Oleh : Dr. Anuar Mikdad bin Muad & Mohd Azizul Rahman bin Zabidin
Universiti Kebangsaan Malaysia & Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)
Salah satu cabang ilmu di dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik adalah bidang PEMPROSESAN ISYARAT (SIGNAL PROCESSING). Pemprosesan isyarat melibatkan penukaran atau penjelmaan data yang dicerap. Pada asalnya, data berkenaan sukar difahami. Beberapa kaedah pemprosesan isyarat seperti menuras, mensintesis, mengekstrak, dan mengkelas diperlukan untuk mendapatkan ciri-ciri unik sesuatu isyarat. Ciri-ciri berkenaan adalah seperti amplitud, frekuensi, puncak, fasa, dan ciri-ciri statistik isyarat itu. Berpandukan ciri-ciri unik ini, isyarat boleh difahami.
Pemprosesan isyarat boleh dilakukan secara analog ataupun digital. Secara analog, penuras isyarat yang mudah boleh dibina menggunakan litar penuras elektronik yang terdiri daripada komponen perintang, pemuat, dan peraruh bagi menyingkirkan isyarat pada sesuatu frekuensi tertentu dan mengekalkan isyarat pada frekuensi yang lain. Litar penuras ini menerima isyarat analog. Pada masa kini, isyarat dicerap dan disimpan dalam bentuk isyarat digital. Pemprosesan isyarat digit boleh dilakukan dengan menggunakan perisian dan dijalankan di dalam mikropemproses, mikropengawal, dan kad grafik komputer. Rumus matematik digunakan sebagai perwakilan atau model kepada litar penuras berkenaan dan kod aturcara perisian pemprosesan isyarat menterjemahkan rumus berkenaan supaya dapat beroperasi.
Penggunaan pemprosesan isyarat merentasi banyak bidang. Antara aplikasi pemprosesan isyarat adalah dalam bidang perubatan, telekomunikasi, geofizik, ramalan cuaca, ketenteraan, keselamatan, muzik, sukan, ekonomi, biometrik, automatif, robotik, dron, malah sehingga kepada penerokaan angkasa lepas dan penerokaan laut dalam. Pelbagai jenis isyarat digunakan dalam aplikasi tersebut seperti isyarat suara, audio, imej, video, isyarat sinar-X, elektrokardiogram (ECG), elektroensefalogram (EEG), elektromiografi (EMG), pengimejan resonans magnet (MRI), tomografi, RADAR, SONAR, LIDAR, penderia jauh dan seismik. Pemprosesan isyarat juga adalah asas kepada perkembangan pelbagai bidang lain seperti kepintaran buatan, iaitu salah satu tunjang di dalam Revolusi Industri 4.0.
Tetapi apakah makna perkataan ISYARAT itu? Sebenarnya, perkataan ISYARAT berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu إِشَارَةٌ (Isyāratun) yang merupakan kata terbitan (verbal noun) daripada perkataan أَشَارَ (asyāra) dan jika dipasangkan dengan huruf jar (prepositions) إلى akan membawa maksud menunjukkan atau memberikan isyarat seperti ayat (أَشَارَ إِلَيْهِ بِيَدِه) bererti dia menunjukkan dengan tangannya. Kata nama jamak (plural) bagi إِشَارَةٌ (Isyāratun) adalah إِشَارَاتٌ (isyārātun).
Dalam surah Maryam ayat 29 (19:29), Allah berfirman [1]
فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَنْ كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا
Terjemahan [4]:
Maka dia (Maryam) menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata, “Bagaimana kami hendak berbicara dengan anak kecil yang masih dalam buaian?”.
Perkataan أَشَارَتْ (asyārat) adalah kata kerja (verb) ataupun perbuatan yang telah dilakukan oleh seorang wanita, iaitu Maryam. Perkataan أَشَارَ (asyāra) ini hanya disebut sekali sahaja di dalam Al-Quran iaitu dalam ayat (19:29) itu.
Perkataan إِشَارَةٌ juga bermaksud tanda, indikasi, lencana, dan petunjuk. Dalam Bahasa Arab, perkataan yang sama erti adalah عَلَامَةٌ (‘alāmatun), دَلِيلٌ (dalīlun), رَمْزٌ (ramzun), إِيْمَاءَةٌ (īmā’atun) yang membawa makna tanda, lambang dan isyarat. Selain itu, perkataan إِشَارَةٌ juga sama erti dengan تَلْمِيْحٌ (talmīhun) yang bermakna tanda, Isyarat, kiasan atau sindiran, begitu juga dengan perkataan ذِكْرٌ (zikrun) yang bermakna sebutan atau rujukan. Setiap perkataan عَلَامَةٌ, دَلِيلٌ dan رَمْزٌ disebut sekali di dalam Al-Quran. Perkataan ذِكْرٌ banyak kali disebutkan di dalam Al-Quran, manakala perkataan إِيْمَاءَةٌ dan تَلْمِيْحٌ pula tidak disebutkan.
Perkataan عَلَامَةٌ disebut di dalam Surah An-Nahl ayat 16 (16:16):
وَعَلَامَاتٍ وَبِالنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ
Terjemahan [4]:
Dan (Dia menciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan), dan menerusi bintang-bintang mereka mendapat petunjuk.
Perkataan دَلِيلٌ disebut di dalam Surah Al-Furqan ayat 45 (25:45):
أَلَمْ تَرَ إِلَى رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا
Terjemahan [4]:
Tidakkah engkau memerhatikan (ciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang, dan sekiranya Dia mahukan, nescaya Dia menjadikannya (bayang-bayang itu) tetap, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk.
Perkataan رَمْزٌ disebut di dalam Surah Ali-Imran ayat 41 (3:41):
قَالَ رَبِّ اجْعَلْ لِي آيَةً قَالَ آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمْزًا وَاذْكُرْ رَبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ
Terjemahan [4]:
Dia (Zakaria) berkata, “Ya Tuhanku, berilah aku satu petanda”. Allah berfirman, “Tanda bagimu adalah bahawa engkau tidak berbicara dengan manusia selama tiga hari, kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah (nama) Tuhanmu sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah (memujiNya) pada waktu petang dan pagi”.
Di antara perkataan-perkataan إِشَارَةٌ – عَلَامَةٌ – دَلِيلٌ dan رَمْزٌ , terdapat hubungan yang sangat menarik di antara perkataan إِشَارَةٌ yang disebut di dalam ayat (19:29), dengan رَمْزٌ yang disebut di dalam ayat (3:41).
Perkataan رَمْزًا (ramzan)
Perkataan رَمْزًا (ramzan) di dalam surah Ali Imran ayat 41 adalah merupakan kata terbitan dari kata kerja رَمَزَ yang memberi maksud menunjukkan atau memberi isyarat manakala jamak bagi perkataanرَمْزٌ adalah رُمُوْزٌ (rumūzun). Perkataan ini boleh berbeza baris akhirannya mengikut kepada sistem i’rab dalam tatabahasa Bahasa Arab (I’rab ialah istilah Bahasa Arab untuk sistem penentuan baris akhir perkataan yang berlaku karena perbezaan beberapa penyebab yang masuk pada setiap perkataan) di mana perkataan ini boleh menjadi رَمْزٌ(ramzun) atauرَمْزًا (ramzan) atau رَمْزٍ (ramzin).
Perkataanرَمْزٌ bermaksud simbol, tanda, isyarat, emblem, lencana, logo, token, lambang, pengwujudan gambaran, kiasan, petunjuk, nominal dan kod.
Perkataan رُمُوْزٌ (rumūzun) ini akhirnya terserap masuk ke dalam bahasa Melayu lalu menjadi perkataan RUMUS yang merujuk kepada persamaan matematik. Perkataan RUMUS juga bermaksud formula, simbol, hukum, aturan, prinsip, perbuatan, proses, teori, singkatan, ringkasan, kependekan, ketetapan dan pendirian [5].
Dengan mengambil salah satu maksud perkataan rumus (yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab رَمْزًا ) iaitu proses dan menggandingkan dengan perkataan isyarat (yang berasal daripada perkataan أَشَارَ) maka mungkin wujud salah satu perkataan dalam perbendaharaan Bahasa Melayu iaitu PEMPROSESAN ISYARAT.
Kaitan antara perkataan أَشَارَ (asyāra) dengan رَمْزًا (ramzan)
Di samping mempunyai makna yang hampir sama bagi perkataan أَشَارَ danرَمْزًا , terdapat hubungan dari segi watak dan persamaan dari segi peristiwa yang berlaku melibatkan Maryam dan Nabi Zakaria. Ayat (19:29) berkait dengan Maryam, manakala ayat (3:41) berkait dengan Nabi Zakaria.
Daripada perkaitan ini, selanjutnya terdapat dua peristiwa yang menakjubkan, iaitu kelahiran Nabi Yahya dan kelahiran Nabi Isa. Antara dua peristiwa ini terdapat hubung kait dan kemiripan yang jelas [6]. Antara kemiripan itu adalah seperti berikut:
- Keluarga Imran
Bapa Maryam bernama Imran. Nabi Zakaria pula adalah suami kepada bibi (ibu saudara dari sebelah ibu) Maryam. Sejak kecil lagi, kehidupan Maryam diasuh, diurus, ditanggung dan dipelihara oleh Nabi Zakaria (3:37) [6].
- Isteri Imran dan Isteri Nabi Zakaria yang tua dan mandul
Isteri Imran adalah seorang wanita yang mandul dan sudah tua. Dia memohon doa kepada Allah agar dikurniakan dirinya anak dan menazarkan apa yang dikandungkannya untuk menjadi hamba yang mengabdikan diri untuk beribadah kepada Allah dan berkhidmat di masjid al-Aqsa serta dibebaskan daripada kesibukan duniawi (3:35). Begitu juga dengan Nabi Zakaria dan isterinya yang telah tua dan mandul (3:40). Nabi Zakaria memohon doa kepada Allah agar dikurniakan keturunan yang baik (3: 38)(19:3-6) [6].
- Allah mengurniakan anak kepada Imran dan Nabi Zakaria
Allah mengurniakan anak perempuan yang bernama Maryam kepada Imran dan isterinya (3:36). Allah mengurniakan anak lelaki yang bernama Yahya kepada Nabi Zakaria dan isterinya (3:39)(19:7)(21:90).
- Nabi Zakaria dan Maryam berasa hairan
Nabi Zakaria berasa hairan bagaimana mungkin dia bisa mendapatkan anak, sedangkan dia sudah tua dan isterinya mandul (3:40)(19:8). Maryam berasa hairan bagaimana mungkin dia bisa mendapatkan anak, sedangkan tidak ada seorang laki-laki pun yang menyentuhnya (3:47) dan dia bukan seorang penzina (19:20) dan dia adalah seorang wanita yang memelihara kehormatannya (66:12).
- Nabi Zakaria dan Maryam tidak bercakap
Nabi Zakaria dan Maryam membuat gerakan isyarat sebagai medium komunikasi kepada manusia kerana kedua-duanya tidak berbicara secara lisan. Nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama tiga hari tiga malam kepada manusia, kecuali menggunakan gerak isyarat, kerana itu adalah tanda yang diberikan oleh Allah bagi memberitahu yang isteri Nabi Zakaria sedang mengandung (3:41)(19:10-11). Manakala Maryam bernazar untuk tidak bercakap (19:26) dan hanya menunjukkan sebagai isyarat kepada bayinya yang baru lahir (19:29).
- Kelahiran yang luar biasa
Isteri Nabi Zakaria melahirkan Nabi Yahya. Kelahiran ini adalah sesuatu yang luar biasa kerana Nabi Zakaria dan isterinya sudah tua lagi mandul (3:40). Manakala Maryam melahirkan Nabi Isa. Kelahiran Nabi Isa adalah lebih luar biasa lagi kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa dan Maryam adalah seorang anak dara suci dan tidak pernah disentuh oleh lelaki lain (3:47).
- Nabi Yahya dan Nabi Isa
- Allah telah memberikan khabar gembira kepada Nabi Zakaria dan memberikan nama kepada Yahya (3:39)(19:7)(21:90). Allah telah memberikan khabar gembira kepada Maryam dan memberikan nama kepada Isa (3:45).
- Nabi Yahya diberi kefahaman tentang kitab (Taurat) (19:12). Nabi Isa diberikan kitab (Injil) (19:30)
- Nabi Yahya diberikan hikmah ketika masih kanak-kanak. Allah menjadikan Yahya sebagai Nabi (3:39)(19:12-15). Nabi Isa boleh berkata-kata kepada manusia ketika usianya masih kanak-kanak kecil dalam buaian. Allah menjadikan Isa sebagai nabi (3:46)(19:29-33).
- Nabi Yahya suci dari dosa. Allah menjadikan Nabi Yahya rasa kasih sayang, bertakwa, berbakti kepada kedua ibu bapanya, tidak sombong dan tidak derhaka. Nabi Yahya diberikan kesejahteraan bagi dirinya pada hari lahirnya, pada hari matinya dan pada hari dia dibangkitkan untuk hidup semula (19:13-15). Nabi Isa suci dari dosa (19:19). Allah menjadikan Nabi Isa diberkati di mana saja dia berada, berbuat baik kepada ibunya, tidak sombong dan tidak celaka. Nabi Isa diberikan kesejahteraan bagi dirinya pada hari lahirnya, pada hari matinya dan pada hari dia dibangkit untuk hidup kembali (19:31-33).
- Nabi Yahya dan Nabi Isa adalah dari kalangan solehin (6:85).
Kaitan antara perkataanرَمْزًا (ramzan) dengan أَوْحَي (awha)
Selain daripada perkaitan antara perkataan أَشَارَ dengan رَمْزًا , ayat (3:41) yang mengandungi perkataan رَمْزًا mirip kepada ayat (19:11) yang mengandungi perkataan أَوْحَي.
فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَنْ سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا
Terjemahan [4]:
Maka dia keluar daripada tempat sembahyang untuk mendapatkan kaumnya, lalu dia memberikan isyarat kepada mereka, “bertasbihlah kamu pada waktu pagi dan petang”.
Kemiripan ayat (3:41) dengan ayat (19:11) adalah seperti berikut:
- Dalam ayat (3:41) Allah memberitahu Nabi Zakaria bahawa dia tidak boleh bercakap dengan manusia selama tiga hari kecuali menggunakan isyarat. Dalam ayat (19:11) Nabi Zakaria membuat isyarat kepada kaumnya.
- Dalam ayat (3:41) Allah memberitahu Nabi Zakaria supaya banyak mengingati Allah dan bertasbih (memujiNya) pada waktu petang dan pagi. Manakala dalam ayat (19:11) Nabi Zakaria membuat isyarat kepada kaumnya supaya bertasbih pada waktu pagi dan petang.
- Perkataan isyarat dalam ayat (3:41) adalah رَمْزًا, manakala dalam ayat (19:11) adalah أَوْحَي.
- Dalam ayat (3:41) susunan waktu adalah ‘petang dan pagi’. Dalam ayat (19:11) susunan waktu adalah ‘pagi dan petang’.
Perkataan أَوْحَي (awha)
Perkataan أَوْحَي (awha) adalah kata kerja yang bermaksud memberikan isyarat. Perkataan aslinya adalah وَحْيٌ (wahyun) atau wahyu yang bermaksud isyarat yang cepat iaitu berbicara dengan menggunakan simbol atau isyarat [7]. Firman Allah yang diturunkan kepada nabi disebut sebagai wahyu (42:51)(6:106)(10:15)(18:110)(10:87). Wahyu juga bermaksud ilham seperti ilham yang diberikan kepada ibu Nabi Musa (28:7), kepada lebah (16:28) dan kepada pengikut Nabi Isa (5:111).
Istilah Pemprosesan Isyarat yang digunakan dalam Bahasa Arab
Dalam Bahasa Arab istilah pemprosesan isyarat disebut sebagai مُعَالَجَةُ اَلْإِشَارَاتِ (Mu’ālajah al Ishārah) yang bermaksud merawat isyarat. Perkataan (al-isyārāt) adalah jamak (plural) bagi perkataan اَلْإِشَارَة (al-isyārah). Manakala perkataan مُعَالَجَةُ (mu’ālajah) bermaksud rawatan dan mempunyai makna seerti seperti proses pemisahan sebatian, pengubatan, manipulasi, menangani, pemeriksaan, dan pemulihan. Perkataan مُعَالَجَةُ tidak disebutkan di dalam Al-Quran.
Kesimpulan
Istilah pemprosesan isyarat adalah seperti istilah moden Bahasa Arab iaitu مُعَالَجَةُ اَلْإِشَارَات. Ia seperti suatu proses untuk merawat isyarat yang mana isyarat itu mungkin mengandungi percampuran antara maklumat dan hingar. Maka proses yang diperlukan adalah proses penurasan yang memisahkan antara maklumat dengan hingar. Dengan kata lain, terdapat ciri-ciri unik pada isyarat, seperti frekuensi, yang dapat memisahkan antara maklumat dengan hingar. Perkataan maklumat sendiri berasal daripada Bahasa Arab iaitu مَعْلُومَاتٌ (m’alūmātun) yang berasal dari kata dasar ع ل م. Antara perkataan yang terbit daripada kata dasar adalah ini adalah عَلَمٌ (‘alamun) – bendera, عِلْمٌ (‘ilmun) – ilmu, مُعَلِّمٌ (mu‘allimun) – guru, عُلُوْمٌ (‘ulūmun) – sains, dan عَلَامَةٌ (‘alāmatun) – tanda. Seperti yang telah dijelaskan dalam permulaan artikel ini, perkataan yang sama erti dengan عَلَامَةٌ adalah إِشَارَةٌ dan perkataan ini turut disebutkan dalam ayat (16:16).
Ketiga-tiga perkataan أَشَارَ (asyāra) ,رَمْزًا (ramzan), dan أَوْحَي (awhā) yang terdapat masing-masing dalam ayat (19:29),(3:41) dan (19:11) bermaksud isyarat atau memberikan isyarat. Walaupun latar peristiwa dan watak berkenaan dengan ketiga-tiga perkataan tersebut adalah sangat berkaitan, namun pasti ada maksud yang lebih khusus tentang perbezaan dan sebabnya kenapa perkataan berlainan digunakan. Allah Maha Teliti dalam memilih perkataan yang berlainan dalam ketiga-tiga ayat tersebut. Ini adalah suatu cabaran kepada manusia untuk merungkaikan maksud sebenar ketiga-tiga perkataan tersebut, terutamanya kepada penulis yang mengkaji bidang pemprosesan isyarat.
Dalam menghuraikan kisah yang berlaku ke atas Maryam, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, dan Nabi Isa, Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam Al Tafsīr al Munīr [6] menyatakan bahawa isyarat dianggap memiliki fungsi dan kedudukan yang sama dengan perkataan. Isyarat mempunyai fungsi yang sama dalam menunjukkan sesuatu perkara dan dapat membuatkan orang lain menjadi faham. Seperti mana isyarat yang dibuat oleh Maryam (19:29), maksud dan tujuan isyarat tersebut dapat difahami oleh manusia kerana mereka memberikan reaksi kepada isyarat Maryam tersebut. Dalam beberapa keadaan, isyarat lebih berkesan dan lebih mudah difahami berbanding ucapan. Pemerhatian terhadap suatu kejadian yang dilihat atau dialami secara langsung lebih berkesan daripada mendengarnya daripada orang lain. Manakala, ayat (19:11) menjadi dalil dibolehkan menggunakan isyarat yang difahami untuk sesuatu keperluan dan penetapan hukum terutamanya melibatkan orang pekak dan bisu.
Sebagai penutup, di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyuruh manusia agar menggunakan pancaindera seperti pendengaran (isyarat bunyi) dan penglihatan (isyarat visual) untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan menggunakan akal untuk berfikir dan memproses akan makna tersurat dan tersirat di sebalik tanda-tanda itu dan siapakah Tuhan kepada tanda-tanda itu (1:2).
Rujukan
- Al-Quran
- Kamus Besar Arab Melayu Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur, 2015.
- Hanafi Dollah, Kamus Kontekstual Lengkap Al Khalil. Pustaka Ilmiah Al Khalil, 2013.
- Al-Quran Amazing: 33 Panduan Al-Quran Untuk Hidup Anda. Karya Bestari, Shah Alam, 2018.
- Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/
- Wahbah Az-Zuhaili, Al Tafsīr al Munīr: Fī al ‘Aqīdah wa al Syarī’ah wa al Manḥaj. Darul Fikr, Damascus, 2005.
- Ar-Raghib Al-Ashfahani, Al-Mufradat fī Gharībil Qur’ān. Dar Ibnul Jauzi, Mesir,
Kredit Foto : @vitaliiw001x