Penulis: Prof. Madya. Dr. Mahirah Kamaludin
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial
Universiti Malaysia Terengganu
Malaysia muncul menjadi negara yang proaktif dalam mengemudi masa hadapan yang lebih hijau dan lebih cekap tenaga bagi mencapai agenda kelestarian negara. Antara usahanya adalah dengan memperkenalkan label kecekapan tenaga sebagai medium untuk memperkasakan pengguna dan memangkin amalan kelestarian. Label ini berfungsi memaklumkan pengguna tentang penggunaan tenaga pelbagai produk tetapi juga sejajar dengan matlamat Malaysia yang lebih luas untuk mengurangkan jejak karbon, memulihara sumber, memupuk budaya penjagaan alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan. Ketika Malaysia mendepani cabaran alam sekitar dan aspirasi ekonomi, label tenaga berfungsi sebagai suar yang menerangi laluan ke arah masa depan yang lebih lestari. Dengan perindustrian dan pembandaran negara yang pesat, timbul keperluan mendesak bagi mengurangkan kesan alam sekitar dan memastikan pertumbuhan ekonomi serta kemajuan sosial yang berterusan. Label tenaga muncul sebagai penyelesaian pragmatik, menawarkan penumpuan harmoni kepentingan ekonomi, alam sekitar, dan masyarakat.
Label Kecekapan Tenaga di Malaysia
Label kecekapan tenaga telah diperkenalkan pada tahun 2006 di Malaysia. Suruhanjaya Tenaga (ST) bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga di Malaysia. Berdasarkan Peraturan Elektrik 1994 (Pindaan 2013) Peraturan 101A (3) “Mana-mana kelengkapan yang memenuhi semua kehendak penggunaan elektrik dengan cekap di bawah subperaturan (1) hendaklah ditampalkan dengan label penarafan kecekapan mengikut bentuk dan cara sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Suruhanjaya”.
Sehingga kini, terdapat lapan jenis perkakasan elektrik yang memerlukan Minimum Energy Performance Standards (MEPS) dan Label Kecekapan Tenaga sebelum boleh dijual di pasaran, iaitu; televisyen, penghawa dingin, peti sejuk, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, pembeku, dan ketuhar elektrik. Setiap kali membeli perkakasan elektrik, pengguna boleh menyemak dan merujuk label kecekapan tenaga untuk memaksimumkan penjimatan tenaga. Di bawah program Kecekapan Tenaga dan Pelabelan Tenaga oleh ST, setiap perkakasan elektrik adalah berdasarkan Penarafan Bintang yang menentukan pematuhannya untuk Kecekapan Tenaga. Program ini merupakan inisiatif kerajaan Malaysia bagi merangsang penjualan perkakasan rumah yang cekap tenaga. Label kecekapan tenaga menunjukkan kepada pengguna berkenaan anggaran penggunaan tenaga peralatan elektrik berdasarkan sistem penarafan bintang; 5-bintang bermaksud paling cekap, 1-bintang bermaksud paling kurang cekap. Berdasarkan sistem penarafan bintang, pengguna dapat menganggar jumlah elektrik (kWH) yang digunakan oleh perkakas elektrik. Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap perkakasan elektrik yang cekap tenaga. Pemilihan penggunaan perkakasan elektrik 5-bintang di rumah mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan bil elektrik. Maka, sebenarnya secara tidak langsung dapat menghasilkan pendapatan isi rumah boleh guna atau disposable household income yang lebih tinggi bagi jangka masa yang panjang dan dapat meningkatkan kualiti kehidupan.
Manakala, semua pengilang dan pengimport mesti menampal label tenaga pada lapan jenis perkakasan elektrik tersebut sebelum dijual kepada pelanggan di pasaran. Pengilang perlu mematuhi piawaian dan syarat ujian prestasi tenaga yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi kadar bintang ini sebelum kelulusan diberikan untuk setiap model yang di keluarkan. Dengan menyalurkan maklumat yang telus berkenaan kecekapan tenaga perkakasan, label tenaga ini memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan terbaik yang bukan sahaja mengurangkan bil elektrik tetapi turut menyumbang kepada matlamat menyeluruh pembangunan lestari. Selain itu, label tenaga berfungsi sebagai pemangkin untuk inovasi, mendorong pengeluar untuk mereka bentuk dan menghasilkan lebih banyak produk cekap tenaga sebagai tindak balas kepada permintaan pengguna dan insentif kawal selia. Keberkesanan label tenaga di Malaysia turut disokong oleh mekanisme penguatkuasaan yang kukuh dan kerjasama dari pihak berkepentingan. Pihak berkuasa kawal selia menjalankan pemeriksaan dan audit berkala untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan pelabelan tenaga bagi melindungi integriti sistem pelabelan dan menggalakkan persaingan yang adil di kalangan para pengeluar. Kerjasama antara agensi kerajaan, persatuan industri dan kumpulan advokasi pengguna memudahkan kempen kesedaran awam dan inisiatif pendidikan yang bertujuan untuk mempromosikan faedah amalan cekap tenaga dan menggalakkan perubahan tingkah laku.
Program (SAVE) 4.0 Diperkenalkan
Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 4.0 diperkenalkan dengan memberikan maksimum RM400 e-Rebat kepada isi rumah domestik yang membeli penghawa dingin dan peti sejuk cekap tenaga dengan label kecekapan tenaga 4-bintang atau 5-bintang. Objektif utama Program SAVE 4.0 adalah seperti berikut; (i) menambah jumlah 5 dan 4-bintang peralatan elektrik cekap tenaga dan peralatan cekap tenaga di pasaran; (ii) meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menggalakkan mereka membeli peralatan cekap tenaga yang akan menjimatkan penggunaan elektrik pengguna, terutamanya pengguna domestik; dan (iii) menyelamatkan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Tempoh pelaksanaan program SAVE4.0 telah ditetapkan selama satu tahun bermula Disember 2023 hingga Disember 2024. Setiap isi rumah layak mendapat e-Rebat sehingga RM400 (RM200 untuk penghawa dingin dan RM200 untuk peti sejuk) dengan pembelian peralatan elektrik dengan label kecekapan tenaga 4-bintang dan 5-bintang. Pengguna boleh mendapatkan rebat ini melalui dua kaedah, iaitu; (i) mengemukakan bil elektrik mereka di kedai atau pasar raya berdaftar semasa membeli perkakasan elektrik, atau (ii) memohon e-rebat melalui platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada dan PG Mall.
Apakah Kelebihan Menggunakan Peralatan Cekap Tenaga?
Menggunakan peralatan cekap tenaga memberikan pelbagai kelebihan dalam memajukan agenda kelestarian di Malaysia. Pertama, peralatan cekap tenaga mengurangkan penggunaan tenaga dengan ketara, sekali gus mengurangkan tekanan pada sumber tenaga negara dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Pengurangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan bil utiliti individu dan perniagaan, tetapi juga turut menyumbang kepada daya tahan keseluruhan grid tenaga dengan mengurangkan tekanan permintaan waktu puncak. Selain itu, kelebihan dari perspektif alam sekitar tidak dapat dinafikan. Dengan menggunakan kurang tenaga, peralatan ini dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, membantu memerangi perubahan iklim dan pencemaran udara. Kecekapan tenaga pula dapat meningkatkan daya saing ekonomi dengan memupuk inovasi dan produktiviti. Industri yang melabur dalam teknologi cekap tenaga sering mengalami pengurangan kos operasi, peningkatan produktiviti dan daya saing pasaran yang lebih baik. Di samping itu, inisiatif kecekapan tenaga mewujudkan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membuka pasaran baharu bagi produk dan perkhidmatan cekap tenaga, serta mempromosikan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi tenaga bersih.
Dari sudut pandangan masyarakat, penggunaan peralatan cekap tenaga menyumbang kepada kesihatan awam yang lebih baik. Pengurangan pelepasan karbon membawa kepada udara dan air yang lebih bersih, menyebabkan penyakit pernafasan yang semakin berkurang dan dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat yang lebih baik. Tambahan pula, inisiatif kecekapan tenaga dapat mengurangkan kemiskinan tenaga dengan menjadikan tenaga lebih mampu milik dan boleh diakses oleh semua masyarakat, sekali gus menggalakkan kesaksamaan dan keterangkuman sosial. Kesimpulannya, faedah menggunakan peralatan cekap tenaga jauh melangkaui penjimatan tenaga semata-mata, ia turut merangkumi kelestarian alam, daya saing ekonomi, kesihatan awam, dan kesaksamaan sosial. Dengan mengutamakan kecekapan tenaga dan melaksanakan skim pelabelan tenaga, Malaysia dapat memajukan agenda kelestarian dengan berkesan serta menawarkan pelbagai manfaat untuk rakyat dan alam sekitar secara keseluruhannya.
Justeru, penggunaan label tenaga bukan sekadar perhiasan pada barangan elektrik, tetapi label ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kelestarian Malaysia dengan memperkasakan pengguna, memacu transformasi pasaran, dan memangkin inovasi dalam teknologi cekap tenaga. Ketika Malaysia meneruskan perjalanannya ke arah masa hadapan dengan rendah karbon dan cekap sumber, evolusi berterusan dan peningkatan inisiatif pelabelan tenaga akan menjadi kekal penting untuk mencapai objektif alam sekitar dan ekonominya. Sememangnya fungsi label kecekapan tenaga menggalakkan penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana.