Oleh : Prof. Madya Dr. Mashitah Shikh Maidin & Nur Hafizah Mohammed
Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia
Tegasan haba (Heat stress) dan strok haba adalah istilah yang digunakan apabila terjadinya kenaikan purata suhu permukaan bumi akibat pemanasan global dan perubahan iklim. Indeks haba melebihi 40°C dianggap bahaya bukan sahaja kepada manusia malah kepada haiwan ternakan juga. Pada dekad akan datang, peningkatan suhu akibat pemanasan global dan perubahan iklim dijangka semakin rumit. Bagi haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, strok haba yang disebabkan oleh pemanasan global ini boleh menyebabkan haiwan mengalami hipertermia, iaitu ternakan tidak dapat mengawal atau mengimbangi suhu badan secara normal. Lebih membimbangkan, terdapat kebarangkalian berlakunya kecederaan tisu dalaman pada organ haiwan termasuklah organ pembiakan. Sehubungan itu ia akan menggangu sistem pembiakan haiwan untuk berfungsi dengan normal. Sekiranya perkara ini berlarutan dalam tempoh yang Panjang, ia akan mempengaruhi sumber pendapatan para penternak kerana pengeluaran produksi haiwan ternakan terjejas.

Seperti yang dinyatakan di atas, haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang terdedah kepada suhu tinggi yang berpanjangan sehingga terjadinya strok haba mampu menjejaskan serta mengubah sistem fisiologi pembiakan haiwan daripada berfungsi dengan normal. Fisiologi pembiakan ini seperti kematangan haiwan, kitaran estrus, kesuburan, kualiti telur atau ovum, kebuntingan, perkembangan embrio dan fetus, kualiti sperma dan air mani/semen serta corak pembiakan. Fungsi struktur fisiologi pembiakan ini berkait rapat dengan faktor dalaman yang melibatkan hormon dan faktor luaran seperti suhu dan makanan. Persoalannya, apakah kesan pemanasan global dan strok haba kepada fisiologi pembiakan haiwan ternakan? Secara amnya, suhu yang melampau boleh menyebabkan sistem atau fungsi pembiakan haiwan tergendala. Sebagai contoh, bagi haiwan ternakan seperti lembu jantan , DNA dan struktur sperma atau semen yang dikeluarkan akan rosak apabila strok haba berlaku. Ini akan mengurangkan kualiti dan kuantiti semen yang dihasilkan. Apa yang terjadi ialah kekurangan termoregulasi suhu pada skrotum testikular menyebabkan berlakunya hipertermia testis serta menghasilkan tekanan panas pada genital/organ pembiakan. Keadaan ini merosakkan kualiti penghasilan struktur sel sperma dan semen. Secara ringkasnya proses penghasilan sperma atau jua dikenali sebagai proses spermatogenesis sangat bergantung pada suhu dalaman dan persekitarannya. Sekiranya suhu dalaman testis meningkat daripada normal, ia akan merosakkan semen yang terhasil. Banyak kajian dalam penyelidikan kualiti semen haiwan ternakan ruminan menunjukkan bahawa haiwan yang terdedah kepada suhu melebihi 43°C selama 30 minit boleh mengakibatkan sel-sel di testis rosak dan mati. Justeru itu, ia akan menyebabkan penurunan kadar kesuburan ke atas haiwan tersebut.


Selain merosakkan sel-sel di testis, bahagian sel otak yang mengawal pengeluaran hormon pembiakan turut terjejas. Pengeluaran hormon gonadotropin-releasing hormone (GnRH) daripada sel otak iaitu hipotalamus merupakan bahagian induk di dalam otak yang merangsang kelenjar endokrin dalam tubuh termasuk hormon pembiakan iaitu hormon testosteron bagi haiwan jantan dan hormon progesterone bagi haiwan betina. Hormon GnRH akan menghantar isyarat ke kelenjar pituitari untuk menghasilkan hormon Luteinizing hormon (LH) dan seterusnya ke testis atau ovari untuk menghasilkan hormon pembiakan. Penghasilan hormon ini adalah sangat peka terhadap perubahan luar atau persekitaran haiwan seperti perubahan suhu yang mendadak akibat pemanasan global dan perubahan pemanasan iklim. Ketidakseimbangan kepekatan hormon tersebut akibat suhu melampau ini boleh menyebabkan haiwan ternakan jantan menjadi lambat matang, libido rendah, kadar persenyawaan rendah dan kualiti semen rendah serta sedikit. Manakala bagi haiwan ternakan betina ia akan menyebabkan kelewatan waktu matang, tahap kesuburan rendah, masa estrus panjang, keguguran, tumbesaran embrio/fetus terjejas, pengurangan berat anak yang dilahirkan dan kualiti susu terjejas. Bagi haiwan yang menyusu, risiko yang lebih tinggi bakal dihadapi dengan suhu tinggi kerana kadar metabolsime haiwan ini menjadi lebih tinggi dari tahap normal. Prestasi produktiviti pembiakan haiwan yang rendah selepas kelahiran adalah berkaitan dengan perubahan epigenetik pada rahim ibu yang disebabkan oleh pendedahan kepada tekanan dari faktor persekitaran seperti strok haba.
Banyak kajian pemanasan global dan perubahan iklim dijalankan terhadap prestasi pembiakan haiwan ternakan seperti lembu daging, lembu susu, kambing dan kambing biri-biri. Akibat pendedahan suhu tinggi dengan kadar kelembapan yang rendah menyebabkan haiwan tersebut dalam keadaan stress. Kajian menunjukkan bahawa lembu betina yang terdedah kepada suhu 40°C selama 16 jam semasa kitaran estrus mengakibatkan pengurangan penghasilan hormon dari bahagian hipotalamus otak. Secara tidak langsung turut menjejaskan proses tumbesaran folikel di ovari dan melambatkan proses ovulasi. Manakala, ujian saringan stress melalui pengukuran kandungan hormon cortisol daripada sampel darah, urin dan najis haiwan ternakan yang bunting adalah tinggi. Hormon cortisol adalah salah satu kunci pengukur tahap stress. Hal ini akan membahayakan kandungan serta boleh mengakibatkan kecatatan atau keguguran kepada kandungan. Kesemua kesan terhadap fisiologi pembiakan dan hormon ini, secara tidak langsung boleh mengurangkan produksi haiwan ternakan dan ini akan merugikan penternak.

Dengan kata lain, kesan gelombang haba dan perubahan iklim yang membawa kepada stress haba dan strok haba ke atas haiwan ternakan menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi penternak. Disamping itu, pertumbuhan penduduk dan peningkatan taraf hidup masyarakat adalah antara punca utama perngeluaran produk ternakan seperti lembu dan kambing semakin terhad. Namun demikian, langkah pencegahan boleh diambil bagi membantu untuk mengurangkan risikio ternakan terhadap perubahan suhu tinggi ini. Antaranya ialah dengan:
1) melakukan modifikasi persekitaran haiwan ternakan seperti mempunyai sistem teduhan dan ventilasi yang baik.
2) pengurusan makanan yang sesuai dan berkualiti bagi menjamin prestasi pembiakan haiwan
3) memilih baka ternakan yang lebih tahan kepada persekitaran sensitif
4) penggunaan teknologi pembiakan seperti pengumpulan semen dari baka pejantan yang baik untuk digunakan semasa permanian berhadas (Artificial Insemination; AI) atau semen disimpan di dalam tangki simpanan cecair nitrogen yang bersuhu -197°C atau -320°F.
Strategi ini boleh digunakan secara individu atau gabungan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dengan menyediakan persekitaran produktif secara optimum terhadap haiwan ternakan
Rujukan
- Berihulay, H., Abied, A., He, X., Jiang, L., & Ma, Y. (2019). Adaptation mechanisms of small ruminants to environmental heat stress. Animals, 9(3), 75.
- de La Salles, A. Y. F., Batista, L. F., de Souza, B. B., da Silva, A. F., & de Barros Correia, É. L. (2016). Growth and reproduction hormones of ruminants subjected to heat stress. JABB-Online Submission System, 5(1), 7-12.
- Durairajanayagam, D., Agarwal, A., & Ong, C. (2015). Causes, effects and molecular mechanisms of testicular heat stress. Reproductive biomedicine online, 30(1), 14-27.
- Hansen, P. J. (2009). Effects of heat stress on mammalian reproduction. Philosophical Transactions of the Royal Society B: Biological Sciences, 364(1534), 3341-3350.
- Sawyer, G. M., & Narayan, E. J. (2019). A review on the influence of climate change on sheep reproduction. Comparative Endocrinology of Animals, 1-21.
Kredit Foto : phys.org