Penulis: Muhammad Adam Hazieq Bin Mohd Roslan¹, Mohamad Izzuddin Bin Mohd Hadir² & Ts. Dr. Noorashikin Md Noor³
¹Pelajar Doktor Falsafah,
Pusat Pencerapan Bumi, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia
²Pelajar Siswazah, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia
³Pensyarah Kanan,
Pusat Pencerapan Bumi, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia
Dalam keadaan senario global yang kini semakin terancam disebabkan perubahan iklim dan kehilangan habitat, maka fenomena ini telah membawa kepada perbincangan dan perhatian ahli sains dalam menelusuri peranan ekosistem semulajadi sebagai pemangkin kehidupan liar. Antara ekosistem yang paling penting namun sering kurang diberi perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat kini ialah hutan bakau. Di Malaysia, hutan bakau yang menghijau di sepanjang pesisir pantai bukan hanya berfungsi sebagai penghadang angin laut, dan ombak kuat atau kawasan pembiakan ikan semata, namun satu fakta menarik berkenaan hutau bakau adalah berfungsi sebagai pusat ‘Hentian Rehat dan Rawat’ yang penting untuk satu kumpulan makhluk alam istimewa iaitu burung-burung pantai yang melakukan penghijrahan jarak jauh.
Bayangkan seekor burung yang berat kurang daripada secawan teh, seperti Kedidi Ekor-Belang (Bar-tailed Godwit) berlepas dari tanah habitat asal mereka di Lingkaran Artik yang membeku menuju ke destinasi persinggahannya iaitu persisiran pantai panas di Australia atau New Zealand, merupakan satu perjalanan penerbangan tanpa henti merentasi benua dan lautan luas. Secara logik akalnya, perjalanan sejauh 11,000-kilometer itu mustahil disempurnakan tanpa hentian. Di sinilah hutan bakau kita memainkan peranan penting. Bagi burung-burung hijrah hutan bakau ialah hentian terakhir sebelum mereka terbang ke Lautan Pasifik dan tempat pertama burung ini mendarat selepas berjaya mengatasi liku-liku perjalanan. Tanpa bakau yang kaya dengan sumber makanan, berkemungkinan besar perjalanan panjang ini akan berakhir dengan tragedi.

Bertitik tolak kepada satu persoalan penting iaitu mengapa hutan bakau ini istimewa? Mengapakah bukan ekosistem-ekosistem lain seperti hutan tropika atau gambut?
Keistimewaan hutan bakau ini dilihat melalui fungsinya yang bertindak sebagai hentian migrasi kerana keunikan ekosistemnya yang menghasilkan suatu pakej perkhidmatan lengkap seperti berikut:
i- Sumber Perlindungan Semulajadi :Susunan akar bakau yang padat dan terjalin antara satu sama lain mencipta sebuah kubu semulajadi kepada burung burung hijrah ini. Pada masa yang sama, telah memberikan perlindungan fizikal daripada pemangsa liar seperti helang dan musang, serta dapat memberikan perlindungan kepada burung daripada angin kencang dan ombak ribut. Bagi burung yang baru sahaja mengharungi perjalanan berhari-hari, tempat berehat yang selamat menjadi keperluan asas yang amat diperlukan oleh mereka bagi memulihkan kembali tenaga yang telah mereka gunakan.
ii- Sumber Makanan yang Banyak: Kawasan berlumpur (mudflat) di persekitaran bakau ialahsebuah dapur alam istimewa kerana mempunyai sumber makanan yang banyak. Di sinilah tersembunyi khazanah makanan yang mampu membekalkan protein tinggi seperti cacing poliket, kerang-kerangan kecil, ketam, dan larva serangga. Makanan ini padat dengan ditenaga dan mudah untuk dihadamkan telah memberi kelebihan kepada burung-burung ini menambah simpanan lemak untuk digunakan sebagai bahan api dalam menghadapi penerbangan seterusnya yang panjang. Proses ini dipanggil ‘pengumpulan lemak’ (fat deposition) dan kepantasan mereka mencari makanan di kawasan bakau adalah penting untuk jadual migrasi yang ketat.
iii- Pusat Istirahat dan Sosial: Bakau juga berfungsi sebagai sebuah ‘asrama’ besar kepadaburung migratori. Ribuan burung dari pelbagai spesies dan laluan migrasi berkumpul di sini. Interaksi ini mungkin penting untuk pembelajaran, terutama bagi burung muda yang pertama kali bermigrasi. Suasana berkelompok juga memberikan keselamatan tambahan melalui konsep ‘kewaspadaan berkumpulan’ khususnya dalam mengesan kehadiran pemangsa.
Namun demikian, rangkaian stesen servis penting ini sedang terancam. Menurut laporan daripada IUCN melaporkan bahawa 50% kumpulan ekosistem bakau di seluruh pelosok dunia dalam keadaan berisiko untuk runtuh dan Malaysia turut tidak terkecuali. Kegiatan seperti penukaran kawasan bakau kepada tambak akuakultur (terutama udang), pembangunan pesisir untuk perumahan dan perindustrian, pencemaran air daripada sumber daratan serta peningkatan paras air laut dan kekerapan ribut membadai yang dikaitan dengan perubahan iklim telah secara langsung beransur-ansur memusnahkan dan menjejaskan kualiti habitat ini.
Kesan terhadap burung pengembara adalah langsung dan mendalam:
i- Jarak Penerbangan Terpaksa Dipanjangkan: Burung migratori perlu melanjutkan perjalanan mereka lebih jauh untuk mencari hentian alternatif sekaligus meningkatkan risiko kepenatan kepada burung migratori yang secara tidak langsung menyebabkan kadar kelansungan hidup mereka menurun secara mendadak.
ii- Persaingan Sumber yang Sengit: Burung yang singgah akan terpaksa berkongsi kawasan rehat yang semakin kecil yang membawa kepada tekanan, penyebaran penyakit, dan persaingan untuk mendapatkan sumber makanan yang terhad.
iii- Penurunan Populasi Mendadak: Kesan kumulatif ini telah direkodkan secara saintifik. Spesies burung migratori seperti Kedidi Kepala-Besar (Great Knot) dan Kedidi Ekor-Belang telah mengalami penurunan populasi sehingga 80% dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, dengan kehilangan habitat di kawasan hentian utama seperti Lembangan Laut Kuning dikenal pasti sebagai punca utama.
Antara contoh yang dapat kita lihat dan teladani bersama adalah tentang Lembangan Laut Kuning yang terletak antara China dan Semenanjung Korea. Kawasan ini pernah menjadi ‘pusat perkhidmatan’ terbesar di Laluan Migrasi Asia Timur-Australasia, yang digunakan oleh hampir semua burung pantai migrasi yang singgah di Malaysia. Malangnya, sebahagian besar kawasan lumpurnya telah hilang akibat penambakan daratan yang giat dijalankan. Kehilangan ini telah memaksa burung-burung untuk mengubah laluan bagi tujuan mencari hentian baharu yang akhirnya kurang sesuai untuk mereka atau terpaksa meneruskan penerbangan dengan risiko yang lebih tinggi. Kejadian ini secara langsung menjelaskan mengapa pemuliharaan bakau di Malaysia bukan sekadar isu tempatan, tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab global untuk mengekalkan keseluruhan rantaian migrasi.
Walau bagaimanapun usahlah kita gusar dan risau kerana nasib burung pengembara ini belum lagi tamat di sini. Tindakan pemuliharaan yang berkesan masih boleh mengembalikan fungsi hutan bakau. Beberapa langkah penting termasuk:
i- Pengukuhan Perlindungan Undang-undang: Memastikan kawasan bakau utama yang menjadi tempat persinggahan burung seperti di Kuala Gula (Perak), Kuala Selangor dan Johor terus dikekalkan statusnya sebagai Taman Negeri atau diwartakan sebagai Tapak Ramsar (Tanah Bencah Kepentingan Antarabangsa).
ii- Pemulihan Ekosistem Aktif: Melaksanakan projek menanam semula bakau di kawasan yang telah terdegradasi dengan melibatkan komuniti tempatan untuk menjamin pemeliharaan jangka panjang serta secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat setempat akan kepentingan bakau itu kepada ekosistem dan komuniti setempat.
iii- Pembangunan Pesisir yang Bijak dan Lebih Mampan: Melalui mengintegrasikan keperluan ekologi ke dalam perancangan pembangunan pesisir. Pembinaan pelabuhan atau kawasan perindustrian harus mengelakkan kawasan kritikal migrasi burung.
iv- Penyelidikan dan Pemantauan Berterusan: Program seperti Program Pemantauan Burung Pantai Malaysia memberikan data penting tentang populasi dan trend migrasi, membolehkan tindakan pemuliharaan disasarkan dengan lebih efektif.
v- Kesedaran dan Pendidikan Awam: Meningkatkan pemahaman masyarakat tentang nilai bakau yang melampaui kayu bakar dan perlindungan pesisir. Aktiviti pelancongan eko-burung (birdwatching) yang diuruskan secara mampan boleh menjadi nilai ekonomi tambahan yang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat serta memasarkan Malaysia sebagai habutama dalam perlancongan hijau.
Hutan bakau Malaysia memainkan peranan yang penting dan bertindak lebih daripada sekadar pokok di tepi persisiran pantai kita. Hutan ini adalah penjaga pintu masuk dan keluar untuk satu keajaiban alam yang menghubungkan benua. Setiap pokok bakau yang tumbuh tegak bukan hanya menyokong sebuah rangkaian kehidupan yang kompleks, tetapi juga membolehkan makhluk kecil untuk meneruskan rantaian kitaran penghijrahan yang telah berlangsung selama ribuan tahun.
Pemeliharaan bakau bermakna kita bukan hanya bertindak melindungi biodiversiti tempatan, tetapi turut menyumbang kepada memelihara sebuah warisan keajaiban semulajadi global. Apabila Burung Kedidi itu mendarat lagi di lumpur bakau kita yang subur, maka ini adalah sebuah tanda bahawa rantaian kehidupan itu masih utuh dan tanggungjawab untuk menjaganya terletak di bahu kita semua sebagai penghuni alam yang berkongsi alam.
Kredit foto-sustainabletravel




