Penulis: Dr. Aslina Pahrudin Arrozi, Dr. Ain Zubaidah Ayob & Dr. Megat Hafizzuddin Abd Hamid
Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan,
Universiti Malaya
Apa itu Kanser?
Kanser bermula apabila sel-sel dalam tubuh mengalami perubahan genetik sehingga membiak tanpa kawalan. Sel abnormal ini boleh membentuk ketumbuhan dan dalam kes yang lebih serius, boleh merebak ke organ lain melalui proses metastasis. Di Malaysia, kanser kini menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi, dengan kes dijangka terus melonjak menjelang tahun 2050 seiring dengan populasi yang semakin menua. Faktor risiko seperti obesiti, diabetes, serta gaya hidup moden, termasuk pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal, dan pendedahan berterusan kepada bahan karsinogen turut menyumbang kepada peningkatan kes. Oleh itu, pencegahan  adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko dan beban penyakit ini.
Sistem Imun sebagai Pertahanan Tubuh terhadap Kanser
Sistem imun ialah âaskar pertahananâ tubuh yang sentiasa memantau dan menyingkirkan sel abnormal, termasuk sel kanser. Setiap hari, sel dalam tubuh membahagi dan ada antaranya mengalami kerosakan DNA. Jika kerosakan ini tidak diperbetulkan, sel boleh berubah menjadi sel kanser. Di sinilah sistem imun memainkan peranan.
Sel imun seperti sel pembunuh asli (NK cell) dan sel T sitotoksik mampu mengenal pasti sel abnormal, lalu memusnahkannya sebelum ia sempat membiak dan membentuk tumor. Sistem imun juga menghasilkan molekul isyarat (sitokin) yang menyelaras tindak balas pertahanan ini.
Apabila sistem imun lemah atau terganggu, peluang untuk sel kanser âterlepasâ dan terus membiak akan meningkat. Oleh itu, mengekalkan sistem imun yang sihat adalah salah satu asas penting pencegahan kanser.
Halia sebagai Herba Perubatan
Halia (Zingiber officinale) bukan sahaja rempah masakan popular, tetapi juga herba perubatan yang telah digunakan selama berabad-abad di seluruh dunia. Tumbuh subur di iklim tropika seperti Malaysia, halia sering ditambah dalam masakan untuk meningkatkan rasa, aroma, dan kepedasan semula jadi. Dalam perubatan tradisional Cina, Ayurveda dan Nusantara, halia digunakan untuk melegakan masalah penghadaman, loya, dan keradangan serta sebagai agen pemanas badan.
Pelbagai varieti unik boleh ditemui, antaranya enam jenis utama yang ditanam di Malaysia termasuk Halia Bentong, Halia Cina, Halia Tanjung Sepat, Halia Thailand, Halia Tambunan, serta Halia Bara.

Sumber: Diubahsuai daripada DOA, Pakej Teknologi HaliaâŻFertigasi, 2022.
Dari sudut kesihatan, halia menunjukkan bioaktiviti penting seperti anti-radang, antioksidan, dan antiproliferatif, menjadikannya berpotensi dalam meningkatkan daya tahan tubuh terhadap pelbagai cabaran kesihatan.
Komponen Bioaktif Halia untuk Kesihatan
Faedah kesihatan halia dikaitkan dengan pelbagai sebatian kimianya, termasuk sebatian fenolik, terpena, polisakarida, lipid, asid organik, dan serat. Sebatian fenolik utama ialah gingerol, shogaol, dan paradol. Dalam halia segar, gingerol merupakan polifenol dominan, contohnya 6-gingerol, 8-gingerol, dan 10-gingerol. Pendedahan halia kepada haba seperti semasa pengeringan, memasak atau penyimpanan jangka panjang akan menyebabkan gingerol terdehidrasi dan menghasilkan shogaol. Oleh itu, halia kering biasanya mengandungi lebih banyak shogaol berbanding halia segar. Sebahagian kecil shogaol juga boleh berubah menjadi paradol melalui proses penurunan (reduction) semula jadi yang berlaku semasa penyimpanan atau pemanasan, namun paradol terbentuk dalam kuantiti yang jauh lebih rendah.

Selain gingerol, shogaol, dan paradol, halia mengandungi sebatian fenolik lain seperti quercetin, zingerone, gingerenone-A, dan 6-dehidrogingerdione. Ia juga kaya dengan komponen terpena seperti β-bisabolene, ι-curcumene, zingiberene, ι-farnesene, dan β-sesquiphellandrene, yang merupakan bahan utama minyak pati halia. Kesemua komponen kimia ini bertindak secara sinergistik untuk memberikan halia sifat anti-radang, antioksidan, dan antiproliferatif, seterusnya menyokong kesihatan tubuh secara umum.
Bioaktif Halia dalam Menyokong Sistem Imun dan Pencegahan Kanser
Kesan antioksidan daripada gingerol, shogaol dan zingerone membantu meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan DNA, sekali gus mengurangkan tekanan oksidatif yang melemahkan sistem sel imun. Pada masa yang sama, beberapa kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak halia yang kaya dengan sebatian antioksidan ini juga boleh mempengaruhi fungsi sel imun dengan meningkatkan aktiviti sel T dan sel NK, serta mengawal pengeluaran sitokin pro-radang supaya tidak berlebihan.
Dengan menstabilkan keradangan dan mengoptimumkan tindak balas imun, komponen bioaktif halia membantu mewujudkan persekitaran dalaman yang kondusif untuk sistem imun menjalankan tugas pengawasan (immune surveillance) terhadap sel prakanser. Peranan ini penting kerana banyak sel abnormal dapat dikesan dan dimusnahkan sebelum berkembang menjadi tumor.
Selain menyokong sistem imun, bioaktif halia juga mampu bertindak secara terus ke atas sel kanser. Kajian menunjukkan gingerol dan shogaol mampu mencetuskan apoptosis, iaitu proses âprogram kematianâ semula jadi dalam sel. Sel kanser biasanya berupaya mengelak daripada proses ini, membolehkan mereka terus hidup dan membiak tanpa kawalan. Namun, apabila terdedah kepada komponen bioaktif halia, proses apoptosis boleh diaktifkan semula untuk memusnahkan sel kanser. Menariknya, kesan ini lebih selektif terhadap sel kanser berbanding sel normal, ibarat âpeluru berpanduâ yang menyasarkan musuh tanpa merosakkan tisu sihat.
Gingerol dan shogaol juga berpotensi menghalang pertumbuhan dan penyebaran sel kanser ke organ lain. Sel kanser memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk membiak melalui proses yang dikenali sebagai angiogenesis. Proses ini membentuk  saluran darah baharu yang membekalkan oksigen dan nutrien kepada tumor. Sebatian bioaktif dalam halia boleh merencatkan proses ini, sekaligus memutuskan âbekalan makananâ kepada tumor.
Seterusnya, untuk merebak ke organ lain, sel kanser biasanya menggunakan enzim khas seperti matrix metalloproteinase (MMP) untuk âmemecahkan tembokâ tisu sekeliling. Gingerol dan shogaol didapati boleh menghalang aktiviti enzim ini, sekaligus menyekat sel kanser daripada menyerang tisu berdekatan.
Mekanisme-mekanisme ini telah ditunjukkan dalam kajian praklinikal termasuk kajian makmal ke atas sel kanser hati, payudara, dan kolon, serta kajian haiwan yang menunjukkan pengurangan penyebaran kanser ke paru-paru, tulang, dan otak. Walaupun kajian klinikal pada manusia masih diperlukan, bukti setakat ini menunjukkan potensi halia sebagai agen anti-kanser semula jadi yang menarik untuk diterokai. Namun, penting ditekankan bahawa pengambilan halia hanyalah salah satu unsur sokongan, bukannya pengganti saringan kanser, rawatan perubatan, atau gaya hidup sihat secara menyeluruh.
Sihat bukan semata-mata Herba
Pencegahan kanser yang berkesan memerlukan pendekatan gaya hidup yang menyeluruh bukan hanya bergantung kepada herba semata-mata. Langkah utama termasuk:
- Mengelakkan faktor risiko seperti merokok dan pendedahan kepada asap rokok.
- Mengehadkan penggunaan alkohol.
- Mengekalkan berat badan yang sihat melalui diet seimbang dan senaman yang kerap.
- Melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.
- Melindungi kulit daripada pendedahan UV yang berlebihan dengan menggunakan pelindung matahari.
- Mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya, logam, habuk, gentian, serta gas radioaktif.
- Menguruskan tekanan melalui teknik relaksasi atau melibatkan diri dalam aktiviti positif.
Menggabungkan diet berkhasiat, penggunaan herba bioaktif seperti halia, dan gaya hidup yang seimbang boleh meningkatkan kesihatan keseluruhan dan mengurangkan risiko mendapat kanser.
Sebatian bioaktif dalam halia berpotensi menyokong pencegahan kanser dengan memperkuat pertahanan semula jadi tubuh. Digabungkan dengan gaya hidup sihat, senaman yang konsisten, dan pemakanan seimbang, halia bertindak sebagai sokongan semula jadi. Ia bukan pengganti rawatan perubatan, tetapi tambahan berharga dalam usaha melindungi tubuh daripada kanser. Kajian lanjut terus dijalankan untuk memahami potensi penuh halia. Malaysia dengan kepakaran penyelidik tempatan serta kekayaan biodiversiti, berperanan dalam usaha ini.
Rujukan
Ayustaningwarno, F., Anjani, G., Ayu, A. M., & Fogliano, V. (2024). A critical review of gingerâs (Zingiber officinale) antioxidant, anti-inflammatory, and immunomodulatory activities. Frontiers in Nutrition, 11, 1364836. https://doi.org/10.3389/fnut.2024.1364836
Famurewa, A. C., Akhigbe, R. E., George, M. Y., Adekunle, Y. A., Oyedokun, P. A., Akhigbe, T. M., & Fatukon, A. A. (2024). Mechanisms of ferroptotic and non-ferroptotic organ toxicity of chemotherapy: Protective and therapeutic effects of ginger, 6-gingerol and zingerone in preclinical studies. NaunynâSchmiedebergâs Archives of Pharmacology, 398(5), 4747â4748. https://doi.org/10.1007/s00210-024-03623-5
Jabatan Pertanian Malaysia. (2022). Pakej teknologi halia secara fertigasi. https://www.doa.gov.my/doa/resources/aktiviti_sumber/sumber_awam/penerbitan/pakej_teknologi/herba_rempahratus/pt_halia_fertigasi_2022.pdf
Mao, Q. Q., Xu, X. Y., Cao, S. Y., Gan, R. Y., Corke, H., Beta, T., & Li, H. B. (2019). Bioactive compounds and bioactivities of ginger (Zingiber officinale Roscoe). Foods, 8(6), 185. https://doi.org/10.3390/foods8060185
Martin, A. C. B. M., et al. (2017). 10-Gingerol induces apoptosis and inhibits metastatic dissemination of triple negative breast cancer in vivo. Oncotarget, 8(42), 72260â72271. https://doi.org/10.18632/oncotarget.20139
Pazmandi, K., Szollosi, A. G., & Fekete, T. (2024). The ârootâ causes behind the anti-inflammatory actions of ginger compounds in immune cells. Frontiers in Immunology, 15. https://doi.org/10.3389/fimmu.2024.1400956
Tufail, M., Jiang, C. H., & Li, N. (2025). Immune evasion in cancer: Mechanisms and cutting-edge therapeutic approaches. Signal Transduction and Targeted Therapy, 10, 227. https://doi.org/10.1038/s41392-025-02280-1
Biodata penulis
Dr. Aslina Pahrudin Arrozi adalah pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah biokimia penyakit neurodegeneratif dan kajian produk semula jadi.
Dr. Ain Zubaidah Ayob adalah pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah biologi kanser dan plastisiti sel kanser.
Dr. Megat Hafizzuddin Abd Hamid adalah pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah immunologi kanser dan immunologi penyakit berjangkit.




