23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Friday, August 28, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Mengapa Rehabilitasi Penting untuk Kembali Menjalani Kehidupan Selepas Strok atau Kecederaan Otak Traumatik?

Mengapa Rehabilitasi Penting untuk Kembali Menjalani Kehidupan Selepas Strok atau Kecederaan Otak Traumatik?

Editor by Editor
27/08/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan, Teknologi & Kejuruteraan
0 0
0

Oleh: Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Bin Hanafi
Jabatan Perubatan Rehabilitasi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia

Apakah yang Berlaku selepas Seseorang Mengalami Kecederaan Otak?

Strok dan kecederaan otak traumatik atau traumatic brain injury (TBI) merupakan dua keadaan yang boleh menyebabkan kerosakan pada otak, tetapi mekanismenya berbeza. Strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terganggu akibat salur darah tersumbat atau pecah. TBI pula berlaku akibat daya luaran seperti kemalangan jalan raya, terjatuh atau hentakan kuat pada kepala.

Pada peringkat awal, keutamaan pasukan perubatan ialah menyelamatkan nyawa, menstabilkan pesakit dan mengurangkan kecederaan otak selanjutnya. Namun, apabila pesakit sudah stabil, persoalan seterusnya ialah: apakah yang akan berlaku kepada kehidupan pesakit selepas ini?

Seseorang mungkin terselamat daripada strok tetapi tidak lagi mampu berjalan. Seorang mangsa kemalangan mungkin sedar semula tetapi mengalami masalah ingatan. Ada yang boleh bergerak tetapi tidak mampu kembali bekerja, memandu, mengurus keluarga atau menjalankan peranan sosial seperti sebelumnya. Di sinilah perubatan rehabilitasi memainkan peranan penting.

Rehabilitasi Bukan sekadar Fisioterapi

Salah faham yang biasa ialah menganggap rehabilitasi sebagai fisioterapi untuk menguatkan tangan dan kaki. Hakikatnya, rehabilitasi neurologi jauh lebih luas. Doktor rehabilitasi melihat bukan sahaja penyakit, tetapi kesan penyakit tersebut terhadap keseluruhan kehidupan seseorang.

Sebagai contoh, strok mungkin menyebabkan kelemahan sebelah badan, kesukaran bercakap atau kekejangan otot. Akibatnya, pesakit mungkin memerlukan bantuan untuk mandi, memakai pakaian atau berpindah dari katil ke kerusi. Kesan seterusnya boleh melibatkan pekerjaan, pemanduan, tanggungjawab keluarga dan kehidupan sosial.

Oleh itu, matlamat rehabilitasi bukan hanya bertanya, “Bolehkah tangan pesakit bergerak?” tetapi juga, “Apakah yang perlu dilakukan supaya pesakit dapat kembali menjalani kehidupan yang bermakna?”

Bagaimanakah Doktor Rehabilitasi menilai Pesakit?

Penilaian rehabilitasi dilakukan secara menyeluruh. Selain sejarah penyakit dan pemeriksaan neurologi, doktor menilai tahap kesedaran, kekuatan otot, spastisiti, fungsi deria, koordinasi, keseimbangan dan keupayaan berjalan.

Fungsi kognitif juga penting. Pesakit mungkin kelihatan mampu bercakap dan bergerak tetapi mengalami gangguan perhatian, ingatan, pertimbangan atau penyelesaian masalah. Keupayaan melakukan aktiviti harian seperti makan, mandi, berpakaian, menggunakan tandas dan berpindah juga dinilai.

Antara instrumen yang boleh digunakan ialah Medical Research Council (MRC) untuk kekuatan otot, Modified Ashworth Scale (MAS) untuk spastisiti, Barthel Index dan Functional Independence Measure (FIM) untuk fungsi harian serta Modified Rankin Scale (mRS) untuk tahap ketidakupayaan.

Bagi kecederaan otak yang sangat teruk, tahap kesedaran perlu dinilai secara sistematik. Pesakit boleh melalui keadaan koma, unresponsive wakefulness syndrome atau keadaan vegetatif, minimally conscious state dan seterusnya menunjukkan komunikasi yang lebih konsisten. Coma Recovery Scale-Revised (CRS-R) membantu penilaian respons tersebut.

Mengapa Dua Pesakit dengan Strok yang Sama boleh Pulih secara Berbeza?

Pemulihan tidak bergantung pada imbasan CT atau MRI semata-mata. Kerangka International Classification of Functioning, Disability and Health (ICF) membantu melihat kesihatan melalui beberapa komponen yang saling berkaitan: fungsi dan struktur tubuh, aktiviti, penyertaan, faktor persekitaran dan faktor peribadi. (Leonardi, 2022)

Bayangkan dua pesakit mempunyai kelemahan kaki yang hampir sama. Pesakit pertama tinggal bersama keluarga, rumahnya sesuai untuk pergerakan dan tempat kerja bersedia melakukan pengubahsuaian. Pesakit kedua tinggal bersendirian di rumah bertangga dan pekerjaannya memerlukan aktiviti fizikal berat. Walaupun tahap kelemahan hampir sama, keupayaan untuk berdikari dan kembali kepada kehidupan boleh sangat berbeza.

Rajah 1. Tahap ketidakupayaan seseorang bukan ditentukan oleh penyakit semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh aktiviti, persekitaran dan konteks individu.

Bolehkah Otak Pulih selepas Mengalami Kecederaan?

Otak mempunyai keupayaan untuk berubah dan menyesuaikan diri selepas kecederaan, suatu proses yang dikenali sebagai neuroplastisiti. (Dey, 2024) Selepas strok atau TBI, rangkaian saraf yang masih berfungsi boleh mengalami perubahan dan penyusunan semula untuk membantu fungsi yang terjejas.

Neuroplastisiti tidak bermaksud bahagian otak yang rosak akan kembali normal sepenuhnya. Sebaliknya, otak boleh belajar menggunakan rangkaian yang masih ada dengan lebih berkesan. Latihan berulang, aktiviti yang mempunyai tujuan dan penglibatan aktif pesakit merupakan asas penting rehabilitasi.

Sebab itulah seseorang yang pada awalnya sukar mengangkat tangan mungkin secara beransur-ansur belajar mencapai objek, memegang cawan dan menggunakan tangan dalam aktiviti harian. Pemulihan boleh mengambil masa berminggu-minggu, berbulan-bulan dan bagi sesetengah pesakit, lebih lama.

Rajah 2. Proses pemulihan otak selepas strok. Otak mempunyai keupayaan untuk membentuk salur darah dan laluan saraf baharu yang membantu proses pemulihan fungsi

Siapakah yang terlibat dalam Proses Rehabilitasi?

Rehabilitasi neurologi ialah usaha berpasukan. Doktor rehabilitasi bekerjasama dengan ahli fisioterapi, ahli terapi carakerja, ahli terapi pertuturan dan bahasa, jururawat rehabilitasi, ahli psikologi atau neuropsikologi, pegawai kerja sosial dan profesional kesihatan lain mengikut keperluan.

Ahli fisioterapi memberi tumpuan kepada pergerakan, kekuatan, keseimbangan dan berjalan. Ahli terapi carakerja membantu kemahiran aktiviti kehidupan harian, manakala ahli terapi pertuturan dan bahasa membantu masalah komunikasi dan menelan. Pesakit dan keluarga juga merupakan anggota penting pasukan kerana matlamat rehabilitasi perlu berdasarkan perkara yang bermakna kepada pesakit.

Mengapa Rumah juga Sebahagian daripada Rawatan?

Pesakit mungkin menunjukkan prestasi yang baik di hospital tetapi menghadapi kesukaran apabila pulang. Tangga, lantai licin, bilik air tanpa pemegang, laluan sempit dan pencahayaan kurang baik boleh meningkatkan risiko jatuh dan mengurangkan kebebasan.

Pengubahsuaian rumah boleh melibatkan pemasangan grab bar, laluan yang lebih sesuai untuk kerusi roda, permukaan lantai yang selamat, susunan perabot yang lebih baik dan pencahayaan mencukupi. Tujuannya ialah meningkatkan keselamatan dan kebebasan pesakit serta mengurangkan beban penjaga.

Apakah Peranan Teknologi dalam Rehabilitasi Masa Hadapan?

Perubatan rehabilitasi terus berkembang. Selain pendekatan konvensional, teknologi seperti robotik, peranti bantuan mobiliti, rehabilitasi di rumah dan kecerdasan buatan berpotensi membantu rawatan menjadi lebih tersusun dan disesuaikan kepada individu.

Penyelidikan turut menilai biomarker bagi memahami proses pemulihan. Antaranya ialah brain-derived neurotrophic factor (BDNF) yang berkaitan dengan neuroplastisiti, vascular endothelial growth factor (VEGF) yang berkaitan dengan proses vaskular, serta heme oxygenase-1 (HO-1) yang berkaitan dengan tindak balas tekanan oksidatif. (Noor, 2026)

Namun, biomarker tidak menggantikan penilaian klinikal. Keupayaan untuk berdiri, berjalan, menggunakan tangan, berkomunikasi, menjaga diri dan kembali mengambil bahagian dalam kehidupan kekal sebagai ukuran penting pemulihan. Masa hadapan neurorehabilitasi mungkin menggabungkan penilaian fungsi, biomarker, robotik, rehabilitasi di rumah dan kecerdasan buatan ke arah precision rehabilitation.

Apakah sebenarnya maksud ‘Pulih’?

Dalam perubatan akut, kejayaan sering dikaitkan dengan kelangsungan hidup dan kestabilan penyakit. Dalam rehabilitasi, persoalannya lebih jauh: adakah pesakit boleh bangun dari katil, mandi dan berpakaian sendiri, kembali ke sekolah atau bekerja, serta menjalankan semula peranannya dalam keluarga dan masyarakat?

Inilah konsep penyertaan atau “participation”. Seseorang mungkin mempunyai sedikit kelemahan yang kekal tetapi masih mampu hidup secara berdikari, bekerja dan aktif dalam masyarakat. Sebaliknya, kelemahan fizikal yang ringan mungkin disertai masalah kognitif atau komunikasi yang menghalang seseorang daripada kembali bekerja.

Oleh itu, kejayaan rehabilitasi tidak seharusnya diukur melalui kekuatan otot sahaja. Matlamat akhirnya ialah mengembalikan fungsi, kebebasan, penyertaan dan kualiti hidup.

Strok dan kecederaan otak traumatik boleh berlaku dalam beberapa saat, tetapi kesannya mungkin berpanjangan. Rawatan kecemasan menyelamatkan nyawa; rehabilitasi pula membantu menentukan bagaimana seseorang menjalani kehidupan selepas terselamat.

Pemulihan memerlukan penilaian menyeluruh terhadap fungsi fizikal, kognitif, komunikasi, aktiviti harian, persekitaran dan peranan sosial. Neuroplastisiti memberi ruang kepada pemulihan, tetapi proses ini memerlukan latihan, masa, sokongan keluarga dan kerjasama pasukan rehabilitasi.

Rujukan

  • Leonardi, M., Lee, H., Kostanjsek, N., Fornari, A., Raggi, A., Martinuzzi, A., … & Kraus de Camargo, O. (2022). 20 years of ICF—international classification of functioning, disability and health: uses and applications around the world.International journal of environmental research and public health, 19(18), 11321.
  • Dey, S., Arya, A., Raut, A. J., Katta, S., & Sharma, P. (2024). Exploring the role of neuroplasticity in stroke rehabilitation: mechanisms, interventions and clinical implications.International Journal for Multidisciplinary Research, 6(2).
  • Noor, R. A. M., Ibrahim, H. A., Ahmad, W. M. A. W., Hanafi, M. H., Mustapha, M., Ponnuraj, K. T., & Kassim, N. K. (2026). Association of peripheral blood brain-derived neurotrophic factor (BDNF) levels with the use of technology-assisted stroke rehabilitation: a systematic review and meta-analysis.Biomarkers in Medicine, 20(5), 297-310.

Biodata Penulis

Prof. Madya Dr Muhammad Hafiz Bin Hanafi ialah Pakar Perubatan Rehabilitasi dan Pensyarah Perubatan di Universiti Sains Malaysia. Bidang klinikal dan penyelidikan beliau merangkumi neurorehabilitasi, rehabilitasi selepas strok dan kecederaan otak traumatik, teknologi rehabilitasi serta pemulihan fungsi. Beliau juga aktif menyampaikan ceramah dan syarahan dalam bidang neurorehabilitasi di pelbagai persidangan serta program ilmiah, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: fisioterapiKecederaan Otak Traumatikpemulihan strokrehabilitasi strok
ShareTweetShare
Previous Post

Robot Dalam Rehabilitasi: Bolehkah Teknologi Membantu Pesakit Kembali Berdikari?

Next Post

Survivorship Bias dalam Data: Apa yang Tidak Kita Lihat Mungkin Lebih Penting

Editor

Editor

Related Posts

Survivorship Bias dalam Data: Apa yang Tidak Kita Lihat Mungkin Lebih Penting
Berita & Peristiwa

Survivorship Bias dalam Data: Apa yang Tidak Kita Lihat Mungkin Lebih Penting

2 hours ago
Robot Dalam Rehabilitasi: Bolehkah Teknologi Membantu Pesakit Kembali Berdikari?
Berita & Peristiwa

Robot Dalam Rehabilitasi: Bolehkah Teknologi Membantu Pesakit Kembali Berdikari?

2 hours ago
Penyakit Buah Pinggang Kronik: Pengesanan Melalui Ujian Darah dan Air Kencing
Berita & Peristiwa

Penyakit Buah Pinggang Kronik: Pengesanan Melalui Ujian Darah dan Air Kencing

3 hours ago
Ujian Darah untuk Penyakit Hati dan Jaundis: Apa yang Perlu Anda Tahu?
Berita & Peristiwa

Ujian Darah untuk Penyakit Hati dan Jaundis: Apa yang Perlu Anda Tahu?

4 hours ago
Next Post
Survivorship Bias dalam Data: Apa yang Tidak Kita Lihat Mungkin Lebih Penting

Survivorship Bias dalam Data: Apa yang Tidak Kita Lihat Mungkin Lebih Penting

Kategori Produk

  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In