Penulis: Lim Zhi Shuen1, Nur Alia Adilah Binti Pauzi1, Prof. Dr. Suzana Shahar1
1Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Hubungan antara gula dan kanser sering menjadi perdebatan umum sejak berdekad lamanya. Jika anda atau orang tersayang sedang menghadapi kanser, persoalan ini mungkin pernah terlintas di fikiran anda. Ya, terdapat kaitan antara gula dan risiko kanser, tetapi ia tidaklah secara langsung seperti yang disangka ramai. Mari kita kupas lebih lanjut mengenai topik ini!
Apa Itu Gula?
Gula berasal daripada sumber karbohidrat seperti bijirin, sayur-sayuran berkanji, buah-buahan, manisan, kekacang, susu dan produk tenusu. Selepas kita makan, karbohidrat ini akan dipecahkan dalam tubuh dan bertukar menjadi gula.
Terdapat pelbagai bentuk gula ringkas seperti glukosa dan fruktosa yang hanya mempunyai satu molekul. Molekul ini boleh bergabung, contohnya glukosa yang bergabung dengan fruktosa membentuk sukrosa, atau lebih dikenali sebagai table sugar.
Molekul gula ini juga boleh bergabung membentuk rantaian gula yang lebih kompleks, iaitu karbohidrat kompleks, sumber utama tenaga bagi tubuh badan kita. Contoh bagi karbohidrat kompleks ini adalah makanan seperti nasi, mee, roti, pasta, biskut, dan kentang. Gula akan menjadi kurang rasa manisnya sekiranya rantaian gula ini menjadi lebih panjang. Hal Ini bermakna, walaupun makanan tidak terasa manisnya, ia tetap mengandungi gula dalam bentuk yang kompleks.
Melalui proses penghadaman, badan kita akan memecahkan karbohidrat kompleks ini menjadi glukosa (gula ringkas) dan diserap ke dalam sel-sel badan untuk dijadikan sebagai tenaga utama, termasuk sel yang sihat dan sel kanser.
Gula dan Pesakit Kanser: Mengapa Perlu Mengurangkan Pengambilan Gula?
Sebelum menjawab persoalan ini, marilah kita memahami tentang proses pertumbuhan sel kanser. Pada tahun 1920-an, saintis Jerman Otto Warburg menemui bahawa sel kanser menghasilkan tenaga secara berbeza. Walaupun sel biasa menggunakan mitokondria untuk proses tenaga, sel kanser memintas proses ini dan menghasilkan tenaga dengan lebih cepat dengan menggunakan glukosa. Proses ini dikenali sebagai Warburg Effect. Dalam proses ini, sel kanser menukarkan glukosa kepada asid laktik. Pengumpulan asid laktik ini akan membina persekitaran berasid dan ini membantu penyebaran sel kanser, sekaligus melemahkan tindak balas imun badan. Fenomena ini menjadikan glukosa penting untuk pertumbuhan sel kanser.
Memandangkan sel kanser bergantung kepada glukosa untuk menghasilkan tenaga, mengurangkan pengambilan gula boleh memberi kesan tidak langsung dapat memperlahankan pertumbuhan sel kanser. Banyak kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan gula yang tinggi boleh meningkatkan perkembangan sel kanser (Anil, A., et al. 2024). Oleh itu, mengawal pengambilan gula dalam diet pesakit kanser diyakinkan untuk memperlahankan pertumbuhan sel kanser.
Adakah Diet Ketogenik Berkesan Untuk Pesakit Kanser?
Salah satu diet yang sering dibincangkan ialah diet rendah karbohidrat, juga dikenali sebagai diet ketogenik. Diet ini mengehadkan pengambilan karbohidrat dan menggantikannya dengan lemak lalu menyebabkan badan menggunakan lemak sebagai sumber tenaga utama. Diet ini dapat mengurangkan bekalan glukosa, sekaligus mengehadkan sumber tenaga untuk sel kanser. Oleh itu, diet ini dipercayai dapat memperlahankan pertumbuhan sel kanser. Namun, keberkesanan diet ketogenik dalam rawatan kanser masih diragui. Kajian oleh Romer, M., et al. (2021) telah menunjukkan bahawa masih tiada bukti klinikal yang kukuh untuk menyokong keberkesanan diet ketogenik sebagai rawatan kanser. Tambahan pula, diet ketogenik mungkin sukar untuk diikuti dalam jangka masa yang panjang dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kekurangan zat serta penurunan berat badan bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan intensif.
Perlukah Gula Dihapuskan Sepenuhnya?
Walaupun mengawal pengambilan gula dalam pesakit kanser penting, ungkapan ‘gula memberi makan kepada kanser’ sering disalah tafsir. Sebenarnya, semua sel tubuh, termasuk sel sihat, memerlukan glukosa untuk berfungsi. Menghapuskan gula sepenuhnya boleh menghalang sel-sel badan daripada berfungsi dengan baik, dan sekatan diet ini boleh menyebabkan malnutrisi serta melemahkan sistem imun, terutamanya bagi pesakit kanser yang memerlukan tenaga dan sistem imun yang cukup semasa rawatan kemoterapi dan radioterapi.
Untuk Individu Bukan Kanser: Bagaimana Gula Berkait dengan Risiko Kanser?
Hubungan antara gula dan kanser adalah secara tidak langsung. Pengambilan makanan yang tinggi gula akan menyumbang kepada pengambilan kalori yang berlebihan. Pengambilan kalori yang berlebihan menyebabkan ketidaseimbangan tenaga berlaku ketika jumlah pengambilan kalori melebihi jumlah pembakaran kalori. Dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan kenaikan berat badan, juga dikenali sebagai berat badan berlebihan atau obesiti. Menurut Cancer Research UK, kedua-dua situasi ini meningkatkan risiko 13 jenis kanser yang berbeza.
Seterusnya, menurut CPG Obesiti 2023, obesiti menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit lain seperti diabetes jenis 2. Pesakit diabetes yang tidak terkawal sering mengalami rintangan insulin, di mana pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan lonjakan paras gula dalam darah. Lonjakan ini meningkatkan pelepasan faktor pertumbuhan seperti insulin (IGF), yang terbukti membantu sel kanser berkembang.
Apakah Jenis Gula yang Patut Dielakkan?
Secara amnya, gula ringkas adalah salah satu jenis gula yang patut dielakkan kerana ia boleh diserap lebih cepat dalam badan yang mengakibatkan kenaikan paras gula dalam darah dengan sangat tinggi dan cepat. Secara tidak langsung ia juga cenderung untuk meningkatkan berat badan lantas menyebabkan masalah obesiti berlaku yang juga merupakan salah satu punca kanser terjadi. Gula ringkas yang terdapat dalam makanan seperti madu, buah-buahan, susu, yogurt, gula, gula-gula, minuman ringan, kuih-muih dan jem haruslah diambil secara berkala dengan kuantiti yang sederhana.
Gula Boleh Diambil Tetapi Mengikut Saranan Yang Betul
Hmm, pasti anda akan tertanya-tanya apakah cara yang betul untuk mengambil gula dalam kehidupan seharian. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Garis Panduan Diet Malaysia 2020, pengambilan jumlah gula harian (termasuk gula tersembunyi) bagi purata orang dewasa di Malaysia harus dihadkan kepada tidak lebih daripada 10% daripada jumlah tenaga harian atau tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g). Antara tips tips yang disarankan oleh Garis Panduan Diet Malaysia 2020 adalah:
- Pilih air kosong berbanding minuman bergula berkarbonat dan tidak berkarbonat (seperti minuman kotak, minuman 3 dalam 1, sirap, dan kordial).
- Hadkan pengambilan gula pasir atau susu pekat manis atau krimer manis kepada satu sudu teh bagi setiap cawan minuman.
- Apabila membuat pesanan minuman di kedai atau membeli produk di pasar raya, lebihkan pilihan yang lebih sihat dengan meminta kurang gula atau kurang susu pekat manis. Lebih baik lagi, pilih minuman atau produk tanpa gula tambahan.
- Periksa panel maklumat pemakanan pada label minuman untuk kandungan gula dan elakkan produk yang menyenaraikan gula atau nama lain bagi gula, seperti fruktosa, sukrosa, di bahagian awal senarai ramuan.
- Kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi gula seperti minuman berkarbonat, kordial, cendol, dan air batu campur (ABC).
- Elakkan pengambilan minuman bergula di antara waktu makan dan sebelum tidur.
- Kurangkan pengambilan gula tersembunyi seperti minuman manis, pemanis mulut (kek, kuih muih, ais krim, donut), jem sapuan (jem buah, coklat, kaya, madu) dan sos/ perisa (sos cili, tomato, sos salad, sos pasta, kicap) dalam pemakanan seharian.
Pemanis Tiruan dan Kanser?
Pada era ini, pemanis tiruan seperti Stevia, Aspartame dan Monk Fruit dan Hegula sering dijadikan gantian pada gula biasa di rumah kerana dipercayai tidak mengandungi kalori dan tidak akan menyebabkan lonjakan pada paras gula dalam darah. Jadi adakah kaitan antara pemanis tiruan dengan kanser? Menurut kajian yang dibuat oleh Institut Kanser Kebangsaan di Amerika Syarikat, hasil kajian ini mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa pemanis tiruan dapat meningkatkan risiko kanser sebaliknya pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kesukaran untuk mengekalkan berat badan yang sihat, dan berat badan berlebihan atau obesiti inilah yang meningkatkan risiko kanser terjadi.
Kesimpulan
Secara tuntasnya, gula tidak memberi kesan secara langsung terhadap kanser tetapi ia cenderung untuk meningkatkan berat badan jika diambil secara berlebihan dan menyebabkan masalah obesiti berlaku. Obesiti yang berlaku boleh menjadi salah satu faktor terbesar dalam meningkatkan risiko kanser dalam kehidupan seharian. Selain itu, gula adalah substrat utama bagi sel kanser untuk menghasilkan tenaga. Oleh itu, mengurangkan pengambilan gula mungkin membantu memperlahankan pertumbuhan sel kanser. Kesimpulannya, mengamalkan diet seimbang, makanlah gula mengikut saranan dan praktikkan gaya hidup yang lebih sihat agar kesihatan kita lebih terjamin pada masa akan datang.
Kredit foto-pinklotus[dot]com
Nota
Biodata Ringkas Penulis
Lim Zhi Shuen dan Nur Alia Adilah Binti Pauzi merupakan pelajar dietetik tahun empat di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kedua-kedua pelajar mempunyai pengalaman dalam klinikal dietetik, katering dietetik dan communiti dietetik selama empat tahun pebelajaran ini. Selain itu, kami juga pernah terlibat dalam penulisan manuskript saintifik bagi penghantaran ke jurnal saintifik. Ini menjadikan kami banyak membuat pembacaan luas di bidang dietetik dan pemakanan, membuat rujukan kepustakaan dan mendalami ilmu pemakanan dan dietetik melalui projek penyelidikan.
Prof. Dr. Suzana Shahar merupakan Profesor dalam bidang Pemakanan dan Dietetik di Pusat Penyelidikan Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kini merupakan Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM dan Felo Kehormat Persatuan Dietitian Malaysia. Bidang penyelidikan beliau merangkumi pemakanan dan epidemiologi penuaan, pemakanan dan neurosains, serta kanser. Prof. Dr. Suzana telah menerajui pelbagai kajian kebangsaan berkaitan kesihatan kognitif dan penuaan serta terlibat dalam pembangunan garis panduan pemakanan negara. Beliau juga aktif dalam kajian antarabangsa dan kerjasama industri berkaitan pemakanan dan kesihatan.