Pada hari selasa lalu (5/11/2013) India telah berjaya melancarkan kapalangkasa menjalankan misi menjelajah planet Marikh. India bercita-cita besar menjadi negara Asia yang pertama menjejak Marikh dengan teknologi angkasa yang relatifnya jauh lebih murah dari segi kos.
Pelancaran roket seberat 350 tan tanpa angkasawan telah dijalankan oleh puluhan saintis yang bertungkus lumus menjayakan projek tersebut dengan inisiatif India yang memulakan projek penyelidikan angkasa lepas sejak tahun 1963.
Misi India ke Marikh kali ini adalah yang pertama kali dijalankan. Sebelum ini beberapa negara lain dari Asia seperti China (2011) dan Jepun (2003) meneruskan misi ke Marikh berakhir dengan kegagalan.
Selepas 44 minit dilancarkan, tepukan gemuruh bergema di bilik kawalan setelah kapal pemantau yang berada di Pasifik Selatan melaporkan bahawa roket yang membawa misi tersebut telah berjaya melepasi tahap pertama sebelum meneruskan perjalanan 300 hari menuju ke Planet Marikh. Roket tersebut dijangka akan tiba pada bulan September 2014
Menurut Ketua Penyelidik Organisasi Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), K. Radhakrishnan beliau begitu gembira dan teruja melihat kapal angkasa India sudah berada di orbit bumi. Menurut beliau, kapalangkasa tersebut akan berada di orbit bumi selama hampir sebulan bagi mendapatkan halaju yang yang tepat sebelum memecut melepasi graviti bumi. Ketika itu, kapal angkasa akan memasuki tahap kedua dan ia akan menguji kemampuan dan keupayaan teknologi dan saintis India dalam menjayakan program tersebut.
[Baca – Sampah-sarap Angkasa Lepas]
Kejayaan India melancarkan misi ke Marikh tersebut mendapat perhatian besar dari agensi penyelidikan angkasa seluruh dunia termasuk NASA.
Menurut Joe Grebowsky, salah seorang penyelidik misi Marikh NASA, mereka pada mulanya sukar mempercayai kejayaan India melancarkan misi tersebut. Menurut beliau lagi, sekiranya program itu berhasil, ia merupakan satu pencapaian yang mengagumkan. Ini kerana, menurut beliau, misi ke Marikh lebih sukar berbanding ke bulan kerana jaraknya yang jauh iaitu 50-400 juta kilometer dari bumi.
Program misi angkasa lepas ke Marikh yang lebih dikenali sebagai “Mangalyaan” itu dilancarkan oleh Perdana Menteri India, Manmohan Singh lebih setahun yang lalu, tidak lama selepas China gagal menjayakan misi yang serupa.
Misi Marikh India menelan belanja sebanyak 73 juta Dolar Amerika. Ia jauh lebih murah berbanding misi yang sama dilancarkan oleh NASA yang menelan belanja sebanyak 455 juta Dolar Amerika.
Sebelum ini, India telah beberapa kali gagal dalam misi angkasa lepas. Salah satunya ialah ketika kapal angkasa Chandrayaan yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan ISRO dalam misi ke bulan pada tahun 2009. Sebuah kapal angkasa India lain meletup ketika dilancarkan pada tahun 2010.
Sehingga kini, satu-satunya negara yang berjaya menghantar roket ke Marikh ialah Amerika Syarikat dan berjaya mendaratkan robot penyelidikan Curiosity pada bulan Ogos 2012 di sana.
© MajalahSains.Com
Sumber – iflscience.com
Foto – Indian Space Research Organisation (ISRO)