Artikel kali ini merupakan rencana kempat kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah Akademi Sains Malaysia (ASM)
——————————————————————————————-
Oleh: Dr Razinah Sharif, Ahli Bersekutu YSN-ASM
Pusat Jagaan Sains Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ingin saya berkongsi kisah sewaktu berjuang mendapatkan PhD in Medicine, pengkhususan dalam Nutrition and Genetics. Moga boleh membantu sahabat-sahabat lain yang sedang berjuang.
Usai mengemas barangan lama, terjumpa helaian kertas penting berkenaan PhD, iaitu laporan lengkap oleh pemeriksa tesis. Ya, di Australia tiada viva, tesis kami dihantar ke luar untuk proses penilaian. Perjuangan PhD saya bermula dengan sukar. Mengimbau kenangan tahun 2008, itu pertama kali saya ke luar negara, seorang diri, tanpa rakan. Adelaide, bukan satu tempat yang dikenali ramai ketika itu.
Hasilnya, seminggu selepas tiba, saya mengalami homesick yang teruk. Dan kerana itu juga, saya terus membeli tiket kapal terbang, kembali ke Malaysia untuk berjumpa ibu dan ayah. Setelah seminggu di Malaysia, dengan hati berat, saya kembali ke Adelaide untuk menyambung perjuangan.
Permulaan pengajian saya sedikit goyah kerana saya mempunyai 5 orang penyelia dan kesemuanya adalah lelaki. Semuanya ada kepala sendiri, semuanya perlu dipatuhi. Teringat ketika proses penyediaan proposal, penyelia melempar kertas cadangan penyelidikan dan berkata penulisan dalam Bahasa Inggeris saya seperti sampah. ‘This is rubbish’ katanya. Herdikan beliau menjadikan saya beremosi namun apakan daya, saya mengutip kembali kertas cadangan penyelidikan saya dan berjumpa teman PhD lain dari Australia untuk membantu penulisan English saya.
Lama kelamaan saya menjadi tebal muka dan penulisan bertambah baik. Saya juga menjadi lebih gembira untuk pergi ke makmal dan adakalanya menghabiskan masa di makmal bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam. Setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad. Kerja makmal saya yang melibatkan ‘human trial‘ juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Permulaan yang goyah tampak ada sinar tetapi di penghujung jalan, seorang postdoc telah menuduh saya memplagiat hasil beliau. Tuduhan yang membuatkan dunia saya hampir terbalik. Sedih bukan kepalang. Kesemua penyelia berpihak pada saya kecuali penyelia utama. Masa depan yang cerah tampak pudar.
Hasil perbincangan beberapa kali telah berjaya menyelesaikan masalah ini. Ketika itu, kebergantungan kepada Allah SWT sememangnya tinggi. Dalam doa saya, setiap solat, setiap kali sebelum tidur, saya mohon ditunjukkan kebenaran.
Bukan juga mudah memuaskan hati penyelia utama; beliau mendesak untuk penulisan yang sempurna. Sesuatu yang sukar untuk dicapai. Aduhai. Aku bukan penulis yang baik. Akhirnya setelah 3 tahun 10 bulan, saya berjaya menamatkan ceritera PhD saya dengan keputusan yang cemerlang; 5 jurnal artikel dan pelbagai persidangan antrabangsa.
Alhamdulillah.
Ramai bertanya apa kisah PhD saya. Saya cuma tersenyum. Saya pasti setiap kita ada cerita. Di sini, saya kongsikan beberapa petua dan cara saya menghabiskan pengajian PhD dan menulis artikel.
- Di meja saya sebenarnya ada 2 pelajar antarabangsa yang berkongsi kubikel. Seorang dari Denmark dan seorang pelajar local dari Australia. Mulanya agak malu juga, tapi saya belajar menulis satu perenggan dan beri pada mereka, lalu bertanya, ok kah kalau begini? Tiap hari saya tulis 3 perenggan dan kedua-dua teman saya akan periksa sebelum mesyuarat saya bersama supervisor pada setiap Jumaat. Pada akhir semester tahun kedua pengajian, penulisan saya bertambah baik dan mereka memuji penulisan saya. Ah benarlah, usaha sedikit sedikit lama-lama akan membuahkan hasil.
- Saya juga gemar membaca. Ini yang bapa saya terapkan dari dulu. Setiap jurnal tu tak boleh hanya di salin dan tampal. Setiap jurnal yang dibaca, saya akan tulis semula dengan ayat saya sendiri dan keluarkan isi penting. Inilah amalan saya. Alhamdulillah membantu. Jadi baca jurnal, gariskan perkara penting, keluarkan dari jurnal, tulis dengan ayat sendiri untuk kefahaman sendiri.
- Tulis walaupun satu perenggan sehari. Tulislah, tulislah. Ramai bercerita berkenaan writer’s block, tidak dinafikan sememangnya ada. Nasihat saya, kenal diri sendiri. Cuba cari masa sesuai yang anda boleh menulis dengan baik. Dalam kes saya, saya boleh menulis awal pagi. Sebaik selepas solat Subuh. Amalan diteruskan hingga kini. Kalau anda jenis menulis awal pagi, teruskan. Kalau anda jenis menulis lewat malam, teruskan; asalkan menulis. Juga, lebih baik untuk cari tempat yang tidak ada gangguan. Awal pagi, masih belum ada orang lain bangun, ataupun lewat malam, anak-anak sudah tidur, ayuh kita menulis! Sebagai seorang ahli akademik, menulis ini tidak akan lari dari anda. Siap PhD, anda perlu menulis artikel untuk penyelidikan pula, artikel geran dan pelbagai lagi artikel lain. Kesimpulannya, menjadi ahli akademik, sebenarnya anda perlu gemar menulis atau membaca.
- Jangan gentar dengan eksperimen yang tidak jadi dan jangan elak bila bermesyuarat bersama penyelia. Dikongsi pengalaman saya, dalam PhD saya ada menggunakan kaedah metilasi untuk melihat kesan epigenetik asalnya. Metilasi ialah penambahan kumpulan metil kepada DNA yang menyebabkan kesan epigenetic iaitu kesan samada fenotip atau protein akan terekspres atau tidak. Contoh, metilasi pada gen reseptor zink akan menyebabkan aktiviti pengambilan zink terganggu walaupun kita mengambil zink setiap hari dalam kadar yang cukup. Enam bulan saya meluangkan masa; siang dan malam untuk memastikan teknik metilasi berjaya. Hasil eksperimen menunjukkan keputusan yang tidak signifikan. Berjumpa dengan penyelia, dia menyuruh saya buang dari tesis. Sedihnya bukan kepalang. Air mata bergenangan di pipi, di kala itu saya agak marah dengan penyelia, seolah-olah saya membuang masa. Namun, kini saya faham, ada kebaikan saya tidak memasukkan eksperimen berkenaan ke dalam tesis. Seingat saya, hari yang muram itu, saya terus ambil tram ke Glenelg (Adelaide), terus saya membeli aiskrim dan menghadap laut untuk menghilangkan kesedihan. Esok adalah hari baru untuk saya. Biasanya begitu, jika saya sedih, petang itu juga saya cuba hilangkan kesedihan dan berdoa moga esok adalah hari yang lebih baik.
- Anda adalah penyelia anda. Percaya atau tidak, setelah habis PhD, semua akan kembali ke universiti masing-masing dan anda akan mula menyelia pelajar. Anda akan menjadi seperti penyelia anda atau sebaliknya cuba untuk tidak menjadi seperti penyelia anda. Saya sekarang? Alhamdulillah, kesemua penyelia saya lelaki dan seperti ayah, melindungi namun tegas. Jadi saya menerapkan sifat yang sama, fleksibel dan lebih menerapkan unsur empati kepada pelajar. Pelajar bukan robot; mereka juga ada masalah lain, mungkin bagi kita kecil, bagi mereka agak besar. Jadi, cuba letakkan diri anda dalam kehidupan mereka.
- Anda perlu keluar. Jangan hanya jadi tikus makmal, anda perlu keluar sebenarnya untuk berkonferens, keluar mengembara menghilangkan stress. Semasa di Australia, kami ada keluar mengembara sekitar Australia lazimnya dan kadang ke New Zealand yang merupakan negara jiran. Jauh perjalanan, luas pengalaman. Penyataan ini sangat betul sebenarnya. Teringat semasa saya sedang berkonferens di New Zealand, saya berjalan seorang usai selesai pembentangan. Ada seorang pakcik menegur saya dan bertanya jika saya adalah seorang pelajar. Beliau lantas meminta saya menerangkan projek PhD saya kepada beliau. Bayangkan mahu bercerita tentang DNA kepada seorang pakcik kampung dengan dialek mereka yang pekat, umpama ayam bercakap dengan itik. Dengan bantuan lukisan DNA yang saya lukis, saya berjaya menerangkan konsep asas kerosakan DNA kepada beliau. Ahh, perasaan gembira itu saya simpan sampai sekarang. Keupayaan anda untuk menerangkan projek anda kepada orang umum dan bukan bidang sebenarnya bergantung kepada pengalaman anda. Sebab itu, jangan hanya jadi tikus makmal!
Kesimpulannya: Teruskan perjuangan wahai para sahabat. PhD ini bukan hanya kerja seorang. Sokongan keluarga, sahabat dan penyelia merupakan asas utama dalam kecemerlangan PhD. Juga, yang paling utama adalah kebergantungan sepenuhnya kita pada Tuhan.
PhD tanpa linangan air mata itu bukan PhD sebenar. Ada pelbagai pancaroba dan ujian untuk setiap kita yang berjuang. Tikus mati, penyelia bertukar, penyelia garang, masalah stress, recruitment subject, masalah masa, masalah kewangan, dan sebagainya. Tabahkan hati, ingat kenapa kita bermula. Moga dimudahkan semua sahabat dan pelajar sekalian.
Alhamdulillah, penulis telah berjaya melahirkan 2 orang pelajar sarjana, seorang pelajar PhD sejak pulang dari Adelaide dan ramai lagi pelajar sarjana dan doktor falsafah lain yang berada di bawah penyeliaan beliau. Doakan beliau berjaya melahirkan kesarjanaan sains dikalangan masyarakat Malaysia.