Oleh : Profesor Dr. Aweng A/L Eh Rak
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
Sejak turun temurun masyarakat Malaysia mengamalkan kegunaan herba dalam menjaga kesihatan atau menyembuhkan penyakit. Herba-herba ini sebahagian besarnya diperolehi daripada kawasan hutan berdekatan dengan perkampungan atau tempat kediaman mereka dan sebahagiannya ditanam sendiri. Kebiasaannya masyarakat menggunakan herba dalam dua bentuk iaitu digunakan sebagai sebahagian daripada ramuan dalam masakan atau diguna terus sebagai ubatan tradisional. Kemahiran mengenalpasti herba dan penyakit yang boleh diubati oleh setiap jenis herba ini kebiasaannya mereka perolehi daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka. Pengetahuan dan kemahiran ini bukan diperolehi daripada bilik darjah tetapi ianya diwarisi daripada orang tua mereka. Sementara itu, bukti keberkesanan setiap jenis herba dalam menyembuhkan penyakit tertentu adalah berdasarkan kepada testimoni yang diperolehi selama beberapa generasi.
Kalau dahulu, semasa penulis masih lagi di bangku sekolah rendah, akan ada di setiap kampung, orang tua yang dikenali sebagai Tok Bomoh dikalangan masyarakat kampung, bertindak bukan sahaja sebagai bomoh dalam mengubati anak kampung yang dirasuk makhluk halus tetapi juga bertindak sebagai dukun perubatan tradisional yang mengeluarkan transkripsi ubat tradisional atau herba kepada masyarakat kampung yang menghidapi apa sahaja penyakit. Transkripsi ini dikeluarkan dalam bentuk lisan dan pesakit perlu mencari sendiri jenis-jenis herba atau ubatan tradisional yang disebutkan oleh dukun tersebut berdasarkan kepada rupa bentuk, lokasi serta ciri-ciri tumbuhan yang digambarkan oleh dukun atau bomoh. Dukun atau bomoh bukan sahaja memberi nama, rupa bentuk, ciri dan lokasi herba tersebut tetapi juga kaedah penyediaan dan bahagian yang perlu digunakan samada daun, pucuk, kulit, daun, batang, akar, bunga, umbisi atau buah.
Antara herba dari jenis berumbisi yang sering digunakan masyarakat setempat dalam penyediaan makanan harian adalah chengkenam atau nama saintifiknya Alpinia mutica, temu kunci (Boesenbergia rotundata), setawar tawar (Costus speciosus), kunyit (Curcuma longa), lengkuas (Alpinia galanga) dan temulawak atau kunyit putih (Curcuma xanthorrhiza). Masyarakat kampung menggunakan umbisi chengkenam, temu kunci, setawar tawar, kunyit dan temulawak serta daun lengkuas dan daun kunyit sebagai ramuan dalam penyediaan nasi herba. Umbisi dan daun herba tadi dikisar bersama lebih lima puluh jenis herba yang lain dan diekstrak, larutan hasil ekstrak tersebut digunakan untuk memasak nasi. Nasi yang dimasak dengan ekstrak campuran herba ini dikenali sebagai nasi herba di kalangan masyarakat tempatan dan nasi ini boleh dimakan dengan lauk seperti nasi putih atau boleh juga dimakan seperti nasi kerabu. Disamping itu, umbisi lengkuas dan kunyit merupakan herba yang sangat banyak digunakan dalam masakan di kalangan masyarakat, boleh dikatakan majoriti masakan Malaysia menggunakan umbisi lengkuas dan kunyit sebagai salah satu ramuan dalam masakan. Herba umbisi ini bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga boleh menambah rasa dan aroma makanan.
Penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan
Menyedari kepentingan herba-herba jenis umbisi ini kepada masyarakat setempat samada digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan atau herba untuk perubatan tradisional, penulis terpanggil untuk membuat kajian bagi melihat kemungkinan herba-herba ini digunakan dalam mencegah atau merawat kanser. Kenapa kanser menjadi topik kajian adalah kerana meningkatnya penyakit ini di kalangan masyarakat yang berpunca daripada pencemaran alam sekitar serta pemakanan makanan yang telah diubahsuai atau makanan yang diawet.
Elemen aktif dalam herba yang boleh menggambarkan kebolehan atau keberkesanannya mengawal atau merawat kanser ialah kandungan anti-oksidan serta peratusan perencatan kandungan radikal bebas dalam badan kita. Radikal bebas merupakan molekul yang sangat reaktif dan tidak stabil yang dihasilkan secara semulajadi dalam badan sebagai hasil sampingan metabolisma badan atau terhasil akibat daripada pendedahan badan terhadap pencemaran alam sekitar.
Kajian ini dijalankan di makmal di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli. Kajian bermula dengan pengumpulan sampel herba daripada kampung Pasir Putih, Cabang Empat, Tumpat Kelantan dan dibawa ke makmal Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli. Sampel dicuci dengan air bersih dan seterusnya air suling. Sampel yang sudah dicuci tadi di hiris halus dan dikeringkan terlebih dahulu. Seterusnya, sampel yang sudah cukup kering ditumbuk halus dan diekstrak. Aktiviti penghapusan radikal bebas ekstrak tumbuhan dilakukan dengan mencampurkan ekstrak herba dengan cecair DPPH (2,2-diphenyl-2-picrylhydrazyl hydrate) dan diuji dengan menggunakan kaedah spektrofotometri. Secara ringkasnya, 0.75 ml 1 mM DPPH bertindak balas dengan 0.75 ml ekstrak herba. Kemudian campuran ini disimpan dalam bilik gelap selama 30 minit pada suhu bilik. Asid askorbik (AAE) digunakan sebagai rujukan. Ini bermakna kandungan antioksidan yang diperolehi akan dibandingkan dengan asid askorbik dengan unit mgAAE/g ekstrak.
Keputusan yang diperolehi menunjukkan kandungan anti-oksidan dalam umbisi lengkuas adalah paling tinggi iaitu 2.696 mgAAE/g dan diikuti dengan temulawak (2.522 mgAAE/g), temu kunci (2.436 mgAAE/g), kunyit (2.408 mgAAE/g), chengkenam (2.394 mgAAE/g) dan setawar tawar (2.225 mgAAE/g). Seterusnya, apabila ujian aktiviti penghapusan radikal bebas dilakukan, didapati kesemua sampel menunjukkan lebih 50% radikal bebas dapat dineutral atau dihapuskan oleh kesemua jenis herba umbisi yang diuji dan yang paling tinggi sudah tentulah lengkuas dengan penghapusan 84.10% dan diikuti dengan herba-herba yang lain. Keputusan ini menunjukkan kesemua herba yang diuji mempunyai potensi untuk mencegah atau merawat penyakit kanser dalam badan kita. Penggunaan herba-herba ini dalam makanan yang diamalkan oleh masyarakat sejak turun temurun adalah sangat baik dan boleh mengurangkan risiko penyakit kanser. Namun begitu, apa yang menyedihkan, amalan ini hanya berlaku dikalangan masyarakat kampung sahaja, ianya tidak berlaku dikalangan masyarakat bandar. Oleh sebab itulah kita boleh lihat, ramai orang bandar yang kena penyakit kanser berbanding orang kampung. Ini kerana bukan sahaja orang bandar kurang menggunakan herba-herba yang disebutkan di atas dalam masakan mereka, ditambah pula dengan amalan makanan yang telah diubahsuai terutama makanan segera, meningkatkan lagi risiko tersebut. Bukan itu sahaja, kehidupan di bandar yang terdedah kepada segala jenis pencemaran alam sekitar juga menjadi salah satu punca peningkatan risiko di kalangan masyarakat bandar.
Pemakanan herba dari jenis umbisi samada dalam masakan atau dimakan sebagai tonik kesihatan yang diamalkan ini patut ditingkatkan dan dikembangkan di kalangan masyarakat walau dimana pun mereka tinggal, samada di kampung atau di bandar. Ini bagi menjamin kesihatan warga, serta mengurangkan kos penyediaan kemudahan kesihatan yang ditanggung kerajaan. Lagi pula, herba dari jenis umbisi ini sangat senang di tanam dan tidak memerlukan penjagaan rapi seperti tanaman-tanaman lain. Bagi mereka yang tinggal di bandar mereka boleh tanam herba umbisi ini menggunakan pasu atau poly bag. Bagi mereka di kampung tidak ada masalah tempat untuk penanaman kerana banyak tanah-tanah kosong di kawasan rumah.