, dan pelbagai jenis spesis di hutan di samping dapat membantu penduduk tempatan menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun dan berpendidikan dengan menyedari akan kepentingan memelihara sumber yang ada di hutan semula jadi. Bukan sahaja masyarakat tempatan yang memperolehi faedah daripada aktiviti ekopelancongan tetapi ia juga memberi manfaat yang besar kepada pelancong yang datang dari seluruh dunia untuk mengambil peluang menghargai dan berada dalam persekitaran semulajadi yang dilindungi. Disamping itu, potensi ekopelancongan boleh memberi motivasi kepada penambahan penetapan kawasan semula jadi untuk tujuan pemuliharaan dan perlindungan pada masa akan datang seperti di kawasan ekopelancongan baru yang akan dibangunkan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang untuk pemuliharaan bunga terbesar di dunia iaitu Bunga Rafflesia (Rafflesia Keirri).
Sedikit Perkongsian Potensi Negatif Aktiviti Ekopelancongan
Walau bagaimanapun, ekopelancongan juga berpotensi menghasilkan kesan negatif kepada alam sekitar. Berdasarkan sensitivitinya, budaya dan sumber semula jadi serta persekitaran destinasi ekopelancongan yang biasanya dikenali sebagai kawasan perlindungan yang asli boleh terjejas dengan mudah melalui aktiviti pelancong terutamanya apabila strategi pengurusan pengunjung tidak berfungsi dengan baik. Keadaan infrastruktur dan kegiatan pelawat yang tidak diuruskan secara lestari melalui aktiviti ekopelancongan juga boleh menyebabkan tekanan dan kesan negatif terhadap sesebuah kawasan alam semulajadi seperti yang terjadi di Pulau Perhentian, Terengganu di mana kebanyakan terumbu karang boleh dikatakan telah terjejas akibat aktiviti pelancongan yang tidak terkawal. Oleh itu, menjadi sangat penting untuk mewujudkan strategi pengurusan ekopelancongan yang lestari kerana alam semula jadi bersifat rapuh “fragile environment”. Kaedah pengurusan yang tidak cekap untuk melindungi alam sekitar boleh menyebabkan matlamat utama ekopelancongan sebagai langkah konservasi akan terhalang sekiranya tidak diiuruskan dengan baik kerana ia merupakan salah satu sistem sokongan yang penting untuk kelestarian sumber alam sekitar.
Rujukan
Buckley, R. (2000). Tourism in the most fragile environments. Tourism Recreation Research, 25 (1), 31-40.
Hunter, C., (1997) Sustainable tourism as an adaptive paradigm. Annals of Tourism Research, 24 (4), 850-67.
Kredit Foto : Traveloka