Oleh : Dr Nor Adzimah Johdi,
Felo Penyelidik
Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia
Kanser bukanlah entiti yang berdiri sendiri; mereka wujud dalam persekitaran dinamik bersama pelbagai jenis sel-sel lain (Rajah 1). Malah sel-sel lain ini membantu sel-sel kanser bersembunyi daripada dikenalpasti oleh sel-sel imun, yang merupakan tentera pertahanan badan kita. Persekitaran dinamik yang rumit ini dikenali sebagai mikropersekitaran kanser yang memainkan peranan penting dalam membentuk nasib dan hala tuju sel-sel kanser. Cabaran yang timbul berkaitan mikropersekitaran kanser ini adalah sel-sel kanser mampu mengelak dari dikenalpasti oleh sel-sel imun badan iaitu sel-sel pertahanan badan. Malah sel-sel kanser mampu menghapuskan sel-sel imun dengan berkesan. Ini merupakan penghalang utama dalam usaha untuk memerangi sel-sel kanser.
Pemahaman dan pengetahuan berkenaan kompleksiti mikropersekitaran sel-sel kanser ini adalah penting dalam pembangunan terapi yang lebih berkesan dan bersepadu. Kanser sel mampu menggunakan pelbagai strategi termasuk merekrut sel-sel penekan imun (immune suppressor cells) hingga melepaskan molekul-molekul penekan (suppressor molecules) untuk membentuk perisai yang membolehkan sel-sel kanser mengelakkan dari pengesanan sel-sel imun.
Dalam konteks ini, ramai penyelidik seluruh dunia sedang mengkaji mekanisme yang terlibat dalam mikropersekitaran kanser dan cuba untuk menafsirkan bagaimana serta mengapa mikropersekitaran kanser memberikan pengaruh penekanannya dari dikesan oleh sel-sel imun. Kajian penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mendedahkan laluan-laluan baru untuk rawatan intervensi supaya pada akhirnya dapat memberi kelebihan kepada sistem imun semulajadi badan. Usaha berterusan untuk mendedahkan rahsia mikropersekitaran kanser ini adalah bidang baru dalam penyelidikan kanser immunologi yang berpotensi untuk merubah strategi rawatan dan meningkatkan keberhasilan untuk masyarakat amnya dan khususnya kepada pesakit-pesakit kanser.
Para saintis telah membuat beberapa penemuan menarik tentang cara mengatasi fenomena mikropersekitaran kanser;
a) Mendedahkan Penanda Kansel Sel: Para Saintis telah menemui ubat-ubatan istimewa yang boleh mendedahkan sel-sel kanser yang bersembunyi, menjadikannya kelihatan kepada sistem imun badan kita.
b) Rawatan Sasaran Tepat: ubat-ubatan diarahkan secara spesifik ke tempat-tempat persembunyian kanser, seperti menggunakan kunci istimewa untuk membuka pintu rahsia.
c) Menguatkan Sel Imun : Para saintis juga sedang berusaha untuk menguatkan sel imun kita supaya sel-sel imun ini dapat mengenalpasti dan memusnahkan sel-sel kanser dengan lebih berkesan.
d) Rawatan khas peribadi: Para saintis sedang mempelajari bagaimana untuk membuat rawatan yang direka khas peribadi untuk setiap pesakit (personalized medicine). Ini bermaksud setiap pesakit mempunyai pelan rawatan rancangan khas yang diolah mengikut keperluan pesakit itu yang berlainan dari pesakit lain. Ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mengatasi sel-sel kanser. Pakar-pakar kanser seluruh dunia berganding bahu untuk menguraikan permasalahan ini demi kemajuan rawatan kanser.
Dalam usaha melawan kanser, para saintis berusaha untuk mendedahkan rahsia tersembunyi kanser. Penemuan mereka membawa harapan baru untuk rawatan yang berkesan dengan lebih baik dan tahan lebih lama. Ia seperti mencari kunci kepada teka-teki, dan ia membawa kita lebih dekat kepada masa depan di mana kita dapat mengatasi kanser dengan lebih berkesan.
ARTIKEL LAIN YANG BERKAITAN –Sistem Pertahanan Badan dan Kanser
ARTIKEL LAIN YANG BERKAITAN – Kanser Usus Besar