Penulis: Profesor Madya Dr. Zuryati binti Ab Ghani1, Dr Azirrawani binti Ariffin1 & Dr Nor Aidaniza binti Abdul Muttlib1
1Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM)
Senyuman selalunya dianggap sebagai identiti seseorang. Gigi yang bersih dan putih boleh mempengaruhi penampilan, keyakinan diri dan interaksi sosial seorang individu. Ramai individu dalam masyarakat yang mengalami masalah perubahan warna atau pewarnaan gigi sehingga menjejaskan kualiti hidup. Inilah antara sebabnya mengapa rawatan pemutihan gigi semakin popular, terutama sekali dalam era media sosial pada masa kini yang mementingkan penampilan visual.
Persoalan penting yang sering ditanya masyarakat ialah: mengapa gigi berubah warna, dan apakah rawatan yang ada untuk memutihkan gigi?.
Dari sudut sains pergigian, perubahan warna gigi merupakan fenomena kompleks yang melibatkan struktur gigi, faktor persekitaran, tabiat harian, dan juga sejarah kesihatan individu. Langkah pertama untuk menentukan rawatan yang paling sesuai adalah dengan memahami punca sebenar perubahan warna gigi.
Warna Asal Gigi
Gigi mempunyai beberapa lapisan struktur seperti enamel dan dentin. Dentin ialah lapisan di bawah enamel, dan ia menentukan warna gigi. Dentin berwarna kekuningan, manakala enamel yang mempunyai ketebalan berbeza antara individu adalah separa lutsinar. Perbezaan ketebalan dan ketelusan enamel, memberikan perbezaan warna gigi antara individu.
Proses penuaan menyebabkan lapisan enamel menipis, mengakibatkan dentin kelihatan lebih nyata, dan ini adalah sebab utama gigi individu tua lebih gelap berbanding dengan individu muda.
Mekanisme Perubahan Warna Gigi
Perubahan warna gigi adalah disebabkan oleh dua mekanisme, pertama ialah pewarnaan ekstrinsik dan kedua ialah pewarnaan intrinsik.
Pewarnaan ekstrinsik berlaku pada permukaan luar gigi dan sering disebabkan oleh pengambilan bahan-bahan berpigmen seperti kopi, teh, wain, kari, kunyit, serta rokok. Pigmen yang ada dalam bahan-bahan ini akan melekat pada plak yang ada di permukaan enamel. Permukaan enamel yang kasar juga lebih mudah menyerap warna. Sementara itu, pewarnaan intrinsik, berlaku di dalam struktur gigi sama ada di dalam enamel ataupun dentin. Penyebab pewarnaan intrinsik adalah termasuk proses semulajadi seperti penuaan. Pengambilan antibiotik seperti tetracycline dalam tempoh pembentukan gigi boleh juga menyebabkan pewarnaan intrinsik.
Antibiotik tetracycline biasanya diambil oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah penyakit seperti asma, jangkitan saluran pernafasan atas dan ekzema. Tetracycline merubah struktur dan warna gigi menjadi belang-belang kuning, perang dan ada yang berwarna sangat gelap seperti kebiru-biruan dan kelabu.

Imej janaan AI
Sementara itu, pengambilan fluorida yang berlebihan semasa kanak-kanak sama ada kerana menelan ubat gigi berfluorida semasa menggosok gigi ataupun minum air yang tinggi kadar fluorida akan menyebabkan fluorosis. Bagi gigi yang mengalami fluorosis, warnanya adalah agak putih bertompok-tompok, dan apabila dibiarkan sampai dewasa, gigi yang bertompok putih ini akan menjadi tompok-tompok kuning atau perang. Sebab-sebab lain pewarnaan intrinsik adalah seperti trauma pada gigi, kematian saraf gigi, dan penyakit genetik seperti ‘amelogenesis imperfecta’ dan ‘dentinogenesis imperfecta’.
Gaya Hidup
Gaya hidup boleh menyebabkan perubahan warna gigi contohnya minuman berasid seperti minuman berkarbonat dan peminum kopi boleh meninggalkan pewarna. Memberus gigi secara konsisten boleh mencegah perubahan warna. Manakala pemeriksaan berkala membolehkan masalah dikenal pasti pada peringkat awal untuk mengelakkan menjadi lebih kompleks.
Bagaimana Perubahan Warna Gigi Dirawat?
Rawatan untuk memutihkan gigi ialah antara rawatan estetik yang paling banyak dikaji. Rawatan bergantung kepada jenis dan punca perubahan warna gigi. Bagi pewarnaan ekstrinsik, rawatan melibatkan prosedur scaling dan polishing iaitu pembersihan secara professional, dilakukan oleh doktor gigi, yang melibatkan penanggalan plak, karang gigi dan pewarna luaran yang sukar dibersihkan dengan hanya memberus gigi di rumah. Manakala, pemutihan gigi (tooth bleaching) adalah salah satu rawatan konservatif untuk merawat pewarnaan intrinsik, dengan menggunakan bahan kimia seperti hidrogen peroksida atau karbamida peroksida. Bahan kimia ini berfungsi dengan cara memecahkan molekul pewarna di dalam gigi melalui tindak balas pengoksidaan. Rawatan pemutihan gigi ini sesuai untuk pewarnaan akibat penuaan dan pewarnaan ringan hingga sederhana, manakala pewarnaan teruk akibat tetracycline memerlukan pendekatan rawatan yang lebih berhati-hati. Rawatan pemutihan gigi adalah selamat dan berkesan apabila dilakukan di bawah pengawasan professional, sama ada di rumah dengan menggunakan alat khas di bawah pemantauan doktor gigi, atau secara klinikal di klinik pergigian untuk hasil yang lebih cepat.
Rawatan pemutihan di rumah biasanya menggunakan bahan karbamida peroksida dengan kepekatan antara 10% sehingga 22%. Kepekatan 10% adalah standard untuk rawatan yang lebih lembut, lebih lama dan kepekatan yang lebih tinggi (seperti 16%, 18% atau 22%) digunakan untuk hasil yang lebih pantas tetapi berpotensi untuk mengakibatkan gigi sensitif. Kebiasaannya individu akan meletakkan bahan karbamida peroksida ini di dalam ‘tray’ mulut yang disediakan oleh doktor gigi, dan memakainya semasa tidur pada waktu malam. Rawatan ini sesuai untuk semua jenis perubahan warna gigi termasuk warna kuning, perang yang disebabkan oleh proses penuaan, fluorosis, dan tetracycline yang ringan dan sederhana.

Sementara itu, bahan hidrogen peroksida dengan kepekatan 3%-6% pula sesuai digunakan untuk merawat perubahan warna gigi yang ringan dan sederhana seperti warna kuning atau perang yang disebabkan oleh proses penuaan dan fluorosis. Bahan pemutihan jenis ini boleh dibeli di farmasi dalam bentuk ‘strip’, ‘gel’ dan ubat gigi. Rawatan pemutihan ini sesuai digunakan pada siang hari dalam tempoh 30 minit sehingga 1 jam sahaja. Ianya sangat selamat untuk digunakan sekiranya mengikut arahan dari pengilang.
Untuk rawatan pemutihan di klinik pula, ia sesuai untuk perubahan warna gigi kuning dan perang, dengan menggunakan hidrogen peroksida yang berkepekatan yang lebih tinggi (35%). Ia berkeupayaan untuk memutihkan gigi dengan lebih cepat iaitu contohnya, pemutihan gigi di rumah selama seminggu adalah bersamaan dengan 1 jam di klinik gigi. Ia sesuai untuk individu yang kesuntukan masa. Tetapi rawatan ini berisiko untuk mengakibatkan gigi sensitif dan iritasi gusi.

Untuk merawat pewarnaan gigi yang sangat teruk seperti kes tetracycline yang berwarna gelap (kebiruan dan kelabu), rawatan veneer atau mahkota gigi adalah lebih sesuai. Justeru itu, penilaian profesional amat penting sebelum rawatan dimulakan, untuk menentukan rawatan yang sesuai dan berkesan.
Mitos Gigi Putih dan Risiko Rawatan Tidak Terkawal
Masyarakat meletakkan gigi yang putih sebagai penanda aras kecantikan dan kesihatan. Tetapi hakikatnya, warna gigi yang sedikit kekuningan masih dianggap normal dan sihat. Penggunaan bahan pemutih gigi secara tidak terkawal dan tanpa pemantauan professional boleh memberi kesan sampingan seperti sensitiviti gigi, iritasi gusi dan kerosakan enamel.
Senyuman Sihat Lebih Penting Daripada Senyuman Putih
Kesihatan mulut jangka panjang termasuk gigi bebas karies dan kesihatan gusi yang optimum adalah lebih penting dari gigi yang putih sahaja kerana gigi mempunyai variasi semula jadi warna.
Perubahan warna gigi ialah proses semula jadi yang dipengaruhi oleh struktur gigi, penuaan, gaya hidup dan faktor persekitaran. Masyarakat perlu didedahkan kepada kepentingan untuk mendapatkan rawatan pemutihan gigi secara profesional untuk mengelakkan amalan yang berisiko.
Gigi tidak perlu kelihatan sempurna untuk dianggap sihat dan cantik. Sebaliknya, kesihatan mulut secara menyeluruh adalah lebih penting untuk memastikan kesejahteraan seseorang.
Rujukan
- American Dental Association (ADA): Tooth Whitening and Bleaching. https://www.ada.org› ada-library › oral-health-topics
- World Health Organization (WHO): Fluoride and oral health
- Van B. Haywood: Tooth Whitening. Indications and Outcomes of Nightguard Vital Bleaching. 1st Edition 2007. ISBN 978-0-86715-450-4. QP USA
- Noorsaeed et al. Causes and Management of Tooth Discoloration: A Review. JPRI, 33(60B): 969-976, 2021; Article no.JPRI.81541
- Faiez N Hattab. Tooth Discoloration: Causes and Clinical Presentation—Part I. Journal of Oral Health and Community Dentistry. Volume 18, Issue 2, Year 2024. https://doi.org/10.5005/jp-journals-10062-0187
Biodata Ringkas Penulis
Profesor Madya Dr Zuryati binti Ab Ghani merupakan Pensyarah Kanan dan Pakar Prostodontik di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pergigian (BDS) dari Universiti of Wales, College of Medicine (United Kingdom) Graduate Diploma dan Ijazah Doctor in Clinical Dentistry (University of Adelaide, Australia), dalam bidang Prostodontik. Beliau adalah seorang felow dengan Royal Australasian College of Dental Surgeon (RACDS).
Beliau mengajar bidang Pergigian Prostodontik serta terlibat secara aktif dalam penyeliaan pelajar peringkat Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) dan juga Klinikal Doktorate untuk melatih pakar klinikal. Bidang penyelidikan beliau merangkumi Prostodontic, Pergigian Estetik, dan Biomaterial Pergigian. Beliau juga adalah penceramah dan fasilitator pergigian estetik di Malaysia dan di kawasan serantau, dan telah dilantik sebagai KOL untuk Ultradent dan Dentsply. Beliau menerima latihan di Jerman dan Hong Kong untuk bahan pergigian estetik.
Penyelidikan dan amalan klinikal beliau meliputi pelunturan pergigian, bahan pergigian termasuk seramik dan zirkonia, dan telah menerbitkan karya dalam pelbagai jurnal. Beliau diperakui oleh World Federation Laser Dentistry (WFLD). Beliau juga dalah pemeriksa untuk peperiksaan profesional, dan pengulas untuk pelbagai jurnal.




