Penulis: Lukhman Abdul Taib
Jabatan Sains Teoritikal dan Perkomputeran,
Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Michel Pierre Talagrand, seorang ahli teori kebarangkalian dari French National Centre for Scientific Research (CNRS), Perancis, telah diumumkan sebagai penerima Hadiah Abel bagi tahun 2024. Pengumuman tersebut telah disiarkan secara langsung di saluran The Abel Prize pada 20 Mac 2023 pada pukul 7 petang (waktu Malaysia) dan ia disampaikan oleh Lise Øvreås, presiden Norwegian Academy of Science and Letters. Talagrand telah dipilih “di atas sumbangannya yang membawa pembaharuan dalam teori kebarangkalian (probability theory) dan analisis fungsian (functional analysis), dengan penerapan yang menonjol dalam fizik bermatematik dan statistik”.
Di antara hasil kerja yang menjadi pertimbangan jawatankuasa Hadiah Abel untuk memilih Talagrand adalah berkenaan mencirikan kerawakan (randomness), terutama di dalam sistem yang kompleks. Beliau telah membangunkan persamaan, dikenali sebagai ketidaksamaan Talagrand, untuk menunjukkan sebarang kebolehramalan dalam sistem yang rawak, satu prinsip yang dikenali sebagai kepekatan sukatan (concentration of measures). Ketidaksamaan Telegrand dapat digunakan pada kebanyakan sistem yang menunjukkan kepekatan sukatan seperti masalah penjual keliling (travelling salesman problem).
Talagrand juga telah berusaha untuk mencirikan ekstrim dalam sistem yang rawak atau stokastik. Dalam sistem stokastik, ukuran seperti suhu, paras air sungai atau pasaran saham sentiasa berubah-ubah secara rawak. Sistem rawak sebegini mengandungi banyak pembolehubah rawak dan boleh menjadi terlalu kompleks, namun kaedah yang dipelopori oleh Talagrand mampu mendapatkan nilai yang berguna dengan cara menukar sistem tersebut menjadi masalah geometri.
Selain dari berminat dengan isu-isu dasar dalam teori kebarangkalian, Talagrand juga memberi perhatian dengan isu-isu yang berlegar sekitar kaca spin (spin glass), suatu bentuk jirim yang istimewa di mana atom mampu menyusun diri mereka sendiri. Menggunakan pengetahuannya dalam teori kebarangkalian dan statistik, Telegrand membuktikan had sejauh mana jirim kaca spin bertindak sekaligus melengkapkan pembuktian yang dikemukakan oleh Giorgio Parisi.
Dalam mengulas hasil kerja Talagrand, Prof. Helge Holden, pengerusi jawatankuasa Hadiah Abel, menyifatkan Talagrand sebagai seorang ahli matematik yang luar biasa dan seorang yang menggerunkan dalam menyelesaikan masalah. Beliau mahir dalam mendapatkan anggaran yang tepat dan mengetahui apa yang perlu ditambah atau ditolak untuk mendapatkan anggaran jitu. Assaf Naor dari Princeton University mengatakan hasil kerja Talagrand telah mengubah cara beliau memandang dunia.
Talagrand mengatakan, apabila beliau dimaklumkan berkenaan berita tersebut, “Otak saya berhenti sepenuhnya selama lima saat. Ia adalah suatu pengalaman yang menakjubkan. Saya tidak akan pernah boleh menjangkakan perkara seperti itu.”
Michel Talagrand lahir pada tahun 1952 di Perancis dan memperoleh sarjana Doktor Falsafah dalam matematik dari University of Paris VI pada tahun 1977. Namun, tidak ramai menyangka bahawa ketika berusia 5 tahun beliau kehilangan sebuah mata disebabkan penyakit genetik. Sepuluh tahun kemudian, mata sebelahnya berisiko untuk buta menyebabkan beliau tidak menghadiri sekolah selama enam bulan. Bimbang untuk menjadi buta, Talagrand menghabiskan masanya untuk belajar bersungguh-sungguhnya dan di situlah beliau menyedari bakatnya dalam fizik dan matematik. Selain dari Hadiah Abel, beliau juga telah menerima Hadiah Shaw pada tahun 2019.
Talagrand memiliki laman sesawang peribadi, di mana beliau menyenaraikan beberapa teka teki dan masalah, serta menyediakan sejumlah wang besar sebagai hadiah untuk mana-mana ahli matematik yang berjaya menyelesaikan masalah tersebut di bawah judul “Become rich with my prizes” (“Mari menjadi kaya dengan hadiah dari saya”).
Michel Talagrand dijadualkan untuk menerima hadiah sejumlah 7.5 juta kroner Norway (kira-kira 700 ribu dolar US) di dalam sebuah majlis upacara bertempat di University of Oslo pada 21 Mei 2024, dan disampaikan oleh King Harald V kepada beliau. Beliau juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan Abel sehari selepas majlis tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN – ‘Messi Matematik’ di pilih sebagai Penerima Hadiah Abel 2023
ARTIKEL BERKAITAN – Ahli Matematik Itali dan Ahli Astronomi US terima Hadiah Crafoord 2020
ARTIKEL BERKAITAN – Terence Tao Penerima Pertama Hadiah Riemann
ARTIKEL BERKAITAN – Penerima Anugerah 2020 Breakthrough Prize in Mathematics
Catatan editor- Penulis merupakan calon di peringkat kedoktoran (PhD) Sains Teoritikal dan Perkomputeran dari Universiti Islam Antarabangsa