Penulis: Prof. Madya Dr. Noratikah Othman1, Aida Syafini Mohd Akhir1, Nur Zuliyana Izzani Ainudin1, Dr. Mohd Hanif Jainlabdin1, Dr. Nurhazirah Zainul Azlan1 & Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md Isa1
Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan kesedaran mengenai kebersihan tangan, Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-Being (PLANETIIUM) di bawah naungan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan program pembuatan sabun untuk kegunaan program Earthling yang telah diadakan di Educare IIUM, Kuantan, Pahang. Program ini merupakan kesinambungan dari Program EARTHLING 1.0 yang bertujuan untuk memperkenalkan konsep asas pemeliharaan alam sekitar kepada kanak-kanak pada usia muda, sekaligus membentuk kesedaraan tentang tanggungjawab individu terhadap pengurusan sisa yang lebih efektif serta menggalakkan amalan kitar semula secara berterusan.
Program EARTHLING 2.0 ini bertujuan untuk mendidik 55 kanak-kanak yang berumur di antara 4 hingga 5 tahun mengenai amalan kebersihan tangan yang berkesan melalui aktiviti pembuatan sabun. Inisiatif ini melibatkan penyertaan aktif daripada 9 orang guru Educare IIUM, 6 pelatih dari PLANETIIUM, serta kakitangan PLANETIIUM, yang kesemuanya menyumbang kepada kejayaan program ini dengan menyediakan panduan dan sokongan sepanjang sesi. Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada teknik pembuatan sabun, tetapi juga mengintegrasikan prinsip-prinsip kebersihan asas yang penting untuk kesihatan dan kelestarian kanak-kanak, iaitu mencuci tangan dengan langkah-langkah yang menyeluruh.
Program pembuatan sabun untuk Program Earthling di Educare IIUM, Kuantan, Pahang merupakan contoh pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan yang menyokong penggunaan teknologi dan bahan yang mesra alam. Sabun yang digunakan semasa program ini dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan lestari seperti gliserin yang dihasilkan daripada sumber semula jadi yang boleh diperbaharui, seperti minyak tumbuhan, yang menjadikannya pilihan bahan yang lebih lestari berbanding dengan bahan kimia sintetik. Proses penghasilan gliserin merupakan hasil daripada prosess saponifikasi, iaitu tindak balas antara lemak atau minyak dengan alkali yang menjadikannya lebih efisien dari segi sumber dan tenaga. Tambahan pula, sifat gliserin yang biodegradasi juga menyokong penggunaan bahan ini dalam produk mesra alam, kerana ia terurai secara semula jadi dalam persekitaran tanpa meninggalkan bahan toksik atau merosakkan ekosistem. Projek ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kesan alam sekitar, tetapi juga mengurangkan kos jangka panjang melalui pengurangan keperluan untuk rawatan sisa. Inisiatif ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap krisis alam sekitar dan perubahan iklim, serta menggalakkan amalan kelestarian seperti penjimatan tenaga dan pengurangan bahan buangan.
Matlamat program Earthling 2.0 juga adalah untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kepentingan kebersihan tangan sebagai langkah pencegahan lestari terhadap penyakit, tanpa mengamalkan pensanitasi tangan yang berasaskan bahan kimia. Program ini juga menyediakan peluang bagi kanak-kanak untuk belajar secara praktikal tentang teknik mencuci tangan yang betul dan efektif. Dengan itu, dapat membentuk dan menggalakkan amalan kebersihan diri yang lestari sejak usia kanak-kanak lagi. Tambahan pula, pembuatan sabun ini seiring dengan matlamat pendidikan berkualiti dan kesihatan lestari yang merupakan aspek utama dalam usaha menjaga kesejahteraan dan mengurangkan penyebaran penyakit di kalangan kanak-kanak. Kesihatan lestari juga perlu diterapkan dalam usia yang muda kerana perlunya amalan kebersihan yang diuruskan dengan cara yang mesra alam dan mengurangkan kesan negatif demi mengutamakan kelestarian dan pemeliharaan sumber.
Program EARTHLING 2.0 bukan sahaja memfokuskan kepada kebersihan diri tetapi juga mengandungi elemen keseronokan dalam proses pembelajaran. Sabun buatan tangan yang digunakan dalam program ini direka dengan pelbagai bentuk dan warna yang ceria, dan kemudian dibungkus bersama napkin untuk menghasilkan kit kebersihan tangan (hand hygiene kit), menjadikannya sangat menarik kepada kanak-kanak. Kanak-kanak terlebih dahulu diberi penerangan mengenai teknik-teknik mencuci tangan secara interaktif melalui lagu dan video. Kemudian, mereka akan bermain dan melukis menggunakan cat tangan, diikuti dengan sesi praktikal mencuci tangan. Sabun yang berwarna-warni ini bukan sahaja memudahkan mereka memahami teknik cuci tangan yang betul tetapi juga menjadikan aktiviti ini lebih menyeronokkan dan senang diingati, sambil menanamkan nilai-nilai penjagaan kesihatan lestari dalam kehidupan sehari-hari mereka. Melalui kit kebersihan tangan juga, kanak-kanak dapat belajar dengan lebih bersemangat tentang pentingnya menjaga kebersihan diri yang lestari untuk mencegah penyebaran penyakit.
Dengan ini, objektif program EARTHLING 2.0 dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cekap dalam teknik mencuci tangan yang efektif tetapi juga berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri mereka secara lestari dapat direalisasikan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, program ini berazam untuk membekalkan anak-anak dengan pengetahuan mendalam dan kemahiran holistik yang diperlukan bagi mencegah masalah kesihatan sebelum ia timbul, dengan pendekatan lestari yang menjamin kesejahteraan jangka panjang. Maka, kita harus berusaha menjaga kebersihan diri dengan bijak, seperti menggunakan produk yang mesra alam dan boleh dikitar semula, sambil meminimumkan penggunaan dan mengurangkan kebergantungan pada sumber semula jadi. Ini akan membantu kita mencapai gaya hidup yang lebih lestari tanpa membebankan ekosistem sedia ada dan memelihara alam sekitar untuk kelestarian jangka panjang.