Penulis: Tc. Ahmad Hidzir Bin Abdul Salam
Pengurus Kanan Operasi di De Metrologi Sdn. Bhd. (DMSB)
Saban hari boleh dikatakan kita berurusan dan terlibat dengan aktiviti sukatan, timbangan dan ukuran tanpa disedari. Sebagai contoh kita mengisi minyak kereta, membeli sayur di pasar, membayar parking di kompleks beli-belah, semuanya bergantung kepada alat pengukuran yang tepat. Tetapi pernahkah anda terfikir, bagaimana kita berasa yakin bahawa alat timbang di pasar, pam minyak di stesen petrol, atau meter parking yang dipasang di kompleks beli-belah berfungsi dengan baik dan memberikan bacaan yang tepat?
Inilah peranan legal metrologi, satu sistem kawal selia yang memastikan alat timbang dan sukatan yang digunakan dalam transaksi perdagangan dan perkhidmatan adalah tepat, sah, dan tidak mengelirukan serta merugikan pengguna.
Di Malaysia, lebih 450,000 alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan setiap tahun bagi menjamin ketepatan sukatan dan ukuran dalam pelbagai sektor, termasuk perdagangan, industri, dan keselamatan awam. Langkah ini adalah usaha penting bagi menjamin keadilan, ketelusan, dan perlindungan pengguna, seiring dengan matlamat negara dalam membentuk Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang adil.
Isu Pam Minyak Viral: Mengapa Legal Metrologi Sangat Penting?
Baru-baru ini, tular satu kes di Perak di mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati pam minyak di sebuah stesen tidak mengeluarkan jumlah petrol yang tepat seperti yang tertera pada meter penunjuk. Ramai pengguna terkejut, ada yang mula mempertikai sama ada mereka benar-benar mendapat nilai yang setimpal dengan wang yang dibelanjakan untuk minyak.
Hal Ini bukan sekadar isu kecil, tetapi ia melibatkan hak pengguna, kepercayaan terhadap sistem perdagangan yang adil, dan etika kejujuran dalam perniagaan. Jika tidak dikawal, pengguna boleh mengalami kerugian besar secara kolektif, manakala peniaga yang tidak bertanggungjawab akan terus mengaut keuntungan secara tidak adil.
Dalam kes ini, legal metrologi berperanan sebagai “pengadil” yang memastikan semua alat timbang dan sukat perlu ditentusahkan bagi tujuan menguji ketepatan supaya tiada unsur penipuan atau ketirisan yang boleh merugikan rakyat.
Legal Metrologi: Bagaimana Ia Melindungi Kita?
1. Ketelusan dalam Urus Niaga
Bayangkan jika anda membeli 1kg beras di pasaraya, tetapi sebenarnya anda hanya mendapat 900g sahaja tanpa menyedarinya. Hal Ini boleh dikatakan sebagai satu bentuk penyelewengan halus yang merugikan pengguna setiap hari.
Oleh sebab itu, penentusahan berkala alat timbang dan sukat wajar dilakukan bagi memastikan setiap pengguna mendapat hak mereka serta menjamin keadilan dalam urusniaga perdagangan.
Dalam kes pam minyak yang viral itu, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa adalah hasil daripada pemantauan yang dilakukan secara berkala oleh pihak berkuasa. Setiap pam minyak di Malaysia perlu ditentusahkan dan ditentusahkan semula oleh syarikat yang dilesenkan oleh kerajaan, seperti De Metrologi Sdn. Bhd. (DMSB), supaya ketepatan pam minyak itu sentiasa dipelihara.
2. Keselamatan dan Kepentingan Awam
Apabila kita membicarakan tentang metrologi, ianya bukan sekadar tentang urus niaga dan ekonomi semata-mata, tetapi ia juga menyentuh soal keselamatan kita semua. Misalnya dalam sektor kesihatan, alat pengukuran seperti mesin MRI, alat pemantauan tekanan darah, dan peralatan diagnostik lain perlu dikalibrasi secara berkala.
Bayangkan jika mesin pengukur tekanan darah di hospital menunjukkan bacaan yang tidak tepat, bolehkah anda bayangkan kesannya terhadap rawatan pesakit? Seorang pesakit mungkin menerima ubat yang tidak diperlukan atau terlepas daripada diagnosis penyakit yang serius hanya kerana kesilapan dalam pengukuran.
Begitu juga dengan alat perangkap had laju yang digunakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya alat ini tidak dikalibrasi dengan betul, kemungkinan besar seseorang boleh dikenakan denda atas kesalahan yang sebenarnya tidak dilakukan. Oleh itu, metrologi memainkan peranan penting dalam memastikan ketepatan alat pengukuran supaya setiap tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah adil dan berasaskan bukti yang kukuh.
Oleh itu, dengan adanya sistem pengukuran yang tepat dan boleh dipercayai, ia bukan sahaja berperanan dalam melindungi hak individu, tetapi juga secara tidak langsung membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan di negara ini. Selain itu, ketepatan dalam pengukuran juga memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa adalah adil, sekaligus mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati atau ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang.
3. Meningkatkan Kepercayaan dalam Industri dan Ekonomi
Malaysia sedang giat berusaha untuk menarik lebih banyak pelabur asing ke dalam negara, khususnya dalam sektor pembuatan dan perdagangan antarabangsa. Salah satu faktor utama yang menentukan kepercayaan pelabur ialah ketepatan dalam standard pengukuran.
Sebagai contoh, jika produk buatan Malaysia tidak memenuhi standard antarabangsa, maka ianya boleh ditolak dalam pasaran luar negara. Contohnya, dalam industri makanan dan farmaseutikal, setiap bahan mentah yang digunakan mesti ditimbang atau disukat dengan betul untuk memastikan keselamatan pengguna dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.
Oleh sebab itu, industri metrologi bukan hanya berkaitan dengan urusan harian pengguna, tetapi juga mempengaruhi daya saing negara dalam pasaran global.
Legal Metrologi dan Malaysia MADANI
Dalam konteks Malaysia MADANI, legal metrologi memainkan peranan dalam enam teras utama:
- Kemampanan – merujuk kepada penggunaan sumber secara cekap dan berkesan, khususnya dalam sektor industri bagi mengelakkan pembaziran tenaga, bahan mentah, dan sumber lain. Sebagai contoh, sukatan dan ukuran yang tepat dalam sektor pembuatan akan memastikan jumlah bahan digunakan itu secukupnya, tanpa berlebihan atau berkurangan..
- Kesejahteraan – dalam konteks legal metrologi bermaksud ianya menjamin hak pengguna agar mereka tidak mengalami kerugian dalam urus niaga harian. Sebagai contoh, ketika membeli barangan di pasar raya, pengguna bergantung kepada penimbang digital untuk memastikan mereka membayar harga yang setimpal dengan berat barang yang dibeli. Jika alat timbang tidak ditentusahkan dan tidak tepat, pengguna mungkin membayar lebih daripada jumlah sebenar tanpa disedari. Oleh itu, peranan legal metrologi adalah untuk memastikan setiap alat timbang dan sukat ditentusahkan secara berkala, agar pengguna mendapat hak mereka dengan adil dan telus dalam setiap urus niaga.
- Daya Cipta – merujuk kepada keupayaan untuk berinovasi dan mencipta teknologi baharu, terutamanya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan yang memerlukan ketepatan tinggi dalam pengukuran. Sebagai contoh, dalam industri pembuatan cip elektronik dan peralatan perubatan, ketepatan pengukuran yang sangat tinggi amat signifikan bagi memastikan produk berkualiti, berfungsi dengan baik dan selamat digunakan. Selain itu dalam bidang kejuruteraan, pembangunan teknologi seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), dan sistem automasi memerlukan data pengukuran yang tepat dan boleh dipercayai. Oleh itu, dalam konteks ini metrologi berperanan dalam menyokong inovasi dengan memastikan setiap alat pengukuran mematuhi standard piawai, sekaligus membantu perkembangan teknologi dan daya saing industri di Malaysia.
- Hormat – dalam konteks metrologi merujuk kepada mewujudkan kepercayaan dan hubungan yang adil antara pengguna, peniaga, dan pihak berkuasa melalui sistem pengukuran yang telus dan tepat. Apabila setiap urus niaga dilakukan secara adil, tanpa penyelewengan dalam timbang dan sukat, ia akan membina kepercayaan pengguna terhadap peniaga serta keyakinan peniaga terhadap sistem peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.Sebagai contoh, jika alat timbang di pasar atau pam minyak di stesen minyak sentiasa ditentusahkan dan dikalibrasi mengikut tempoh dan standard yang ditetapkan, pengguna akan lebih yakin bahawa mereka membayar harga yang setimpal dengan jumlah yang diterima. Dalam masa yang sama, peniaga yang beroperasi secara jujur juga bebas daripada tuduhan penipuan. Oleh itu, dari sudut legal metrologi membantu membina rasa hormat dan kepercayaan antara semua pihak dalam ekosistem perdagangan, memastikan urus niaga dilakukan secara adil dan berintegriti.
- Keyakinan – dalam konteks metrologi bermaksud memberikan kepastian kepada pelabur, pengguna, dan rakan perdagangan antarabangsa bahawa Malaysia mempunyai sistem perdagangan yang telus, adil, dan boleh dipercayai. Apabila semua alat timbang dan sukat dikawal dengan ketat dan mematuhi standard antarabangsa, ianya menunjukkan bahawa Malaysia mengutamakan ketelusan dalam perdagangan dan melindungi hak semua pihak yang terlibat. Oleh yang demikian ianya memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur dalam sektor industri dan perniagaan di Malaysia kerana mereka tahu setiap transaksi dilakukan secara adil dan berintegriti. Kita ambil contoh, jika sebuah syarikat luar ingin mengimport produk dari Malaysia, mereka akan melihat sama ada negara ini mempunyai standard metrologi yang diiktiraf antarabangsa. Jika sistem metrologi Malaysia diurus dengan baik dan patuh kepada piawaian global, pelabur akan lebih yakin untuk menjalinkan hubungan perdagangan kerana mereka percaya produk yang dihasilkan memenuhi kualiti dan ketepatan yang diperlukan. Oleh itu, legal metrologi bukan sahaja melindungi pengguna tempatan, tetapi juga meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi perdagangan yang stabil dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
- Ihsan – dalam konteks metrologi ianya merujuk kepada tanggungjawab untuk melindungi hak rakyat, khususnya dalam sektor kesihatan dan keselamatan awam, dengan memastikan setiap alat pengukuran berfungsi dengan tepat dan boleh dipercayai. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, alat seperti alat pemantau tekanan darah, mesin MRI, alat ujian makmal, dan peralatan dos ubat perlu dikalibrasi dengan betul untuk mengelakkan kesilapan dalam diagnosis dan rawatan pesakit. Jika alat ini tidak ditentusahkan secara berkala, pesakit boleh tersalah menerima rawatan, yang boleh membahayakan nyawa mereka. Begitu juga dalam sektor keselamatan, alat seperti perangkap had laju, sistem pemantauan gas berbahaya dalam industri, serta alat pengukur struktur bangunan mesti mematuhi standard piawaian bagi memastikan keputusan yang tepat dan mengelakkan risiko kemalangan atau kecuaian yang boleh mengancam nyawa orang ramai. Oleh itu, metrologi berperanan dalam memastikan alat-alat pengukuran yang digunakan dalam bidang kritikal ini sentiasa tepat dan selamat, sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat dan melindungi hak mereka dalam mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dan selamat.
Kesimpulan: Pengukuran yang Tepat adalah Hak Semua
Legal metrologi bukan sekadar isu teknikal, tetapi ianya sebagai satu keperluan asas dalam memastikan keadilan sosial dan ekonomi. Daripada pasar pagi hingga ke hospital, daripada stesen minyak hingga ke kilang industri, sistem pengukuran yang tepat adalah asas kepada kepercayaan dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam kes seperti isu pam minyak yang viral baru-baru ini adalah peringatan bahawa kita tidak boleh mengambil ringan soal ketepatan sukatan dan ukuran. Setiap pengguna berhak mendapat apa yang mereka bayar, tanpa sebarang unsur penipuan atau ketidaktepatan yang disengajakan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita juga boleh memainkan peranan dengan lebih aktif dan peka terhadap ketepatan alat timbang dan sukat yang digunakan dalam kehidupan seharian kita. Jika ada keraguan, laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.
Seperti yang ditekankan dalam tema Hari Metrologi Sedunia 2025 – “Measurements for All Times, for All People”, pengukuran yang tepat adalah hak semua dan perlu dipelihara sepanjang zaman.
Nota: Tentang Penulis
Tc. Ahmad Hidzir Bin Abdul Salam merupakan seorang profesional yang berpengalaman luas dalam industri legal metrologi di Malaysia. Beliau kini berkhidmat sebagai Pengurus Kanan Operasi di De Metrologi Sdn. Bhd. (DMSB), sebuah syarikat yang dilesenkan oleh Kerajaan Malaysia di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. DMSB bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penentusahan dan penentusahan semula bagi alat timbang dan sukat yang digunakan dalam perdagangan di seluruh negara.
Selain terlibat secara langsung dalam industri, beliau juga aktif dalam menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan legal metrologi kepada masyarakat. Beliau pernah muncul dalam pelbagai platform media, termasuk wawancara bersama Bernama TV, Radio Terengganu FM, podcast, serta pelbagai program lain yang membincangkan peranan metrologi dalam memastikan ketelusan dan keadilan dalam urus niaga harian.
Untuk maklumat lanjut mengenai legal metrologi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DMSB, layari www.demetrology.com.my
RUJUKAN :
https://www.worldmetrologyday.org/
https://ms.wikipedia.org/wiki/Metrologi
https://www.facebook.com/reel/251946251331670